01 Februari 2011

KTMB batal khidmat tren ke selatan dan pantai timur

27 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini membatalkan dan menjadualkan semula perkhidmatan tren bagi sektor Selatan dan Pantai Timur berikutan banjir dan tanah runtuh.

Perkhidmatan tren yang dibatalkan ialah Ekspres Sinaran Selatan (KL Sentral-Singapura), Ekspres Senandung Sutera (KL Sentral-Singapura)dan Shuttle (Kuala Lipis-Singapura).

Menurut kenyataan KTMB hari ini beberapa perkhidmatan dijadualkan semula ialah Ekspres Rakyat (Butterworth/Singapura/Butterworth), Ekspres Sinaran Selatan (Singapura/KL Sentral), Ekspres Sinaran Timuran (Singapura/Tumpat/ Singapura) dan Senandung Wau (Kl Sentral/ Tumpat).

Katanya, perkhidmatan Ekspres Rakyat kini hanya dari Kl Sentral ke Butterworth sahaja manakala Ekspres Sinaran Selatan hanya dari Singapura ke Kluang sahaja.

Bagi Ekspres Timuran pula perkhidmatan ialah dari Singapura ke Kluang, dan dari Tumpat ke Triang sahaja manakala bagi Ekspres Senandung Wau, penumpang akan menaiki bas dari Kl Sentral ke Mentakab sebelum meneruskan perjalanan dengan tren ke Tumpat.

Katanya, bagi penumpang yang terjejas akibat pembatalan itu, mereka boleh menukar tarikh perjalanan atau menuntut pemulangan tiket yang dibeli di kaunter KTMB berhampiran.

Maklumat terkini mengenai jadual perkhidmatan boleh didapati dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862.

BeritaHarian/-

Tiada ulasan: