04 Oktober 2010

Galas: Umno mahu hina Tengku Razaleigh?

24 Syawal 1431H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Okt: Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan cadangan Tan Sri Muhyidin Yassin agar Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon BN di Galas adalah satu penghinaan kepada Ketua Umno Gua Musang itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, tindakan Umno itu juga adalah cubaan menghilangkan pengaruh Tengku Razaleigh yang dahulunya satu nama besar dalam sejarah Umno.

"Cadangan ini satu penghinaan kepada Ku Li selepas jadi menteri kini di minta duduk dalm Dun jadi Adun pembangkang pula," katanya.

Bagi beliau, nilai Razaleigh adalah jawatan Perdana Menteri dan tidak layak untuk jawatan yang lebih rendah daripada itu.

Oleh itu, apabila Muhyidin mencadangkan beliau menjadi calon, ia bukan untuk kepentingan Ku Li tetapi menjaga kepentingan politik Umno semata-mata.

"Muhyidin ingat Ku Li boleh menyelamatkan maruah Umno tetapi dalam masa yang sama dia tidak sedar ini satu penghinaan kepada Ku Li," kata Hatta lagi.

Selepas dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil Dun Galas, Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dicadangkan menjadi calon pula.

Ini kerana, kata beliau, Muhyidin yakin hanya Razaleigh yang boleh memenangkan Umno dalam pilihan raya kecil ini.

Sehingga kini, Razaleigh yang masih berada di luar negara belum memberi sebarang respons sama ada menerima cadangan berkenaan atau sebaliknya.

Bagi PAS pula, mereka kini sudah mengenal pasti calon yang bakal diketengahkan dan senarai pendek calon akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti petang esok.


Tengku Razaleigh calon BN di Galas tidak wajar: Nik Aziz

24 Syawal 1431H.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menamakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai tidak wajar.

Menteri Besar Kelantan itu, menyifatkan cadangan itu juga sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh yang tidak layak sama sekali bagi seorang pemimpin veteran itu bertanding di peringkat DUN.

"Saya boleh sebut ini dah melampau. Ku Li (Tengku Razaleigh) bukan taraf dia (bertanding di DUN), dia menteri dah. Dia dah ke Parlimen dan turun ke DUN ini ada benda tak betul.

"Tak jaga lidah betul (cadangan pilih Tengku Razaleigh), jagalah lidah sikit. Ku Li ni berketurunan raja dan (pernah) jadi Menteri Kewangan tiba-tiba nak letak di DUN. Ini tak betul. Ada masalah lain le ni," katanya.


Tok Guru ‘Gilo’ Di Sekolah Padang Luas, Jerteh

24 Syawal 1431H
Dr. Azman Ibrahim

Seumur hidup saya tidak pernah menghadiri sebarang program ceramah Umno dan tidak pernah berminat untuk curi-curi dengar ‘klentong’ penceramah-penceramah upahan mereka. Tapi semalam ketika dalam perjalanan pulang dari menyampaikan kuliah maghrib dan menziarahi kematian di Jabi, hati saya tergerak untuk berhenti seketika di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Luas, Jerteh, lokasi ceramah Umno yang kalau
mengikut poster yang tersebar bertajuk ‘DAP Anti Islam’.

Entah

apa relevannya tajuk ini sedangkan Besut yang menjadi lokasi ceramah ini tidak mempunyai walaupun setengah cawangan DAP. Tambahan pula Najib sendiri menawarkan diri kepada Obama untuk mengatasi masalah Islamophobia, tiba-tiba Idris Jusoh menganjurkan ceramah untuk mengapi-apikan sentimen agama dan menyemai kebencian kepada penganut agama lain. Penceramahnya: Idris Jusoh, Alwi Che Ahmad dan seorang yang bernama Abdullah Sa’amah. Saya tidak mengenalinya walaupun dikatakan dia Tok Guru Pondok Genting, Tumpat. Pernah terlihat nama dan gambarnya bersama-sama pemimpin-pemimpin Umno di poster-poster ceramah anjuran Umno Kelantan tetapi saya tidak begitu ambil pusing. That’s not my business. Ketika saya tiba ‘Tok Guru’ ini sedang berceramah.

Entah

berapa upah yang diterimanya malam tadi sehingga begitu bersemangat sekali ‘Tok Guru’ ini berceramah diiringi paluan gendang oleh budak-budak Umno (saya tak pasti pemuda atau putera Umno yang berbaju lambang dacing memenuhi satu kanopi sebagai pasukan sorak dan gendang). Di atas pentas kelihatan beberapa pemimpin Umno tempatan tersenyum kelat dan tertawa, entah kerana lucu atau mentertawakan hujah-hujah dangkal penceramah upahan ini. Trade mark kepada penceramah ini adalah perkataan ‘gilo’ (gila). Tak kurang dari 30 kali perkataan ‘gilo’ diulanginya untuk mengutuk PAS dan PKR. “Baso gilo”, “puak-puak gilo”, “jenis gilo”, “orang gilo”, “Nik Aziz gilo”, “gilo nok jadi PM”, “menate gilo”, “kena masuk hospital gilo”, “penyakit gilo”, “pemimpin gilo” dan macam-macam lagi jenis ‘gilo’ yang diulang-ulang sebut. Sehingga saya mari terfikir, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Rupanya benar sebagaimana

pernah dikhabarkan seorang sahabat dari Dewan Pemuda Pas Kelantan bahawa ‘Tok Guru’ ini pernah ‘berfatwa’ dalam satu ceramahnya di atas pentas UMNO di Tumpat. “Tuan-tuan sokonglah Umno. Ambo beri jaminan siapa yang sokong Umno, dia akan selamat dunia akhirat.” Begitulah taksubnya ‘Tok Guru’ ini dengan Umno. Semalam dia kata “kita kena lawan puak-puak gilo ni (PAS dan PKR). Melawan puak gilo ni adalah jihad di jalan Allah. Nik Aziz kalu tak pandai memerintah, turun! kalu tak dak ore nak ganti, biar ambo ganti. Ni Tok Guru Haji Loh, Tok Guru hok Sengoti.” Ujarnya angkuh. Sekali lagi terdetik di hati saya, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Malangnya

Umno, kerana terpaksa mempergunakan khidmat manusia sebegini untuk meraih sokongan. Saya cuba meneliti kalau-kalau ada hujah beralaskan fakta yang dikemukakan, tapi ternyata sekadar tin kosong, yang mengambarkan butanya penceramah ini dengan fakta sebenar atau dia sengaja membutakan mata demi RM yang mengalir ke dalam poketnya. Intipati ceramahnya cuba untuk mengambarkan khianatnya PAS dan PKR bersekongkol dengan DAP untuk menghakis hak orang Melayu Islam di Negara ini. “Puak-puak ni memang gilo, beri tanah kepada orang Cina, bantuan kepada Sekolah Cina. Sekolah Melayu bakpo tak bantu. Kita nak kata apa lagi kalu bukan kerja gilo.” Seranah ‘Tok Guru’ ni lagi disambut paluan gendang dan tepukan hadirin. Mungkin tak sampai maklumat kepada dia, Umnolah yang bertanggungjawab menghentikan bantuan kepada SAR.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab memberikan semula bantuan kepada SAR termasuklah Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng yang dikatakan kerajaan kafir harbi. Masih saya ingat, Saudara Misbah, bekas Setiausaha Politik MB Perak memaklumkan bahawa Dato’ Ngeh Kho Ham, Pengerusi DAP Perak telah mencadangkan di dalam satu mesyuarat EXCO supaya diluluskan pemberian tanah 100 ekar kepada Pondok Pok Teh, Pengkalan Hulu supaya boleh diusahakan dan menjadi sumber ekonomi kepada pusat pengajian Islam ini. Sedangkan Allahyarham Pok Teh, Tok Guru Pondok ini yang telah kembali kerahmatullah beberapa hari lepas telah belasan tahun memohon tanah tersebut dari kerajaan Umno tetapi tidak dilayan, padahal Pok Teh adalah ahli majlis fatwa Negeri Perak.

Disamping kerajaan PR Perak telah memberikan hak milik Tanah kepada orang Cina, penduduk Kampung Baru yang dah hampir 2 generasi tinggal di situ tanpa dapat hak milik, Kerajaan PR Perak juga telah mengurniakan hak milik tanah kepada orang Melayu di Kampung Tersusun dengan jumlah yang jauh lebih banyak berbanding kepada orang Cina.

Buku Sejarah

Melayu Tingkatan Lima dibawanya dan ditujukkan kepada hadirin, “inilah dia rujukan Perlembagaan Malaysia yang telah dipertahankan oleh Umno puluhan tahun tapi dirosakkan oleh DAP, PAS dan PKR.” Disambut dengan tepukan dan paluan gendang pemuda Umno. Saya sekadar ketawa di dalam hati. Kenapa Idris Jusoh tak bekalkan dia Buku Perlembagaan yang sebenar walaupun sekadar untuk ditunjukkan kepada hadirin sebab kalau baca pun belum tentu dia boleh faham. “Pemimpin Umno adalah Hang Tuah yang mempertahankan orang melayu, DAP ni kafir harbi yang menentang Negara Islam. Pemimpin DAP kata, nak tubuh Negara Islam, langkah mayat dia dulu! Gilonya pemimpin PAS sehingga baca doa untuk orang kafir harbi dalam khutbah Jumaat. Memang gilo sungguh!” Ujarnya, mungkin merujuk kes doa untuk YAB Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang yang dah diperjelaskan secara panjang lebar, bagaimana hukum berdoa untuk orang bukan Islam dan dah lama selesai. Saya tidak berminat untuk mengulanginya lagi. “Kalu kita lok (biar) Negara kita kepada puak-puak gilo ni, jawabnya orang Melayu akan jadi serupa Melayu Singapura. Hilang dari muka bumi.” Akhir sekali dia ‘berwasiat’. “Kita kena beri sokongan padu kepada Dato’ Seri Idris, Dato’ Abdullah Mohd Zain dan pastikan puak-puak gilo ni tak dapat walaupun satu undi dalam pilihanraya akan datang.”

Astaghfirullah, begini sekali rendahnya akhlak dan peribadi ‘Tok Guru’ ni dan butanya dia dengan maklumat semasa. Nak banding dengan Tok Guru Nik Aziz yang dikatakannya ‘gilo’, jauh bumi dengan langit.

Moralnya, hinanya manusia yang menjadi penjilat kebatilan.

03 Oktober 2010

Sandar perjuangan pada tarbiah, bukan semangat


23 Syawal 1431H.

MARANG, 2 Okt: Lebih 5,000 peserta Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS peringkat kebangsaan menerima suntikan semangat daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis perasmian malam tadi.

Abdul Hadi dalam ucapannya mengingatkan pemuda bahawa golongan mereka penting dalam perjuangan Islam.

"Islam meletakkan pemuda sebagai kumpulan yang penting dalam perjuangan sehingga Allah meletakkan satu surah yang khusus mengenai pemuda dalam al-Quran," kata Abdul Hadi

Namun jelasnya, perjuangan pemuda haruslah ditunjangi tarbiah dan bukannya semangat semata-mata.

"Terdapat kumpulan yang menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dilakukan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu.

"Oleh itu Allah meletakkan agenda tarbiah kepada perjuangan ini," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media selepas majlis itu mengulangi penegasan Abdul Hadi mengenai kepentingan tarbiyah di kalangan pemuda.

"Kita lihat bagaimana Presiden telah meletakkan asas-asas utama yang perlu difahami dalam proses tarbiyah.

"Bukan sahaja kita bergerak kerja atas dasar semangat tetapi dengan bimbingan, panduan daripada wahyu Allah dalam al-Quran dan hadis," kata Tuan Ibrahim.

Menurutnya juga, di samping ilmu dan kesungguhan,tarbiyah merupakan elemen penting dalam parti untuk menghadapi tekanan politik di negara ini.

"Dalam menghadapi tekanan politik di Malaysia, tarbiyah merupakan elemen penting dan kita harapkan agar kepimpinan yang lahir selepas ini dapat menilai sesuatu berdasarkan nas dan asas-asas yang bersumberkan sirah Rasulullah S.A.W.," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menyifatkan ijtima' ini sebagai tepat pada waktunya memandangkan PAS memerlukan jentera bagi menghadapi pilihan kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas tidak lama lagi.

"Ijtima' ini diadakan sesuai pada waktunya walaupun sebenarnya ia dirancang awal, sebelum berlaku kematian lagi.

"Ini boleh dijadikan asas bagi menyusun gerak kerja untuk pilihan raya di Galas dan kita harap ia menjadi pemangkin semangat untuk pemuda menghantar jentera ke sana," katanya.

Harakahdaily/-

Galas: PAS sudah senarai pendek calon


23 Syawal 1431H.

MARANG, 2 Okt: PAS sudah mengenal pasti beberapa individu yang akan disenarai pendek untuk diletakkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.

Pengarah PRK PAS bagi Dun Galas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti petang esok.

"PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat pada Ahad nanti. Agenda penting ialah kita akan bincang mengenai pilihan raya kecil Dun Galas

"Kita sudah kenal pasti di peringkat negeri ada beberapa tokoh yang kita senarai pendekkan untuk kita buat keputusan di peringkat jawatankuasa pusat yang akan kita angkat ke majlis syura dan majlis syura akan buat keputusan," kata beliau pada sidang media selepas majlis perasmian Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila malam tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, PAS menitik beratkan faktor calon pada PRK kali ini dan anak tempatan adalah diberi keutamaan untuk diletakkan sebagai calon.

"Kali ini faktor calon itu faktor penting dan keutamaan kita ialah anak tempatan," katanya.

Tak kisah calon lawan

Diminta mengulas mengenai cadangan Umno untuk meletakkan veteran parti,Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon mereka, beliau menyifatkan ianya sebagai tindakan untuk menjatuhkan karier politik ahli Parlimen Gua Musa itu.

"Saya fikir itu satu cara pembunuhan secara halus karier politik Tengku Razaleigh.

"Saya fikir dari sudut politik jangka panjang itu bukan tindakan yang betul," katanya.

Namun ujarnya, PAS bersedia menghadapi sesiapa sahaja calon yang diletakkan Umno.

"PAS sedia menghadapi siapa sahaja calon. Kalau (Datuk Seri) Najib sekalipun nak jadi calon, kita akan sambut," katanya.

Beliau juga yakin PAS mampu meraih lebih ramai sokongan pengundi berbanding pada pilihan raya umum yang lalu berdasarkan rekod baik pembangunan di Gua Musang di bawah pemerintahan PAS selama hampir 20 tahun.

"Walaupun majoriti sebelum ini hanya 600 lebih, namun kita yakin ia akan meningkat pada PRK kali ini melihat kepada kemajuan bandar Gua Musang sendiri, kita yakin rakyat akan bagi mandat kepada PAS," katanya.

Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga ujarnya dapat membantu PAS untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu.

"Ini pilihan raya pertama selepas kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS dan kita akan beri ruang kepada mereka untuk disusun strategi dan pendekatan untuk bersama dengan pengundi bukan Melayu," katanya.

Harakahdaily/-

Siapa ketuai BN di Galas? Ku Li terus berteka-teki

23 Syawal 1431H.

Soalan siapa akan mengetuai jentera pilihan raya BN semasa kempen di dewang undangan negeri Galas terus menjadi teka-teki apabila pemimpin veteran Umno yang dipertanggungjawabkan tugas itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau belum berkata 'ya ataupun tidak'.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah bersetuju memikul tugas itu, tetapi ahli parlimen Gua Musang - hari ini pada halaman Twitter - menafikan perkara itu.

"Rakan, rakan, saya tidak berkata ya ataupun tidak. Saya akan menjelaskan berhubung Galas apabila saya pulang ke Malaysia,” tulisnya pada jam 6.35 waktu tempatan.

Tengku Razaleigh kini berada di Ireland, bagi melawat universiti di mana beliau mendapat pendidikannya - Queen's University di Belfast. Beliau dijadualkan pulang pada 9 Oktober ini.

Namun pada awalnya, tidak dapat dipastikan sama ada Tengku Razaleigh merujuk kepada pengumuman kenyataan Muhyiddin atau cadangan dari pihak lain yang beliau dilantik sebagai pengarah pilihan raya BN.

Bagaimanapun, gambaran semakin jelas, apabila seorang daripada pengikutnya mengemukakan soalan di Twitter kepadanya: "Harap maaf Tengku, tetapi kenapa TPM asyik berkata bahawa anda telah persetujui? Bukan sekali tetapi hampir setiap hari.”

Menjawab soalan itu, Razaleigh menyerahkan perkara berkenaan kepada Muhyiddin dengan berkata beliau belum memberi sebarang persetujuan berhubung jawatan berkenaan.

"Itu, kita kena tanya beliau. Saya setakat ini belum membuat sebarang kenyataan,” jawab Razaleigh.

Malaysiakini/-

Pelancaran Program Ikatan Mawaddah PAS Perak.

Ust. Abu Bakar Hussain sedang menyampaikan ucapan perasmian.


23 Syawal 1431H.

TAIPING, 1 Okt:- Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain merasmikan Program Ikatan mawaddah PAS Perak dibawah Lajnah Kebajikan PAS Perak yang diadakan di markaz Tarbiyah Ayer Kuning di sini.

APABILA JAHIL, REZEKI ALLAH PUN DITOLAK


23 Syawal 1431H.
Oleh: Mandor

KESIHAN tengok orang-orang tua yang telah diperbodohkan oleh Umno di P.Pinang. Sudahlah mereka dulu azab di bawah Bn, bila tiba masanya mereka ingin merasai sedikit kesenangan dan nikmat di bawah kerajaan PR, mereka dihasut oleh `Syaitan' berwajah manusia. Begitulah nasib apabila kita tidak berilmu, sentiasa diperbodohkan oleh orang.

Bukan banyak pun, cuma dapat seratus ringgit sebagai sumbangan Kerajaan Negeri kepada mereka. Oleh kerana bodoh sombong, mereka pulangkan semula sumbangan itu. Paling menyedihkan, yang menghasut mereka untuk itu adalah sebangsa dengan mereka tetapi mereka itu jauh lebih kaya. Ada di antara mereka itu sudah kekenyangan memakan gaji dan elaun dari Kerajaan Negeri sebagai Adun, tidak pula mereka mengatakan gaji atau elaun mereka hasil dari judi. Mereka mentekedarah semuanya dan memberi makan minum anak bini mereka. Bukankah itu semua datangnya dari kewangan Negeri juga sama seperti seratus ringgit yang diterima oleh orang-orang tua tersebut?

Kerajaan Negeri telah mengesahkan duit itu datangnya dari sumber yang halal, tetapi mereka masih percaya kepada hasutan `Syaitan' bertopengkan manusia itu. Kadangkala ada orang yang sudah biasa makan hasil dari yang haram, mereka tidak lagi mahu menerima hasil dari yang halal. Mungkin memakan bangkai lebih sedap dari memakan binatang halal yang disembelih.

Jika mahu pulangkan juga duit itu, mengapa tidak pulangkan terus kepada Kerajaan Negeri yang memberi wang itu kepadanya? Mengapa mesti menemui bapak penipu itu? Rugikah Kerajaan P.Pinang jika mereka pulangkan semua wang sumbangan itu? Sudah tentu tidak, kerana masih ramai lagi yang suka memakan hasil yang halal walaupun sedikit. /mandor.blogspot.com.

02 Oktober 2010

Siapakah ADUN Perak Sertai PPP?

22 Syawal 1431 H

IPOH – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dikatakan akan menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam masa terdekat, sebaik sahaja mendapat lampu hijau dari kepimpinan tertinggi negeri dan pusat.

Menurut Ketua Pemuda PPP Negeri, Mustafar Rahadi, hasrat itu disampaikan ADUN berkenaan beberapa minggu lalu dalam perbincangan dan kata sepakat yang dicapai bersama antara kepimpinan bahagian dan Pemuda PPP negeri.

Katanya, hasil keputusan itu akan dikemukakan ke peringkat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi mendapat persetujuan serta menetapkan tarikh pengumuman ADUN berkenaan menyertai PPP yang dijangka sehari dua lagi.

“ADUN ini berminat menyertai PPP adalah atas dasar konsep 1 Malaysia yang subur diperjuangkan pemimpin dan ahli PPP peringkat cawangan, bahagian, negeri serta nasional.

“Tambahan pula, dengan kekuatan dan kesatuan pelbagai kaum di bawah PPP, ADUN itu yakin parti ini mampu menjana transformasi kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mustafar berkata, keputusan ADUN itu menyertai PPP juga adalah atas faktor masa depan karier politiknya.

Kata beliau, pihaknya tidak menjanjikan sebarang kemewahan atau ganjaran, tetapi apa yang pasti sokongan moral akan sentiasa diberikan kepada ADUN berkenaan terus bekerja untuk rakyat.

“Saya tidak boleh dedahkan identiti ADUN itu, sama ada dari komponen BN mahupun Pakatan Rakyat (PR), kita tunggu dan lihat pengumuman yang akan dibuatnya dalam masa terdekat.

“Kemungkinan juga ADUN itu akan dilantik sebagai Ketua Bahagian PPP di Perak sebaik sahaja proses pendaftaran keahlian selesai,” katanya.

Menurut Mustafar, ADUN itu terlalu rapat dengan PPP dan apa sahaja masalah yang dihadapinya akan diluahkan serta diselesaikannya.

“Sebab itulah, beliau merasakan hubungan antara kami tidak pernah dirasai sepanjang bergelar ADUN. Ini juga sebagai bukti kami untuk bersama-sama berusaha memperkasakan PPP demi kepentingan rakyat,” katanya.

Sinar Harian/-

Amal gaya hidup sihat

22 Syawal 1431 H
Oleh: Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 1 Okt: “Eloklah kita tingkatkan kempen-kempen supaya langkah pencegahan dapat diambil, dan supaya rakyat mengamal gaya hidup yang sihat dengan sentiasa memberi penerangan dan mengamalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Umar.

Ini, katanya kerana 43 peratus rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke atas mengidap penyakit darah tinggi, manakala 13 peratus daripada rakyat Kelantan pula yang berumur 30 tahun ke atas mengidap penyakit kencing manis, berpunca daripada gaya hidup khususnya dari segi pemakanan.

Katanya, keadaan itu menggambarkan betapa teruknya gaya hidup masyarakat kini dilanda penyakit termasuk penyakit jantung, kanser dan strok.

“Semua penyakit itu berpunca daripada gaya hidup kita. Nabi Muhammad saw bersabda: Perut itu sarang penyakit dan banyak makan itu (adalah) punca segala penyakit,” katanya pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Karnival Kesihatan Wanita Peringkat Negeri Kelantan 2010 di Dataran Stadium Sultan Mohamad Ke-IV di sini, semalam.

Beliau berkata, cabaran dihadapi ialah bagaimana untuk mempertingkatkan kesedaran di kalangan orang ramai supaya mereka berusaha menjauhi penyakit, selaras dengan hakikat dan keyakinan bahawa ‘mencegah itu lebih baik daripada merawat’.

“Jangan pula sudah terantuk barulah tengadah, maka demikianlah karnival diadakan hari ini, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya peka terhadap jenis penyakit, kaedah dan cara bagaimana untuk menjauhi penyakit, bahkan hendaklah sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Harus mempertingkatkan kempen bahawa untuk hidup secara berkat dan sihat, hendaklah kembali kepada kehidupan berteraskan agama,” ujarnya.

Bersempena dengan majlis itu juga dilancarkan Skuad Kito Cakno.

Harakahdaily/-

Galas: Amaran Khaled tidak selari peredaran zaman

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang memberi amaran agar mahasiswa tidak terlibat dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas adalah suatu kenyataan yang aneh dan tidak selari dengan peredaran zaman.

Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) Universiti Malaya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, menteri sepatutnya tidak perlu untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu, yang seolah-olah terlalu paranoid jika mahasiswa terlibat dalam PRK Galas yang bakal berlangsung.

“Beberapa dekad mutakhir ini, mahasiswa di Malaysia diperlakukan seperti penjenayah yang dikuarantin di dalam kampus dan tidak dibenarkan untuk menghirup udara segar demokrasi dalam negara, sebagaimana anak muda yang seusia luar kampus,” tulis beliau di dalam blognya.

Katanya, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) menjadi hantu kepada mahasiswa dan dijadikan bahan ugutan oleh pihak kerajaan untuk menakutkan mahasiswa sejak kebelakangan ini.

Namun, soalnya adakah mahasiswa seluruhnya memahami Auku secara mendalam.

Beliau sekadar berkongsi idea dan pengalaman dalam berbincang soal Auku dengan pelbagai pihak.

Menurutnya, dalam Auku, perkara yang menjadi subjek perbincangan ialah seksyen 15 (a) yang tidak membenarkan mahasiswa menyatakan sokongan, simpati ataupun bangkangan terhadap mana-mana parti politik dan terlibat aktif dalam politik kepartian.

“Akta ini cukup jelas menyekat mahasiswa untuk terlibat dengan parti politik dalam negara, bukannya sistem politik negara.

“Saya rasa di sini timbul keraguan di antara pelaksana undang-undang yang mentafsirkan seksyen tersebut mengikut selera masing-masing. Akta ini juga yang menjadi point utama dalam perbicaraan saman pemula 4 orang mahasiswa UKM di mahkamah baru-baru ini,” katanya.

Akta tersebut, jelasnya tidak menyatakan bahawa mahasiswa ‘tidak boleh terlibat dalam pilihan raya’ sama ada umum ataupun kecil.

Baginya, mahasiswa hanya dilarang untuk berkempen dan menyatakan sokongan kepada parti yang bertanding, itu sedia maklum.

“Namun, persoalan saya, jika ada beberapa orang calon Bebas yang bertanding dalam PRK nanti, maka adakah mahasiswa boleh terlibat dalam pilihan raya tersebut sedangkan calon Bebas ini bertanding atas kapasiti individu, bukannya parti?” soalnya.

Maka, katanya tidak ada tindakan yang boleh dikenakan ke atas mahasiswa yang turun berkempen untuk calon Bebas tersebut kerana mereka tidak boleh dikaitkan dengan parti politik yang sah.

“Di sinilah lompang dan tidak relevannya Auku yang hanya memandang parti politik itu subjek, sedangkan objek pilihan raya masih luas dalam sistem demokrasi yang diamalkan.

“Maka saya boleh nyatakan bahawa mahasiswa boleh sama sekali terlibat dalam pilihan raya dan berkempen jika ada calon Bebas yang bertanding dalam PRK nanti,” ujarnya.

Selain itu, katanya lagi jika hanya calon dari parti politik sahaja yang terlibat, maka tidak salah juga bagi mahasiswa untuk ke sana sekadar mengikuti dengan lebih dekat amalan pilihan raya di Malaysia.

Kesimpulannya, ujar beliau mahasiswa mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara sebagaimana yang dijamin oleh Artikel 10 Perlembagaan Negara.

Baginya, menakutkan mahasiswa dengan Auku adalah suatu pendekatan yang lapuk lagi bacul dan pihak kerajaan perlu berfikir secara liberal dan rasional dalam mengambil sesuatu pendekatan.

Menurutnya, liberalisasi dan transformasi ekonomi sahaja tidak cukup untuk memungkinkan Malaysia bakal muncul sebagai negara maju tanpa diselarikan dengan kebebasan sosial khususnya kebebasan akademik dan hak bersuara rakyat termasuklah mahasiswa.

“Saya harap menteri tak perlu takut jika mahasiswa turun ke medan demokrasi kerana kita sepatutnya menyahut kebebasan bersuara sebagaimana yang dibenarkan oleh civil society dan hak yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Adun Umno dicabar kembalikan elaun

22 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 1 Okt: Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang mencabar 11 Adun Umno di negeri ini mengembalikan semua gaji dan elaun wakil rakyat kepada Perbendaharaan Kerajaan Negeri kerana tiada satu pun yang halal dari Kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Pulau Pinang.

"Jika Umno betul-betul pembela dan menitikberatkan tentang kebersihan wang hasil pemberian kerajaan negeri, mereka patut dulu melakukan tiga perkara.

Jangan hanya berlagak teliti dalam hal agama walhal merekalah yang paling membelakangkannya," ujar Setiausaha Angkatan Muda Keadilan negeri, Syed Mikael Rizal Aidid yang membacakan kenyataan sekretariat itu.

Selain beliau, kenyataan bersama itu ditandatangani Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Ng Wei Aik serta Zamadi Omar yang mewakili Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri.

Cabaran itu adalah antara desakan terhadap Umno agar melakukan tiga perkara jika parti itu terus memfitnah kononnya pemberian wang RM100 kepada warga emas oleh kerajaan negeri tahun ini dari sumber judi.

Mereka juga mendesak Umno agar mengarahkan semua staf dan kakitangan Utusan Malaysia (lidah rasmi Umno) memulangkan semua gaji kerana ada unsur dalam penghasilan gaji menerusi iklan 4 nombor ekor.

Mereka turut mencabar Umno agar mengarahkan semua GLC di bawah pengaruh mereka agar memulangkan semua pendapatan kepada Perbendaharaan Kerajaan Malaysia kerana tidak ada satu pun gaji mereka boleh dipastikan bersih dari percampuran dengan hasil cukai judi, hiburan dan arak.

Menurut Mikael, pendedahan laman web Pisau.Net semata-mata mencari publisiti manakala Umno pula menjadikannya bahan menghentam kerajaan negeri tanpa menyedari sumbangan tersebut untuk Program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) dan bukanya untuk Program Penghargaan Warga Emas.

Exco Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh telah berulang kali mengatakan bahawa kerajaan negeri telah menyimpan sebanyak RM24 juta untuk RAK tanpa mengganggu peruntukan program Penghargaan Warga Emas.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus menjelaskan bahawa sumbangan RM2 juta dari Kelab Lumba Kuda tidak disalurkan kepada umat Islam dalam program RAK.

"Umno nampak lawak bila mengadakan program bersama 40 orang penerima wang RM100 untuk mengembalikan kepada kerajaan negeri," tegas beliau.

Harakahdaily/-

Presiden PAS rasmi Ijtima' Tarbawi malam ini

22 Syawal 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

MARANG, 1 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka akan merasmikan Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS, Peringkat Kebangsaan malam ini.

Persidangan tiga hari bermula petang ini bakal menyaksikan seluruh pemuda PAS berkampung di Masjid Rusila, Marang.

Selain pemuda, Ijtima' tersebut juga turut dibuka kepada muslimat PAS dan pendaftaran boleh dibuat sehingga lewat petang ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan yang tiba malam tadi di sini berkata, lebih 80 peratus persiapan telah disempurnakan dan bersedia menerima kedatangan peserta.

Biarpun program dijangka bermula selepas solat Maghrib petang ini, bahangnya sudah mula terasa dengan suasana khemah diperkarangan masjid siap dipasang.

Ianya ditambah pula dengan ribuan peserta yang sudah mula tiba seawal pagi tadi.

Mereka masing-masing tidak mahu ketinggalan mengikuti kuliah mingguan pagi Jumaat yang disampaikan Tuan Guru Presiden.

Selain itu, program malam ini akan dimulakan dengan Taklimat kepada peserta, bacaan al Ma'thuuraat dan solat Maghrib berjamaah.

Selepas itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengambil tempat memberikan Taujihat Tarbawi kepada semua peserta.

Manakala acara perasmian pembukaan oleh Presiden PAS dijangka pada jam 10 malam.

Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS kali ini akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Perasmian penutup akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Harakahdaily/-

Kisah Tajudin bergaduh dengan pemandunya

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Kisah Pengerusi Felcra, Datuk Tajudin Abdul Rahman, bergaduh dengan seorang pemandunya di hadapan lebih 400 warga Felcra pada 3 Mei lalu kini tersebar luas dan mendapat perhatian ramai.

Ia menarik perhatian kerana kecaman Tajuddin terhadap bekas pemandunya yang juga seorang kakitangan Felcra berlaku di majlis yang berlangsung pada 3 Mei di Ibu pejabat Felcra, Jalan Rejang Setapak Jaya lalu di jawab secara berdepan oleh pemandu berkenaan.

Hasilnya, 15 minit pertama perhimpunan warga Felcra itu menjadi tempat melepaskan geram Tajudin kepada pemandu berkenaan.

Harakahdaily yelah mendapat audio rakaman pertembungan berkenaaan. Berita awal mengenai hal ini telah disiarkan dalam akhbar politik Siasah keluaran hari ini.

"Mana dia, hari ini ada dia datang...mana dia," tanya Tajudin di perhimpunan itu. Orang ramai yang menyertai perhimpunan itu menjawab,"Ada...dia ada."

"Saya yang buat laporan polis," kata pemandu berkenaan yang tampil ke depan di majalis perhimpunan itu.

"Mana dia laporan polis itu," tanya Tajudin.

"Mana dia tanda kena pukul," tanya Tajudin bertalu-talu.

"Ada, ini dia," kata pemandu itu.

"Mari sini," kata Tajudin..."Biarkan perkara ini diselesaikan di sini...mana dia tanda kena pukul itu...mana....mana," tekan Tajudin.

"Mana ada...dah lama," sampuk satu suara yang kedengaran dari rakaman itu.

"Kenapa polis tak datang sampai hari ini...kenapa tidak ada sebarang tindakan (terhadap dia)," tekan Tajudin lagi.

Ekoran itu, pemandu berkenaan tampil ke depan di majlis itu dan kedengaran berkata:-

"Majlis rasmi start pukul lapan, Datuk keluar rumah 9.05 malam....satu jam lewat...Datuk tahu saya orang baru. Dia tunjuk jalan, masuk kiri masuk kanan sampai jumpa jalan mati," kata pemandu itu diiringi tepukan kakitangan Felcra yang hadir di majlis itu.

Ekoran itu, ia telah menaikkan darah Tajuddin dan berkata, "Saya tidak minta tepuk...tak perlu tepuk, ini bukan majlis politik," dengan nada marah.

"Saya minta ambil tindakan mahkamah hari ini juga,....kenapa selepas enam bulan tidak ada tindakan," kata Tajuddin marah dan mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap pemandu berkenaan kerana memalukannya.

"Dia kata dia hormat tetapi dia buat laporan polis. Saya sabar hampir beberapa bulan kerana saya fikir dia budak tidak perlu ambil tindakan. Tetapi hari dia nak tunjukkan dia benar, saya tak takut," kata Tajudin.

Menurut sumber Harakahdaily, peristiwa yang membawa pergaduhan secara berdepan di hadapan kakitangan Ibu Pejabat Felcra ini berlaku pada 21 Oktober 2009 lagi.

Ketika itu, dua pemandu Tajudin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak tidak dapat membawanya kerana seorang sakit dan seorang lagi terpaksa cuti secara tergesa-gesa.

Pemandu ini telah diarahkan membawa Tajudin ke satu majlis di rumah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Namun, mereka tidak jumpa rumah berkenaan. Tajudin menyalahkan pemandunya dan memukul kepala pemandunya dan mengambilalih stering kereta.

Ekoran pukulan itu, pemandu itu membuat laporan polis pada keesokan harinya (22 Oktober) di Balai Polis Johor Bahru Central, Johor.

Ekoran kejadian di ibu pejabat Felcra pada 3 Mei itu, pemandu berkenaan dikatakan telah membuat sekali lagi laporan polis iaitu pada 4 Mei sehari selepas keajadian itu. Laporan kali ini dibuat di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dalam majlis pada 3 Mei itu, Tajudin yang berucap di majlis itu marah-marah kerana pemandu berkenaan telah membuat laporan polis kononnya dia telah dipukul kira-kira enam bulan sebelum itu.

"Ada laporan kata, saya pukul driver saya....seluruh orang di Perak pun tahu. Kononnya supaya menteri ke, perdana menteri ke tidak dengar cakap saya, dengar cakap dia," mula Tajudin mengaitkan isu ini dalam ucapannya itu.

"Budak driver ini bawa saya pada satu malam nak pergi rumah Tan Sri Muhyidin...ada dalam blog pun...pembangkang gunalah ini, kita dok bagi buahnya," kata Tajudin.

"Nak pergi rumah Tan Sri Muhyidin, dia tak tau jalan...pusing-pusing, dekat satu jam...aik bila nak sampai, majlis nak habis dah...nak suruh saya senyum je dalam motokar...siang tadi kamu tidak pergi recky, mana rumahnya, senang kita nak pergi.

Sudahnya saya pula ambil stering bawa dia, dia jadi bos..kita pula jadi diriver dia, hotlah kita," Tajudin memulakan serangannya kepada drivernya itu dalam perhimpunan bulanan yang disertai oleh semua kakitangan ibu pejabat Felcra termasuk semua pegawai kanannya.

Di majlis itu, Tajudin yang akan tamat kontraknya pertengahan Oktober depan turut memperkenalkan CEO baru Felcra Berhad.

"Esoknya, dia boleh berani pergi buat laporan polis dan dakwa dia kena pukul...tak ada tanda pun," kata Tajudin.

Ekoran itulah, pemandu Felcra itu bangun dan memberikan penjelasan di majlis itu dengan di sambut tepukan gemuruh perserta perhimpunan bulanan di Auditorium Felcra Berhad itu.

Harakahdaily/-

Hadapi PRK Galas dengan kekuatan sendiri

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 1 Okt: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.

Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.

Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.

Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.

Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.

Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.

Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.

Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.

Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.

Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.

"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.

Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

Harakahdaily/-