03 November 2011

Kalung bunga dapat perempuan

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gadis penjual bunga. Itu taktik terbaru digunakan sekumpulan 31 wanita termasuk tujuh warga tempatan menjual kalungan bunga plastik kepada pelanggan yang menjamu selera di Medan Selera Jalan Geylang, Pudu, di sini, sebelum menawarkan khidmat seks.

Kegiatan wanita terbabit yang kebanyakan pelacur pernah diserbu, tetapi aktif semula beberapa minggu kemudian.

Wanita terbabit yang berpakaian seksi dan sering menari mengikut rentak muzik di atas pentas utama di medan selera itu akan pergi ke meja pelanggan yang menjamu selera untuk memujuk mereka membeli bunga kalungan yang dijual dalam empat jenis iaitu berwarna oren, merah jambu dan kuning serta berbentuk mahkota.

Setiap bunga kalungan berkenaan dijual pada harga RM20, RM50 dan RM100 manakala untuk bentuk mahkota berharga RM200. Jika pelanggan membeli lebih bunga yang dijual, mereka berhak mendapatkan khidmat seks daripada penjual bunga terbabit. Pelanggan boleh melakukan aktiviti itu sama ada menyewa hotel atau di rumah pelanggan.

Bagaimanapun, kegiatan itu dibongkar dalam operasi dijalankan Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 12 malam itu, 11 wanita didapati memujuk pelanggan membeli bunga kalungan daripada mereka manakala 20 wanita lagi menyanyi dan menari di atas pentas.

metro/-

Hukum pengamal ilmu hitam

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

GOMBAK – Kerajaan disaran menggubal undang-undang khas bagi membolehkan pengamal ilmu hitam yang terbabit atau bersubahat dalam kejadian jenayah didakwa di mahkamah.

Pengarah Sekolah Pengajian Islam, Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Muhyidin Ismail berkata, peruntukan yang sama juga meliputi kes-kes melibatkan kecederaan dan kematian.

“Tindakan undang-undang perlu kerana sudah banyak kes syariah atau sivil di negara ini tidak dapat pembelaan sewajarnya gara-gara wujud unsur ilmu hitam atau sihir,’’ katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah ke-12 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.

Seminar itu dirasmikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Md. Yusop Che Teh.

Menurut Muhyiddin, pada masa ini, peruntukan yang longgar di bawah undang-undang syariah atau sivil banyak menjejaskan proses pendakwaan membabitkan pengamal ilmu hitam dan sihir.

“Dahulu ada kes seseorang pancung kepala orang lain kerana disuruh oleh bomoh bagi mendapatkan nombor ekor, tapi hanya pembunuh itu didakwa tetapi bomoh itu terlepas begitu sahaja,’’ katanya yang merupakan penulis buku Ahli Sihir ke Tali Gantung.

Beliau menegaskan, disebabkan tiada undang-undang khusus berkenaan sihir, penghakiman di mahkamah akan melihat bukti yang zahir seperti simptom secara fizikal dan mental dan pandangan pakar perubatan bertauliah.

kosmo/-

Gambar bogel isteri boros

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KESAL...Amri melihat facebook milik isterinya yang digunakan untuk menjual gambar bogel.

KUCHING: Sekali lagi facebook disalahgunakan untuk tujuan terlarang. Kali ini membabitkan seorang isteri yang menjual gambar separuh bogelnya dengan menjadikan laman sosial di Internet itu sebagai medium untuk mencari pelanggan dan proses tawar-menawar.

Selepas lelaki yang berminat memasukkan wang ke dalam akaun banknya, wanita berusia 35 tahun itu menghantar gambar separuh bogelnya kepada lelaki terbabit melalui khidmat pesanan multimedia (MMS) di telefon bimbit.

Perbuatan menjijikkan itu terbongkar selepas suami wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Amri, 43, diberitahu seorang daripada lelaki yang pernah membeli gambar isterinya itu.

“Hancur hati saya apabila mendapati apa dikatakan lelaki itu benar selepas saya memeriksa telefon bimbit serta komputer isteri.

“Malah, saya menyamar dengan menggunakan nombor telefon lain untuk berurusan dengan isteri melalui facebook dan maklum balas diterima membuktikan dia tergamak menjual gambar separuh bogelnya untuk mendapatkan wang,” katanya.

metro/-

Langgar palang kerana tidak puas hati

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA DAMANSARA – Gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan pihak pengurusan sebuah taman perumahan di Seksyen 11 dekat sini, seorang lelaki berusia 56 tahun bertindak melanggar dua palang keselamatan automatik petang kelmarin.

Dalam kejadian itu lelaki itu dikatakan berang apabila pengawal keselamatan di situ tidak membuka palang disebabkan dia tidak pernah membayar wang penyelenggaraan sejak setahun yang lalu.

Menurut sumber, lelaki itu sebelum ini pernah mempunyai jawatan di dalam persatuan penduduk tetapi tidak dipilih semula pada mesyuarat agong yang lalu dikatakan menjadi punca dia tidak mahu membayar wang penyelenggaraan..

“Undang-undang pihak pengurusan di situ ialah sesiapa yang tidak membayar wang penyelenggaraan tidak berhak mendapatkan kemudahan yang disediakan termasuklah khidmat pengawal keselamatan,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, lelaki itu sempat meletakkan alas kaki kereta dipalang itu bagi mengelak keretanya bercalar sebelum bertindak melanggarnya.

“Ketika hendak keluar semula dari kawasan itu, lelaki itu sekali lagi melanggar palang keluar yang turut menjadikam kedua-dua palang keluar dan masuk rosak.

Akibat insiden itu pihak pengurusan dan persatuan penduduk di situ membuat laporan polis mengenai kejadian yang berlaku.

sinar harian/-

Aktivis Mahasiswa turut tuntut kebebasan akademik, sedia demo di Putrajaya

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Seorang mahasiswa mengambil bahagian dalam sebuah protes menuntut kebebasan akademik di kampus UIA di Gombak, 26 Oktober 2011.

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen menyokong penuh cadangan ahli-ahli akademik yang mahu mengadakan demonstrasi tuntut kebebasan akademik di Putrajaya susulan rentetan kes pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan ahli-ahli akademik supaya diadakan demonstrasi Putrajaya bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap isu kebebasan akademik.

“Memorandum dan petisyen bersolo ternyata tidak cukup untuk menundukkan ego pihak pemerintah untuk bertegas dalam isu kebebasan akademik,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ahli-ahli akademik tanah air terus-menerus ditekan dan dibisukan mulut mereka daripada mempersoalkan kepincangan sistem yang sedia ada.

“Sekorup mana pun sistem, ahli-ahli akademik diugut supaya usah bersuara atau mempertikaikannya.

“Sekiranya ada yang berani bangun dan bersuara, maka sudah diperlihatkan contoh, nasibnya akan sama seperti Profesor Aziz Bari,” kata beliau lagi.

Katanya, Aziz bercakap mengenai isu-isu melibatkan Perlembagaan dengan ilmu-ilmu yang beliau pakar.

“Ilmu yang beliau telah ajar selama hampir 20 tahun dalam bilik kuliah.

“Semua yang dilafazkan disandari dengan hujah dan kajian ilmiah. Namun, disebabkan ada pihak yang iri hati dan biadab kepada ilmu, Aziz Bari digantung tugas,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, hasil desakan mahasiswa yang pada akhirnya UIA menarik balik penggantungan tugas Aziz.

“Bagaimanapun, siasatan terhadap beliau masih diteruskan. Atas dasar apa pun kita tak tahu.

“Kenyataan-kenyataan Aziz Bari sering dilihat tidak begitu memihak kepada parti pemerintah. Ada juga pendapat beliau yang menghentam stail pimpinan parti pembangkang,” kata beliau.

Pemimpin pelajar ini berkata, Aziz tidak ada apa-apa kepentingan melainkan untuk bersuara demi maruah ilmu.

“Demi martabat akademik dan hujah kebenaran.

“Syukur tampak ramai para ilmuan yang mula berani tampil ke hadapan. Mempertahankan apa yang mereka percaya, yakin dan perjuangkan iaitu prinsip kebebasan akademik,” katanya sambil menambah, “kebebasan akademik dan martabat ilmu adalah tanggungjawab mereka yang menyampaikan ilmu dan menuntut ilmu.”

“Sama ada mahasiswa atau pensyarah, wajar bersolidariti dalam hal ini,” katanya lagi sambil menambah, mahasiswa tidak berfikir dua kali untuk bersama-sama ahli akademik berdemonstrasi di Putrajaya bagi menuntut kebebasan akademik secara total.

malysian insider/-

Bebola kristal disangka gula-gula

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KEADAAN Ifti Ilya Farhana selepas menjalani pembedahan membuang bebola kristal dalam ususnya di HTAA Kuantan semalam.

KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan terpaksa dibedah kelmarin selepas menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula di hadapan rumahnya di Perkampungan Sri Mahkota Jaya di sini pada 26 Oktober lalu.

Ifti Ilya Farhana Mohd. Khairuddin yang berusia setahun tujuh bulan tidak menyangka gula-gula itu sebenarnya bebola gel atau hidrogel, sejenis baja tanaman hiasan yang boleh membesar sehingga beratus kali saiz asalnya jika direndam di dalam air.

Ibunya, Siti Aisyah Yusof, 27, berkata, anak sulungnya itu dipercayai mendapat bebola tersebut daripada rakannya.

"Semasa dia masuk ke dalam rumah, saya lihat dia memasukkan beberapa butir manik sebesar kacang hijau ke dalam mulutnya," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.

Bagaimanapun, Siti Aisyah yang merupakan seorang guru memberitahu, empat hari selepas itu anaknya tiba-tiba muntah lalu terkeluar sebutir gel sebesar guli.

Bimbang keselamatan anaknya, dia mengejarkan anaknya itu ke HTAA pada pagi Ahad lalu.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Khairuddin Harun, 29, pula berkata, pada peringkat awal, doktor tidak dapat mengesan sebarang objek selepas melakukan ujian sinaran X (X-ray).

"Anak saya berterusan muntah, suhu badan pula naik mendadak sehingga 45 darjah Celsius dan pemeriksaan lanjut akhirnya berjaya mengesan ada objek di dalam usus kecilnya," katanya.

kosmo/-

Gaya mewah Rosmah disenangi Umno

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Di kalangan Umno sendiri, mungkin ada yang terkejut dengan gaya mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Tak kurang juga yang seronok melihat gelagat wanita nombor satu Malaysia itu bergaya. Umumnya, tidak siapa tahu daripada mana punca kewangannya untuk beliau berbelanja mewah.

Rosmah tentunya tidak sama dengan Tun Hasmah Mohd Ali atau pun Tun Jane Abdullah yang sebelum ini juga menjadi isteri kepada Perdana Menteri. Mereka tidaklah kontroversi, teruk dan buruk perangai apatah lagi boros dengan gaya hidup melampau.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nazri Aziz hanya mengkelukan lidah daripada menjawab pertanyaan Pakatan Rakyat tentang gaya hidup mewah Rosmah di dalam Parlimen.

Soalan bertulis dari Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching berkenaan pemilikan beg tangan jenama Birkin oleh Rosmah, diperap Nazri tanpa ada jawapan balas. Nazri enggan mengulas. Pada hemat saya, jika ada di lobi Parlimen, wartawan-wartawan 'nakal' bertanyakan hal itu dengan mana-mana menteri, atau ahli yang berhormat daripada BN, saya yakin ia tidak akan dijawab mereka.

Macam-macam alasan akan diberikan. Ini kerana mengulas hal-hal membabitkan Rosmah, ibarat mengisi pasir ke dalam periuk nasi mereka. Teo Nie Ching dan rakyat menyoal samada benar atau tidak Rosmah memiliki cincin berlian RM24.4 juta dan juga beberapa beg tangan yang berjenama, dengan harga terlalu mahal. Nazri dilihat mengelak untuk menjawab isu beg tangan mahal itu.

Tentunya dia bimbang, jika tersalah jawab, akan membinasakan dirinya. Maka lebih baik Nazri "buat-buat tak tahu" daripada menunjukkan hakikat sebenar yang "dia tahu". Sesiapa yang berada di tempat Nazri di dalam Umno-BN, pasti mengambil sikap yang serupa.

Namun, saya kurang pasti jika perkara ini berani diulas oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah yang dilihat berani, telus dan profesional dalam kerjaya politiknya. Jika ada wartawan yang berminat, boleh cuba-cuba ajukan soalan gaya hidup mewah Rosmah kepada beliau. Apa reaksi Saifuddin?

Gelagat Rosmah mengenakan beg tangan Birkin di khalayak mula diperhati. Barangan perhiasan yang dipakai akan diteliti dari jauh, dilihat dengan serius oleh rakyat. Bukan sekali dua, kini sudah menjadi trend sedondon dengan pakaiannya. Beg tangan Birkin ini berbeza-beza warna mengikut pakaian yang beliau sarung.

Berdasarkan gambar-gambar kreatif yang dibekalkan oleh 'netizens', jumlah beg tangan Birkin ini bukannya satu atau dua tetapi mencecah 11 buah yang berlainan. Ia digunakan Rosmah dalam majlis-majlis rasmi dan sewaktu bercuti.

Beg tangan edisi terhad yang dipakai Rosmah boleh mencecah harga sebuah beg RM28,000 (US$9,000) sehingga RM472,000 (US$150,000). Jenama beg tangan ini dinamakan sempena nama pelakon dan penyanyi tersohor Britain, Jane Birkin.

Ia dihasilkan oleh Hermes sejak tahun 1984 dan ia adalah lambang gaya mewah yang eksklusif dan hanya mampu dimiliki oleh golongan tertentu yang kaya raya secara luar biasa.

Jika beg tangan paling murah yang berharga RM28,000 dibeli Rosmah utnuk bergaya, ini bermakna 11 beg X RM28,000 telah mencecah angka RM308,000. Adakah watak seperti Rosmah akan memilih beg yang berharga RM28,000?

Andainya, kesemua 11 beg itu dibeli pada harga RM472,000, maka sudah tentulah nilaiannya jauh lebih besar mencecah RM5,192,000. Tidak mungkin Rosmah membeli semua beg pada kadar harga itu. Barangkali ada beberapa beg sahaja yang dibeli dengan harga RM472,000. Dan ada beg yang dibeli pada harga RM28,000.

Tetapi, berdasarkan keghairahannya untuk memiliki yang tercantik dan termahal, tidak mustahil Rosmah boleh membeli kesemua 11 beg Birkin pada harga RM472,000. Ini dibuktikan dengan "rahsia umum" dalam isu yang dikatakan Rosmah membeli seketul cincin permata yang mencecah harga sebuah sekolah RM24.458,400.

Apapun penafian Rosmah, dengan pelbagai jalan cerita diubah, namun hubungan akrab keghairahan isteri Najib Tun Razak itu dengan barangan mewah, cantik, unggul dan mahal membantu rakyat untuk menilai apakah benar atau tidak, cincin permata berkenaan bukan dibeli oleh Rosmah.

Julai lalu, jika orang Melayu masih tidak lupa, Badrul Hisham Saharin atau Cikgu Bard yang menjadi Pengerusi PKR Cabang Rembau, mendakwa cincin permata 'Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond' yang berharga RM24,458,400 telah diterbangkan ke negara ini melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang pada 13 Julai, mendakwa cincin tersebut dibeli oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Dakwaannya jelas dan terang. Sebab itu beliau membuat laporan kepada SPRM agar menyiasat perkara tersebut.

Cikgu Bard mempunyai salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Namun begitu, setelah khabar angin bertiup kencang tentang pembelian cincin permata bernilai RM24 juta itu, Rosmah akhirnya bersuara dan menyifatkannya sebagai satu fitnah dan tidak ada masa mahu melayannya. Itulah hujah dan alasan Rosmah ketika menjawab soalan pemberita. Mudah dan selamba.

Soalnya, apakah Najib Tun Razak akan bakal menjadi Marcos tidak lama lagi? Ingatkah kita dengan sejarah Imelda Marcos, wanita nombor satu Filipina. Satu ketika dahulu, Filipina yang sama tarafnya dengan kebanyakan negara rantau ini termasuk Malaysia, khusus dalam bidang ekonomi akhirnya musnah ranap.

Filipina hancur kerana rasuah yang gagal dibendung. Keadaan makin parah, dan hancur kerana wujudnya wanita pertama dalam negara itu yang rakus seperti Imelda, dan akhirnya Filipina seperti tak upaya lagi nak bangkit sehingga kini. Rasuah bermaharajalela dalam semua sektor, telah melumpuhkan ekonomi negara berkenaan.

Ketika rakyat hidup 'melarat' Imelda berbelanja mewah. Namun apabila rakyat bangkit, marah dan berang, Imelda dan suaminya terpaksa hidup dalam buangan. Mungkinkah gaya mewah Rosmah boleh dijadikan senjata untuk menikam Umno-BN daripada dalam?

Atau rakyat terus "buat-buat tak tahu" dengan feel hodoh Rosmah dan terus mengukuhkan "kebobrokkan" beliau dengan mengundi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi?

harakahdaily/-

Gempa sederhana gegar pantai Costa Rica

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SAN JOSE: Gempa bersaiz sederhana menggegarkan pantai Pasifik Costa Rica, awal hari ini tetapi tiada laporan mengenai kerosakan serta mereka yang cedera.

Gempa berukuran 5.4 magnitud itu berlaku jam 1:01 petang waktu tempatan, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran berpusat di 24 kilometer di timur laut Cabuya, di Wilayah Puntarenas, lapor Agensi Pemantauan Gunung Berapi dan Seismologi Costa Rica. - AFP

02 November 2011

Kelantan rizab penempatan Orang Asli

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

LOJING, 2 Nov: Kerajaan Negeri Kelantan muncul sebagai negeri pertama di negara ini yang merizabkan tanah sebagai rizab penempatan Orang Asli di Pos Jedip dengan keluasan 606.6 ekar, dekat sini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan itu dilakukan sebagai memenuhi tanggungjawab kebajikan kerajaan negeri terhadap golongan terbabit yang dirizabkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perletakan batu asas Pusat Pertanian Belia Orang Asli dan Majlis Pengisytiharan Pos Jedip sebagai rizab penempatan Orang Asli, semalam.

Menurut Ahmad lagi, pemilihan kawasan ini kerana kedudukannya yang begitu strategi yang terletak hanya 30 kilometer sahaja dari Bandar Gua Musang dengan Kuala Betis.

“Perizaban ini dibuat secara terancang bagi mengawal dan memelihara perkampungan Orang Asli yang berada di kawasan tanah tinggi dengan mempraktikkan kaedah-kaedah perancangan dan pembangunan.

ehubungan itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah membaca watikah peristiharan dan menyerahkan watikah tersebut kepada timbalan pengarah Jabatan Orang Kemajuan Orang Asli Kelantan dan Terengganu, Abdul Razak Arshad.

Sementara itu dalam ucapaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, tanah seluas 157 ekar akan dibangunakan sebagai pusat latihan pertanian masyarakat Orang Asli.

Sempena program ini juga Tuan Guru turut meletakkan batu asas di atas tapak projek pembinaan Pusat Latihan Belia Orang Asli.

Selain itu, Tuan Guru turut menyampaikan cek Tabung Tindakan Kebajikan Peserta Ladang Rakyat Orang Asli Dun Galas dan Dun Nenggiri, penyampaian cek manfaat Takaful Hayat Berkelompok peserta Ladang Rakyat Orang Asli.

Pembahagian dividen saham peserta program Ladang Rakyat turut juga disampaikan di dalam program berkenaan.

harakahdaily/-

Imej negara: Apa peranan kementerian luar

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli mempertikaikan peranan Kementerian Luar Negeri mahupun kedutaan di luar negara dalam usaha menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa.

"Bukankah kita telah mempunyai kementerian yang memainkan peranan di luar negara termasuk kedutaan kita yang berada di luar negara?

"Apakah peranan yang mereka mainkan dalam menaikkan imej negara, dalam pada itu kita juga mempunyai jaringan melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang juga bertanggungjawab mempromosikan negara dalam sektor pelaburan," soalnya sewaktu sesi jawab lisan di parlimen pagi tadi.

Dr Hatta mempersoalkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung dengan tindakan kerajaan menggunakan syarikat media asing bagi menonjolkan imej Malaysia yang begitu lunak di peringkat negara serta mempersoalkan kos yang telah dibelanjakan.

"Adakah terdapat kekurangan kepada mereka yang telah dilantik untuk mewakili negara di luar sebagai kedutaan, Matrade dan juga Kementerian Luar sehinggakan kita terpaksa melantik media asing sebagai konsultan bagi menaikkan imej negara ini?

"Kita melihat lantikan media asing itu bukan mendatangkan kebaikan tetapi sebaliknya telah menjatuhkan imej negara di persada antarabangsa apatah lagi FactBased Communication (FBC) Media yang berada di United Kingdom itu telah dikenakan tindakan kerana salah laku yang dilakukan oleh mereka," katanya yang juga Ketua Pengarah Pilihan raya PAS.

Sebelum itu, Nazri menjelaskan kerajaan telah melantik FBC Media sebagai konsultan untuk menaikkan imej Malaysia dan juga Perdana Menteri di peringkat antarabangsa.

Nazri juga memberitahu kontrak selama setahun itu telah disambung sebanyak dua kali dan telah tamat pada tahun 2010 dengan kos perbelanjaan selama tiga tahun sebanyak Euro 19.6 juta.

Dr Hatta yang merujuk kepada jawapan Nazri itu berkata, kalau dilihat secara menyeluruh ia mengambarkan satu usaha yang baik tetapi hakikat yang sebenarnya ia telah mendatangkan kesan yang buruk kepada negara.

"Walaupun isu ini telah selalu dibahas tetapi bagi saya ia adalah satu isu yang penting kerana usaha kerajaan itu telah mendatangkan kesan yang buruk kepada negara ini.

"Kita melihat apa yang dilakukan oleh FBC Media itu melanggar etika kewartawanan dan juga pengeluaran di United Kingdom sehinggakan British Broadcasting Corporation (BBC) telah mengambil tindakan kepada FBC Media," tambahnya lagi.

Beliau juga memberitahu FBC Media sekarang sudah hampir bankrap.

Katanya, pihak-pihak lain juga tidak lagi mahu menggunakan khidmat mereka sebagai konsultan yang mana lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada sesebuah negara.

harakahdaily/-

Datuk Nala antara tiga angkat sumpah senator

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) Datuk S Nalakaruppan adalah antara tiga individu yang mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini.

Nalakaruppan, 65, dilantik buat pertama kali bersama bendahari MIC, Datuk Jaspal Singh, 49, dan ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan Chiew Lian Keng, 47.

Ditemui pemberita kemudian, Nalakaruppan berkata amanah yang diberikan itu akan digunakan sebaiknya bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat di negara ini didahului.

Abu Zahar ketika mengalu-alukan anggota baru Dewan Negara itu, berharap mereka dapat memahami lafaz sumpah yang dibuat serta menghayati dan mendukung Perlembagaan negara.

"Saya ingatkan diri saya dan kita semua agar marilah kita semua berazam untuk memartabat dan memperkasakan Dewan Negara sebagai dewan yang bermaruah, dan adalah sia-sia pelantikan ini jika senator tidak berdebat untuk kepentingan negara dan rakyat," katanya.

- Bernama

UKM 4: Najib patut terima keputusan mahkamah

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Datuk Seri Najib Razak perlu menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pihak universiti tidak berhak mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar kerana mencabul hak kebebasan bersuara mereka.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah itu yang mengatakan Seksyen 15 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebagai tidak sah serta melanggar Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu dirayu kerana ia menjadi ujian awal kepada Perdana Menteri yang telah mengaku mahu melaksanakan transformasi politik dan pendemokrasian negara, lapor Roketkini.

Beliau memuji keberanian Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus dan Linton Albert yang menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluruhan Perlembagaan.

Menurutnya, keputusan bersejarah itu penting dan tepat pada masanyanya apabila demokrasi dan hak asasi di Malaysia telah sekali lagi diserang oleh tokoh-tokoh seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor dengan kenyataan-kenyataan bahaya mereka yang berbau konspirasi.

“Persoalannya sekarang ialah sama ada Najib dan kabinetnya bersedia untuk melangkah ke depan dengan menyokong keputusan majoriti Mahkamah Rayuan, dengan menunjukkan semangat dan minda pendemokrasian serta transformasi politik,” katanya.

Pada 28 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak saman pemula yang dikemukakan oleh empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mencabar tindakan tata tertib terhadap mereka kerana didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Empat pelajar tersebut adalah Hilman Idham, Ismail Aminuddhin, Azlin Shafina Adzha dan Wong King Chaì.

Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September tahun lalu yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) tidak melanggar Perlembagaan.

Seksyen 15 (5) AUKU menetapkan bahawa pelajar universiti tidak dibenarkan menyokong atau membangkang mana-mana parti politik atau apa-apa pertubuhan yang ditetapkan oleh Menteri “sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti itu”.

Kit Siang melontarkan penyataan kepada Najib dan kabinetnya sama ada mereka bersetuju dengan keputusan hakim-hakim Mahkamah Rayuan atau mahu melanggar kata-kata pemimpin kerajaan sendiri yang inginkan perubahan politik yang lebih terbuka dan bebas.

Menurutnya, Najib dan kabinetnya perlu menilai keputusan Hakim Hishamudin Yunus yang menyatakan: “universiti perlu menjadi tempat memupuk reformis dan pemikir, dan bukannya institusi yang melahirkan pelajar yang dilatih menjadi robot”.

Beliau juga mahu pemimpin kerajaan Barisan Nasional menghayati keputusan Hakim Linton Albert yang menyatakan bahawa Seksyen 15 (5) sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana pelajar university terpaksa berdepan dengan kemungkinan dipecat dari pengajian semata-mata kerana hadir dalam kempen pilihan raya kecil. – Roketkini.com

Auku: Kenyataan Khaled tak masuk akal

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Nov: PKR menyifatkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) tidak masuk akal.

“Bagaimanakah tindakan menghalang pelajar menyertai parti politik membolehkan mereka berfikir secara kritis tanpa sebarang sekatan?” tanya pengarah komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satui kenyataan.

Katanya, banyak universiti berprestij dunia tidak mempunyai sekatan tersebut namun kerajaan kita menghantar pelajar-pelajar terbaik negara ke universiti-universiti tersebut.

Apatah lagi, ujarnya Khaled seolah-olah terlupa bahawa ada segelintir kecil individu di dalam partinya sendiri yang ada pandangan mereka sendiri termasuk mengenai Auku.

“Adakah beliau terlupa tentang timbalan menterinya sendiri, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno?” soalnya lagi.

Nazmi menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan akhbar The Star hari ini bahawa Khaled akan merujuk kepada Kabinet sama ada untuk membuat rayuan atau tidak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mengumumkan satu seksyen Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebagai tidak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Khaled dilaporkan berkata:

“Objektif utama pendidikan ialah untuk menggalakkan pelajar berfikir secara konstruktif dan kritis tanpa sebarang sekatan.

“Atas sebab itulah kami merasakan tidak wajar membenarkan pelajar menyertai parti-parti politik. Sekiranya pelajar memegang jawatan dalam sesebuah parti, mereka terikat kepada ideologi parti tersebut.

“Dengan menurut pendirian parti, pelajar tersebut akan hanya mempunyai pandangan orang lain bukan dirinya…

“Sekiranya kita benar-benar mahu memberikan keutamaan kepada kebebasan berpersatuan dan bukan pelajaran, saya tiada masalah.”

Nazmi berkata, kerajaan tidak patut membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu untuk membenarkan pelajar-pelajar hak yang telah dinafikan sekian lama.

“Akta inilah yang menyumbang terhadap sekatan pemikiran konstruktif dan kritis yang Khaled nyatakan sebagai matlamat pendidikan,” ujarnya.

harakahdaily/-

Kenyataan media Pakatan Rakyat Perak

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA PAKATAN RAKYAT PERAK
Kenyataan Akhbar Pakatan Rakyat Perak Sempena 1,000 Hari Rampasan Kuasa Kerajaan pilihan Rakyat Perak.

1) Tanggal 6/2/2009 adalah tarikh hitam yang wajib diingat dan ditangisi oleh rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia umumnya kerana pada tarikh tersebut sebuah kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat Perak (dalam pilihanraya umum ke 12 pada 8/3/2008) telah dijatuhkan melalui kerja-kerja jahat pemimpin-pemimpin UMNO/BN.

2) Rakyat jangan lupa bahawa pada 25/1/2009 2 orang ADUN Behrang dan Changkat Jering telah hilang tanpa dapat dikesan oleh sesiapa bahkan isteri dan anak mereka pun tidak mengetahui dimana mereka berada. Pada 1/2/2009 pula tiba-tiba ADUN Bota yang telah mengistiharkan keluar BN menyertai PKR secara sukarela juga telah hilang. Ini disahkan oleh isteri beliau yang membuat aduan kepada rakan-rakan dan keluarga terdekat.

3) Tiba-tiba pada 3/2/2009 ketiga-tiga ADUN yang hilang tersebut dan ADUN dari Jelapang telah ditontonkan kepada umum melalui sidang akhbar oleh Timbalan Presiden UMNO/ Timbalan Perdana Menteri ketika itu – Dato Seri Najib Razak yang juga ketika itu adalah Ketua Perhubungan UMNO Perak, Mereka mengistiharkan keluar PR dan menyokong BN sebagai ADUN-ADUN Bebas.

4) Bukankah ini bermakna kehilangan ketiga-tiga ADUN tersebut adalah dirancang dan dilakukan dengan arahan ‘mastermind’ UMNO BN, kemudian berlakulah kerja jahat menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat (PR Perak) dan menggantikan dengan kerajaan yang diangkat melalui proses perbicaraan yang penuh dengan manipulasi yang diatur oleh tangan-tangan ghaib manakala mahkamah pula telah mengambil alih tugas pembentukkan Kerajaan secara kotor dan tidak beradab.

5) Dengan rentetan peristiwa 6/2/2009 tersebut wajib bagi rakyat mengenang dan mengambil iktibar berikut

i) Kerajaan PR pimpinan Dato’ Seri Hj Mohamad Nizar Jamaluddin adalah kerajaan yang dibentuk melalui proses demokrasi sihat.

ii) ‘Kerajaan’ Barisan Nasional pimpinan Datso’ Seri Dr. Zambry Kadir adalah ‘Kerajaan’ pintu belakang yang dibentuk melalui proses-proses kotor termasuk ugutan rasuah, ugutan seks, culik wakil rakyat dan manipulasi mahkamah

iii) Kerajaan UMNO/BN adalah ‘democratically illegal’ dan meletakkan satu ‘precedent’ yang bahaya kepada sistem demokrasi Negara. Kuasa telah menjadi milik orang kaya. Menculik, membeli dan mengugut wakil rakyat seolah-olah boleh diterima sebagai ‘norm’ yang tak perlu benci.

iv) Baik dari segi moral dan agama Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Dato’ Seri Dr. Zambry dan barisan Exconya telah melakukan pengkhianatan terbesar kepada rakyat Perak. Kaedah Islam iaitu “redha mungkar adalah mungkar” menggambarkan segala-galanya.

v) Rakyat wajib belajar daripada sejarah hitam ini dan memilih kebenaran dan keadilan melalui proses demokrasi yang sah dan jaminan perlembagaan persekutuan untuk masa depan generasi akan datang. Kedaulatan undang-undang mestilah ditegakkan hatta kepada sesiapapun. Tiada manusia di Negara ini yang mengatasi undang-undang.

6) Besok pada 3/11/2011 adalah hari ke 1,000 ‘rampasan kuasa’ berlaku di Perak. Tarikh ini wajib dikenang sebagai titik hitam dalam sejarah moden Perak. Bangsa yang hebat akan menjadi hebat hanya jika mengambil iktibar daripada sejarah lampau.

7) Melihat ke belakang (retrospectively) Perak telah jauh ketinggalan ke belakang berbanding negeri-negeri Pakatan Rakyat yang maju dan sepatutnya mampu ditandingi oleh Perak. Negeri-Negeri dibawah Pakatan Rakyat begitu berjaya dalam mengurus ekonomi, menarik pelabur asing, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru dan menjadi negeri-negeri yang banyak program kebajikan. Kenapa negeri-negeri Pakatan Rakyat berjaya ? Jawapannya kerajaan mereka demokratik, telus dan berintegriti.

8) Keyakinan kami InsyaAllah jika Perak juga tidak dirampas kuasa kami mampu mengangkat kemajuan di Perak setanding dengan Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Kenyataan Akhbar oleh
Dr. Haji Khairuddin Bin Dato’ Abd. Malik
( Setiausaha Majlis Pakatan Rakyat Negeri Perak )

Israel Ancam Untuk Terus Gempur Gaza

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Rabu, 02/11/2011 – PM Israel Benyamin Netanyahu, Isnin (31/10), menegaskan tidak ada penghentian serangan di sekitar Semenanjung Gaza. Hal tersebut beliau sampaikan dalam sidang fraksi Likud di Knesset. Beliau mengatakan, “Tidak ada perundingan dan pihak tentera akan terus menjalankan aktivitinya.

Sementara itu Ketua Staff Angkatan Bersenjata Israel, Beny Gants, telah memberikan arahan agar melakukan serangan balas secara bertahap atas serangan roket dari Semenanjung Gaza. Dalam konteks berkait,

ketua-ketua daerah Beer Sheba, Asdod dan Ashkelon telah memutuskan untuk menutup sekolah-sekolah hingga hari ini, Selasa (1/11), ketika berlanjutan serangan roket dari Semenanjung Gaza.

Sumber-sumber Zionis Israel menambah bahawa daerah lain di selatan masih menilai situasi untuk mengambil keputusan berkaitan dengan sama ada menutup sekolah sementara atau sebaliknya. Namun begitu sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa di sekolah-sekolah yang terlindung yang terletak pada jarak 7 kilometer dari Semenanjung Gaza.

Palestinkini