13 Jun 2013

Majistret Baling nyaris maut

4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Majistret Baling nyaris maut

Keadaan kenderaan Mohd Faiz.
Majistret Baling nyaris maut

Keadaan kenderaan Mohd Khairul.
KUALA KETIL - Majistret Mahkamah Baling, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli nyaris maut dalam kemalangan di Kilometer 26.1 berdekatan Ladang Kim Seng, Kuala Ketil kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku setelah kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan ketika melalui jalan yang berselekoh di kawasan itu.

Seorang lagi pemandu merupakan anggota polis iaitu Lans Koperal, Mohd Faiz Mohd Shukri yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Baling.

Pertembungan itu mengakibatkan kenderaan yang dinaiki Mohd Khairul berpusing beberapa kali dan kedua kenderaan itu remuk teruk.

Bagaimanapun, kedua mereka hanya mengalami kecederaan ringan di beberapa anggota badan dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Difahamkan, Mohd Khairul dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang atas urusan kerjanya manakala Mohd Faiz dalam perjalanan ke tempat kerjanya di IPD Baling.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan punca kemalangan adalah disebabkan laluan yang berselekoh selain jalan yang licin akibat hujan.


sinar/-

Anak muda dominasi Black505 Kelantan

4 Syaaban 1434 H. [MOD] -



KETEREH: Paling ramai anak-anak muda yang memenuhi setiap ruang padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam malam tadi. Mereka tanpa mengira jantina memakai baju hitam.

Sepanjang jalan menuju ke padang produk baju Blackout505 digantung di bawah khemah bagi menunggu pelanggan. Suasana seperti pasar malam yang menawarkan pelbagai jenama bertulis Blackout 505.

Gadis-gadis juga tidak ketinggalan mengenakan lilitan kepala yang bertulis perkataan Blackout 505.

“Sama seperti di tempat-tempat lain apabila puluhan ribu hadir pada perhimpunan aman itu bagi membantah penyelewengan yang berlaku pada pilihan raya umum baru-baru ini.

“Kalau kita tidak berusaha untuk mengubahnya selagi itulah kepincangan dalam pilihan raya terus berlaku,” kata anggota parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.




Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula menjelaskan perhimpunan itu bukan untuk mengguling kerajaan, seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.


(Para pemimpin yang hadir di pentas utama)

“Tak kan pula orang ramai yang hadir dengan tangan tangan kosong kalau betullah mereka hendak guling kerajaan.

“Perhimpunan aman ini diadakan bagi menjaga hak rakyat. Kita tidak mahu pada masa akan datang ada kertas undi ditemui di ladang kelapa sawit,” katanya.

Menurutnya juga kaedah undi awal yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ternyata memberi keutungan besar kepada Umno dan BN.

Hadir sama malam tadi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Selain itu Kasturi Patu mewakili DAP; Presiden R, Nazri Deraman; Penyelaras OKU Bangkit, Muhamad Faizal Che Yusoff; aktivis pelajar,

Safwan Anang, Leman Raja Lawak, Chekgu Bard dan wakil-wakil rakyat Kelantan.

Ramai juga anak-anak muda masyarakat Cina dan India yang hadir.

Husam berkata, penipuan dan penyelewengan menghalang Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, sebabkan itulah ramai rakyat hadir pada perhimpunan tersebut bagi meluahkan rasa tidak senang kepada SPR dan kerajaan BN.

“Semangat anak-anak muda cukup luar biasa sekali. Ini berlaku di seluruh negara apabila mereka beramai-ramai menyertai perhimpunan seperti ini,” kata Anwar.


harakahdaily/-

Cuti 30 Jun: Terima kasih kerajaan Kelantan


4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Memahami jiwa rakyat Kelantan yang amat meminati bola sepak, kerajaan PAS Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 30 Jun ini sempena Perlawanan Akhir Piala FA.


Cuti itu bagi memastikan peminat bola sepak di negeri itu selamat kembali selepas menonton perlawanan akhir antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Usaha kerajaan Kelantan itu, bagi Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan ianya satu penghargaan yang besar buat rakyat negeri itu khususnya peminat bola sepak.

Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmud berterima kasih kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob kerana memberi cuti pada hari Ahad kepada penyokong bola sepak agar mereka mempunyai masa yang cukup untuk rehat sebelum bertolak pulang.

"Harap penyokong Kelantan jangan hendak cepat untuk balik, ambil masa dan tenaga supaya perjalanan kita lancar, dan kita tidak mahu apa-apa kecelakaan berlaku semasa datang dan pulang nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau percaya ramai di kalangan penyokong bola sepak Kelantan telah berkira-kira untuk mengambil cuti pada hari Ahad selepas perlawanan, bagaimanapun keputusan kerajaan itu amatlah dialu-alukan.

Mahizi turut berharap agar Menteri Besar bersama-sama hadir ke perlawanan akhir itu nanti sebagai memberi sokongan moral kepada pemain-pemain The Red Warrios.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata mesyuarat Exco kerajaan negeri memutuskan 30 Jun cuti peristiwa setelah mengambil kira cuti berkenaan tidak akan menjejaskan operasi pentadbiran kerajaan dan swasta di Kelantan. 

Pertemuan Kelantan dan Johor DT itu dijadualkan bermula 8.45 malam pada 29 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Kelantan adalah juara bertahan dan ini adalah kali ketiga pasukan 'The Red Warriors' melangkah ke peringkat akhir Piala FA dalam tempoh empat tahun

harakah/-

Harga kereta turun: Laporan Utusan tipu, kata PKR


4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Penafian oleh syarikat pengeluar kereta terhadap laporan Utusan kononnya berlaku penurunan harga kereta oleh kerajaan BN,  memperlihatkan akhbar Umno itu 'cuba menipu', kata Nik Nazmi Nik Ahmad.


Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, episod memalukan ini mendedahkan betapa terdesaknya Umno BN di dalam berhadapan dengan kempen #TurunkanHargaKereta Pakatan.

"Justeru, laporan Utusan bahawa 10 model kereta telah mencatatkan penurunan harga adalah suatu percubaan terdesak untuk memperbodohkan rakyat. Kedua-dua Volkswagen dan Peugeot sudah menafikan dakwaan tersebut. Portal berita Malaysian Insider turut mendedahkan dakwaan pengurangan harga Honda Jazz Hybrid juga tidak benar.

"Sekali lagi, Utusan menunjukkan betapa akhbar yang suatu ketika dahulu menjadi mendepani kewartawanan Melayu kini menjadi simbol etika kewartawanan yang pincang di dalam usahanya untuk menjaga kepentingan politik pemiliknya, Umno," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia sebelum ini kononnya kerajaan BN telah menurunkan harga kereta-kereta sehingga 11 peratus sejak Januari tahun ini sebagai sebahagian daripada pelaksanaan manifesto. 

Menurut beliau lagi, apabila Pakatan mula-mula melancarkan kempen #TurunkanHargaKereta, Umno BN mendakwa bahawa mustahil untuk melaksanakannya di atas pelbagai alasan, termasuk untuk melindungi pembuat kereta tempatan dan kehilangan hasil kerajaan. 

Namun katanya, hujah itu dengan mudah dijawab Pakatan dengan penjelasan bahawa skim ini melibatkan penurunan harga secara beransur-ansur untuk semua pembuat kereta. 

Kemudiannya, selepas manifesto Pakatan dilancarkan, Umno BN pula meniru dengan menyertakan penurunan harga kereta di dalam janji mereka dengan tekad menyemak semula Dasar Automotif Negara untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dan meningkatkan daya saing kereta-kereta nasional. 

Tetapi kata Nik Nazmi, kerajaan gagal memberikan butir-butir bagaimana mereka merancang untuk melaksanakan dasar ini tanpa mengurangkan duti eksais, dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datu Seri Mustapa Mohamed menyatakan matlamat ini akan dicapai dengan ‘bersandarkan kuasa pasaran’.

"Utusan mestilah memohon maaf segera kepada semua rakyat Malaysia di samping pembuat-pembuat kereta di atas berita ini," Katanya.
harakahdaily/-

Benarkah peg penyiasat tunggal EAIC terlibat kes Beng Hock?


4 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta berterus terang dan segera mengesahkan sama ada pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim, adalah pegawai sama yang terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock. 


(Kematian Teoh Beng Hock tidak selesai hingga kini)

"Dan sekiranya ya, beliau harus dilucutkan daripada semua siasatan kes-kes kematian dalam tahanan," kata  dua ahli Parlimen DAP dalam kenyataan mereka hari ini.

Ini adalah kenyataan kedua daripada dua ahli Parlimen DAP,  Zairil Khir Johari dan Steven Sim berkaitan isu ini.

Sebelum ini, kedua-duanya mendedahkan kemungkinan Mohd Nadzri, satu-satunya pegawai penyisat yang ada di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga orang yang sama terlibat dengan kes Beng Hock.

Mereka bimbang kalau-kalau Mohd Nadzri adalah pegawai SPRM yang turut menyiasat Teoh beng Hock yang didapati mati terjun dari bangunan SPRM Shah Alam sebelum ini.

"Kini sudah 24 jam kami mendedahkan kemungkinan besar bahawa pegawai penyiasat tunggal Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang juga seorang ahli pasukan petugas yang telah ditubuhkan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan merupakan pegawai penyiasat sama yang telah menyoal siasat Teoh Beng Hock sejurus sebelum kematian beliau. 

"Sekiranya benar, persoalan timbul bagaimana mungkin pegawai tersebut, Mohd Nadzri Ibrahim, ditugaskan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan sedangkan beliau sendiri pernah terlibat dalam kes yang serupa?" kata kenyataan mereka berdua hari ini.

Malah, kata mereka, Majlis Peguam pernah menyarankan agar siasatan lanjutan dijalankan ke atas Mohd Nadzri atas penglibatannya dalam kes tersebut.

Namun begitu, sehingga sekarang tiada lagi jawapan daripada Perdana Menteri atau EAIC. 

"Kami menggesa sekali lagi agar Datuk Sri Najib Razak memberi penjelasan segera memandangkan EAIC adalah sebuah agensi di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri. 

"Kegagalan untuk mengesahkan identiti pegawai tersebut akan merosotkan lagi keyakinan awam terhadap EAIC," kata mereka.

Pendedahan ini adalah tambahan kepada kritikan-kritikan terhadap EAIC daripada pelbagai pihak, termasuk mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid yang baru-baru ini telah mempersoalkan kegunaan serta kemampuan EAIC. 

Menurutnya, setelah menelan belanja RM14 juta selama dua tahun sejak 2009, EAIC hanya berjaya mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin dalam tempoh masa tersebut.


(Zairil dan Steven Sim...dua ahli parlimen DAP)

Menurut Tun Hamid, sebanyak 347 aduan telah diterima di mana hanya 60 telah dimajukan untuk siasatan lanjutan. Daripada jumlah ini, hanya tiga yang disiasat penuh, dan akhirnya dua kes telah ditutup atas sebab pendakwaan dua kali atau "double jeopardy" sementara satu telah dirujuk kepada lembaga disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Pun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nur Afizah Hanum sendiri telah mengakui bahawa beliau tidak tahu sama ada tindakan disiplin tersebut telah pun dikenakan terhadap pegawai yang berkenaan.

"Hakikatnya, EAIC adalah umpama harimau yang tidak bertaring. Walaupun diwujudkan sebagai pengganti kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang telah disarankan oleh Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tun Dzaiddin pada tahun 2005, EAIC hanya mempunyai kuasa menyiasat dan memberi cadangan. 

"Tanpa apa-apa kuasa penguatkuasaan, jelas EAIC tidak diambil serius. Ini sudah pun terbukti dengan prestasi yang sangat menghampakan sejak penubuhannya," dakwa kedua-dua ahli parlimen itu.

Akibatnya, kata mereka, agensi-agensi penguatkuasa di negara ini seperti SPRM dan PDRM sudah menjadi leka dan tidak mengikuti Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang betul apabila kes-kes kematian dalam tahanan semakin meningkat dengan sembilan kematian bagi tahun ini dan empat dalam tempoh dua minggu yang lepas. 

Tambahan pula, dengan kemungkinan besar bahawa pegawai penyiasat tunggal EAIC mungkin terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock, keyakinan awam terhadap agensi-agensi penguatkuasa sudah hampir hilang sama sekali.

"Justeru, tidak ada jalan lain melainkan menggantikan EAIC yang bukan sahaja tidak bertaring tetapi sudah jelas gagal dan hilang integriti dengan penubuhan IPCMC yang benar-benar berkuasa dan berupaya untuk mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk menyiasat, menggantung tugas dan memecat anggota-anggota penguatkuasa yang didapati bersalah," kata mereka.

Pada masa yang sama, lantikan anggota-anggota IPCMC harus dilakukan secara telus dan bebas melalui jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang mempunyai keanggotaan adil daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. 

IPCMC juga perlu bebas daripada campur tangan badan Eksekutif dan bukannya diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri seperti EAIC pada masa kini.

Akhir sekali, kerajaan harus menubuhkan sebuah mahkamah koroner yang bebas dan profesional serta menggunakan tatacara antarabangsa untuk menyiasat kes-kes kematian luarbiasa termasuk kematian dalam tahanan, tambah mereka.

Tindakan-tindakan drastik dan tegas harus diambil sekiranya kerajaan ingin mengelak berlakunya lagi kematian dalam tahanan serta memulihkan imej dan keyakinan awam terhadap agensi-agensi penguatkuasa negara kita, kata kenyataan itu lagi


harakahdaily/-

12 Jun 2013

Bina arca kapal tanpa paku

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Bina arca kapal tanpa paku

Pembuat arca, Joko Dwi Avianto dibawa khas dari Indonesia untuk membentuk arca gergasi berkenaan sempena Festival Georgetown 2013 di sini.

Menurutnya, kesemua buluh khas itu digunakan dalam pembuatan bangunan dan dibawa dari Jawa Barat.

“Arca yang saya gelarkan ‘The Theatre of Ships’ ini turut dibantu oleh 14 pekerja dan lima daripadanya dibawa dari Indonesia, kami memulakan kerja ini sejak dari awal Mei lagi.

“Kerja hanya dimulakan pada jam 7 petang sehingga jam 3 pagi serta bergantung kepada keadaan cuaca, terdapat lapan palang buluh utama yang besar dan kemudiannya 40 lubang yang mana meletakkan buluh-buluh ini untuk tegak,” katanya.

Joko yang berusia 37 tahun itu mula berjinak dalam bidang seni pembuatan buluh sejak 2003.

Direka dengan nama ‘The Theatre of Ships’, pereka seni ini berkata, ia kerana Pulau Pinang adalah salah satu tempat pelabuhan satu ketika dahulu.

Menurutnya lagi, ramai pedagang mahupun mereka yang kini sudah pun menetap di Pulau Mutiara datang berdagang menggunakan kapal.

“Jadi kita kembali mengingati sejarah lama Pulau Pinang dan lebih bersesuaian apabila arca ini berada dengan kawasan pantai,” katanya.

Apa yang menarik mengenai arca buluh gergasi ini, ia langsung tidak menggunakan paku untuk melekatnya antara satu sama lain.

Arca ini dijangka menjadi tarikan terbaru sempena Festival Georgetown 2013 selepas mural popular yang dihasilkan Ernest Zacharevic.

Pengarah Festival Georgetown, Joes Sidek berkata, arca berkenaan adalah pertama seumpamanya di negara ini dan pertama kali dihasilkan Joko.

“Dijangka arca ini dapat bertahan dalam tempoh masa sehingga enam bulan dan kami berharap masyarakat Pulau Pinang tertarik dan mendapat sumber inspirasi daripadanya,” katanya.


harakahdaily/-

Ibu buang bayi sendiri dalam salur sampah flat

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Ibu buang bayi sendiri dalam salur sampah flat




Ibu buang bayi sendiri dalam salur sampah flat
BIRMINGHAM- Seorang wanita cuba membunuh bayi perempuannya yang baru berusia enam hari dengan membuang menerusi salur sampah setinggi  lebih 40 kaki.

Wanita dikenali sebagai Jaymin Abdulrahman, 25 didakwa di mahkamah semalam kerana  membuang bayinya dengan meletakkannya dalam pelongsor sampah dari flatnya di tingkat lima.

Bayi itu kemudian ditemui bapanya sendiri keesokan hari selepas dibuang dalam keadaan tidak bermaya.

Bayi itu kemudian disahkan mengalami kerosakan otak dan juga keretakan pada tengkorak.

Jaymin pada mulanya memberitahu bayinya diculik dan menafikan dakwaan cubaan membunuh yang dikenakan ke atasnya.

Kes dibacakan di  Birmingham Crown Court, semalam.

Belanja kempen: Pemuda PAS desak penjelasan Zahid

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan jumlah perbelanjaan kempen beliau semasa Pilihan raya Umum ke-13 baru-baru ini.


Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar)menyatakan demikian ekoran Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mendedahkan bahawa beliau telah membelanjakan sebanyak RM100 dan 5 kg beras kepada 24,000 orang di Bagan Datoh pada PRU13.

Dakwaan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menunjukkan Ahmad Zahid telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan membelanjakan melebihi jumlah yang ditetapkan, iaitu sebanyak RM200,000.

Itupun, katanya belum dicampur dengan segala perbelanjaan lain termasuk tenaga petugas kempen, jentera, peralatan serta bahan-bahan kempennya yang mungkin jauh lebih banyak daripada apa yang didedahkan oleh Rafizi.

Justeru, ujar Riduan DPPM merasa hairan bagaimana Ahmad Zahid boleh mendapat duit sebanyak itu untuk perbelanjaan kempennya.

“Apakah ianya duit daripada poket beliau, parti mahupun daripada kerajaan?

“Mungkinkah ini menandakan bahawa setiap pemimpin BN diberikan peruntukan besar semasa kempen PPRU13 untuk diberikan kepada pengundi-pengundi?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam hal ini, katanya respons daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat penting bagi menjawab persoalan mengenai status pemberian wang tunai kepada pengundi ketika musim kempen pilihanraya sama ada ia boleh dikategorikan sebagai rasuah atau sebaliknya.

Beliau berkata, rakyat perlu mengetahui sumber kewangan Ahmad Zahid dan ke mana dihabiskan duit kempennya.

harakahdaily/-

RM100,000 lesap

Foto
3 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Kuantan: Sebuah pasar raya borong di Jalan Tun Ismail 5 di sini, kerugian kira-kira RM100,000 apabila wang perniagaan harian disimpan dalam peti besi dilarikan penjenayah yang memecah masuk premis berkenaan sebelum kejadian disedari kira-kira jam 8 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, penjenayah dipercayai lebih daripada seorang memecah masuk melalui pintu stor dengan memotong mangga sebelum menebuk dinding pejabat serta peti besi menggunakan mesin pemotong dan kemudian melarikan diri melalui laluan pintu sama.
Bagaimanapun, mereka dipercayai sudah merancang ‘pelan B’ untuk memboloskan diri jika dikesan polis berikutan penemuan seutas kabel diikat pada tingkap di aras dua premis berkenaan.

Menurut seorang pekerja enggan dikenali, kejadian disedari seorang kakitangan yang mahu memulakan tugas namun terkejut apabila mendapati pintu stor itu sudah terbuka dan memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan sebelum membuat pemeriksaan lanjut.


“Didapati penjenayah terbabit menebuk lubang pada dinding bilik khidmat pelanggan di aras bawah untuk masuk ke bilik juruwang yang mengandungi peti besi sebelum menebuk bahagian kunci peti besi itu dan melarikan wang kertas kira-kira RM100,000.

metro/-

Speaker: Palanivel ugut sedekah dari Umno

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Siapa akan mendapat jawatan Speaker Perak, menjadi satu lagi isu yang bangkit selepas PRU13 di mana beberapa pihak tertentu menaruh minat terhadap jawatan tersebut.

“Selepas ‘rampasan kuasa’ berlaku di Perak pada tahun 2009, Datuk R. Ganesan telah diangkat untuk menyandang jawatan tertinggi itu,” kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia masih ingat lagi bagaimanapun beliau selaku Speaker sah Dun Perak ketika itu diusung dan dikurung sebelum Ganesan menjadi Speaker.
Menurutnya, jawatan Speaker diberikan kepada wakil MIC, Ganesan semata-mata untuk menggantikan beliau supaya tidak timbul isu perkauman dan menjaga hati kaum India.

Baginya, kerajaan BN yang diterajui oleh Umno Perak tidak memberi jawatan itu kepada MIC dengan niat murni.

“Malah jawatan  itu diberikan kepada MIC dengan niat jahat supaya boleh dirampas daripada V.Sivakumar tanpa reaksi hangat daripada masyarakat itu,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Dalam kata lain, ujarnya MIC juga telah diperbodohkan oleh Umno dalam permainan kotornya untuk menipu masyarakat India.

Beliau berpandangan, Ganesan telah menjawat jawatan itu selama 4 tahun walaupun bukan dengan kerelaan Umno.


Baginya, MIC tidak boleh berbangga dengan jawatan itu kerana ia adalah sedekah yang diberikan oleh Pakatan Rakyat.

“MIC tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan jawatan itu untuk ahlinya. MIC tidak berani menuntut jawatan itu sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata, hanya selepas V.Sivakumar dipilih sebagai Speaker Perak, sekarang MIC menuntut haknya untuk jawatan itu, sungguh menyedihkan dan memalukan.


Katanya, akhbar-akhbar harian Tamil membawa tajuk utama bahawa Presiden MIC, Datuk Palanivel mengugut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengenai jawatan Speaker.

Bagi beliau, tindakan Palanivel mengugut Menteri Besar Perak supaya memberikan jawatan Speaker itu kepada MIC sungguh melucukan.

Palanivel memaksa Zambry dengan terma  'jika tidak memberi jawatan Speaker kepada MIC, maka parti itu tidak akan mengambil apa-apa jawatan  yang lain termasuk Penasihat MB'.



Katanya, ugutan Palanivel tidak berasas kerana beliau hanya berani menggugurkan jawatan-jawatan untuk MIC di Perak, tidak menunjukkan kesungguhan dalam tuntutannya.

“Beliau sepatutnya meletak jawatannya bersama dengan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri MIC, bukan sekadar mengugut Zambry untuk jawatan-jawatan kecil di Perak,” katanya.

harakahdaily/-

Jahit tanpa tangan

Foto
3 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Tumpat: Seorang warga emas berusia 63 tahun layak digelar orang kelainan upaya (OKU) istimewa kerana walaupun kudung kedua-dua tangan dan hanya mempunyai kaki kiri sejak lahir namun dia mampu menjahit lima pasang baju kurung sehari.
Fatimah Daud yang berasal dari Kampung Sungai Pinang dekat Palekbang di sini, berkata, walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda secara mengundur dan merangkak menaiki enam anak tangga rumahnya dia tetap gigih mencari rezeki halal tanpa mengharapkan ihsan orang lain.
“Setiap hari saya menjahit kerana inilah kebolehan yang boleh saya lakukan sejak 40 tahun lalu.

“Seingat saya, kebolehan menjahit ini tidak pernah dipelajari daripada sesiapa. Dulu saya pernah bekerja dengan seorang pemilik kedai berbangsa Cina di Pasir Mas tetapi terpaksa berhenti selepas menghadapi masalah kesihatan dan pengangkutan,” katanya.


Fatimah mengambil upah RM25 bagi sepasang baju kurung untuk menyara hidup.

harakahdaily/-

Jambatan runtuh: PM hanya bermain tweet saja

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -

BAYAN BARU: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin kesal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belum menjejakkan kaki meninjau sendiri keruntuhan Jambatan Kedua Pulau Pinang berdekatan Batu Maung beberapa hari lalu sebaliknya sekadar 'bermain tweet' sahaja, itupun hanya sekali sahaja.

Sikap yang ditunjukanya jelas, bukti ketidak perhatinan orang nombor satu negara terhadap petaka yang berlaku hasil 'hadiah' Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Pulau Pinang.

"PM sampai sekarang tidak turun lagi melihat sendiri keruntuhan penyambung Jambatan Pulau Pinang walaupun sudah berlaku beberapa hari.  Beliau hanya bertweet dalam tweeternya sahaja dengan perkataan 'authority will investigate tragic insident on penang bridge, let’s focus on rescue effort and pray for victims and their families', tegasnya.

Begitu juga Menteri Kerjaya, Datuk Fadilah Yusof serta Pengerusi Panel Penasihat Projek Persekutuan di bawah ICU, Teng Chang Yeow langsung tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Beliau menambah, sebuah akhbar, Sinar Harian dalam laporannya baru-baru ini memuji dengan melaporkan, hanya pemimpin Pakatan Rakyat yang turun padang meninjau kejadian itu dan cuba menyelesaikan permasalahan yang berbangkit.

Sim dalam kenyataanya juga mendesak Perdana Menteri menubuhkan segera 'Independent Technical Investigation Committee” dengan ketelusan dalam kuasa penyiasat, untuk menyiasat segala punca tragedi ini.

Sambungnya, ia perlu dianggotai oleh pakar-pakar teknikal yang terulung di negara ini mahupun dari luar negeri.  Jawatankuasa ini, katanya, harus mencontohi jawatankuasa yang ditubuh untuk tragedi Highland Tower sebelum ini.

Buat masa sekarang katanya, siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa adalah sulit dan tidak akan dipaparkan kepada rakyat melainkan di makhamah.

"Cepatkanlah tubuh Indenpent Technicial Investigation Committee dengan telus supaya mengesan punca kejadian kerana kelewatan akan menyukarkan pemulihan kepercayaan rakyat terhadap keselamatan jambatan kedua itu, " jelas beliau.

Rakyat Pulau Pinang sekarang mengalami krisis kepercayaan terhadap projek-projek kerajaan persekutuan setelah berlakunya beberapa kes projek persekutuan menghadapi pelbagai masalah seperti Stadium Kuala Terenganu runtuh dua kali, Hospital Shah Alam tidak dapat digunakan, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu yang berkuman, KLIA2 dan projek naik taraf Lapangan Terbang Pulau Pinang ditunda.


harakahdaily/-

Apakah benar pegawai SPRM kes Beng Hock kini di EAIC?

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Apakah benar satu-satu pegawai penyiasat yang dimiliki oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) adalah Mohd Nadzri Ibrahim, pegawai SPRM yang menebual Teoh Beng Hock sebelum kematiannya?


(Apakah benar satu-satunya pegawai penyiasat EAIC adalah pegawai SPRM yang menyiasat Beng Hock sebelum dia mati kini menjadi tandatanya)

Inilah isu yang sangat panas sekarang perhatian ditumpukan kepada EAIC yang telah menubuhkan pasukan petugas (task force) untuk menjalankan kajian semula mengenai Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) agensi-agensi penguatkuasaan yang telah mengakibatkan kadar kematian dalam tahanan yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa EAIC akan membuka siasatan ke atas kes N Dharmendran yang, mengikut laporan post-mortem, telah dipukul sehingga mati semasa dalam tahanan polis.

Sehingga kini, sudah berlaku sembilan kes kematian dalam tahanan pada tahun ini, dengan empat kes dalam tempoh dua minggu yang lepas termasuk kematian N Dharmendran.

Pasukan petugas EAIC yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian-kematian dalam tahanan, merangkumi enam orang pegawai EAIC, iaitu pengerusi Datuk Heliliah Mohd Yusof, pesuruhjaya Datuk Seri Robert Jacob Ridu, setiausaha Ahmad Razif Mohd Sidek, pengarah Foo Hui Yi, penasihat undang-undang Eda Mazuin Abdul Rahman dan pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim.

"Kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa pegawai penyiasat tersebut, Mohd Nadzri Ibrahim, merupakan bekas pegawai Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terlibat dalam kes mendiang Teoh Beng Hock," tulis Steven Sim Chee Keong, ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera dalam kenyataannya.

Mengikut laporan-laporan berita, Mohd Nadzri adalah pegawai yang telah merakamkan keterangan Teoh pada malam kematiannya. Malah, Majlis Peguam juga pernah menyarankan tindakan siasatan lanjutan diambil terhadap beberapa pegawai SPRM yang terlibat, termasuk Mohd Nadzri, atas tuduhan konspirasi jenayah, persubahatan serta mengusik bukti (tampering with evidence) dalam kes tersebut.

Mengikut laman web EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim tersenarai sebagai satu-satunya pegawai penyiasat dalam direktori EAIC ( http://www.eaic.gov.my/index.php/tutorials-mainmenu-48/bs ). 

Malah menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar, pegawai penyiasat EAIC telah diwarisi daripada SPRM. 

Pada masa yang sama, pencarian dalam direktori SPRM menunjukkan bahawa Mohd Nadzri Ibrahim sudah tidak lagi tersenarai, kata kenyataan mereka berdua. 

Maka, kemungkinan besar pegawai penyiasat tunggal EAIC Mohd Nadzri Ibrahim merupakan pegawai SPRM sama yang telah menyoal siasat Teoh Beng Hock sebelum kematiannya.

"Jika ini adalah benar, ini bermaksud bahawa seorang pegawai yang pernah terlibat dalam kes kematian dalam tahanan kini ditugaskan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan yang lain. Oleh itu, integriti EAIC sekali lagi menjadi persoalan besar.

"Memandangkan EAIC berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, kami menggesa Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak segera mengesahkan dan menjelaskan sama ada Mohd Nadzri Ibrahim daripada EAIC ini merupakan pegawai sama yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan Teoh Beng Hock dahulu. 

"Dan jika ya, Mohd Nadzri Ibrahim harus dilucutkan serta merta daripada pasukan petugas EAIC serta daripada semua siasatan kes-kes kematian dalam tahanan," kata mereka.


harakahdaily/-

Taklimat: DAP beri amaran keras kepada Teck Hwa

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa(gambar) tidak mematuhi arahan parti dengan menghadirkan diri di taklimat Parlimen semalam adalah satu tindakan yang telah melanggar disiplin parti.

Ketua Whip DAP, Loke Siew Fook berkata, pihak kepimpinan parti memandang serius terhadap perkara tersebut dan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Teck Hwa semalam untuk memberikan penjelasan kepada parti.

Bagaimanapun, jelasnya Teck Hwa telah memberikan penjelasan secara bertulis dan memohon maaf di atas tindakannya itu.

“Setelah berbincang dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, saya selaku Whip DAP akan memberikan satu surat amaran keras kepada Er Teck Hwa supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.

“Namun, memandangkan beliau telah mengakui kesilapannya dan memohon maaf secara terbuka, saya mengambil keputusan untuk tidak merujuk beliau ke Jawatankuasa Disiplin DAP,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Seremban dalam satu kenyataan.

Tegasnya, perkara itu perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada Teck Hwa dan semua Ahli Parlimen DAP supaya sentiasa bertindak secara kolektif dan mematuhi keputusan pucuk pimpinan parti dalam menjalankan tugas mereka sebagai Ahli Parlimen DAP.

harakahdaily/-

Maut kena bom ikan

Foto
3 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Semporna: “Pada mulanya saya sangka berlaku gempa bumi kerana gegaran sangat kuat sehingga saya berlari keluar dari rumah bersama ahli keluarga kerana khuatir rumah runtuh.
“Namun, saya terkejut apabila saya lihat rumah jiran sebelah berasap dan empat penghuni rumah berkenaan cuba keluar melalui tingkap rumah.
“Selepas berjaya keluar, mereka cuba mencari salah seorang rakan mereka dan akhirnya menemui lelaki itu terapung di bawah rumah,” kata Harlinah Abdul Hakim, 40, jiran kepada mangsa letupan bom ikan dalam kejadian di Kampung Air, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Attaulah Hukmat Khan, 35, yang tinggal bersama empat lagi rakannya di rumah berkenaan.


Empat lagi rakan mangsa berusia lingkungan 22 sehingga 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

metro/-