15 November 2009

Tembok bangunan SUK Perak runtuh

Tembok bangunan Perak Darul Ridzuan yang turut dikenali sebagai bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Ipoh runtuh selepas hujan lebat malam kelmarin (Jumaat) menyebabkan sebahagian Jalan Istana ditutup kepada lalu lintas.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira 9 malam itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim berkata sebahagian tembok sepanjang kira-kira 24 meter dan setinggi 2 meter itu dipercayai runtuh akibat tekanan air.

Bercakap kepada pemberita semasa meninjau kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau berkata siasatan awal mendapati longkang di sebelah tembok berkenaan tersumbat dan air yang bertakung telah menolak tembok itu.

Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000, katanya.

Bangunan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan DUN Perak itu dirasmikan pada 2000.

Sementara itu Blogger Al Husseyn mengesahkan dalam blognya tembok bangunan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak memang runtuh dan menganggap mungkin membawa pertanda yang tidak baik bagi kerajaan Zambry.

Katanya lagi berita-berita perebutan kuasa sesama mereka mulai bertiup sepoi-sepoi bahasa.Bila menjadi ribut yang kencang nanti, terbongkarlah sauh, belayarlah Zambry bersama tongkang...

Bajet Perak: Bentang 20 minit, jangan terkejut habispun 20 minit

Harakahdaily
KAMPAR, 14 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan rakyat Perak agar jangan terkejut jika kerajaan negeri yang ada menghabiskan Bajet Perak 2010 dalam masa 20 minit sahaja.

"Jika Umno mampu meluluskan bajet dalam masa 20 minit, maka mereka juga mampu untuk menghabiskannya dalam masa 20 saat sahaja," katanya.

Mahfuz berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis ceramah dekat sini.

Beliau mengulas perbentangan Bajet Perak 2010 dalam masa 20 minit sahaja dalam sidang yang kecoh baru-baru ini.

Bagi beliau, kerajaan negeri Perak yang ada adalah penyamun yang mana ia sama sepertimana ketika mereka mahu merampas Negeri Perak dahulu.

"Umno ini sebuah parti politik yang idak bertamadun apabila corak pentadbiran mereka itu seolah-olah membawa dan menjadikan rakyat yang ada semakin mundur dan kurang cerdik.

"Mereka juga menonjolkan satu pemikiran yang kuno dengan menyatakan bahawa kekuatan fizikal itu adalah yang sewajarnya. Sedangkan pada zaman yang semakin maju ini kreativiti dan pemikiran secara inovasi itu sepatutnya yang diberikan kepada rakyat dalam menjadikan mereka golongan yang mampu berfikir dalam soal pentadbiran negara," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa Umno sebenarnya berpolitik berasaskan kepada kepentingan diri dan imej mereka semata-mata tanpa memikirkan nasib dan masa depan Rakyat di Negara ini," katanya.

Dalam majlis itu, Ketua Penerangan PAS Perak, Khalil Idham Lim menyatakan, selepas sahaja Zambry membentangkan Budjet Negeri Perak,Beliau telah diundang oleh Astro Awani untuk berdebat dengan Zambry dalam isu Budjet Negeri Perak.

Namun beliau menyifatkan ia sebagai perangkap kepada PR yang mana sekiranya beliau menerima pelawaan tersebut ia membuktikan bahawa Budjet Coca-Cola Zambry telahpun diterima oleh Adun-Adun PR yang lain dan ia sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh pihak Umno bagi mengaburi mata Rakyat.

Kemiskinan tidak selesai selagi Umno jadikan mereka umpan

Hashim Abdullah

BENTONG, 14 Nov: Masalah kemiskinan yang berlaku dalam negara ini tidak mungkin dapat diselesaikan kerana pemimpin Umno mahu menjadikan golongan ini sebagai umpan pilihanraya bagi mengekalkan sokongan kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang..

Berucap pada ceramah anjuran PAS Kawasan Bentong, di Markaz PAS Bentong, dekat sini, baru-baru ini Abdul Hadi kesal walau pun negara mempunyai sumber kekayaan yang banyak tetapi ianya berlegar di kalangan orang kaya dan orang politik yang berkuasa.

“Harta negara ada berbilion-bilion tetapi harta negara berpusing di kalangan orang kaya dan orang politik. Tetapi apa yang berlaku hari ini orang yang sudah lama miskin tidak dapat dibebaskan dari kemiskinan, maka datang pula miskin yang baru, tak selesai.

“Umno suka orang miskin kerana senang mereka nak beli undi. Mereka beri bantuan kepada orang miskin cara subsidi ini tak betul, sepatutnya mereka ada perancangan untuk membebaskan rakyat dari kemiskinan,” katanya.

Presiden PAS itu turut menyatakan kekesalan atas penyelewengan dan rasuah yang berlaku yang menyebabkan negara kehilangan kewangan dalam jumlah yang besar sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

“Apa yang berlaku kepada PKFZ, KWSP, Petronas adalah penyelewengan yang besar. Apa yang berlaku keatas isu ini kekayaan negara berpusing di kalangan orang kaya dan orang politik,” katanya.

Antara hadiah pergi haji di Kelantan dengan hadiah jambatan runtuh di Perak

Sehari dua ini gencar berita kononya Tok Guru dikaitkan dengan pergi haji dengan hadiah atau sponsor dari syarikat atau individu tertentu sehingga Tok Guru mengambil keputusan yang saya kira paling tepat dengan membatalkan pemergian itu walaupun tidak ada siapa yang berhak menghalangnya seperti yang sipertahankan oleh banyak pihak termasuklah PAS Kelantan.

Alangkah mulianya memberi hadiah sehingga orang boleh pergi menunaikan haji apa lagi dia adalah Tok Guru yang kita sayangi. Namun sebaliknya berlainan pula dengan hadiah di Perak.

Pemberian hadiah kepada Kementerian Pendidikan/Pejabat Pendidikan Daerah dalam bentuk jambatan di SK Kuala Depang Kamp-ar perak oleh sebuah syarikat yang telah dapat dikesan namanya adalah pemberian hadiah yang nampak mulia tapi jelas berunsurkan rasuah dan berkempentingan dalam kementerian itu.

Tambahan pula pemberian hadiah itu walaupun bernama jambatan bagi saya semacam satu perangkap maut dan terbukti telah mengorbankan 3 pelajar India di perak yang kita sama-sama tangisi pemergiannya.

Bayangkan jambatan yang dihadiahkan dikatakan layak untuk digunakan untuk pelajar menyeberang seramai 6 orang dalam satu-satu masa sedangkan pelajar yang terlibat dengan kem 1Malaysia itu hampir 300 orang.Bukankah ini perangkap maut ? Dua minggu sudah siap sudah runtuh dan mengorban nyawa.

Demikianlah BN apa yang dibuat semuanya baik walaupun memangsakan rakyatnya sendiri, namun kalau yang dilakukan oleh pakatan Rakyat dan PAS termasuk ada yang rela hati menaja Tok Guru pergi haji dengan ikhlas tanpa apa-apa kepentingan jadi salah dan sengaja diperbesar-besarkan.

Saman Sivakumar ditolak

IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Pakatan Rakyat , V Sivakumar gagal dalam samannya terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang menyalahgunakan kuasanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 3 Mac lalu.:

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi 4, Tarmizi Abdul Rahman membuat keputusan menolak dengan kos saman itu, selepas mendengar hujah kira-kira dua setengah jam dalam perbicaraan dalam kamar, semalam.

Sivakumar diwakili oleh Cheang Lek Choy manakala Dr Abdul Rahman diwakili oleh Penasihat Undang-undang Kerajaan Perak, Datuk Ahmad Kamal Shahid dan Timbalannya, Zulqarnain Hassan.

Bagaimanapun, peguam kedua-dua pihak enggan memberi sebarang kenyataan akhbar.

Pada 27 Ogos lalu, Sivakumar memfailkan saman terhadap Dr Abdul Rahman Hashim kerana menyalah gunakan kuasa dengan menghalang beliau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (:ADUN) memasuki DUN.

Sivakumar sebagai plaintif turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang Abdul Rahman selaku defendan, ejen atau pekerja defendan daripada menafikan hak plaintif untuk memasuki dan menggunakan DUN serta menjalankan tugas sebagai Yang Dipertua DUN yang sah.

Plaintif juga mengemukakan tuntutan ganti rugi teruk, ganti rugi contoh yang didakwa dialaminya ketika cuba menghadiri dan memasuki DUN pada 3 Mac lalu, selain kos atau bayaran lain dianggap sebagai adil dan saksama oleh mahkamah.

Pemuda Pas selar dakwaan derhaka terhadap Nizar

IPOH - Dewan Pemuda Pas Negeri Perak menyelar tuduhan derhaka terhadap Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang pernah menjadi polemik bahawa Pas tidak taat atau menerima Perlembagaan Negara.

Naib Ketuanya, Salman Saleh berkata, tuduhan itu dibuat ekoran Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang dilaporkan oleh media satu ketika dahulu bertindak melafazkan sembah derhaka kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah disebabkan enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut kerana antara lain perkara yang ditekankan oleh Pas adalah supaya ahli-ahlinya taat dan mematuhi Undang-Undang serta Perlembagaan Negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurutnya, Pemuda Pas Perak yang diberikan kesempatan merafak sembah kepada Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah pada 14 Julai lalu di Istana Raja Muda Perak, Ipoh turut dijemput menghadiri Majlis Berbuka Puasa pada 13 September 2009 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Katanya, ini membuktikan bahawa hubungan Pas dengan Istana adalah baik dan terjalin mesra.

Katanya, Pemuda Pas yakin segala tohmahan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu dilihat sengaja mahu merosakkan hubungan antara Pas dengan istana dan ia akan dibuktikan apabila keputusan Mahkamah Rayuan yang akan diumumkan kelak.

Keputusan berkenaan katanya, penting kerana sudah tentu Nizar akan terus memberikan kerjasama kepada raja pemerintah kerana ianya sebahagian daripada Perlembagaan Negara.

Justeru, Pemuda Pas meminta seluruh rakyat menumpukan keputusan yang bakal diumumkan oleh Mahkamah Rayuan berkaitan kedudukan Menteri Besar yang sah nanti.

Pihaknya juga amat yakin bahawa semua pihak akan menerima keputusan ini tanpa bersikap prejudis dan tidak akan cuba mencetuskan perkara yang akan menggugat keselamatan negara. Sinar Harian/-

Banjir Di Perak Beransur Pulih Hanya 64 Mangsa Di Pusat Pemindahan

IPOH: Keadaan banjir di Perak beransur pulih dengan hanya 64 mangsa daripada 14 keluarga dari Kampung Lembah Keluang, Selama, 125 km dari sini, yang masih berada di pusat pemindahan sehingga 6 petang tadi.

Jurucakap Polis Bilik Gerakan Balai Polis Selama berkata seramai 35 orang telah dibenarkan pulang ke rumah masingmasing hari ini.

Mangsa yang dibenarkan pulang membabitkan penduduk Kampung Tebing Tinggi, Kampung Bertam dan Kampung Chin Ahlau selepas air di kampung tersebut mulai surut tengah hari tadi, katanya ketika dihubungi hari ini.

Seramai 191 mangsa banjir dari daerah Selama telah dipindahkan sejak pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi tadi berikutan kampung mereka dinaiki air lebih satu meter.

Kelmarin, lebih 150 penduduk beberapa buah kampung di Lenggong, Hulu Perak turut dipindahkan selama sehari selepas beberapa kawasan rendah dinaiki air sehingga satu meter.

Sementara itu, Jalan Selama Bagan Serai yang ditutup sejak semalam selepas dinaiki air lebih satu meter masih ditutup kepada semua lalu lintas petang ini. BERNAMA

Harian Metro vs Kosmo : Berita sama tapi beza

Oleh : Saran mehzalan

Monday, November 9, 2009
Hari ini saya membeli dua surat khabar serentak kerana ada sebab yang menarik.

Mulanya saya hanya membeli surat khabar Kosmo sahaja. Kemudian entah macam mana terdetik untuk membaca berita yang sama di akhbar harian metro online.Mulanya tidak perasan, tapi terus terfikir.

"Eh... tadi masa baca kosmo tadi tak ada la pulak..."

Terus saya membeli harian Metro untuk kepastian. Sah memang berbeza. Selain daripada fakta umur (Kosmo tulis lelaki berumur 75, tetapi Harian Metro tulis 81 tahun), ada satu lagi perbezaan yang agak mengejutkan.

Gambar di atas diambil dari surat khabar Kosmo bertarikh 10 November 2009. Manakala gambar di bawah pula diambil dari surat khabar Harian Metro pada tarikh yang sama. Dapatkah anda melihat perbezaan tersebut?

Untuk gambar yang lebih jelas sila layari http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20091110070639/Article

Saya tidak tahu dan pasti apakah motif akhbar Kosmo 'menghilangkan' imej tersebut. Ini bukan berita politik dan tidak ada kena mengena dengan politik dan orang ramai pun tidak terfikir untuk mengaitkannya dengan politik. Tetapi bila isu sebegini berlaku maka kemungkinan orang ramai akan mempertikaikan kredibiliti akhbar dalam melaporkan sesuatu berita.

Wallahu'alam.




Berpakaian tetapi telanjang

http://bawangorengn/ et.blogspot. com

Kita berpakaian untuk melindungi tubuh, untuk nampak lebih berketerampilan, juga sebagai melaksanakan sunnah yang dianjurkan Islam. Namun tidak semua konsep berpakaian menepati syariat, malah ada ketikanya ia mendatangkan ‘bala’ pula kepada kita. Ini sama seperti pesan Rasulullah lewat hadis baginda;

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ada dua macam penghuni neraka yang kedua-duanya belum kelihatan olehku. Pertama, kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang lain. Kedua, wanita yang berpakaian tetapi sama seperti telanjang (kerana pakaiannya tidak menutup aurat, nipis dan mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dilihat bukan muhrim) dan wanita yang mudah dirayu dan juga suka merayu. Wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh.” (Sahih Muslim)

Salah satu budaya malang yang menimpa wanita Islam dewasa kini ialah budaya berpakaian tetapi telanjang. Kebanyakan wanita hari ini berpakaian mengikut fesyen walaupun ada sesetengah fesyen yang dikenakan amat bertentangan dengan syariat Islam. Ada sesetengah wanita pula menyangkakan bahawa dengan bertudung, mereka sudah menutup aurat, sedangkan apa yang mereka sarungkan di tubuh badan mereka hanyalah pakaian yang nipis melayang ataupun yang ketat dan sendat seperti nangka dibalut dan nampakkan segala-galanya. Ada juga yang menenakan tudung tetapi menampakkan lengan (short sleeve). Sesetengahnya pula berbaju pendek/singkat hingga menampakkan seluar dalam, bentuk ‘V’ line dan lurah ‘bumper’ mereka.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Aisyah r.a. bahawa ketika Asma’ binti Abu Bakar r.a. bertemu dengan Rasulullah SAW, ketika itu Asma’ sedang mengenakan pakaian tipis, lalu Rasulullah SAW memalingkan muka seraya bersabda, “Wahai Asma’! Sesungguhnya, jika seorang wanita sudah sampai masa haid, maka tidak layak lagi bagi dirinya menampakkannya, kecuali ini ...” (baginda mengisyaratkan pada muka dan tangannya).

Kenapa wajib menutup aurat? Jawapannya ada dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Hai Nabi katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan istri-istri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Ahzab [033], ayat 59)



Ciri-ciri pakaian Muslimah :

Tudung mestilah labuh menutupi dada dan tidak jarang/nipis
Baju mestilah labuh dan longgar
Lengan baju panjang sehingga pergelangan tangan
Kain/seluar yang dipakai mesti panjang sehingga ke buku lali (mata kaki)
Kasut yang tidak berbunyi (sekiranya hendak memakai kasut yang bertumit tinggi, pastikan tumitnya diperbuat daripada getah)
Memakai sarung kaki

Dalam urusan berdandan atau berhias-hiasan bagi golongan isteri juga haruslah dilakukan menepati syariat seperti mendapat izin suami terlebih dahulu. Ini ditegaskan Rasulullah SAW seperti yang diceritakan daripada Asma Abu Bakar mengenai seorang wanita yang datang bertanya kepada Rasulullah, “Saya mempunyai kemusykilan. Berdosakah kalau saya berdandan dengan harta suami yang belum diberikannya kepada saya?” Balas Rasulullah SAW, “Orang yang berdandan dengan apa yang belum diberikan suaminya, sama dengan memakai dua helai baju palsu (penuh dosa).” (Sahih Muslim)

Renung-renungkan!

Tangisan Tok Guru...

Mr. President

"Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia,"

"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini,"

"Saya tidak pelahap sangat untuk pergi ke Makkah dengan ditaja, saya pun ada duit sendiri,"

Itulah keluhan-keluhan Tok Guru semasa kuliah pagi Jumaat di Dataran Ilmu Kota Bharu (13/11/09). Tergamak sungguh Quraisy Malaysia berusaha menghalang dan memberi tekanan kepada pemimpin Islam di Kelantan ini. Laman Nurani mengecam tindakan 'Quraisy Malaysia' tersebut.

Sejarah Abu Jahal dan kafir Quraisy Mekah kembali berulang. Jika di zaman Rasulullah, baginda telah dihalang oleh puak-puak Kafir Quraisy untuk memasuki Kota Mekah bagi mengerjakan ibadah haji, namun kini watak yang sama juga cuba mengahalang seorang pemimpin Islam untuk mengerjakan ibadah haji.

Sungguh kejam dan kejinya Quraisy Malaysia ini. Subhanallah. Tok Guru menangis lagi. Tergamakkah kita melihat seorang Tok Guru bersedih atas tindakan kita sendiri? Cubalah kita fikir. Jika Tok Guru bersedih atas tindak tanduk musuh dan orang bukan Islam, itu memang lumrah. Namun kini, Tok Guru bersedih disebabkan tekanan yang dilakukan oleh orang Islam sendiri. Cuba bayangkanlah, 'anok beranok kita' krenat ko kita?

Bersabarlah Tok Guru, kami akan sentiasa bersama Tok Guru. Janji Tuhan Pasti Berlaku!!!.

Nik Aziz batal hasrat ke tanah suci

KOTA BHARU, 13 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji ke tanah suci 18 November ini.

Menurut laporan, Nik Aziz mengumumkan perkara itu sewaktu menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu pagi tadi.

Perkembangan terbaru itu didakwa ada kaitan dengan serangan pihak tertentu yang mempolemikkan tajaan untuk beliau mengerjakan haji.

Namun difahamkan, Nik Aziz tidak menyatakan sebab sebab pembatalannya itu dan hanya menyatakan beliau dan menantunya telah di fitnah dan di khianati.

PAS Kelantan sebelum ini mempertahan Nik Aziz yang menerima tajaan tersebut kerana menganggapnya biasa berlaku kepada orang alim dan guru-guru pondok di negeri itu.

Mereka juga yakin, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membangkitkan isu itu adalah sekadar mencari modal politik.

Tuan Guru berkata, pemergiannya ke tanah suci yang dijadual pada 17 Nov ini ditangguhkan kerana media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu yang didakwa mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai menteri besar.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS berkata laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

"Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia," katanya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Kota Bharu hari ini.

Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya.

"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nik Aziz mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Mekah.

Harakahdaily/-

14 November 2009

Mustafa sambut baik cadangan Nik Aziz jadi ketua Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Cadangan Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim agar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi ketua atau pengerusi Pakatan Rakyat pertama mendapat sokongan dari Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa mengakui bahawa Nik Aziz adalah antara ikon penting yang mengikat parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan jika cadangan Zaid itu boleh diterima oleh lain-lain pimpinan Pakatan, beliau menyokong cadangan itu.

"Bagaimanapun ia hendaklah mendapat sokongan dari semua pimpinan Pakatan terlebih dahulu," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Datuk Zaid dalam blognya mencadangkan agar Nik Abdul Aziz menjadi ketua atau pengerusi Pakatan Rakyat.

Dalam poll yang dibuat oleh NTV7 malam ini, siapa yang sepatutnya memimpin Pakatan, Nik Aziz mendapat 44%, Datuk Seri Anwar 43%, Lim Kit Siang 17% dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi 6%.

(Gambar: Datuk Zaid calonkan Nik Aziz sebagai ketua Pakatan Rakyat)

"Untuk menjayakan usaha ini, ia memerlukan “pengorbanan” dari (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. (Datuk Seri Tuan Guru) Abdul Hadi Awang juga boleh membuat sumbangan besar dengan meminta Tok Guru Nik Aziz untuk menjadi Ketua atau Pengurusi kepada Pakatan Rakyat; sama seperti Mahatma Gandhi yang menjadi “spiritual leader” kepada parti Kongres India.

"Lim Kit Siang pula boleh membuktikan semangat “statesmanship” dengan bersetuju dengan cadangan ini serta menjadi penasihat dalam hal-hal demokrasi dan hak asasi. Sekali gus tindakan ini akan melenyapkan sebarang agenda “unity government” dengan UMNO," tulis Zaid dalam blognya.

Sebelum ini, Zaid bersama lima lagi pemimpin Pakatan iaitu dua dari setiap parti mendaftarkan secara rasmi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti politik dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Zaid telah dinamakan sebagai pengerusi protem itu.

"Satu wadah politik yang bernama Pakatan Rakyat Malaysia telah pun dikemukakan permohonan untuk kelulusan Pendaftar Pertubuhan 10 hari yang lalu.

"Saya amat gembira dengan perkembangan ini; maklumlah ini adalah julung kali tiga parti pembangkang terbesar di tanah air kita bersetuju untuk bersatu di bawah satu kerangka yang sah serta mempunyai lambang dan matlamat perjuangan politik yang satu," tulis Zaid dalam blognya.

Dalam tulisannya itu, Zaid juga mencadangkan agar Tengku Razaleigh Hamzah dilibatkan dengan Pakatan Rakyat.

Para pemimpin Pakatan sepatutnya berusaha lebih gigih dan bersungguh-sungguh supaya pemimpin politik seperti Tengku Razaleigh Hamzah masuk gelanggang bersama-sama dengan mereka, tulis Zaid.

Pasukan Pakatan tentu masih memerlukan beberapa orang ’striker’ lain dari yang ada sekarang untok memperkuatkan pasukan. Ku Li memang orang lama; tetapi ada integriti dan pandangan politik nya kontemporari, tulisnya.

Menurut Zaid, beliau tidak semestinya melompat parti kerana perjuangan untuk matlamat yang sama boleh diwujudkan melalui kerjasama yang lebih rapat.

Ini boleh dilakukan dengan mengadakan ceramah dan kempen bersama, katanya.

"Saya sedar Ku Li masih mempunyai impian untuk memulihkan UMNO, iaitu menghidupkan semula UMNO asal yang telah mati (dan kemudiannya menjadi alat untuk kroni-kroni parti dengan masalah politik wang dan rasuah). Bagi saya tidak ada salahnya kerjasama seperti itu kerana hasrat bersama kita ialah membuat pembaharuan ke arah sistem pemerintah yang bersih, cekap dan tidak rasuah," tulisnya lagi.

Dalam tulisannya, Zaid mempunyai pandangannya tersendiri dalam usaha Pakatan Rakyat untuk mengembangkan sayapnya di Sabah dan Sarawak.

"Realiti politik menunjukkan ia adalah usaha yang amat berat. Kesan buruknya sudah pun kelihatan sekarang apabila berlaku perebutan kerusi, sama seperti dalam pilihan raya umum 2008.

"Hakikat politik juga menunjukan bahawa adalah lebih baik jika Pakatan memainkan peranan dengan memberi sokongan padu kepada parti-parti tempatan yang sehaluan dengan Pakatan di Sabah dan Sarawak.

"Ini bukan sahaja langkah yang dilihat sebagai menghormati maruah dan kekuatan orang tempatan tetapi juga membawa kepada kesan yang lebih besar, iaitu membawa mereka bersama menjadi rakan kongsi dalam Pakatan. Bukankah ini lebih realistik?" tulis Zaid.

Yang penting, bagi beliau adalah untuk menjadi ikatan kuat dalam Pakatan ialah kesanggupan semua pihak untuk bersetuju tanpa berdolak-dalik untuk memastikan wujudnya dasar-dasar negara yang baik dan dipersetujui bersama melalui perbincangan sebagai landasan perjuangan.

"Hanya gabungan besar atau “grand coalition” seperti ini mampu mengatasi gergasi BN," katanya.

"Sebaliknya jika para pemimpin besar ketiga-tiga parti ini masih lagi merasakan mereka sudah cukup kuat dan hebat, dan memadai dengan meneruskan cara lama, iaitu melalui pakatan pilihan raya atau “electoral pact” semata-mata, saya yakin impian ke Putrajaya hanya akan kekal sebagai mimpi di siang hari," tulisnya lagi.
Harakahdaily/-

Encik Dong Guo dan Serigala Zhongshan

Encik Dong Guo ialah seorang cendekiawan kolot yang terlalu asyik membaca buku. Menurut ceritanya, pada suatu hari, dia membawa seekor keldai dan sebuah beg yang berisi buku, menuju ke Negeri Zhongshan untuk mencari peluang kerja dengan kerajaan tersebut. Dalam perjalanan, tiba-tiba, seekor serigala yang cedera melompat ke depannya dan merayu, "Encik, saya sedang dikejar oleh seorang pemburu. Saya terkena anak panah, yang hampir meragut nyawa saya. Tolonglah sembunyikan saya ke dalam beg itu. Budi baik encik akan saya balas suatu hari nanti." Encik Dong Guo tentu mengetahui bahawa serigala ialah sejenis binatang yang buas.

Bagaimanapun, dia berasa kasihan kepada serigala yang cedera itu. Selepas berfikir beberapa ketika, dia memutuskan untuk menolong serigala itu, lalu menyuruhnya menggulungkan badan, dengan kepalanya diletakkan di antara kedua-dua lutut. Lalu, dia menggunakan seutas tali untuk mengikat serigala itu supaya badan serigala itu muat-muat untuk diletakkan ke dalam beg berisi buku itu.

Tidak berapa lama kemudian, pemburu yang mengejar serigala itu pun sampai. Apabila dia tidak dapat lagi mengesan jejak serigala itu, dia bertanya kepada Encik Dong Guo, "Adakah encik terlihat seekor serigala yang cedera lalu di kawasan ini? Ke manakah ia melarikan diri?" Encik Dong Guo menjawab, "Tak ada serigala yang melalui tempat ini. Terdapat banyak cabang jalan di sini. Mungkin ia telah melarikan diri pada cabang jalan yang lain." Mendengar kata-kata Encik Dong Guo, pemburu itu mengucapkan terima kasih, dan berlalu dari situ. Sebaik sahaja tidak lagi mendengar bunyi keletak tapak kaki kuda yang ditunggang oleh pemburu itu, serigala yang terikat dalam beg berisi buku itu merayu kepada Encik Dong Guo supaya membebaskannya. Encik Dong Guo yang baik hati itu segera berbuat demikian tanpa rasa curiga.

Bagaimanapun, dia terkejut dengan apa yang berlaku kemudiannya yang memang tidak disangkanya. Sebaik sahaja dibebaskan daripada ikatan, serigala itu segera mengacah Encik Dong Guo, "Encik sudah membuat satu jasa baik untuk menyelamatkan nyawa saya. Sekarang saya terlalu lapar. Eloklah encik membuat satu lagi jasa, iaitu menjadi makanan untuk mengisi perut saya." Sebaik sahaja habis bercakap, serigala itu pun menerpa ke arah Encik Dong Guo. Bagaimanapun, Encik Dong Guo cuba mempertahankan diri dengan melawan serigala itu tanpa sebarang senjata, sambil memaki hamun serigala itu yang membalas kebaikan dengan kejahatan.

Pada ketika itu, seorang petani yang membawa cangkul melalui tempat itu. Encik Dong Guo segera meminta tolong petani itu, dan memberitahunya apa yang terjadi. Bagaimanapun, serigala itu menafikan dakwaan segala jasa baik Encik Dong Guo terhadapnya. Petani itu berfikir beberapa lama, lalu berkata, "Saya tidak percaya kepada kata-kata kedua-dua kamu. Beg sekecil ini mana boleh mengisi seekor serigala yang begitu besar. Silalah ulangi proses itu supaya saya boleh melihat dengan mata saya sendiri." Serigala itu pun bersetuju dengan cadangan petani itu. Ia berbaring semula di tanah, dan menggulungkan badannya, lalu membiarkan Encik Dong Guo mengikatnya semula dengan seutas tali dan meletakkannya ke dalam beg itu.

Petani tersebut segera mengikat beg itu dengan ketat, lalu berkata kepada Encik Dong Guo, "Binatang buas seperti serigala ini, mustahil akan berubah perangai. Encik tersilap kerana menyelamatkannya." Lalu, dia memukul serigala itu dengan cangkulnya sehingga mati.

Ketika itu, Encik Dong Guo menyedari bahawa dia melakukan kesilapan besar kerana berbuat sesuatu tanpa berfikir panjang. Dia mengucapkan terima kasih kepada petani itu kerana menyelamatkan nyawanya. Sekarang, "Encik Dong Guo" dan "serigala Zhongshan" sudah menjadi satu istilah dalam bahasa Mandarin. "Encik Dong Guo" merujuk kepada golongan yang lurus bendul, tidak berfikir panjang dan mudah termakan kata-kata manis walaupun daripada orang yang tidak dikenali. "Serigala Zhongshan" pula merujuk kepada golongan yang selalu membalas kebaikan dengan kejahatan.CRI/-

Hendak Ke Selatan dengan Menaiki Pedati Ke Utara

Pada abad ke-5 sebelum Masihi, peperangan berlaku di beberapa negeri di China kerana perebutan wilayah dan bersaing untuk menguasai negeri-negeri yang kecil dan lemah. Ketika ini, muncullah banyak penasihat raja di negeri-negeri berkenaan. Mereka amat bijak dalam menggunakan metafora ketika memberi nasihat kepada raja moga-moga cadangan diterima mereka. Cerita "Hendak Ke Selatan dengan Menaiki Pedati Ke Utara" menggambarkan keadaan ini. Ia sebuah kisah yang berlaku ketika seorang menteri kanan negeri Wei, iaitu Ji Liang memberi nasihat kepada raja negeri itu supaya mengutamakan keamanan.

Menurut ceritanya, pada suatu hari, raja negeri Wei merancang untuk menyerang negeri Zhao, sebagai asas bagi baginda untuk menguasai seluruh negara China. Ketika mendengar berita ini, seorang menteri kanan dari negeri itu, Ji Liang, yang sedang bertugas di luar negeri, berasa amat bimbang. Dia segera pulang ke negerinya untuk mengadap raja negeri Wei di istana.

Pada ketika itu, raja itu sedang bersiap-siap mengatur rancangan untuk menyerang Negeri Zhao. Melihat Ji Liang datang mengadapnya tanpa mengenakan dengan sempurna baju dan topi, baginda bertanya dengan hairan, "Apa perkara kecemasan yang membuatkan kamu tidak sempat memakai baju dan topi sebelum datang mengadap beta?" Ji Liang menjawab, "Dalam perjalanan ke istana tadi, hamba terlihat satu perkara yang sangat pelik." Melihat raja itu seolah-olah berminat kepada perkara itu, Ji Liang menyambung, "Hamba ternampak sebuah pedati sedang bergerak menuju ke sebelah utara.

Hamba bertanya kepada pemandu itu ke mana dia hendak pergi. Pemandu itu memberitahu hamba bahawa dia hendak pergi ke Negeri Chu. Hamba berasa hairan, dan bertanya kepadanya, Negeri Chu di sebelah selatan, mengapa dia bergerak menuju ke sebelah utara? Pemandu itu menjawab bahawa kudanya sangat hebat, ia mampu sampai ke Negeri Chu mengikut arah ke utara. Hamba semakin hairan, dan bertanya lagi, 'Walaupun kuda awak kuat, tetapi, arah yang awak tuju itu memang salah.' Pemandu itu menjawab, 'Jangan bimbang. Duit yang saya bawa cukup.' Hamba semakin keliru, walaupun duitnya cukup, tetapi macam mana dia akan sampai ke destinasi menuju arah yang berlawanan.

Bagaimanapun, mendengar soalan hamba itu, pemandu tersebut tertawa besar, sambil berkata, 'Saya amat pandai memandu pedati.' Orang itu tidak menghiraukan nasihat hamba, dan terus bergerakmenuju ke sebelah utara." Mendengar cerita ini, raja negeri Wei tertawa besar, sambil bertitah, "Bagaimana ada orang yang begitu bodoh di dunia ini?" Ji Liang menyambung kata, "Adakah tuanku ingin menjadi ketua kepada raja-raja pelbagai negeri? Kalau begitu, lebih eloklah tuanku memenangi kepercayaan semua rakyat mereka. Jika tuanku masih tetap dengan cita-cita mahu menakluki negeri lain supaya terserlah kehebatan tuanku, cita-cita yang diiharapkan tuanku itu akan semakin sukar untuk dicapai, justeru seperti pemandu pedati itu, yang hendak ke sebelah selatan, tetapi berkeras menuju ke arah yang bertentangan sehingga mustahil sampai ke destinasi yang dikehendakinya.

Mendengar kata-kata Ji Liang itu, barulah raja Negeri Wei menyedari bahawa niat sebenar menteri kanan itu adalah untuk memujuk baginda membatalkan rancangan menyerang negeri Zhao. Bagaimanapun, Ji Liang tidak menyedari bahawa raja itu sudah berkenan dengan cadangan tersebut.

Di China, pepatah "Hendak Ke Selatan dengan Menaiki Pedati Ke Utara" ini menasihati kita supaya mengikut matlamat asal ketika mengusahakan sesuatu perancangan. Jika tidak, kita pasti akan mengalami kegagalan. CRI/-

36 Taktik Peperangan: Pisau Tersarung dalam Senyuman

Daripada judul taktik tersebut sudah dapat kita tangkap maksud yang hendak disampaikan iaitu: Berpura-pura sentiasa bermuka manis, berbudi bahasa, merendah diri dan beramah mesra supaya pihak musuh tidak lagi berwaspada terhadap komplot yang sedang kita rancangkan. Dalam peperangan atau aktiviti diplomatik, taktik itu digunakan untuk menyenangkan hati pihak musuh dengan berpura-pura taat setia dan beramah-tamah dengan pihak musuh di samping mencari kaedah untuk menewaskannya secara rahsia. Setelah mendapat kepercayaan daripada pihak musuh, kita perlu melancarkan serangan mengejut terhadapnya. Oleh sebab pihak musuh tidak bersiap sedia sama sekali terhadap serangan kita, maka kita pasti akan dapat mengalahkannya tanpa bersusah payah.

Dalam penggunaan taktik "Pisau Tersarung dalam Senyuman", kunci utamanya ialah kaedah untuk mendapatkan kepercayaan pihak musuh supaya mereka tidak lagi berwaspada terhadap tindak-tanduk kita. Kemudian, barulah kita boleh bertindak terhadap pihak musuh yang tindak mempunyai persediaan.

Dalam sejarah China, kes-kes yang berjaya menggunakan taktik itu agak banyak. Contohnya:

Pada abad ketiga Masihi, negeri Wei, negeri Shu dan negeri Wu merupakan tiga kekuatan yang terbesar di China. Ketiga-tiga negeri itu saling bersaing antara satu sama lain.. Antaranya, keupayaan negeri Wei adalah yang paling kuat dan sentiasa bercita-cita untuk menyatukan China. Ini menyebabkan negeri Shu dan negeri Wu terpaksa bersatu untuk bersama-sama mempertahankan serangan daripada negeri Wei. Untuk memperkukuh hubungan ikatan, raja negeri Shu, Liu Bei telah memperisteri adik perempuan kepada raja negeri Wu yang bernama Sun Quan.

Namun, Liu Bei dan Sun Quan pula mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu untuk menubuhkan pemerintahan yang menyatukan China, maka hal ini menyebabkan konflik ketenteraan sering berlaku antara negeri Shu dan negeri Wu.

Jingzhou merupakan sebuah kota yang terletak di tengah-tengah di antara ketiga-tiga negeri tersebut. Oleh sebab kota itu mempunyai kedudukan yang sangat strategik, maka Jingzhou telah menjadi sasaran bagi ketiga-tiga negeri tersebut. Sehubungan dengan itu, konflik-konflik antara negeri Wei, negeri Shu dan negeri Wu sering berlaku di kawasan sekitar Jingzhou. Walau bagaimanapun, kota Jingzhou sentiasa dikawal oleh raja negeri Shu, Liu Bei. Untuk memperkukuh pertahanannya di Jingzhou, Liu Bei telah mengerahkan panglima yang paling dipercayainya iaitu Guan Yu untuk menjaga benteng pertahanan di sana. Oleh sebab takut akan kehebatan panglima Guan Yu, negeri Wei dan negeri Wu tidak berani menyerang kota Jingzhou dengan sewenang-wenangnya.

Tidak lama selepas dihantar ke Jingzhou, panglima Guan Yu telah mengetuai tentera untuk melancarkan serangan terhadap negeri Wei. Dengan menyedari akan kemungkinannya serangan daripada negeri Wu ketika beliau berada di luar kawasan, Guan Yu telah meninggalkan tentera elitnya di Jingzhou.

Selepas Guan Yu meninggalkan Jingzhou, raja negeri Wu, Sun Quan yang sentiasa ingin mendapatkan kota itu merasakan sudah tibalah masanya untuk mengambil tindakan.

Pada ketika itu, panglima tentera negeri Wu, Lu Xun sentiasa berpura-pura menghormati dan taat setia kepada Guan Yu. Lu Xun pernah menulis surat kepada Guan Yu. Dalam surat itu, Lu Xun dengan sikap merendah diri telah menyanjung tinggi pencapaian Guan Yu dan menganggap dirinya sebagai orang muda yang memerlukan panduan Guan Yu.

Guan Yu mempunyai kedudukan yang tinggi di negeri Shu. Beliau juga ahli ketenteraan yang sangat terkenal pada zaman itu. Ini telah menjadikannya seorang yang angkuh dan sombong. Selepas membaca surat Lu Xun, Guan Yu menganggap bahawa tidak ada perlunya untuk berwaspada terhadap perbuatan Lu Xun. Jadi, Guan Yu telah mengerahkan sejumlah besar tenteranya daripada tentera yang ditempatkan di Jingzhou untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap negeri Wei tanpa menimbangkan keupayaan pertahanan kota itu.

Justeru itu, Lu Xun telah menghubungi negeri Wei secara rahsia untuk merancang serangan terhadap tentera Guan Yu secara serentak.

Apabila tentera Guan Yu sedang menyerang negeri Wei, tentera elit negeri Wu telah melancarkan serangan mengejut terhadap Jingzhou dan berjaya menawan kota itu. Selepas diberitahu negeri Wu telah mencapai kemenangan, negeri Wei dengan sengaja telah menyebarkan khabar itu sehingga ke dalam kem Guan Yu dan menyebabkan tenteranya mengalami kekalahan teruk kerana tenteranya sudah hilang semangat. Kegagalan Guan Yu itu merupakan contoh klasik kejayaan penggunaan taktik "Pisau Tersarung dalam Senyuman" dalam sejarah China.

Dalam aktiviti manusia zaman ini, taktik "Pisau Tersarung dalam Senyuman" juga selalu diguna pakai dalam bidang perniagaan. Misalnya, dalam rundingan perniagaan, perunding sesepihak akan berpura-pura beramah-tamah dan bermurah hati terhadap pesaingnya, kadangkala mereka juga akan bertolak ansur bagi perkara tertentu. Sebenarnya, perbuatan itu adalah untuk menyenangkan hati pihak lawannya supaya keuntungan yang lebih besar dapat diperoleh.

Dalam Internet, penyebar virus komputer juga bijak menggunakan taktik "Pisau Tersarung dalam Senyuman". Fail yang mengandungi virus selalu disebar dengan tajuk yang menawan hati atau menggelikan hati penerimanya.

Untuk mengelakkan diri daripada tertipu oleh helah serupa taktik tersebut, kita dikehendaki berwaspada terhadap mereka yang bercakap dan bermuka manis yang kadangkala tidak munasabah dan tidak dapat diterima oleh akal selain menyedari akan kelemahan diri supaya tidak diperalatkan oleh mereka yang berniat jahat.

----Puspa.CRI/-