14 November 2009

Hendak Ke Selatan dengan Menaiki Pedati Ke Utara

Pada abad ke-5 sebelum Masihi, peperangan berlaku di beberapa negeri di China kerana perebutan wilayah dan bersaing untuk menguasai negeri-negeri yang kecil dan lemah. Ketika ini, muncullah banyak penasihat raja di negeri-negeri berkenaan. Mereka amat bijak dalam menggunakan metafora ketika memberi nasihat kepada raja moga-moga cadangan diterima mereka. Cerita "Hendak Ke Selatan dengan Menaiki Pedati Ke Utara" menggambarkan keadaan ini. Ia sebuah kisah yang berlaku ketika seorang menteri kanan negeri Wei, iaitu Ji Liang memberi nasihat kepada raja negeri itu supaya mengutamakan keamanan.

Menurut ceritanya, pada suatu hari, raja negeri Wei merancang untuk menyerang negeri Zhao, sebagai asas bagi baginda untuk menguasai seluruh negara China. Ketika mendengar berita ini, seorang menteri kanan dari negeri itu, Ji Liang, yang sedang bertugas di luar negeri, berasa amat bimbang. Dia segera pulang ke negerinya untuk mengadap raja negeri Wei di istana.

Pada ketika itu, raja itu sedang bersiap-siap mengatur rancangan untuk menyerang Negeri Zhao. Melihat Ji Liang datang mengadapnya tanpa mengenakan dengan sempurna baju dan topi, baginda bertanya dengan hairan, "Apa perkara kecemasan yang membuatkan kamu tidak sempat memakai baju dan topi sebelum datang mengadap beta?" Ji Liang menjawab, "Dalam perjalanan ke istana tadi, hamba terlihat satu perkara yang sangat pelik." Melihat raja itu seolah-olah berminat kepada perkara itu, Ji Liang menyambung, "Hamba ternampak sebuah pedati sedang bergerak menuju ke sebelah utara.

Hamba bertanya kepada pemandu itu ke mana dia hendak pergi. Pemandu itu memberitahu hamba bahawa dia hendak pergi ke Negeri Chu. Hamba berasa hairan, dan bertanya kepadanya, Negeri Chu di sebelah selatan, mengapa dia bergerak menuju ke sebelah utara? Pemandu itu menjawab bahawa kudanya sangat hebat, ia mampu sampai ke Negeri Chu mengikut arah ke utara. Hamba semakin hairan, dan bertanya lagi, 'Walaupun kuda awak kuat, tetapi, arah yang awak tuju itu memang salah.' Pemandu itu menjawab, 'Jangan bimbang. Duit yang saya bawa cukup.' Hamba semakin keliru, walaupun duitnya cukup, tetapi macam mana dia akan sampai ke destinasi menuju arah yang berlawanan.

Bagaimanapun, mendengar soalan hamba itu, pemandu tersebut tertawa besar, sambil berkata, 'Saya amat pandai memandu pedati.' Orang itu tidak menghiraukan nasihat hamba, dan terus bergerakmenuju ke sebelah utara." Mendengar cerita ini, raja negeri Wei tertawa besar, sambil bertitah, "Bagaimana ada orang yang begitu bodoh di dunia ini?" Ji Liang menyambung kata, "Adakah tuanku ingin menjadi ketua kepada raja-raja pelbagai negeri? Kalau begitu, lebih eloklah tuanku memenangi kepercayaan semua rakyat mereka. Jika tuanku masih tetap dengan cita-cita mahu menakluki negeri lain supaya terserlah kehebatan tuanku, cita-cita yang diiharapkan tuanku itu akan semakin sukar untuk dicapai, justeru seperti pemandu pedati itu, yang hendak ke sebelah selatan, tetapi berkeras menuju ke arah yang bertentangan sehingga mustahil sampai ke destinasi yang dikehendakinya.

Mendengar kata-kata Ji Liang itu, barulah raja Negeri Wei menyedari bahawa niat sebenar menteri kanan itu adalah untuk memujuk baginda membatalkan rancangan menyerang negeri Zhao. Bagaimanapun, Ji Liang tidak menyedari bahawa raja itu sudah berkenan dengan cadangan tersebut.

Di China, pepatah "Hendak Ke Selatan dengan Menaiki Pedati Ke Utara" ini menasihati kita supaya mengikut matlamat asal ketika mengusahakan sesuatu perancangan. Jika tidak, kita pasti akan mengalami kegagalan. CRI/-

Tiada ulasan: