01 Februari 2011

Bencana ombak besar terburuk

27 Safar 1432H.

GELIGA – Seramai 34 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Geliga Baru terpaksa dipindahkan ke pusat peminda-han sementara selepas rumah mereka yang terletak tidak jauh dari pantai dipukul ombak besar sehingga menyebabkan rumah masing-masing dibanjiri air laut dan pasir, malam kelmarin.

Berikutan kejadian air laut pasang besar kira-kira jam 5.30 petang, mereka hanya sempat mengalihkan peralatan elektrik, perabot, barang berharga dan pakaian ke sudut rumah yang tidak terkena tempias dan terpaksa menanggung risiko kerugian sebelum berpindah ke Surau Haji Ali sekitar jam 9 malam.

Lebih menyedihkan, semua mangsa juga mungkin berdepan risiko rumah ranap ditelan ombak sekiranya keadaan ombak besar berterusan sehingga beberapa hari lagi.

Semua mangsa turut menyifatkan fenomena ombak besar kali ini adalah yang terburuk sejak beberapa tahun lalu sehingga jarak rumah masing-masing tidak sampai satu meter dari pantai berikutan berlakunya hakisan pantai yang teruk.

Mangsa yang juga ibu kepada 12 anak, Noriza Othman, 47, berkata, pukulan ombak yang deras setinggi beberapa meter dalam kejadian kali ini sehingga air laut memasuki rumahnya menerusi bumbung adalah insiden paling menakutkan walaupun minggu lalu fenomena ombak besar turut dialaminya sekeluarga.

“Kejadian ombak besar dan hakisan pantai semakin teruk sejak tahun lalu, malah setiap kali berlakunya ombak besar saya, anak dan jiran tetangga terpaksa keluar dari rumah dan duduk di bangsal untuk menunggu ombak kembali tenang dan air surut selepas 4 hingga 6 jam.

“Setiap kali kejadian ombak besar terjadi, kami semua terpaksa berjaga-jaga, namun kali ini kami terpaksa berpindah kerana dengan keadaan ombak yang lebih besar daripada biasa, dikhuatiri boleh membahayakan nyawa,” katanya.

Noriza yang bekerja sebagai kerani di Pejabat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Daerah berkata, walaupun agak sukar baginya yang mempunyai keluarga besar untuk berpindah tetapi memikirkan nyawa mereka 14 beranak, mereka terpaksa berpindah dengan hanya membawa dokumen penting manakala peralatan rumah lain terpaksa ditinggalkan.

Katanya, gara-gara fenomena ombak besar yang kerap berlaku tahun lalu dan belakangan ini membuatkan mereka sekeluarga terpaksa menanggung kerugian besar selepas tiga mesin jahit, peti sejuk dan perabot rumah mereka rosak ditenggelami air laut.

Noriza berkata, dalam kejadian kali ini, anaknya, Faizal, 25, yang bekerja sebagai tukang jahit juga mungkin berdepan kerugian kerana terpaksa meninggalkan mesin jahit dan tempahan pelanggannya di rumah kerana mereka hanya berpindah sehelai sepinggang.

“Melihat kepada keadaan hakisan yang semakin kritikal dan rumah kami sudah terlalu dekat dengan pantai, rasanya rumah kami akan ditelan ombak sebagaimana rumah penduduk lain sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, ketika tinggal di kawasan itu 15 tahun lalu, jarak pantai dari rumahnya masih jauh berbeza dan tidak seperti sekarang.

“Sehubungan itu, saya sekeluarga dan jiran tetangga yang lain berharap kerajaan membantu dengan menyediakan tanah atau kawasan untuk kami berpindah sebagaimana janji kerajaan pada 1999 yang bersedia memberi tanah kepada mangsa bencana,” katanya.

“BUNYI dentuman ombak memukul dinding konkrit rumah saya cukup ngeri dan menakutkan membuatkan kami sekeluarga idak lena tidur malam setiap kali berlakunya ombak besar sejak awal bulan Disember lalu,” demikian kata nelayan, Othman Ali, 58.

Keadaan menakutkan itu terpaksa dialami Othman dan isterinya, Halimah Ishak, 58, dan empat anaknya; Mohd Firdaus, 22, Mohd Zulkhairi, 20; Norwani, 14, dan Siti Mariam, 10, kerana rumah mereka adalah paling hampir dengan pantai jika dibandingkan rumah empat lagi jiran mereka.

Malah, Othman yang kini genap lima tahun menetap di situ berkata, kejadian ombak besar bukan sahaja berlaku pada waktu malam dan awal pagi sahaja bahkan kadangkala turut berlaku pada waktu petang sehingga memaksa mereka sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa.

“Sepanjang musim tengkujuh yang masih belum berakhir ini kami perlu sentiasa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan.

“Meskipun saya sekeluarga khuatir dengan keadaan rumah yang hampir ditelan ombak ini tetapi kami terpaksa tinggal di sini dan membiarkan semua peralatan elektrik serta barang berharga di rumah kerana tiada tempat untuk memindahkan barang,” katanya dengan nada sedih.

BEBANAN mangsa bencana ombak besar sedikit terubat apabila pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Geliga Baru menguruskan lokasi pemindahan selain pihak Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa.

Pengerusi JKKK, Mohd Hisham Zubir berkata, mangsa terpaksa dipindahkan ke Surau Haji Ali dan bukan di Balai Raya Taman Geliga Baru disebabkan balai raya itu terlalu uzur.

“Bila kejadian bencana seperti ini berlaku kita mengalami kesusahan kerana tiada tempat untuk menempatkan mangsa disebabkan balai raya sedia ada yang terlalu daif sehingga terpaksa tempatkan mereka di surau.

“Justeru, diharap Yang Berhormat (YB) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pihak berkenaan dapat mempercepatkan kerja baik pulih balai raya agar kemudahan berkenaan dapat digunakan sepenuhnya selepas ini terutama berhadapan dengan saat cemas seperti ini,” katanya.

Lebih penting, katanya, Kerajaan Negeri dan ADUN diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi semua mangsa bencana ombak besar berkenaan.

Sinar/-

Tiada ulasan: