22 Januari 2011

Cikgu Mala lawan Azhar di Tenang

LABIS, 22 Jan: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Rakyat dari PAS, Normala Sudirman, 38, dengan calon BN dari Umno, Mohd Azahar Ibrahim, 39 dalam pilihan raya kecil Tenang 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya ini jam 11.20 pagi setelah tiada nama calon lain di kemukakan dan tiada bantahan dibuat ke atas kertas pencalonan kedua-duanya.

Calon PAS menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi. Beliau dicadang oleh Mahat Jamin dan disokong Rosiah Ahmad.

Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menyerahkan borang pencalonan jam 9.02 pagi. Beliau dicadang oleh Ma Chong Pah dan disokong Jayaraman Chinasamie.

Penamaan calon di jalankan di Dewan Majlis Daerah Labis

Harakahdaily/-

Najib ke hulu, Rosmah ke hilir

Oleh : Hafizi Pauzi

LABIS, 22 Januari : "Saya kira kenyataan Rosmah dengan mengatakan bahawa beliau tidak peduli apa orang mahu kata kepadanya, yang penting beliau ke luar negeri untuk kepentingan negara, saya sifatkan sebagai kenyataan melepas batuk ditangga dan ingin lari dari masalah sebenar" kata ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa ditemui di pusat penamaan calon disini hari ini.

Beliau diminta memberi respon berkenaan jawapan rosmah berikutan kritikan ramai pihak terhadap tindakannya tidak ubah seperti menteri kabinet.

Rosmah telah membuat lawatan kerja ke beberapa buah negara yang sepatutnya dijalan yang punyai portfolio menteri .

Dalam pada itu, Rosmah juga dilaporkan mempunyai pejabatnya sendiri di purtajaya, walhal beliau cuma isteri Perdana Menteri yang hanya layak mendampingi PM ke mana-mana sahaja suaminya pergi.

"Saya hairan bila melihat Najib ke hulu, Rosmah ke hilir dengan tugas negara masing-masing" katanya

Tambahnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, pejabat Rosmah yang sebaris dengan divisyen lain termasuklah Pejabat Setiausaha Politik, Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Pejabat Ekonomi Perdana Menteri dan Pejabat Pengurusan Sri Perdana. Tentunya memerlukan dana tambahan ubtuk beroperasi.

"Saya mempersoalkan dari sumber mana wang yang digunakan untuk pejabat Rosmah" Soalnya.

Beliau juga menganggap tindakan itu adalah satu pembaziran dan semacam menyalahgunakan wang rakyat demi untuk memuaskan hati Rosmah yang gilakan jawatan first lady.

Menurut beliau juga juga dikenali dengan blogger Cina Islam itu, Keangkuhan ini makin menjadi-jadi dalam masa yang sama mengenepikan permaisuri agong sebagai wanita pertama negara yang sebenarnya, tindakan ini merupakan penderhakaan beliau terhadap institusi beraja sehingga kini masih diteruskan dengan penuh angkuh.

Selain dari itu Drs. Khalil mendedahkan, Rosmah juga mempunyai laman web sendiri yang menggunakan server perdana menteri yang dianggap sebagai amat istimewa bagi golongan bukan menteri kabinet dan penjawat awam tertinggi.

"Rosmah semakin besar kepala selepas peroleh bajet RM111 juta mengatasi bajet yang diperolehi bagi bantuan perkapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah yang cuma RM95 juta," jelasnya lagi.

Jika benar Rosmah meletakkan tujuan berpusat kepada rakyat dengan penuh ikhlas, beliau perlu keluar dari kemewahan yang beliau nikmati dari bajet RM111 juta tersebut.

"Bajet RM111 juta itu cuma dinikmati oleh beberapa kerat golongan elit, bukannya rakyat seluruhnya" ujarnya.

"Apakah keistimewaan rosmah sebagai isteri Perdana Menteri sehingga telah menafikan hak 24 juta rakyat Malaysia," soalnya.

Puluhan Ribu banjiri Labis sokong Cikgu Mala

17 Safar 1432H [MOD]..

Hazayani Zakaria

LABIS, 22 Jan: Berpuluh-puluh ribu penyokong Pakatan Rakyat terutama dari PAS membanjiri pekan Labis untuk mengiringi calon mereka, Cikgu Normala Sudirman ke pusat penamaan calon Pilihan raya Kecil Tenang.

Mereka berkumpul di sana sejak sebelum subuh bagi menyertai majlis solat hajat di tanah lapang yang disewa khas oleh PAS untuk digunakan sepanjang kempen pilihan raya ini.

Mereka dikatakan menerima arahan agar terus ke kawasan yang terletak di perkarangan markas besar PAS itu kerana beberapa masjid yang berdekatan dikatakan dikunci sejak malam tadi.

Perarakan calon bermula seawal jam 8.20 pagi menuju pusat penamaan calon yang terletak di Dewan Majlis Daerah Labis yang terletak kira-kira 2 km dari situ. Ketika itu, kira-kira 5,000 orang menyertainya.

Perarakan itu menjadi semakin besar apabila kumpulan kecil sepanjang jalan menyertai mereka.

Perarakan yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub turut disertai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Presiden PKR, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan menyertai perarakan itu kira-kira jam 8.50 pagi.(Hdaily)

15 ribu bersama Cikgu Normala


Oleh : Nazri Abdullah, Hazayani Zakaria
Kronologi :

9.12 am: Petugas mengawal keadaan penyokong PR yang semakin ramai dengan mengarahkan mereka bergerak ke tepi padang.

9.10 am: Calon PAS masuk ke dewan penamaan calon bersama barisan pencadang, penyokong.

Calon BN sudah masuk ke dewan penamaan jam 9 pagi tadi.

9.07 am: SPR mengumumkan masa menghantar borang penamaan dibuka jam 9 pagi tadi.

9.02 am: Calon PAS, Normala Sudirman kini masuk ke pusat penamaan, kini sedang berada di khemah calon PAS yg disediakan SPR.

Mengiringi calon ke dewan penamaan calon, Presiden PAS, Presiden PKR, MB Selangor, Ketua Muslimat PAS, Datuk Chua Jui Meng dan lain-lain.

8.55 am: Penyokong PR kini mencecah 20 ribu orang berada di hadapan pusat penamaan. Sementara pimpinan PAS sedang berbincang dengan pihak keselamatan.

8.54 am: Perarakan kini berada tiba di sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.50 am: Presiden PKR, Datin Sri Wan Azizah, MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan kini menyertai perarakan.

Peserta perarakan kini mencecah 15 ribu orang.

8.47 am: Perarakan kini berada hampir 500 meter dari sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.45 am: Peserta perarakan kini mencecah 13 ribu orang.

8.40 am: Antara pimpinan utama yg hadir, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Azmin Ali, dan Tan Seng Giaw.

8.30 am: Pimpinan dan calon PAS kini tenggelam dalam lautan penyokong yang berarak. Jumlah penyokong kini mencecah 8000 orang.

8.28 am: Penyokong semakin ramai apabila mula bercantum dengan kumpulan kecil di sepanjang jalan.

8.23 am: Perarakan dimulakan. Lebih 5000 mengikuti perarakan, ribuan lagi sedang menunggu di sepanjang jalan ke pusat penamaan.

8.20 am: Pihak polis menutup jalan 2 km dari kedua-dua arah menuju ke pusat penamaan sejak malam tadi.

8.15 am: Jarak ke pusat penamaan calon kira-kira 2 km. Masih menunggu beberapa kepimpinan utama sampai ke tempat himpunan.

8.06 am: Perarakan akan bermula bila-bila masa bermula di hadapan bilik gerakan utama PAS, bersebelahan dataran wayang pacak, Labis.

8.02 am: Penyokong dan Pimpinan PAS siap sedia berarak ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Labis.

Barisan kepimpinan utama PAS dan PR baru sahaja selesai solat hajat.

Rosmah terus ganggu pentadbiran negara



Oleh : Hafizi Pauzi [MOD]..

PARIT BUNTAR, 21 Jan : Pejabat Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di Putrajaya adalah satu pembaharuan yang julungkali ada dalam sejarah pentadbiran Negara dan perkara ini boleh disifatkan sebagai tindakan tiada adab dan biadab dalam isu pentadbiran negara,” kata Ketua Penerangan PAS Perak ,Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Dalam sesi temuramah itu, YB Khalil memberi respon dengan menjelaskan bahawa pejabat rasmi Rosmah yang kapasitinya adalah sebesar satu bahagian atau divisyen.

Tambahnya, bahagian FLOM ini adalah rasmi dan ia sebaris dengan divisyen lain termasuklah Pejabat Setiausaha Politik, Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Pejabat Ekonomi Perdana Menteri dan Pejabat Pengurusan Sri Perdana.

“Dia isteri PM, jadi dia tidak perlu bekerja untuk sara keluarga, malah PM sudah ada menterinya yang lengkap dengan jabatan bagi mengurus tadbir kerajaan, rosmah tidak diperlukan, dia tidak lebih dari mendampingi PM dalam majlis rasmi seperti amalan isteri PM sebelum ini . Dan jangan gila nak jadi menteri dan lakukan sesuatu yang tidak masuk akal,” kata YB Khalil Idham Lim.

Dalam pada itu, YB Khalil mempersoalkan tindakan Rosmah menghadiri dan menyampaikan ucaptama bertajuk 'Kompetensi Guru Dalam Membentuk Generasi Akan Datang' pada Persidangan Antarabangsa Pertama anjuran Kementerian Pendidikan Arab Saudi minggu lepas.

“Menteri-menteri yang dilantik dalam kabinet Najib seolah-olah sudah hilang peranan, siapakah Menteri Pelajaran ? Mengapakah semudah itu dan tanpa ada rasa bersalah dia melakukan kerja-kerja menteri berulang kali? Soal beliau.

Beliau juga menyifatkan, Malaysia sudah mempunyai kerajaan yang layak diberi jolokan sebagai kerajaan suami isteri,

“suatu yang amat memalukan jika perkara ini sampai ke pengetahuan rakan-rakan dari negara luar, Malaysia dilihat bercelaru apabila isteri PM melakukan kerja-kerja menteri kabinet." ujarnya.

Ahli umno khususnya, wajar berfikir kembali mengenai taat setia mereka terhadap BN, sanggupkah anda melihat negara luar terus mentertawakan Malaysia tercinta disebabkan pemimpin BN berkelakuan pelik dan aneh" soalnya.

'Kerana itu beliau berpandangan bahawa kerja Rosmah hanya boleh dihentikan dengan mengalahkan BN dengan memberilah peluang kepada PR memulihkan imej Negara pada PRU13 nanti,” ujarnya. Katanya lagi bila Najib terus berkuasa selagi itu Rosmah akan menganggu pentadbiran negara.

Wakil Rakyat untuk Rakyat !

17 Safar 1432H [MOD]..

Wakil rakyat ialah individu yang menjadi perantaraan di antara kerajaan dan rakyat. Pucuk pimpinan negara perlu teliti membuat pemilihan wakil rakyat kerana kesilapan dalam perkara ini boleh menggagalkan usaha kerajaan mengendalikan urusan masyarakat dan negara.

Tingkah laku atau personaliti individu yang ingin dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya dikaji terlebih dahulu. Personaliti atau tingkah laku merupakan cermin hati nurani seseorang individu. Jika hati nurani tersemat dengan perasaan angkuh dan sombong, maka ucapan dan tindakannya memberi isyarat kepada masyarakat bahawa individu tersebut tidak layak dilantik menjadi pemimpin mereka.

Masyarakat atau rakyat mampu menilai tingkah laku dan perwatakan orang yang ingin menjadi pemimpin mereka. Suara rakyat atau masyarakat yang menentukan pemilihan wakil rakyat, bukannya keputusan daripada suara kumpulan yang kecil. Individu yang tidak memiliki jiwa rakyat dan kurang gemar berkomunikasi dengan masyarakat tidak layak dilantik menjadi wakil rakyat kerana wakil rakyat ialah orang yang amat prihatin permasalahan rakyat.

Mempamerkan wajah dalam media massa dengan tujuan untuk menyakinkan pucuk pimpinan bahawa seseorang itu aktif dalam urusan kemasyarakatan bukan merupakan kriteria utama dalam pemilihan wakil rakyat. Wakil rakyat ialah orang yang dikenali oleh kesemua golongan masyarakat di kawasannya hasil daripada pertemuan dan aktiviti yang sering dilakukan olehnya.

Setiap orang yang dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya mengetahui pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Permasalahan ini akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan negara atau dibahaskan dalam Parlimen. Wakil rakyat yang cuai terhadap tugas dan tanggungjawab tidak dapat menyelami permasalahan masyarakat. Kehadiran mereka di Parlimen tidak memberi sebarang faedah kepada masyarakat. Mereka tidak mempunyai isu untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan negara dalam mesyuarat dan sebagainya kerana beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat sama ada dari sudut komunikasi atau kegiatan yang boleh memberi faedah kepada masyarakat.

Setiap orang yang dilantik menjadi wakil rakyat akan menghadapi pelbagai masalah berkaitan dengan masyarakat. Jika seorang wakil rakyat mengatakan bahawa di kawasannya tidak mempunyai masalah, ini menunjukkan bahawa individu tersebut tidak bertanggungjawab. Urusan berkaitan dengan penyediaan kemudahan asas atau keperluan hidup kepada masyarakat bukan merupakan satu perkara yang mudah.

Individu yang dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya terdiri daripada orang yang mempunyai pengalaman dalam urusan kemasyarakatan dan sanggup menghadapi permasalahan masyarakat serta mempunyai perwatakan yang gagah dan gigih.

Sejarah penciptaan bumi dan langit yang dipaparkan oleh Allah di dalam al-Qur'an, surah 41 (Fussilat): 9-12 ,menjelaskan bahawa Allah mencipta bumi yang dikukuhkan dengan gunung-ganang hanya dua hari sahaja. Allah menentukan kadar pemakanan kepada penghuni bumi memakan masa selama empat hari. Allah mencipta langit yang mempunyai tujuh lapisan serta dihiasi langit yang berhampiran bumi dengan bulan dan bintang selama dua hari.

Ayat al-Qur'an ini menunjukkan bahawa dalam penciptaan langit dan bumi, ia adalah terlalu mudah bagi Allah dan hanya memakan masa selama dua hari. Urusan berkaitan dengan keperluan makanan makhluk-Nya di bumi ini memakan masa empat hari bagi Allah mengendalikannya. Berdasarkan penjelasan ini, maka umat Islam sepatutnya menyedari bahawa menjadi seorang pemimpin bukan merupakan satu perkara yang mudah.

Pemimpin atau wakil rakyat merupakan bapa atau ibu kepada rakyat dalam negara mereka. Ciri-ciri kepimpinan yang disulami dengan sifat amanah, rendah diri serta peri kemanusiaan yang tinggi sahaja mampu menjadikan seorang wakil rakyat atau pemimpin itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Individu yang kurang gemar bergaul dan menyelami permasalahan masyarakat jika dilantik menjadi wakil rakyat bukan sahaja boleh menggagalkan usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan yang mundur, malah ia juga boleh membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan. Pucuk pimpinan negara perlu tegas dalam soal pelantikan wakil rakyat supaya setiap individu yang dilantik memahami bahawa pelantikannya bukan berasaskan kepada keakraban hubungannya dengan pucuk pimpinan negara tetapi berdasarkan kepada bakat dan kebolehannya.

Sikap gemar menunjukkan kebolehan diri secara menguar-uarkan kehebatan diri adalah di antara sifat yang dikeji mengikut perspektif akhlak Islam. Oleh itu, dalam pemilihan wakil rakyat, pucuk pimpinan negara sepatutnya mengkaji terlebih dahulu sifat dan personaliti setiap individu yang ingin dilantik supaya tidak berlaku penipuan dan lakonan dalam urusan kepimpinan.

Masyarakat keseluruhannya mengharapkan wakil rakyat menumpukan perhatian kepada permasalahan keperluan asas mereka, bukan menampilkan diri dalam bentuk yang membosankan rakyat. Wakil rakyat sepatutnya memahami fitrah manusia supaya tingkah laku dan tindak tanduk mereka digemari rakyat.

Apabila perut lapar dan badan menjadi semakin lemah, masyarakat amat memerlukan bantuan daripada kerajaan. Ketika ini, wakil rakyat amat diperlukan oleh masyarakat.

Jika jiwa dan hati nurani wakil rakyat disemat dengan roh keimanan dan peri kemanusiaan yang tinggi, maka setiap bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada masyarakat akan dilaksanakan dengan sempurna dan amanah, bukan diagih-agihkan kepada golongan yang kecil. Sifat amanah dan jiwa lembut begini sukar untuk dicari dalam dunia Islam masa kini kerana umat Islam kurang memahami objektif dan prinsip hidup manusia di dunia yang sementara ini.

Hasilnya, negara yang mewah dan kaya dihuni oleh ramai penduduk miskin kerana wakil rakyat dan para pemimpin tidak amanah dan tamak.

Berdasarkan fenomena di mana umat Islam sering dilimpahi dengan kemewahan tanpa merujuk kepada hukum halal dan haram, maka pucuk pimpinan negara sepatutnya amat prihatin terhadap pemilihan wakil rakyat supaya setiap perancangan dan sumbangan kerajaan kepada rakyat dapat dinikmati oleh keseluruhan masyarakat dalam negara.

Wakil rakyat yang amanah kekal melaksanakan tugasnya dan wakil rakyat yang kecundang perlu disingkirkan supaya rakyat dalam negara dapat bernafas dengan nada kesyukuran kepada kerajaan yang prihatin.

Dr. Saodah Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. (Suara hati)

Jentera Wanita PR mahu pastikan Cikgu Mala Menang


Oleh : Hazayani Zakaria
17 Safar 1432H [MOD]..


LABIS, 22 Jan: Jentera Pilihan Raya Wanita Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang diyakini sudah memahami bidang tugas masing-masing dan mampu melaksanakan tugas mereka bagi memenangkan calon PAS, Normala Sudirman.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, jentera wanita Pakatan Rakyat sudah banyak belajar daripada 13 pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini.

"Muslimat kita akan sentiasa bertenang, tidak mudah termakan dengan provokasi pihak lawan kerana pilihan raya ini bukan suatu yang baru. Ini pilihan raya yang keempat belas selepas pilihan raya umum lalu.

"Diharapkan daripada pelancaran ini dapat menaikkan semangat petugas-petugas kita.

"Daripada ekspresi wajah wanita-wanita yang hadir tadi, nampak mereka ada keazaman yang kuat untuk bekerja bagi memenangkan calon kita di Dun Tenang ini," katanya ketika ditemui selepas himpunan dan pelancaran jentera wanita Pakatan Rakyat Dun Tenang petang semalam.

Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan juga berharap proses penamaan calon hari ini berjalan lancar dan wanita dapat hadir sebagai tanda sokongan kepada calon dan parti.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mempersendakan peribadi calon PAS, Nuridah berkata amat malang apabila seorang bekas menteri yang rapat dengan Umno masih tidak memahami budaya orang Islam.

"Amat malanglah seorang bekas menteri seperti dia yang sudah-sudah bertahun berhadapan dengan orang Melayu, berkawan dengan Umno tapi masih tak memahami budaya dan amalan orang Islam. Memang patutlah dia tak jadi menteri lagi," katanya.

Sebaliknya kata Nuridah, DAP lebih memahami ajaran Islam dan bersungguh-sungguh membantu PAS memberikan penerangan kepada orang bukan Islam mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan dalam Islam.

"Sepanjang saya bersama-sama dengan Cikgu Mala, memang ada di kalangan lelaki bukan Islam nak bersalam dengan beliau.

"Tapi kita memberitahu mereka dengan cara baik dan kita sangat berterima kasih kepada DAP yang bersama-sama kita, mereka terus memberikan penerangan kepada orang bukan Islam.

"Kerjasama daripada DAP sangat bagus. Jadi sebenarnya dia (Soi Lek) tak ada isu nak mainkan, dia mainkan isu ini," katanya.

Soi Lek sebelum ini mempersendakan Normala dengan menyamakan beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah yang memakai sarung tangan dan tidak bersalam dengan bukan mahram.

Soi Lek turut mengandaikan Normala tidak akan pergi ke rumah ibadat bukan Islam dan bertemu dengan masyarakat bukan Islam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pelancaran jentera wanita itu sebagai momentum untuk mereka bergerak lebih aktif lagi ke setiap unit peti undi bagi memastikan PAS memenangi pilihan raya kecil ini.

"Kita buat pelancaran ini petang ini sebagai momentum kepada jentera bahawa kita sedang menuju semboyan pilihan raya dan esok kita akan bergerak ke seluruh unit peti undi, melakukan tugas kempen," katanya.

Beliau berkata, calon PAS sangat berpotensi untuk menang namun harus dibantu secara bersungguh-sungguh oleh jentera wanita.

"Kita sudah aturkan gerak kerja di setiap uni peti undi tinggal lagi proses pemurnian.

"Kita lihat calon kita sangat berpotensi di kawasan ini sebab itu kita mahukan jentera wanita bergerak dengan seluruh kekuatan yang ada," katanya.

Beliau turut mengajak wanita Umno memberikan sokongan kepada Normala untuk menambah bilangan ahli wanita di Dun Johor.

"Kita hanya ada dua orang wanita di Dun Johor. Jadi kita minta puteri dan wanita Umno menyokong calon muslimat PAS untuk menambah suara wanita di Dun.

"Usahlah terlampau berkira soal perbezaan politik asalkan kita boleh memperbanyak suara wanita," katanya.(Hdaily)

Cikgu Mala - Generasi Baru dalam PAS


17 Safar 1432H {MOD]..

Pemilihan Normala Sudirman atau lebih mesra dipanggil Cikgu Mala untuk diangkat menjadi calon dalam PRK N05, Tenang bukan sahaja berbakat dan berpotensi bahkan sebagai simbol generasi baru dalam PAS yang memahami tanggungjawab berpolitik.

Menjadi calon bukanlah semata-mata mengejar glamor atau pangkat dan harta kekayaan tetapi ia satu keperluan, amanah dan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan lebih besar adalah kepada agamanya.

Menurut Pengerusi Lajnah Penerangan & Dakwah Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi pemilihan calon muslimat bukan secara membuta tuli tetapi disandarkan kepada tuntutan secara keperluan untuk menjaga maslah ummah dalam dunia yang mencabar.

"Pemilihan adalah berdasarkan merit. Kejayaan kita menempatkan beliau dan tentunya kerana keupayaan dan pakej kepimpinan yang dimiliki Cikgu Mala sendiri. Ini juga sebagai kejayaan PAS melahirkan figura-figura baru dalam lanskap politik negara yang kini menuntut kepada suatu perubahan yang jauh lebih bermakna," katanya.

Katanya, tindakan Cikgu Mala melepaskan profesion guru dalam usia yang begitu muda bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja jemaah membuktikan hala tuju dan peranan beliau lebih besar dalam masyarakat. Athirah juga percaya sistem kongkongan yang dikenakan oleh kerajaan BN ke atas kakitangan kerajaan untuk terlibat dalam parti-parti politik Pakatan Rakyat merupakan antara faktor utama perletakan jawatan Cikgu Mala.

"Hasratnya berkhidmat kepada rakyat tanpa sempadan waktu tanpa terikat oleh suatu peraturan yang tidak adil dengan tuntutan masyarakat semasa menjadikan Cikgu Mala menzahirkan keseriusannya untuk membantu dan membela rakyat tanpa tekanan,sekatan mahupun ugutan pihak majikan," katanya.

Beliau yakin pakej yang lengkap untuk rakyat memberi mandat kepada Cikgu Mala cukup terserlah apabila setiap kali kemunculan beliau di khalayak jelas diterima baik oleh ibu bapa dan tidak asing lagi di kalangan belia dan komunitinya.

Aiman yang turut mengiringi beliau semasa berkempen mengakui Cikgu Mala menjiwai perit jerih masyarakat dan memahami komunitinya memandangkan beliau merupakan juga di kalangan peneroka. Justeru, jelas Aiman Athirah calon PAS di N05 Tenang ini adalah sebahagian daripada generasi transformasi dan mengharapkan beliau diberi peluang oleh rakyat dan dibantu oleh generasi muda di semua peringkat.

"Tidak kiralah mereka itu generasi muda dalam Pakatan Rakyat atau di luar Pakatan Rakyat. Justeru kerana kita mahu dan sedang berusaha bersungguh-sungguh membawa budaya politik baru yang lebih bersih, beramanah dan bertanggungjawab ke dalam masayarakat dan negara kita," tegas Athirah.(TMJ)

21 Januari 2011

Ummu Kultsum binti Ali ( cucu Rasulullah saw )

16 Safar 1432H
Oleh : naruto.

Namanya adalah Ummu Kultsum binti Ali bin Abi Thalib, memiliki kedudukan yang tinggi dan posisi yang luhur di sisi Rasulullah. Beliau juga putri khalifah Rasyidin yang keempat. Kakeknya adalah penghulu anak Adam. Ibu beliau adalah ratu wanita ahli jannah, Fathimah binti Rasulullah, sedangkan kedua saudaranya adalah pemimpin pemuda ahli jannah dan penghibur hati Rasulullah.

Dalam lingkungan yang mulia seperti inilah pada zaman Rasulullah Ummu Kultsum dilahirkan, tumbuh berkembang dan terdidik. Beliau adalah teladan bagi para gadis muslimah yang tumbuh di atas dien, keutamaan dan rasa malu.

Amirul Mukminin Umar bin Khathab al-Faruq , Khalifah Rasyidin yang kedua mendatangi ayahnya untuk meminang beliau. Akan tetapi, mulanya Imam Ali bin Abi Thalib meminta ditunda, karena Ummu Kultsum masih kecil.

Umar berkata: "Nikahkanlah aku dengannya wahai Abu Hasan, karena aku telah memperhatikan kemuliannya, yang tidak aku dapatkan pada orang lain." Maka Ali meridhainya dan menikahkan Umar dengan putrinya pada bulan Dzulqa'dah tahun 17 Hijriyah, dan hidup bersama hingga terbunuhnya Umar. Dari pernikahannya mendapatkan dua anak, yaitu Zaid bin Umar al-Akbar dan Ruqayyah binti Umar.

Yang mengesankan pada Ummu Kultsum, istri dari Amirul Mukminin, bahwa suatu ketika Umar keluar pada malam hari seperti biasanya untuk mengawasi rakyatnya (inilah keadaan setiap pemimpin yang bertanggung jawab terhadap yang dipimpinnya dalam naungan daulah Islamiyah ).

Beliau melewati suatu desa di Madinah, tiba-tiba beliau mendengar suara rintihan wanita yang bersumber dari sebuah gubug, di depan pintu ada seorang laki-laki yang sedang duduk. Umar mengucapkan salam kepadanya dan bertanya kepadanya tentang apa yang terjadi.

Laki-laki tersebut berkata bahwa dia adalah seorang Badui yang ingin mendapatkan kemurahan hati Amirul Mukminin. Umar bertanya tentang wanita di dalam gubug yang beliau dengar rintihannya. Laki-laki tersebut tidak mengetahui bahwa yang berbicara dengannya adalah Amirul Mukminin, maka dia menjawab, "Pergilah anda dan semoga Allah merahmati anda sehingga mendapatkan yang anda cari, dan janganlah anda bertanya tentang sesuatu yang tak ada gunanya bagi anda."

Umar kembali mengulang-ulang pertanyaannya agar dia dapat membantu kesulitannya jika mungkin. Laki-laki tersebut menjawab, "Dia adalah istriku yang hendak melahirkan dan tak ada seorang pun yang dapat membantunya." Umar bertolak meninggalkan laki-laki tersebut dan kembali ke rumah dengan segera.

Beliau masuk menemui istrinya, yakni Ummu Kaltsum dan berkata," Apakah kamu ingin mendapat pahala yang Allah akan limpahkan kepadamu?" Beliau menjawab dengan keadan yang penuh antusias dan berbahagia dengan kabar gembira tersebut yang mana beliau merasa mendapatkan kehormatan karenanya,

"Apa wujud kebaikan dan pahala tersebut Wahai Umar?" Maka Umar memberitahukan kejadian yang baru mereka temui, kemudian Ummu Kultsum segera bangkit dan dan mengambil peralatan untuk melahirkan dan kebutuhan bagi bayi, sedangkan Amirul Mukminin membawa kuali yang di dalamnya ada mentega dan makanan. Beliau berangkat bersama istrinya hingga sampai ke gubug tersebut.

Ummu Kultsum masuk ke dalam gubug dan membantu ibu yang hendak melahirkan dan beliau bekerja dengan semangat seorang bidan. Sementara itu, Amirul Mukminin duduk-duduk bersama laki-laki tersebut di luar sambil memasak yang beliau bawa. Tatkala istri laki-laki tersebut melahirkan anaknya,

Ummu Kultsum secara spontan berteriak dari dalam rumah, "Beritakan kabar gembira kepada temanmu wahai Amirul Mukminin, bahwa Allah telah mengaruniakan kepadanya seorang anak laki-laki. Hal itu membuat orang badui tersebut terperanjat. Karena ternyata orang di sampingnya yang sedang memasak dan meniup api adalah Amirul Mukminin.

Begitu pula wanita yang melahirkan tersebut terperanjat, karena yang menjadi bidan baginya di gubug tersebut ternyata adalah istri dari Amirul Mukminin. Takjub pula orang-orang yang hadir menyaksikan realita yang berada dalam naungan Islam tersebut ketika seorang kepala negara dan istrinya membantu seorang laki-laki dan istrinya dari Badui.

Setelah berselang beberapa waktu lamanya, tangan yang berdosa dan dengki dengan Islam membunuh Umar bin Khatthab, sehingga Ummu Kultsum menjadi seorang janda.

Tatkala Ummu Kultsum wafat, Ibnu Umar menyalatkannya dan begitu pula putranya, Zaid, yang berdiri di sampingnya dan mereka berdua takbir empat kali.

Blogger Umno mula fitnah calon PAS

16 Safar 1432H

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Tarmizi Mohd Jam dengan blognya di sanggahtoksago.blogspot hari ini di dalam satu kenyataan media telah membuat seruan kepada ahli-ahli PAS, dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang beragama Islam supaya mengadakan solat hajat bagi dijauhkan daripada sebarang fitnah jahat para blogger yang didakwanya sebagai pemfitnah atau pro-Umno/BN yang bergentayangan di alam siber.

KLToday.com melaporkan beliau mendedahkan satu blog pro-BN iaitu Papagomo dikhabarkan sedang ligat memutarkan fitnah yang mendakwa pertemuan blogger bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat pada Sabtu lalu yang kononnya setiap blogger yang hadir diberikan wang tunai sebanyak RM500, sebuah komputer riba laptop, kemudahan percuma talian broadband dan sebuah telefon mudah alih jenama Blackberry.

Sementara itu juga, seorang pemunya laman Facebook, “Suara Dari Bumi” pula di dalam mesej facebooknya pula membuat fitnah yang mendakwa calon PAS di Tenang, Normala Sudirman (gambar bawah sebelah kanan) meninggalkan suaminya, tohmahan mempunyai skandal luar dan malah menyeru pembacanya jika ingat perkataan zina kenalah ingat PAS.

Taktik-taktik jahat ini didakwa adalah sama dengan yang dilakukan ke atas semua calon dari PR sebelum ini. Contohnya calon PAS di PRK Galas sebelum ini yang didakwa berzina dengan ibunya sendiri dan calon PKR semasa di Hulu Selangor dahulunya, Datuk Zaid Ibrahim dikaitkan dengan isu arak dan judi lumba kuda.

Semua blogger pro-PR adalah diseru melancarkan kempen alam siber mendedahkan laman dan blogger-blogger ’pemfitnah’ pro-Umno secara besar-besaran dan berterusan setiap hari. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kekeliruan persepsi dan minda di kalangan pembaca blog dan pengunjung alam siber.

Beliau bagaimanapun, menghormati pandangan yang berbeza dengan para blogger Umno yang tulen, berhujah dengan fakta dan bukti, serta menghormati hak demokrasi di negara ini. Tetapi, blogger-blogger yang memilih cara fitnah yang saban hari mengada-ngadakan cerita patut dibanteras, dihukum dan dinyahkan dari alam siber.

Semua cawangan PAS, dewan-dewan, kawasan diseru menganjurkan solat hajat ini, kerana ia adalah lanjutan Solat Hajat Perdana di Stadium Melawati Shah Alam yang diadakan baru-baru ini agar negara diselamatkan dari kekacauan dan fitnah dahsyat para blogger pemfitnah pro-Umno ini.

Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Kelantan telah menganjurkan majlis ramah-mesra dengan para blogger dan facebooker di Kuala Lumpur (gambar atas). Lebih 200 blogger pro-PR dan pro-rakyat hadir dan mereka benar-benar berpuashati dengan keraian yang ditunjukkan oleh kepimpinan kerajaan negeri. Hampir semua Exco hadir termasuklah Timbalan Menteri Besar dan Speaker Dun Kelantan.

PENGUNDI DI TENANG TAKKAN MAHU TERUS JADI `AYAM DAGING'?

16 Safar 1432H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

PAS telah letakkan calon Muslimatnya untuk berdepan dengan calon lelaki anak bekas Adun Tenang di dalam PRK Dun Tenang kali ini. Najib pun telah datang ke Tenang bawa bermacam `hadiah dan saguhati' beserta `tali' untuk `dicucukkan hidung' pengundi-pengundi di Tenang.

Para peneroka Felda mendapat `durian runtuh' sama seperti di Galas, Gua Musang baru-baru ini. Sekali tengok sudah seperti `ayam daging' yang diberi makan, kemudiannya tunggulah saat untuk di`sembelih'.

Di Tenang, si pendek Isa Samad bersantai menonton penari seksi beserta jumlah peminum arak dalam satu Majlis di Tenang, sambil itu mengutuk Tuan Guru Nik Aziz. Di Tenang juga, Najib cuba untuk melindungi sifat pengecutnya dengasn memberi alasan bodoh mengapa tyidak mahu berdebat dengan DS Anwar.

Najib beri alasan, takut DS Anwar demam kerana beliau tahu banyak rahsia DS Anwar. Alasan paling bodoh dan lucu dari seorang PM 1 Malaysia. Memang ramai yang bertepuk bila Najib berkata demikian kerana `habuan' bakal diterima dari Najib. Maka, mahu tidak mahu bertepuklah kita. Itulah hebatnya orang kita dengan cara membalas budi biar pun tergadai `bodi'.

Najib bercerita tentang Saiful, kununnya menyindir DS Anwar yang sekarang ini dituduh melakukan liwat. Mendengar kisah 18SX itu adalah Presiden MCA yang semua tahu `pelakon utama' video biru yang menggemparkan negara suatu ketika. Beliau tidak difitnah kerana beliau sendiri mengaku terlibat dan video pun ada sebagai bukti. Perbuatan Presiden MCA itu jelas,

ada pengakuan dan ada bukti video tetapi Najib bercerita tentang DS Anwar yang tiada bukti satu pun kecuali pengakuan dari Saiful bahawa dia tidak cuci dubur 3 hari. Najib tidak mahu cerita tentang Presiden MCA itu. Tidak cerita pun semua orang tahu.

Jadi, di mana moral Najib mahu burukkan DS Anwar? Kalau takut berdebat, jangan ubah tajuk yang tiada kena mengena. Kalau beliau kata beliau banyak tahu tentang DS Anwar, tunggu apa lagi, dedahkan saja. DS Anwar pun lebih banyak tahu tentang Najib. Kalau debat ini menjadi kenyataan, aku rasa bukan DS Anwar yang demam tetapi Najib yang akan demam bersama Bik Mama Rosmah malahan seluruh anggoita kabinet Najib juga akan turut demam.

Sekarang, seluruh pengundi di Tenang sudah lihat sendiri perangai pemimpin Umno dan Presiden MCA itu. Masih mahu mengundi mereka kah? Cukuplah menjadi `ayam daging'

Senarai Hitam: PAS mahu perbincangan sebelum 28 Feb

16 Safar 1432H
Oleh : Rusly Yasmin.

KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS mahu satu perbincangan diadakan antara kerajaan, pihak Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) dengan rakyat sebelum tempoh pembekuan sementara senarai hitam berakhir 28 Februari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau yang juga Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase), sedia mewakili rakyat membincangkan perkara itu yang sehingga kini tidak menampakkan sebarang tanda penyelesaian munasabah.

"Saya masih mengharapkan bahawa sebelum 28 Februari ini ada perbincangan dengan saya yang akan mewakili rakyat yang tertindas ini.

"Dia mesti beranilah, bukan saya nak lawan atau nak apa," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut hari ini.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan termasuk pindaan terbaru Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang baru diluluskan secara tergesa-gesa di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Tambahnya lagi, rang undang-undang tersebut dilihat tidak menyelesaikan pelbagai masalah besar berbangkit, antaranya berkaitan kemalangan maut, kesalahan memandu secara merbahaya, saman ekor dan masalah senarai hitam pemilik kenderaan.

Beliau sebelum ini juga menuntut agar segala saman ekor yang dibuat sebelum pindaan undang-undang 2010 dihapus kira kerana tidak menepati peruntukan undang-undang.

Ianya termasuk tiada tanda amaran sebelum 500 meter dari kamera perangkap had laju yang dipasang.

Apa yang dirisaukan katanya, pindaaan rang undang-undang baru tersebut akan menjadikan saman ekor sebagai perniagaan dan bukan untuk mendidik rakyat.

"Dulu masa dia amibil ramakaman imej tetapi pada waktu itu tak ada peruntukan undang-undang yang menjadikan rakaman itu bahan bukti untuk menyabitkan kesalahan.

"Selepas pindaan undang-undang baru ia jadi bahan bukti. Maksudnya kesalahan undang-undang (sebelum pindaan) ini tak boleh pakai," tambahnya lagi.

Mahfuz sebelum ini juga, telah menghantar memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menagguhkan perlaksanaan pindaaan rang undang-undang baru tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, pada Ogos tahun lalu mengumumkan senarai hitam pemilik kenderaan ditarik balik sementara waktu sehingga 28 Februari tahun tahun ini.

Berikutan itu, semua pemilik kenderaan yang mempunyai masalah untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu boleh berbuat demikian sehingga tempoh itu.

MB SELANGOR MEMBAZIR RM 10 JUTA HANYA KERANA MENYELAMATKAN UMAT ISLAM DI PREMIS ARAK?

16 Safar 1432H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

TERBUKTI bahawa kerjasama di antara PAS dengan PKR dan DAP lebih baik malah lebih menguntungkan umat Islam. Contohnya dapat kita lihat di Selangor, walaupun yang memimpin Kerajaan Selangor adalah PKR, namun semua pandangan dari rakan PAS dan DAP diambil kira. Kerjasama ini tidak akan berlaku sekiranya PAS bersama Umno, MCA, MIC dan Gerakan kerana PAS cukup mempelajari sejarah lampau di mana Umno telah mengkhianati PAS.

Isu agama mungkin dikatakan sukar buat PAS bersama dengan PKR lebih-lebih lagi DAP, tetapi itu hanyalah jangkaan Umno dan itu jugalah harapan Umno agar PR tidak mampu bersatu. Tetapi kita telah buktikan sebaliknya.

Di dalam isu pekerja Islam di premis arak telah menjadi satu modal besar buat Umno untuk memecah belahkan PR di Selangor. Bantahan oleh Umno terhadap YB Ronnie Liu yang kununnya menentang larangan umat Islam bekerja di premis arak tidak memberi kesan apa-apa pun kerana rakyat Selangor tahu sikap Umno terhadap Islam selama ini.

Apabila kita membaca di sini, kita lihat isu ini dapat diselesaikan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Itulah untungnya jika kita memilih kerajaan yang dipimpin oleh parti yang peka kepada rakyat.

Umno tidak akan terfikir bagaimana Kerajaan Negeri Selangor sanggup berhabis duit sebanyak RM 10 Juta semata-mata untuk menyediakan alternatif dan membantu pekerja-pekerja Islam yang berhenti kerja di premis arak untuk mencari kerja lain yang halal.

Wang tersebut juga akan digunakan untuk menawarkan mereka latihan keusahawanan dan bantuan modal bagi memulakan perniagaan. Antara sektor perniagaan yang ditawarkan bantuan modal adalah kecantikan, jahitan, masakan, membaiki telefon bimbit dan lain-lain. Kerajaan Selangor tidak sayang untuk menghabiskan sejumlah wang tersebut asalkan rakyat Selangor tidak terpaksa mencari makan secara haram.

Apakah ini nanti akan dianggap satu tindakan populis oleh Najib? Adakah ini hanya taktik Kerajaan Negeri Selangor semata-mata? Pedulikan tuduhan jahat mereka, yang pasti sesiapa yang ingin memohon bantuan yang disediakan boleh terus ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Selama 50 tahun lebih Umno memegang kuasa di Pusat atau di beberapa Negeri, pernahkah Umno terfikir untuk melakukan seperti ini? Jawapannya tidak, bahkan Najib pernah bercita-cita untuk meluluskan lesen judi Bola Sepak Piala Dunia dan ingin mewujudkan Hub Hiburan di negara ini.

Justeru itu, tepat sekali keputusan PAS untuk terus bersama PR dan menolak Umno ke tepi. Seandainya PR menerajui Putrajaya, boleh kita bayangkan kerjasama dan persefahaman ini tentunya lebih baik dan menguntungkan rakyat.

Selepas ini Umno akan terus mencari isu untuk meruntuhkan kerjasama di dalam PR, tetapi kita percaya pemimpin kita lebih bijak dan cerdik dari pemimpin mereka walaupun pemimpin mereka mendapat bantuan khidmat nasihat dari Apco.

Seramai 30 Blogger PAS diberi taklimat hadapi PRU-13 oleh dua Naib Presidennya

16 Safar 1432H.
Oleh : Tarmizi Mohd Jam.

Seramai 30 Blogger PAS dari seluruh negara hadir dalam satu pertemuan dengan dua Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar jam 3 petang di Kolej Islam Zulkifli Muhamad atau KUIZM, dekat Taman Melewar.

Pertemuan yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat itu bertujuan mengerakkan kumpulan blogger PAS yang tegar, efisyen dan pantas dalam menerangkan dasar-dasar parti serta bijak menjawab balik tuduhan dan tohmahan musuh-musuh terhadap PAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad bertindak sebagai moderator pertemuan tersebut yang antaranya dihadiri oleh Blogger CinaIslam, Sanggahtoksago dan ramai lagi. Majlis berakhir kira-kira jam 5 petang dengan beberapa resolusi yang perlu diambil tindakan segera.

Ia sebagai persediaan dan persiapan PAS menghadapi pilihan raya umum (PRU-13) yang dijangka seawal-awalnya pada bulan Jun ini. Salahuddin, Mahfuz dan Ustaz Idris berharap, kumpulan blogger PAS ini mampu memainkan peranan yang cekap dalam memasarkan idea dan pandangan PAS serta menangkis serangan pihak Umno-BN sepanjang masa.

'Melayu terpinggir S'pura' sanggah ulasan Dr M

16 Safar 1432H.
Oleh : roslan mohd.

Bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjadi topik hangat di sini apabila ulasan-ulasannya mengenai nasib Melayu Singapura menjadi polemik dan mendapat kritikan pedas beberapa orang Melayu setempat.

Akhbar Berita Harian Singapura telah menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang telah terpinggir dan ketinggalan.

Dalam ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca Haji Sallim Haji Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr Mahathir yang membuat kenyataan yang tidak berasas bahawa Melayu republik itu terpinggir dan tertinggal.

"Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoalkan masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr Mahathir.

“Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia,” kata Sallim.

Tak tagih subsidi

Katanya Dr Mahathir yang terbuai dengan populariti di alam siber dan blog suka menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh.

Penulis itu juga mempertahankan kedudukan Melayu Singapura dengan menyatakan kaum itu maju tanpa menagih subsidi dan kedudukan agama Islam di Singapura terpelihara dan berkembang walaupun ia bukan agama rasmi.

“Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah. Rasuah di sini wujud, tetapi tahapnya tidak mengejut. Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi. Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan,” ungkap Sallim.

Seorang lagi pembaca, Hajah Kamariah Lim Li Hwa menegur Dr Mahathir bahawa sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang orang Melayu Singapura, diharap beliau “menyelidik dulu keadaan kami.“

“Kami orang Melayu Singapura berasa senang hati dan bersyukur kerana pemerintah Singapura menjalankan amanah dengan telus,” katanya.

'Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi'

Menurutnya, walaupun Singapura bukan negara Islam, kebanyakan undang-undang di Singapura tidak ada yang bercanggah, malah sejajar, dengan ajaran Islam.

Hajah Kamariah berkata kemungkinan Dr Mahathir (bersikap demikian kerana) berurusan dengan seseorang individu (rakyat Singapura) yang tidak berpuas hati atas beberapa dasar pemerintah Singapura kerana tidak dapat memenuhi kepentingan diri sendiri.

Seorang lagi pembaca, Eusope Musawa menulis Melayu Singapura hidup dengan selesa dan 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi', dan mereka ada kebebasan dalam hal agama dan pelajaran mereka juga setaraf dengan penduduk masyarakat lain.

“Tun Dr Mahathir sepatutnya menasihatkan orang Melayu Malaysia agar belajar daripada orang Melayu Singapura bagaimana boleh maju. Saya berharap kenyataan beliau akan membakar semangat orang Melayu setempat untuk terus maju,” tulis Eusope.

Bagaimanapun, seorang pembaca yang menamakan diri beliau, Walid Jumblatt Abdullah menulis dalam forum akhbar itu semalam, bahawa beliau amat gembira sekali apabila melihat masyarakat Melayu Singapura bergegas menyangkal kritikan Dr Mahathir.

Katanya, “Alangkah baiknya kalau masyarakat Melayu begitu cepat sekali bertindak ketika masalah-masalah seperti keluarga pincang, keruntuhan akhlak, keputusan pelajar kurang memuaskan berbanding kaum lain dan sebagainya timbul untuk menangani masalah-masalah tersebut.”

Dr M banyak berjasa

Menurutnya, memang tidak dinafikan, Dr Mahathir sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kontroversial dan tidak semestinya semua yang dinyatakan beliau adalah benar.

Namun, setiap manusia ada kelemahannya, katanya, dan beliau amat terkejut apabila melihat surat-surat yang mengutuk Dr Mahathir, malah, ada yang menggunakan kata-kata agak keras sehingga mengecapnya “seorang tua yang nyanyuk”.

Walid berkata walaupun jika seseorang yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tidak perlulah digunakan bahasa sedemikian kerana sikap serupa itu memang bukan daripada budaya Melayu itu sendiri.

Katanya Dr Mahathir adalah satu-satunya pemimpin Melayu yang dikenali di seluruh dunia, bahkan beliau disanjung dalam Dunia Islam.

“Walaupun beliau mempunyai kekurangan sendiri, beliau terlalu banyak berjasa kepada dunia Islam: sering sekali beliau memperjuangkan isu-isu yang tidak sama sekali diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin Islam di mana-mana sahaja, seperti isu Bosnia (Herzegovina), Kosovo, Somalia, Sudan, Palestin dan lain-lain lagi,” tambah Walid.

Menurutnya, Dr Mahathir dicalonkan oleh empat kumpulan badan bukan kerajaan (NGO)dari Bosnia-Herzegovina, dua daripada empat kumpulan ini adalah kumpulan Kristian, untuk memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 2007.

“Setahu saya, beliau pemimpin Melayu pertama dicalonkan bagi anugerah penghargaan tersebut,” jelas Walid.

Kadar kemiskinan turun 80 peratus

Mengulas komen seorang pembaca yang mengatakan tidak ada pembangunan bagi orang Melayu di bawah kepimpinan Dr Mahathir, Walid bertanya, “tahukah anda bahawa kadar kemiskinan di Malaysia telah dikurangkan sebanyak 80 peratus sewaktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri?”

Bahkan, katanya kemajuan Malaysia diiktiraf seluruh dunia sehinggakan negara itu digelar sebagai “Harimau Asia” oleh IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) kerana kemajuan ekonominya.

Walid berkata Dr Mahathir telah menaikkan martabat bangsa Melayu di mata dunia, dan, “Janganlah kita dibutakan kebencian kita terhadapnya sehingga kita tidak mengiktiraf jasa-jasa beliau kepada dunia Melayu dan dunia Islam.”

“Juga, janganlah dengan kita mengambil sikap defensif terhadap kritikan orang luar, kita tidak melihat masalah-masalah dan kekurangan masyarakat kita sendiri,” tambah Walid.