22 November 2008

Harga minyak menjunam bawah AS$50 setong

NEW YORK: Harga minyak mentah di pasaran dunia menjunam ke paras bawah AS$50 setong, sekali gus menyaksikan kemelesetan ekonomi dunia semakin meruncing.

Kontrak hadapan minyak mentah bermutu tinggi, “Light. Sweet’ bagi penghantaran Disember menurun AS$4 kepada AS$49.62 setong dalam dagangan elektronik New York Mercantile Exchange (Nymex) di Asia, petang semalam.

Ketika dagangan ditutup, penghantar kontrak Disember ditutup kepada AS$48.64 setong, paras sama pada Mei 2005.

Kontrok penghantaran tidak pernah di paras bawah AS$50 setong sejak 18 Januari 2007.

Kontrak New York turut memberi kepada pasaran minyak Brent North Sea untuk Januari di London.

Brent menjunam ke paras terendah AS$47.82 seting, turun AS$3.64 sebelum ditutup AS$48.08 setong.

Penganalisis berkata sentimen penurunan minyak mentah itu dipengaruhi dengan laporan mengenai tahap pengangguran di Amerika, pasaran terbesar dunia bagi bahan api. - AFP

Shahrizat sah cabar Rafidah

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Wanita Umno.

Beliau mengumumkan demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan petang ini.

Menurutnya, beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan.

Shahrizat merupakan naib ketua Wanita dan penasihat hal ehwal pembangunan wanita dan sosial kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau akan berdepan dengan Tan Sri Rafidah Aziz, tokoh ketua Wanita yang paling lama berkhidmat selama 21 tahun, sekiranya ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Pengumuman Shahrizat itu menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Peralihan kuasa

Ini berikutan desakan supaya Rafidah supaya mempercepatkan peralihan kuasa dari Jun kepada Mac depan.

Bagaimanapun, mesyuarat exco Wanita baru-baru ini memutuskan supaya pelan peralihan kuasa kekal pada Jun tahun depan dan tiada pertandingan bagi jawatan ketua dan naib ketua.

Bagaimanapun seorang lagi calon yang layak bertanding jawatan naib ketua, Datuk Kamilia Ibrahim bertegas akan tetap bertanding jawatan tersebut.

Kamilia mendapat 55 pencalonan dan layak bertanding jawatan naib ketua.

Ekoran itu, timbul desas-desus yang mengatakan Shahrizat tiada pilihan kecuali bertanding menentang Rafidah bagi jawatan ketua Wanita.

Dalam kenyataan dua perenggan itu, Shahrizat menegaskan bahawa Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan.

Sokongan padu

Dengan itu, Kamilia dijangka menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua.

Selepas 191 bahagian selesai mesyuarat awal bulan ini, Shahrizat memperolehi cukup pencalonan untuk bertanding jawatan ketua.

Penyandang jawatan tersebut Rafidah memperolehi 117 pencalonan, manakala Shahrizat mendapat 73 pencalonan.

Malah, sebahagian bahagian yang mencalonkan Rafidah pun kini beralih sokongan kepada Shahrizat.

Menurut exco pergerakan itu, Raja Ropiah Raja Abdullah, lebih 100 bahagian menyokong Shahrizat bertanding jawatan ketua Wanita Umno Mac ini.

Katanya, sekurang-kurangnya lima negeri memberi sokongan penuh kepada Shahrizat untuk mencabar penyandang Rafidah.

malaysiakini.

Gelanggang tinju Wanita UMNO bermula

Pengumuman Shahrizat itu menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.Keputusan ini pastinya membuka satu gelanggang tinju yang amat dasyat di kalangan dua tokoh wanita UMNO ini.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan yang dia sah akan bertanding jawatan ketua Wanita Umno. Beliau mengumumkan demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan petang ini.

Menurutnya, beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan. Beliau akan berdepan dengan Tan Sri Rafidah Aziz, tokoh ketua Wanita yang paling lama berkhidmat selama 21 tahun, sekiranya ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Sementara itu, Rafidah ketika diminta mengulas tentang keputusan Shahrizat itu memberitahu bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan esok.


“Kenyataan saya esok,” katanya menerusi jawapan SMS yang dikirim kepada mStar Online, sebentar tadi.


Keputusan beliau itu sekaligus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat pada Jun depan.


Dengan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.


Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan.


Nampaknya keputusan yang dibuat oleh Shahrizat itu bakal menjadi satu tamparan hebat buat Rafidah Aziz. Beliau yang masih mengintai jawatan Ketua Wanita UMNO dan hanya akan melepaskan jawatan menerusi pelan peralihan itu bakal ditentang oleh kroninya sendiri. Inilah politik namanya, kawan menjadi lawan.


Apakah Rafidah akan menangis lagi mengeluarkan air mata seperti ketika Mahathir umumkan perletakkan jawatannya dulu. Namun, kini terbukti Rafidah harus terima hakikat bahawa zamannya sudah berakhir. Beliau sepatutnya mengundur diri dan memberi kemenangan percuma kepada Shahrizat.


Bayangkan jika beliau masih menang, apakah jawatan itu akan dikosongkan? Atau beliau akan terus bertakhta dan kembali ke kabinet zaman Najib Razak nanti?. Inilah agaknya yang ditunggu, kerana beliau tahu Mahathir sudah pasti akan menariknya ke dalam jika Najib berkuasa nanti.-sumber SabahDaily(TranungKite)

21 November 2008

Peralihan kuasa sia-sia - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 20 Nov- Jika Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sia-sia sahaja peralihan kuasa, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Malah, beliau menjangka, para pengundi akan terus menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) jika para pemimpin barunya meneruskan polisi-polisi hari ini dan tidak bersungguh-sungguh memerangi rasuah dan politik wang.

"Najib menyatakan bahawa beliau akan meneruskan Islam Hadhari. Ini bukan petanda yang baik kerana ia menunjukkan peralihan yang berlaku hanya peralihan bentuk tubuh badan sahaja, bukan polisi-polisi.

"Para pengundi tidak suka polisi-polisi yang dibawa oleh Abdullah, oleh itu mereka akan terus menolak Umno. Oleh itu, peralihan itu sia-sia sahaja," The Star memetik beliau berkata dalam ucapan kepada para pemimpin dan ahli Umno, bekas-bekas menteri dan kumpulan-kumpulan pelajar Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dr Mahathir berkata, ketika Umno memerlukan pemimpin yang berani untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh parti, Najib hanya menjaga air muka Abdullah sahaja.

"Kita perlu berfikir sama ada orang yang mengambil alih kuasa dari Perdana Menteri akan membersihkan Umno dari mereka mereka yang kini terlibat dengan rasuah."Jika beliau berat sebelah dan tidak berlaku pembersihan, rakyat akan menolak parti itu. Jika mereka akhirnya memilih pembangkang, ia akan mengakibatkan dilema kepada kita kerana kepimpinan mereka tidak meyakinkan," katanya.

Ketika berdialog dengan mereka yang menghadiri perjumpaan itu, bekas Presiden Umno itu menegaskan beliau sanggup ditangkap polis demi mendedahkan nama mereka yang terlibat dengan rasuah politik di dalam Umno.Beliau berjanji akan mendedahkan nama mereka di dalam blognya, chedet.com

Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak takut mendedahkan kebenaran dan identiti mereka yang teerlibat dalam rasuah politik itu.

"Saya tidak boleh lakukan apa-apa terhadap aduan (rasuah politik) melainkan menyerahkan nama mereka kepada lembaga disiplin Umno. Saya akan dedahkan nama-nama (yang terlibat dengan rasuah politik) itu dalam blog saya."Saya tidak takut disaman kerana memfitnah atau ditangkap oleh polis. Jika mereka boleh membebaskan (Editor Malaysia Today) Raja Petra Kamarudin, adakah mereka tidak boleh membebaskan saya juga?"

Sebelum ini, pembantu Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, lembaga disiplin Umno bukan sebuah badan bebas dan tidak perlu membuat laporan kepadanya.cinaislam
sumber HarakahDaily

Jika Shahrizat lawan Rafidah, Kamilia dapat untung?

Perang antara kelompok Ketua Wanita Umno dengan Naibnya, masih berterusan, malah terbaru Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dikatakan bakal mengumumkan akan bertanding menentang ketuanya, Dato' Seri Rafidah Aziz Mac ini.

Dari sumber tertentu menyatakan esok (khamis) Shahrizat bakal membuat pengumuman tersebut yang sekaligus menamatkan Pelan Peralihan Kuasa Jun 2009.Sumber-sumber itu berkata Shahrizat juga didorong oleh keputusan anggota exco Wanita Dato' Kamilia Ibrahim untuk bertanding jawatan Naib Ketua yang disandang Shahrizat sekarang.

Kamilia berulang kali berkata beliau tidak menyetujui pelan peralihan Jun itu dengan alasan ia bertentangan dengan perlembangaan Umno."Malah pendirian tegas Datuk Kamilia itu tidak memberi pilihan kepada Datuk Seri Shahrizat selain daripada bertanding jawatan ketua Wanita Umno."Pada masa yang sama ia telah juga memudahkan beliau membuat keputusan itu," kata sumber-sumber itu.

Shahrizat, menurut sumber-sumber itu lagi, telah memberitahu keputusannya kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Rafidah buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu dan mesyuarat exco Wanita Umno minggu lalu mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan. Pelan peralihan itu juga dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak logik kerana jika Shahrizat mengambil alih jawatan daripada Rafidah pada Jun mengikut pelan itu, beliau akan hanya menjadi pemangku ketua Wanita sehingga pemilihan Umno yang diadakan tiga tahun selepas Mac depan.

Ramai yang menduga hal ini bakal berlaku, kerana Shahrizat sendiri hilang kekuatan untuk menempatkan diri di peringkat tinggi dalam Umno apabila kalah dalam pilihan raya umum lalu di tangan Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai. Sementara Rafidah memiliki kekuatan apabila menang di Parlimen Kuala Kangsar, dan sekaligus mempunyai 'resume' yang lebih tinggi meritnya berbanding Shahrizat.

Shahrizat hanya mendapat belas ihsan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjawat penasihat, sedangkan jawatan itu bukanlah point besar kepada 'resume' yang boleh dihidang kepada perwakilan wanita untuk memancing undi.Umum juga mengetahui, Shahrizat terpaksa menawarkan diri akhirnya untuk menentang Rafidah kerana dengan cara ini, beliau boleh meniti jawatan nombor satu dengan peluang 50-50.

Dengan tindakan agresif yang dilakukan seorang lagi calon Naib Ketua Wanita, Dato' Kamilia Ghazali yang sejak beberapa bula lalu menggesa Shahrizat bertanding, akhirnya hal ini bakal menjadi kenyataan.Kamilia seperti diketahui membuat serangan terhadap Rafidah dan menekan Shahrizat adalah untuk memastikan kerusi Naib Ketua dimenangi dengan mudah (tanpa bertanding).Hal ini sebenarnya merisaukan Shahrizat, kerana jika menentang Rafidah, beliau bakal hilang kerusi Naib Ketua dan peluang untuk menang Ketua Wanita samar kerana pastinya kelompk Rafidah akan berkempen bermati-matian mempertahan 'iron lady'.

Sementara jika akur dengan pelan peralihan kuasa Jun 2009, pastinya jawatan Ketua Wanita yang bakal diberikan kepadanya hanya berstatus 'pemangku' yang lansung tidak mempunyai pengaruh.Nah di sinilah kebijaksanaan Kamilia terserlah sebagai seorang peguam, beliau berjaya mendepani arus deras perteliangkahan dalam Wanita Umno dengan melakukan desakan bertali arus kepada Shahrizat supaya menentang Rafidah.

Akhirnya, jika benar esok Shahrizat membuat keputusan akan menentang Rafidah, Kamilia bakal diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua. cinaislam
sumber HarakahDaily

20 November 2008

ADUN Titi Serong sampaikan bantuan tambahan miskin tegar.

TITI SERONG, 19 Nov. :- Kerajaan negeri akan sentiasa melihat kesusahan rakyat yang berada di kampung tanpa mengira bangsa sesuai dengan konsep negeri berkebajikan yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri Perak pakatan Rakyat. Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa menyampaikan bantuan tambahan miskin tegar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri sebanyak 8 orang untuk kaum Tionghua di Kuala Bagan Tiang di sini hari ini.

Drs. Khalil sedang memberikan ucapan ringkas.

Hadir sama dalam majlis ringkas tersebut ialah Ketua Kampung, Hj. Bakhtiar dan beberapa pemimpin Kaum Tionghua setempat.
ADUN Titi Serong juga menerangkan beberapa dasar untuk membantu rakyat termiskin yang diluluskan dalam Sidang DUN yang lepas, antaranya beliau menjelaskan pada tahun hadapan kerajaan negeri akan memberikan sumbangan kepada keluarga simati sebanyak RM 1000 dikalangan warga tua 65 tahun ke atas dengan Takaful Kifalah yang diperkenalkan.

Sumbangan kepada seorang penerima wanita.
Seorang penerima diberikan bantuan makanan berupa beras, minyak masak, gula dan wang tunai sebanyak RM 100 setiap orang.

Drs. Khalil menyampaikan sumbangan kepada penerima lelaki.

ICT bukan satu pembaziran tetapi satu kebijaksanaan

LUMUT, 15 Nov :- Seorang mukmin dituntut untuk menjadi bestari termasuk dalam bidang ICT. malah ICT bukan satu perkara pembaziran dan remeh temeh tetapi ia suatu kebijaksanaan, demikan antara ucapan Pengerusi Lajnah IT PAS Pusat, Ust. Ghani Shamsuddin dalam Program Hari Keluarga JITP 2008 yang diadakan di Teluk Batik Beach Resort disini.



Tetamu kehormat dalam majlis tersebut ialah ADUN Titi Serong yang mewakili YAB Menteri Besar, Khalil Idham Lim. Hadir sama ialah Exco Kerajaan Kelantan, Che Abdullah Nawi.



Drs. Khalil sedang menyampaikan ucapan mewakili YAB MB Perak.


Ust. Ghani juga mengharapkan para pejuang Islam untuk memanfaatkan alat-alat baru dalam bidang IT.

Drs. Khalil semasa memberikan ucapan mewakili Menteri Besar Perak berharap semua pihak meningkatkan pengunaan IT demi untuk mempertahankan kemenangan yang telah kita perolihi.

Ust. Ghani Shamsuddin Pengerusi Lajnah IT PAS Pusat.


Menurutnya golongan muda sudah tidak berminat untuk membeli akhbar tetapi mereka lebih gemar membaca maklumat terkini dari internet. Sebab itulah keperluan ICT perlu diperhebatkan lagi untuk menarik sokongan semua pihak.

Susahnya nak turunkan harga barang !

Sekali sahaja harga minyak naik harga barang naik berkali-kali. Kenaikannya juga bersama naiknya gaji kakitangan awam suatu masa dulu. Bonus yang diberikan oleh kerajaan juga menyebabkan naiknya harga barang. Kesimpulannya yang saya dapat ambil betapa mudahnya harga barang boleh naik.

Yang menjadi mangsa adalah orang kampung yang pendapatan mereka tidak ada kenaikan jauh sekali dari adanya bonus. Kakitangan awam dan swasta yang mendapat kenaikan gaji dan bonus mungkin balik kepada asal bila gaji naik harga barangpun naik, seperti kata perpatah buat hasil balik asal.

Kelmarin harga minyak turun sekali lagi namun pihak berwajib nampaknya tidak ada kuasa untuk membantu rakyat untuk menikmati harga barang seperti sebelum kenaikan harga minyak yang mengila tingginya suatu masa dulu.

Cuma kedengaran akan diadakan kempen bermula dari pasaraya-pasaraya besar. Namun persoalannya bagaimana dengan penduduk kampong yang jauh dari pasaraya malah tidak pernah kakinya sampai kesana. ?

Bukan kah kita mempunyai kementerian yang bertanggung jawab mengawal harga barang. Bukankah kita ada menteri khusus berkaitan dengan harga barang.

Maka kita berhasrat untuk melihat rakyat keseluruhannya dibela . Kalau kenaikan harga barang sudah tidak mampu dikawal, sebenarnya amat sukar untuk menurunkan harga, tetapi tanggungjawab tetap tanggung jawab pihak berwajib untuk melihat keadilan ekonomi pasaran di Negara ini menguntungkan semua pihak antara penjual dan pembeli.

Kerajaan mesti bertegas dalam hal ini. cinaislam

Potongan PLUS tidak masuk akal ?

Pengumuman dari PLUS mengenai potongan harga tol sebanyak 10 % kepada pelanggan kelas 1 yang menggunakan lebuhraya Utara-salatan dan Elite nya mulai tahun depan sehingga 2010 adalah langkah yang saya anggap mesra pelanggan. Mengikut pengumuman itu pengunaan yang menggunakan lebuhraya tersebut dari 12 malam sehingga 7 pagi akan menikmati potongan tersebut.

Langkah ini adalah satu perkara yang dianggap sejarah di mana dalam keadaaan rakyat ingin melihat penurunan harga barang kesan dari penurunan harga minyak. Malah inilah kali yang pertama PLUS menurunkan harganya, dimana sebenarnya rakyat sangat takut dengan bayang-bayang kenaikan harga tol.

Apapun yang baik mengenai potongan itu saya sokong. namun yang menghairankan kenapakah hanya dikenakan kepada pengguna larut malam sahaja. Berarti setelah larut malam baru boleh melakukan kebajikan dengan harga yang murah kepada rakyat.

Sedangkkan manfaat yang banyak sebetulnya mahu dikecapi oleh pegawai-pegawai kerajaan, pekerja swasta dan sebagainya yang menggunakan Lebuhraya semasa bekerja diwaktu matahari masih memancar. Kalau sudah larut malam mana ada orang yang menjalankan urusan pejabat melainkan sekali sekala pergi mesyuarat diluar daerah. Itu pun beberapa kali dalam setahun.

Tersangat tidak wajar untuk menggalakkan pengguna melakukan perjalanan dilewat malam dan sebetulnya pada waktu itu lebih banyak berisiko kerana dalam keadaan mengantuk dan letih.

Adakah PLUS ingin memaksa orang untuk tetap memandu dalam keadaan orang lain sudah tidur nyenyak. Seterusnya mendedahkan rakyat kepada resiko kemalangan kerana hanya mengejar potongan 10 % sahaja.

Pada pandangan saya PLUS sudah mampu menurunkan harga tol untuk kesenangan rakyat, Namun nampaknya ia ingin terus menjadi penghisap darah dengan berlagak baik untuk rakyat dengan potongan yang tidak seberapa namun mengundang bahaya kepada rakyat Malaysia.cinaislam

19 November 2008

Shahrizat lawan Rafidah.

Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan membuat keputusan akan mencabar Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan parti, Mac depan. Berita ini nampaknya adalah kemuncak kepada masalah peralihan kuasa dalam pergerakan berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan Shahrizat sudah membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua pergerakan itu dan dijangka mengumumkannya, Khamis ini.

Laporan itu memetik sumber sebagai berkata, Shahrizat sudah memaklumkan keputusannya kepada Abdullah dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat Exco Wanita sebelum ini memutuskan pelan peralihan kuasa kepemimpinan pergerakan itu kekal pada Jun 2009, manakala jawatan Ketua dan Naib Ketua yang kini disandang Rafidah dan Shahrizat, tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Mac depan.

Bagaimanapun, Shahrizat mempertahankan pendiriannya supaya pelan peralihan kuasa itu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri pada Mac depan, manakala Kamilia tetap mahu bertanding Naib Ketua.

Shahrizat ketika dihubungi bagaimanapun berkata: “Tunggulah sehingga saya membuat pengumuman rasmi.”

Rafidah yang kini bercuti di Hong Kong, ketika dihubungi Bernama pula berkata beliau akan hanya mengulas perkara itu sekembalinya ke tanah air.

Abdullah dalam nada kecewa, berkata perebutan jawatan tertinggi dalam Wanita Umno mungkin berlaku berdasarkan perkembangan semasa pergerakan itu.

Sementara itu Najib pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Air Rantau Pasifik 2008, mahu sebarang keputusan yang diambil Wanita Umno kelak perlulah memastikan kewibawaannya tidak terjejas kerana ia akan turut memberi kesan kepada usaha pemulihan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Terdapat dua aliran dalam Wanita ketika ini iaitu ada yang mahu pelan peralihan kuasa dipercepatkan dan ada yang mahu ia kekal pada Jun 2009.

“Justeru, Wanita harus mencari penyelesaian melalui rundingan tetapi sekiranya tidak berjaya, terpulang kepada kedua-dua pihak untuk membuat keputusan.

“Bagaimanapun, apapun keputusan mereka kelak, diharap kewibawaan pergerakan Wanita Umno tidak akan tergugat kerana masalah ini,” katanya.

Kenyataan beliau nampaaknya sangat berhati-hati tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan.cinaislam

Kemelut Wanita UMNO : apa kesudahannya?

Perkembangan terkini kemelut dalam sayap kiri UMNO apabila sepuluh daripada 13 Wanita Umno Bahagian di negeri Pulau Pinang mahu peralihan kuasa ketua pergerakan itu dipercepatkan kepada Mac depan.

Serentak itu, mereka mahu penyandang jawatan, Rafidah Aziz mengetepikan kepentingan peribadi dengan menyerahkan jawatannya itu kepada Naibnya, Shahrizat Abdul Jalil. Perkara itu dinyatakan oleh 10 ketua wanita Umno bahagian.

Dalam perkembangan lain PM yang berada di Tashkent, Uzbekistan berharap Wanita Umno dapat menyelesaikan masalah berkaitan pencalonan jawatan penting dalam pergerakan itu menjelang Perhimpunan Agung Umno, Mac depan.

Beliau percaya pergerakan itu mampu mengatasi masalah berkenaan bagi memelihara perpaduan sayap Umno itu secara matang.

"Ketika ini saya tidak mahu berkata apa lagi, saya nak dengar dulu. Saya sebenarnya tidak mahu ganggu. Saya berpihak di sini, orang sana marah, berpihak di sana, orang sini marah, maklumlah semua nak suruh kita berpihak kepada dia.

"Kalau berpihak apa perasaan orang lain pula. Nampaknya sampai hari ini pun mereka tidak dapat menyelesaikannya sendiri," katanya pada wartawan Malaysia di sini, selepas mendengar taklimat mengenai operasi Petronas di sini, lewat petang semalam.

Ini adalah reaksi pertama Abdullah mengenai kemelut peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi pergerakan Wanita, Jun ini, membabitkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz; Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Exconya, Datuk Kamilia Ibrahim.

Mesyuarat Exco Wanita Umno sebelum ini memutuskan pelan peralihan kuasa kepemimpinan pergerakan itu kekal Jun depan, manakala jawatan Ketua dan Naibnya tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti, Mac depan.



Nampaknya Pak Lah sudah bersuara, kita tunggu apa pula komen dari Najib?cinaislam

Perasaan

“(orang-orang berakal iaitu) yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau berbaring dan memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia” (QS. Ali Imran: 191).

Sepatutnya kita bersyukur dianugerahkan perasaan, rasa seronok, sedih, gembira, lapar, dan berbagai rasa lain yang sengaja dilekatkan, karena Allah Maha Tahu bahwa manusia sangat memerlukankannya. Rasa lapar, misalnya, sengaja diberikan Allah karena manusia perlu teringat untuk mencari makanan yang diperlukan kan tubuhnya untuk bergerak dan sihat.

Namun tidak jarang, perasaan itu dibuang manusia dengan sombongnya. Rasa belas kasihan, misalnya, dihilangkan dari pemikirannya. Sehingga ia tidak lagi merasa kasihan ketika mendapati manusia-manusia lain sedang menanggung kesusahan. Akibat selanjutnya, ia menjadi berfikiran pendek dan dangkal. Fikirannya menjadi tidak mampu lagi menjangkau saat-saat yang mungkin terjadi di masa depan.

Padahal kalau Allah segera membalas kesombongan manusia, satu saja rasa dibuang Allah, manusia akan kehilangan kawalan diri. Dihilangkannya rasa kenyang, misalnya, manusia akan terus-menerus menghabiskan waktu hidup untuk memasukkan makanan ke tubuhnya. Bahkan tidak akan ada manusia yang tidak cakar-mencakar merebutkan apa saja yang boleh mengenyangkan perutnya. Sehingga dunia ini akan binasa dan tidak berkembang maju karena manusia tidak punya waktu untuk belajar dan mengembangkan ilmu.

Dari itu, bersyukurlah dengan menjaga baik-baik setiap rasa yang telah dianugerahkan Allah. Yakin lah bahwa setiap ciptaan Allah bermanfaat, meskipun belum semua ciptaan itu diketahui manfaatnya oleh manusia. cinaislam

Isu MB Perak 'rampas kamera' sengaja diputarbelit

IPOH, 18 Nov :- Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Perak, Misbahul Munir Masduki menegaskan isu Menteri Besar 'merampas' kamera wartawan sudah dijangka akan diputarbelitkan oleh media dengan tujuan jahat dan mencemar imej Menteri Besar.

"Seperti yang dijangkakan, media akan memainkan isu ini, peluang untuk memberi penjelasan tidak pula diberikan," ujarnya.

Menurutnya, beliau bersama Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim, dan Ustaz Nor Azli Musa dan seorang lagi kebetulan ada di tempat kejadian.

"Kami bersama Menteri Besar sedang makan tengah hari, tiba bila seorang yang tidak dikenali menghampiri Menteri Besar membawa surat meminta Haji Nizar menandatangani," jelas beliau sewaktu menceritakan kejadian sebenarnya kepada wakil Harakah baru-baru ini.

Pembawa surat itu kemudiannya memperkenalkan dirinya dan Menteri Besar membaca sepintas lalu dan seakan bersetuju menandatangani.

"Tetapi kami serentak mencelah, supaya tidak ditandatangani dulu dan meminta Menteri Besar lihat keseluruhan isi surat tersebut terlebih dahulu," katanya

Dalam masa sama katanya, kelihatan seorang jurufoto yang tidak dikenali sedang mengambil gambar dan beliau mengesyaki ini adalah suatu perangkap di mana nanti akan keluar gambar Menteri Besar menandatangani sesuatu yang boleh diambil kesempatan untuk memburuk imej Menteri Besar yang menandatangani sekeping surat yang tidak diketahui latar belakangnya di kantin.

"Menteri Besar menganggil jurufoto tersebut lalu bertanya dari akhbar mana, adakah ia telah minta kebenaran atau tidak mengambil foto, tetapi jurufoto tersebut semacam tidak ambil peduli," jelass Misbah. .

Kemudian beliau mendengar Menteri Besar memanggilnya sekali lagi dengan nada yang agak kuat sedikit, tetapi tidaklah sampai memanggilnya dengan suara yang kasar sebagaimana yang didakwa.

Menurut beliau lagi, Menteri Besar meminta rakaman foto tadi dibuang dan bagi mempastikan foto tersebut dibuang, Haji NIzar minta kamera tersebut diserahkan kepada Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim, yang duduk di sebelah beliau.

Kamera itu diserah semula kepada jurufoto itu dengan baik.

Beliau memberitahu pembawa surat tersebut supaya dalam urusan seumpama itu, supaya datang sendiri ke pejabat kerana surat itu akan rekodkan, satu salinan akan simpan dalam fail.

Dalam hal tidak berbangkit soal Menteri Besar sama ada Menteri Besar mahu tandatangani ataupun tidak.

"Pembawa surat tersebut faham, dan ternyata dia menyerahkan surat tersebut kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar di pejabat," katannya.

"Pagi esoknya, saya tengok surat tersebut sudah ada di atas meja Menteri Besar," jelas Misbah

Menurut beliau lagi, telahan mereka tepat, tidak sampai pun beberapa minit kemudian, suara seorang Adun Pembangkang yang sangat dikenali dari Kubu Gajah, tidak semena-mena membangkitkan isu ini di dewan dengan membuat pencelahan sewaktu seorang Adun lain sedang membahaskan Bajet 2009.

Adun Kubu Gajah telah menghentam Menteri Besar Perak kerana kononnya bertindak kasar kepada wartawan sedangkan Adun tersebut tidak berada di tempat kejadian, katanya.

"Walaupun ada beberapa orang Adun BN di kantin sewaktu kejadian tersebut berlaku, saya amat pasti Adun Kubu Gajah tidak ada di situ." jelas Misbah.

"Saya akan semak dalam kertas minit dewan apa yang diucapkan oleh Adun Kubu Gajah dan akan dedahkan dan siarkan di akhbar supaya para rakyat dapat menilai sendiri ucapannya, inilah perangai Umno-BN, mengambil kesempatan apa sahaja yang boleh dijadikan isu untuk memburukkan Menteri Besar dan kerajaan Pakatan Rakyat," katanya. cinaislam
Harakahdaily.

18 November 2008

Harga petrol, diesel turun lagi.

Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter berkuatkuasa esok.

Sehubungan itu, harga runcit petrol dan diesel adalah seperti berikut:

• Petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.15 seliter kepada RM2 seliter;

• Petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.90 seliter; dan

• Diesel dikurangkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.90 seliter.

Penurunan harga petrol dan diesel itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Ini merupakan kali kelima kerajaan menurunkan harga minyak petrol dan diesel.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak petrol dan diesel sebanyak 15 sen pada 31 Oktober lalu. cinaislam
malaysiakini

Kelebihan etnik bagi Khalil

SEBAGAI wakil rakyat berbangsa Cina yang mewakili Pas, Ahli Dewan Undangan negeri Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah, memiliki kelebihan tambahan untuk bergaul baik dengan pengundi bukan Melayu.

Dengan memeluk Islam 22 tahun lalu, Khalil yang fasih bertutur bahasa Mandarin, menggunakan kelebihan berbahasa itu dan latar belakang budayanya untuk menarik perhatian kaum bukan Melayu, terutama Cina kepada Pas.

Beliau berkata, walaupun Pas menang kerusi itu pada pilihanraya umum 8 Mac lalu, usaha masih perlu dilakukan bagi meningkatkan tahap penerimaan dan kefahaman di kalangan kaum bukan Melayu terhadap idealogi politik parti.

Walalupun kecil dalam bilangannya, beliau berkata, sokongan pengundi Cina dan India adalah penting memandangkan undi mereka membolehkannya meraih kemenangan.

Wakil rakyat berusia 44 tahun itu berkata, memenangi sokongan mereka juga penting bagi memastikan usaha seterusnya dapat dilaksanakan oleh kepimpinan parti supaya Pas boleh diterima baik oleh rakyat bukan Islam dan bukan Melayu.

Khalil juga berazam untuk mengembalikan semula kegemilangan daerah Kerian sebagai pusat pembelajaran Islam seperti yang berlaku pada 1970an dengan kehadiran banyak sekolah pondok.

Bagi mencapai hasrat itu, beliau kini sibuk mengenalpasti tapak sesuai bagi tujuan pembinaan sekolah pondok di daerah terbabit.

Sebagai usahanya dalam mempromosikan cara hidup Islam, beliau juga melantik pegawai khas untuk memantau program di masjid dan surau bagi menambah bilangan jemaah di kedua-dua rumah ibadat bagi umat Islam itu.

Prihatin dengan kekurangan calon berlayakan bagi mengisi jawatan imam, beliau berkata, permohonan sudah dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam untuk mencari jalan dengan melatih dan menggalakkan generasi muda mengambil alih tugas itu daripada imam yang sudah uzur.

Bercakap kepada Perak News Online baru-baru ini, bekas guru itu berkata, beliau juga baru membuka pusat khidmat Adun di Taman Wawasan Jaya, dekat Parit Buntar.

Bagi membasmi kemiskinan di Titi Serong, Khalil menunjukkan beliau begitu bersungguh-sungguh dalam perkara itu dengan menubuhkan yayasan khas untuk menjaga kebajikan ibu tunggal yang tua, sakit dan terbiar.

Beliau juga berusaha gigih dengan memperkenalkan strategi bagi membantu rakyat miskin tegar memulakan perniagaan kecil-kecilan dan memastikan mereka yang tinggal dalam rumah yang uzur mendapat bantuan kewangan untuk membaiki rumah.

Mengenai pembangunan sosial, beliau bercadang untuk mengaktifkan semula semua badan bukan kerajaan (NGOS) tempatan di Titi Serong dan menggalakkan penyertaan golongan belia dalam khidmat komuniti bagi mengelak mereka terjebak dalam aktiviti negatif.

Menyentuh isu lain, wakil rakyat itu berkata, masalah banjir kilat di Taman Setiawangsa dijangka dapat diatasi tidak lama lagi kerana kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi memperbaiki sistem perparitan di situ.

Katanya, beliau juga sedang berusaha mendapatkan campurtangan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah sistem letak kereta yang dipraktikkan oleh Majlis Daerah Kerian.

Tindakan Majlis Daerah katanya, menimbulkan kemarahan rakyat kerana mengenakan bayaran letak kereta kepada pengguna di Parit Buntar tetapi pada masa sama membenarkan pengguna di Bagan Serai meletak kereta secara percuma.

Sementara itu, pesara, Ahmad Tajuddin Hawari, 69, dari Taman Kerian, berkata Pas perlu memenuhi janji yang ditetapkan pada manifesto pilihanraya iaitu mewujudkan negeri kebajikan dan memastikan rakyat miskin dan kurang bernasib baik menerima bantuan sewajarnya.

Beliau berkata, kemampuan kerajaan negeri untuk memenuhi janji itu akan membuktikan Pakatan Rakyat yang menerajui Perak sememangnya meletakkan kebajikan rakyat sebagai perkara utama dalam pemerintahannya.cinaislam