01 Februari 2011

Tentera sekat jalan memasuki Kaherah

27 Safar 1432H.


KAHERAH: Tentera Mesir membuat sekatan jalan raya menuju masuk bandar itu dan bandar lain menjelang protes besar-besaran bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Lebuhraya yang menghubungkan bandar Iskandariah dan Kaherah disekat oleh pusat pemeriksaan tentera kira-kira satu kilometer dari pinggir ibu negara berkenaan. Trak dan kereta yang membawa barangan dan menuju Kaherah kelihatan diarahkan supaya meletak kenderaan mereka di tepi jalan pada ketika tentera melarang kenderaan meneruskan perjalanan. Di laluan lain pula, kereta dan bas mini diperiksa sebelum dibenarkan memasuki Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir.

Sementara itu, jalan raya keluar dari bandar Mansura, bandar Suez dan Fayum, selatan Kaherah turut disekat pihak tentera. - AFT.

Pelajar Malaysia Di Mansurah Sedia Untuk Pulang

27 Safar 1432H.

PETALING JAYA: Pelajar Malaysia di Universiti Mansurah, Mesir dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sebahagian daripada mereka kini berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk pulang ke tanah air.

Difahamkan lebih daripada 15 pelajar Kuliah Perubatan universiti itu kini sedang bergerak dari bandar Mansurah menuju ke lapangan terbang antarabangsa berkenaan secara berkumpulan.

Menurut wakil persatuan pelajar Perubatan Cawangan Mansurah (PCM), Muhammad Azrul Azizi Amir Hamdan, tindakan meninggalkan negara yang kini sedang bergolak itu adalah inisiatif kumpulan pelajar berkenaan.

"Kumpulan terbabit mengambil langkah sendiri untuk pulang dan ada sebahagian daripada mereka sudah membeli tiket pulang ke Malaysia beberapa bulan lebih awal," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Muhammad Azrul Azizi, pelajar tahun tiga universiti selamat pulang ke Malaysia Ahad lalu.

Beliau kini mengendalikan laman blog krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com bagi mengumpul maklumat mengenai perkembangan terkini pelajar Malaysia di Mesir serta menjejaki kumpulan pelajar yang sudah selamat sampai ke tanah air.

Bagaimanapun menurut Muhammad Azrul Azizi, beliau dimaklumkan oleh rakannya yang berada di lapangan terbang tersebut, bagi pelajar yang mempunyai tiket penerbangan Egypt Air, tiada jaminan bahawa pesawat berkenaan akan terbang ke Kuala Lumpur.

"Tiada jaminan kerana sebelum ini Egypt Air sudah beberapa kali menangguhkan penerbangan dan ada juga penerbangan yang dibatalkan," katanya.

Tambah Muhammad Azrul Azizi, terdapat juga beberapa pelajar yang kini sudah menaiki pesawat Gulf Air dan bersedia untuk terbang ke Kuala Lumpur.

Keadaan di Mesir kucar-kacir berikutan suasana politik yang tidak menentu di negara itu akibat demonstrasi jalanan mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Sejak Selasa minggu lalu, beberapa demonstrasi jalanan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansurah.

Daripada 11,319 pelajar Malaysia di negara itu, 6,135 sedang mengikuti jurusan pengajian Islam dan selebihnya dalam bidang perubatan.

mStar/-

Hadit pilihan : Lindungi yang dizalimi.

27 Safar 1432H.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ” Janganlah salah seorang daripada kamu berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu dibelasah secara zalim, kerana laknat akan turun ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka tidak mempertahankannya.”

Riwayat at-Tabrani

Huraian

i) Perbuatan zalim adalah perbuatan yang mendatangkan kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain atau mungkin dalam bentuk mengambil manfaat dari orang lain dengan cara yang salah ataupun melakukan sesuatu terhadap orang lain yang menimbulkan rasa sakit kerana perlakuan tersebut memberi keseronokan atau kepuasan kepada yang melakukannya. Pemerasan, pemaksaan dan penipuan demi keuntungan peribadi juga termasuk dalam perbuatan yang zalim.

ii) Perbuatan zalim lazimnya dilakukan oleh orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding dengan orang yang dizalimi. Ini kerana, fenomena kezaliman tidak akan berlaku sekiranya orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama. Kelebihan atau kekuatan ini boleh diukur dari pelbagai aspek, seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh.

iii) Realiti masyarakat hari ini mengamalkan gaya hidup individualistik sehingga sanggup membiarkan penganiayaan dan kezaliman berlaku di hadapan mata mereka sendiri. Sikap ‘tidak mengambil endah’ ini tidak wajar berlaku kerana selaku anggota sesebuah masyarakat setiap individu mestilah bersikap saling mengambil berat, sayang-menyayangi dan belas-kasihan di antara satu sama lain.

iv) Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya sangat mudah dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Oleh itu perbuatan zalim sebenarnya merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Allah S.W.T boleh memberi hukuman ke atas si pelaku tersebut ketika di dunia lagi seperti nasib yang menimpa Firaun. Malah di akhirat kelak orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

Demo Mesir : Kepala mumia dipancung perusuh

Demo di Mesir berlanjutan . Isnin, Kelihatan 2 orang tentera membuat kawalan ketat di dalam Mezium Kebangsaan Mesir di Cairo selepas berlakunya pencerobohan oleh sekitar 50 orang penunjuk perasaan yang menyebabkan dua kepala mumia putus dan jatuh berselerak kelantai bersama tulang-tulang mumia yang lain.

Demi di Mesir, lebih 100 terbunuh.

Sebuah pusat perbelanjaan diceroboh dan dibakar di ibukota, Cairo, Ahad.

27 Safar 1432H.


Sekurang-kurang 100 orang terkorban dan kira-kira 1.000 orang cedera dalam tempoh lima hari protes anti-kerajaan di Mesir.

Sekitar tiga peserta demonstrasi dilaporkan mati pada hari Sabtu ketika polis menembak para perusuh berdekat Kementerian Dalam Negeri di Cairo. 22 orang juga mati dalam pertempuran di Beni Suef, Cairo Selatan.

Para peserta demo melanjutkan demonstrasinya di Tahrir Square di Cairo dan di wilayah ibukota lainnya, serta di Alexandria dan Suez. Puluhan ribu orang menentang perintah berkurung waktu malam untuk menuntut berakhirnya pemerintahan Mubarak selama 30 tahun.

Perompakan nampaknya menjadi masalah yang berkembang dengan cepat. Laporan-laporan dari Cairo dan Alexandria mengatakan kelompok-kelompok penjahat mencuri pejabat dan rumah. Di beberapa wilayah di Cairo, penduduk tempat telah menubuhkan pasukan pengasal sendiri dengan bersenjata tongkat dan senjata lainnya untuk melindungi rumah-rumah kediaman.

Ribuan penumpang terkandas di Lapangan terbang Cairo akibat penerbangan yang dibatalkan atau ditunda. Beberapa negara Arab menyelamatkan warga negara mereka. Pengawal Tentera telah membuat sekatan jalanraya yang masuk ke berbagai destinasi pelancongan Mesir, termasuk Muzium Mesir di Cairo dan kompleks Piramid di Giza.

Sementara itu, Presiden Hosni Mubarak telah melantik ketua intelijen Omar Suleiman sebagai Naib presiden. Ini adalah pertama kalinya presiden melantik seseorang untuk jawatan itu. Mubarak juga melantik Menteri Pengankutan Ahmed Shafiq sebagai Perdana Menteri pada hari Sabtu, dan meminta Shafiq untuk membentuk kabinet baru.

Aktivis Pembangkang Mesir, Mohamed ElBaradei manganggap usaha Mubarak, dengan ia mengatakan pelantikan pemimpin baru tidak memadai. Dalam wawancara dengan Al-Jazeera, pemenang Hadiah Novel itu mengatakan para penunjuk perasaan menginginkan perubahan rejim dan mengakhiri apa yang disebut ElBaradei sebagai dektetor

Taiwan sewa pesawat bawa pulang rakyat terkandas di Mesir

27 Safar 1432H.

TAIPEI: Taiwan menyewa sebuah pesawat untuk membawa pulang 129 warganya di Mesir yang terkandas lebih seminggu akibat tunjuk perasaan, kata Kementerian Luar negara itu hari ini.

Jurucakap kementerian itu, James Chang, berkata mereka tiba di Frankfurt selepas berlepas dari Mesir menaiki pesawat syarikat penerbangan Jordan dan dijangka tiba di Khamis ini dengan penerbangan China Airlines.
Dalam pada itu, seramai 192 pelancong Taiwan masih berada di Mesir sam aada di Kaherah atau selatan bandar Luxor.

KTMB batal khidmat tren ke selatan dan pantai timur

27 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini membatalkan dan menjadualkan semula perkhidmatan tren bagi sektor Selatan dan Pantai Timur berikutan banjir dan tanah runtuh.

Perkhidmatan tren yang dibatalkan ialah Ekspres Sinaran Selatan (KL Sentral-Singapura), Ekspres Senandung Sutera (KL Sentral-Singapura)dan Shuttle (Kuala Lipis-Singapura).

Menurut kenyataan KTMB hari ini beberapa perkhidmatan dijadualkan semula ialah Ekspres Rakyat (Butterworth/Singapura/Butterworth), Ekspres Sinaran Selatan (Singapura/KL Sentral), Ekspres Sinaran Timuran (Singapura/Tumpat/ Singapura) dan Senandung Wau (Kl Sentral/ Tumpat).

Katanya, perkhidmatan Ekspres Rakyat kini hanya dari Kl Sentral ke Butterworth sahaja manakala Ekspres Sinaran Selatan hanya dari Singapura ke Kluang sahaja.

Bagi Ekspres Timuran pula perkhidmatan ialah dari Singapura ke Kluang, dan dari Tumpat ke Triang sahaja manakala bagi Ekspres Senandung Wau, penumpang akan menaiki bas dari Kl Sentral ke Mentakab sebelum meneruskan perjalanan dengan tren ke Tumpat.

Katanya, bagi penumpang yang terjejas akibat pembatalan itu, mereka boleh menukar tarikh perjalanan atau menuntut pemulangan tiket yang dibeli di kaunter KTMB berhampiran.

Maklumat terkini mengenai jadual perkhidmatan boleh didapati dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862.

BeritaHarian/-

Siapakah sebenarnya yang benci Rasulullah?

27 Safar 1432H.
Oleh : Ahmad Baei Jaafar.

Isu menyambut Maulidul Rasul bidah sudah agak berkurangan sekarang. Pihak yang mendakwa bidah mula akur dengan keputusan kerajaan dan ulama. Malah ada masjid yang suatu ketika dahulu tidak membuat majlis tersebut turut menganjurkan juga kini.

Menyambut Maulidul Rasul pada setiap kali tarikh 12 Rabiulawal hakikatnya untuk menyatakan rasa kecintaan kepada Baginda Rasul. Mungkin pada sesetengah orang, rasa cinta kepada rasul semakin berkurangan dengan berlalunya masa. Jadi, dengan sambutan ini boleh mengingatkan kembali rasa cinta itu.

Cuma persoalan sekarang, adakah orang yang tidak mahu menyambut majlis Maulidul Rasul termasuk dalam kategori orang membenci nabi? Perlu dijelaskan di sini, tidak menyambut majlis sebegini tidaklah wajar dikatakan membenci nabi dan rasul. Hal ini kerana rasa cinta boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

Sebenarnya mereka yang membenci nabi pada hari ini boleh didapati di mana-mana. Mereka ini bukan sahaja tidak mahu mengikut sunnah Rasulullah tetapi turut memperlecehkan sunnah itu. Solat sunat bukan sahaja mereka tidak melakukannya tetapi turut mengatakan bukan-bukan kepada yang melakukan solat itu.

Pakaian menutup aurat bukan sahaja mereka tidak mahu memakainya, tetapi turut mencipta pakaian yang berlawanan dengan perintah Allah. Mereka ini secara umumnya apabila menyebut sunnah akan melihatnya sebagai negatif. Hal ini adalah kerana mereka sendiri tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan sunnah.

Sebenarnya sunnah di sudut bahasa bukan sunat tetapi sesuatu yang menjadi istiqamah Rasulullah dalam hayatnya. Mungkin dalam ruang yang sedikit ini saya boleh contohkan beberapa sunnah yang wajar kita ikut:

Solat pada awal waktu
Puasa sunat Isnin dan Khamis
Makan berjemaah dengan keluarga atau sahabat
Bermanja dengan isteri
Membantu kerja isteri
Segera memberi nasihat sesuatu yang dilihat tidak betul
Berpakaian kemas dan sopan.

Ramai yang salah faham dalam soal sunnah ini kerana mereka hanya melihat kepada memakai serban dan jubah. Dan sunnah juga selalu dirujuk kepada amalan poligami. Padahal banyak lagi sunnah yang mudah kita lakukan setiap hari namun selalu kita abaikan.

Menyentuh soal ini, umat Islam perlulah memahami apa yang diajar oleh Rasulullah dan amalkan dengan sebaiknya kalau tidak mahu dikatakan “membenci sunnah rasul”. Selain yang disenaraikan di atas, umat Islam juga perlu sedar bahawa Rasulullah datang dengan membawa dua perkara besar bersandarkan firman Allah yang bermaksud:

“... dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Hasr: 7)

Dua perkara yang dimaksudkan ialah: Apa yang dibawa oleh baginda, kita kena terima dan amalkan; dan apa yang dilarang olehnya hendaklah dipatuhi dan tinggalkan.
Oleh sebab itu apa sahaja yang disuruh oleh rasul, kita wajib patuh kerana apa yang dibuat oleh rasul itu adalah perintah Allah.

Sebaliknya apa yang rasulullah larang, wajiblah kita tinggalkan. Maknannya haram ke atas kita melakukannya.

Semua perintah dan larangan itu perlu diketahui oleh umat Islam. Untuk itu mereka perlu belajar sama ada dengan berguru atau membaca sendiri buku-buku yang telah ditulis dan dikumpulkan oleh ulama.

Percayalah kalau semua umat Islam ada ilmu yang cukup, aqidah mereka akan mantap, ibadah mereka lebih bermutu dan akhlak mereka akan lebih baik. Mereka inilah yang layak dikatakan beriman dan bertaqwa.


Demo di Mesir desak Mubarak letak jawatan.

PENUNJUK perasaan anti kerajaan berarak sambil membawa sepanduk wajah Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang diberi gambaran berupa Adolf Hitler di Dataran Tahrir, Kaherah hari ini. Jalan raya sekitar Kaherah dibanjiri penunjuk perasaan mendesak Mubarak supaya meletak jawatan sejak seminggu lalu. - Foto AP

China tambah pesawat bawa rakyat keluar dari Mesir

27 Safar 1432H.

BEIJING: China akan menambah sekurang-kurangnya dua pesawat untuk membawa pulang kira-kira 2,000 rakyatnya di Mesir yang dilanda protes oleh penunjuk perasaan.

Dua pesawat itu dijangka berlepas hari ini selepas dua syarikat penerbangan dihantar ke Mesir kelmarin untuk membawa kira-kira 500 warga negara itu yang terkandas di Lapangan Terbang Kaherah. "Kerajaan China mengambil berat mengenai keselamatan rakyatnya yang berada di Mesir dan menyelaraskan syarikat penerbangan tertentu untuk menambah penerbangan bawa membawa rakyat pulang ke China," kata Agensi Berita Xinhua.

BeritaHarian/-

Perkhidmatan internet terakhir di Mesir terputus

27 Safar 1432H.

SEATTLE: Penyedia perkhidmatan internet utama Mesir, Noor Group terputus semalam.

Perkhidmatan internet Noor Group masih beroperasi selepas empat penyedia perkhidmatan utama lain di Mesir — Link Egypt, Vodafone/Raya, Telecom Egypt dan Etisalat Misr — terhenti pada pagi Jumaat lalu. Pada kira-kira jam 11 malam waktu tempatan semalam, perkhidmatan Noor Group tidak dapat berfungsi.

BeritaHarian/-

Gunung berapi meletup keluarkan debu dan batu

27 Safar 1432H.

TOKYO: Gunung berapi di Jepun meletup semula dengan mengeluarkan gas yang banyak, ketulan batu dan debu ke udara serta mengakibatkan tingkap hotel dan pejabat pecah sejauh lapan kilometer di kawasan Kirishima selatan Pulau Kyushu.

Pegawai berkata, mereka meluaskan zon bahaya bagi menjauhkan penduduk. Leputan awal hari ini adalah yang terbesar sejak Gunung Berapi Shinmoedake yang meletup minggu lalu. Jumlah kawasan yang terkena debu dan sisa leputan boleh dilihat sejauh beberapa kilometer.

Letupan itu turut menumbangkan pokok dan ratusan tingkap hotel dan pejabat pecah. Setakat ini tiada kecederaan serius dilaporkan.

BeritaHarian/-

Kami perihatin, hulurkan bantuan anda.


27 Safar 1432H.
Abu Adham.

MELAKA - Seorang Imam dari Masjid al-Amin, Jamaluddin Bin Jam Jam telah dimasukkan ke hospital Melaka Medical Center kerana mengalami ketumbuhan di pundi kencing. Beliau berasal dari DUN Semanggol, Perak telah mendapatkan rawatan dihospital tersebut hampir sebulan yang lalu.

Beliau bertugas di masjid selama 28 tahun sebagai seorang Imam Masjid al-Amin dan juga merupakan pengundi di DUN Semanggol dengan pendapatan RM750 sebulan dan masih mempunyai tanggungan yang besar memandangkan anak-anak beliau masih menuntut di IPT.

Penyakit yang dihidapinya adalah ketumbuhan di dalam pundi kencing yang mana memerlukan pembedahan yang segera bagi menyelamatkan nyawa beliau untuk melancarkan proses saluran air kencing serta kos untuk pembedahan.

Saluran kencing terpaksa dipotong dan disalurkan keluar menggunakan bongkah takungan najis sepanjang hayat sebagai alternatif.

Mohon dipertimbangkan untuk bantuan dan juga bantuan bagi meringan beban yang ditanggung oleh beliau untuk menyara keluarga serta anaknya yang masih belajar.

Kepada sesiapa yang ingin membantu dan memberi sumbangan bolehlah menghubungi di talian 012-5776491.

Bencana ombak besar terburuk

27 Safar 1432H.

GELIGA – Seramai 34 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Geliga Baru terpaksa dipindahkan ke pusat peminda-han sementara selepas rumah mereka yang terletak tidak jauh dari pantai dipukul ombak besar sehingga menyebabkan rumah masing-masing dibanjiri air laut dan pasir, malam kelmarin.

Berikutan kejadian air laut pasang besar kira-kira jam 5.30 petang, mereka hanya sempat mengalihkan peralatan elektrik, perabot, barang berharga dan pakaian ke sudut rumah yang tidak terkena tempias dan terpaksa menanggung risiko kerugian sebelum berpindah ke Surau Haji Ali sekitar jam 9 malam.

Lebih menyedihkan, semua mangsa juga mungkin berdepan risiko rumah ranap ditelan ombak sekiranya keadaan ombak besar berterusan sehingga beberapa hari lagi.

Semua mangsa turut menyifatkan fenomena ombak besar kali ini adalah yang terburuk sejak beberapa tahun lalu sehingga jarak rumah masing-masing tidak sampai satu meter dari pantai berikutan berlakunya hakisan pantai yang teruk.

Mangsa yang juga ibu kepada 12 anak, Noriza Othman, 47, berkata, pukulan ombak yang deras setinggi beberapa meter dalam kejadian kali ini sehingga air laut memasuki rumahnya menerusi bumbung adalah insiden paling menakutkan walaupun minggu lalu fenomena ombak besar turut dialaminya sekeluarga.

“Kejadian ombak besar dan hakisan pantai semakin teruk sejak tahun lalu, malah setiap kali berlakunya ombak besar saya, anak dan jiran tetangga terpaksa keluar dari rumah dan duduk di bangsal untuk menunggu ombak kembali tenang dan air surut selepas 4 hingga 6 jam.

“Setiap kali kejadian ombak besar terjadi, kami semua terpaksa berjaga-jaga, namun kali ini kami terpaksa berpindah kerana dengan keadaan ombak yang lebih besar daripada biasa, dikhuatiri boleh membahayakan nyawa,” katanya.

Noriza yang bekerja sebagai kerani di Pejabat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Daerah berkata, walaupun agak sukar baginya yang mempunyai keluarga besar untuk berpindah tetapi memikirkan nyawa mereka 14 beranak, mereka terpaksa berpindah dengan hanya membawa dokumen penting manakala peralatan rumah lain terpaksa ditinggalkan.

Katanya, gara-gara fenomena ombak besar yang kerap berlaku tahun lalu dan belakangan ini membuatkan mereka sekeluarga terpaksa menanggung kerugian besar selepas tiga mesin jahit, peti sejuk dan perabot rumah mereka rosak ditenggelami air laut.

Noriza berkata, dalam kejadian kali ini, anaknya, Faizal, 25, yang bekerja sebagai tukang jahit juga mungkin berdepan kerugian kerana terpaksa meninggalkan mesin jahit dan tempahan pelanggannya di rumah kerana mereka hanya berpindah sehelai sepinggang.

“Melihat kepada keadaan hakisan yang semakin kritikal dan rumah kami sudah terlalu dekat dengan pantai, rasanya rumah kami akan ditelan ombak sebagaimana rumah penduduk lain sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, ketika tinggal di kawasan itu 15 tahun lalu, jarak pantai dari rumahnya masih jauh berbeza dan tidak seperti sekarang.

“Sehubungan itu, saya sekeluarga dan jiran tetangga yang lain berharap kerajaan membantu dengan menyediakan tanah atau kawasan untuk kami berpindah sebagaimana janji kerajaan pada 1999 yang bersedia memberi tanah kepada mangsa bencana,” katanya.

“BUNYI dentuman ombak memukul dinding konkrit rumah saya cukup ngeri dan menakutkan membuatkan kami sekeluarga idak lena tidur malam setiap kali berlakunya ombak besar sejak awal bulan Disember lalu,” demikian kata nelayan, Othman Ali, 58.

Keadaan menakutkan itu terpaksa dialami Othman dan isterinya, Halimah Ishak, 58, dan empat anaknya; Mohd Firdaus, 22, Mohd Zulkhairi, 20; Norwani, 14, dan Siti Mariam, 10, kerana rumah mereka adalah paling hampir dengan pantai jika dibandingkan rumah empat lagi jiran mereka.

Malah, Othman yang kini genap lima tahun menetap di situ berkata, kejadian ombak besar bukan sahaja berlaku pada waktu malam dan awal pagi sahaja bahkan kadangkala turut berlaku pada waktu petang sehingga memaksa mereka sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa.

“Sepanjang musim tengkujuh yang masih belum berakhir ini kami perlu sentiasa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan.

“Meskipun saya sekeluarga khuatir dengan keadaan rumah yang hampir ditelan ombak ini tetapi kami terpaksa tinggal di sini dan membiarkan semua peralatan elektrik serta barang berharga di rumah kerana tiada tempat untuk memindahkan barang,” katanya dengan nada sedih.

BEBANAN mangsa bencana ombak besar sedikit terubat apabila pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Geliga Baru menguruskan lokasi pemindahan selain pihak Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa.

Pengerusi JKKK, Mohd Hisham Zubir berkata, mangsa terpaksa dipindahkan ke Surau Haji Ali dan bukan di Balai Raya Taman Geliga Baru disebabkan balai raya itu terlalu uzur.

“Bila kejadian bencana seperti ini berlaku kita mengalami kesusahan kerana tiada tempat untuk menempatkan mangsa disebabkan balai raya sedia ada yang terlalu daif sehingga terpaksa tempatkan mereka di surau.

“Justeru, diharap Yang Berhormat (YB) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pihak berkenaan dapat mempercepatkan kerja baik pulih balai raya agar kemudahan berkenaan dapat digunakan sepenuhnya selepas ini terutama berhadapan dengan saat cemas seperti ini,” katanya.

Lebih penting, katanya, Kerajaan Negeri dan ADUN diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi semua mangsa bencana ombak besar berkenaan.

Sinar/-

Khalil : BN terus menyusahkan rakyat.

27 Safar 1432H.
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 1 Feb :- BN terus meneruskan dengan agenda yang menyusahkan rakyat Malaysia, dalam masa sama tindakan BN menggambarkan bahawa mereka tidak peduli dan tidak ambil kisah suara rakyat yang mahukan pembelaan .Demikian penegasan dari Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs.Kalil Idham Lim.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenaikan Harga Minyak Ron97 sehari selepas kemenangan calon BN di DUN Tenang.

"Tahniah kepada para pengundi BN di Tenang khususnya, mereka buka sahaja telah mendapat pemimpin baru di situ, malah mereka juga telah berjaya ditipu dengan janji manis BN bahawa merekalah pembela rakyat yang tidak tertanding, Mereka juga dapat harga minyak baru." kata YB Khalil yang juga Ketu Penerangan PAS Perak di sini.

Tambahnya, dengan kenaikan tersebut, harga petrol RON97 yang meningkat menjadi RM2.50seliter berbanding RM2.40 sebelumnya akan membebankan rakyat dan bertentangan dengan kempen yang dijalankan oleh BN di Tenang kononnya ingin membela rakyat.

Menurutnya lagi yang juga ADUN Titi Serong, kenaikan ini merupakan yang keempat berturut-turut bagi petrol RON97 sambil menyifatkan ia adalah satu lagi episod duka bagi rakyat yang sememangnya berada dalam keadaan terhimpit dengan kenaikan berantai harga barang.

"BN memang bijak mengaburi mata rakyat, kenaikan harga ini juga dilakukan sehari selepas pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung Ahad baru-baru ini, bayangkan jika mereka naikkannya pada Sabtu atau Ahad, BN pasti sukar menang" ujarnya.

Khalil juga mengingatkan kepada BN khususnya supaya jangan terlalu angkuh dengan kuasa kerajaan pusat yang mereka miliki, sambil menyifatkan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir sebagai satu amaran awal terhadap BN supaya mereka jangan terlalu bermegah dengan kerajaan yang diperintah.

"Sesungguhnya rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan kerajaan pilihan mereka setiap kali pilihanraya" jelasnya.

"Saya menjangkakan rakyat akan menolak BN dalam PRU ke 13 nanti, Gambaran di Tenang bukalah gambaran sebenar BN diterima oleh rakyat dan sebaliknya Pakatan Rakyat telah ditolak, Kerana itu BN jangan terlalu angkuh dan sombong dengan kemenangan itu" jelasnya ketika mengakhiri sesi temu ramah.