07 Mac 2012

Anggota Lulzsec antara 7 penggodam ditahan

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LONDON - Tujuh yang disyaki sebagai penggodam, beroperasi dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Republik Ireland, dikenakan tuduhan berkaitan dengan serangan siber, yang telah menjadikan lebih sejuta pengguna komputer sebagai mangsa kebelakangan ini.

Menurut maklumat Biro Siasatan Persekutuan (FBI), lima daripada mereka terlibat dalam kumpulan yang dikenali sebagai Lulzsec manakala yang keenam merupakan anggota kumpulan Antisec.

FBI juga dilaporkan sebagai berkata, ketua Lulzsec, Hector Xavier Monsegur telah membuat pengakuan bersalah pada 12 Ogos lalu berhubung tuduhan jenayah siber.

Laporan BBC menyebut, tuduhan ke atas Monsegur telah membawa kepada pertuduhan ke atas anggota kumpulannya.

Laporan itu juga menyebut, Monsegur, yang turut dikenali sebagai Sabu, telah mengaku bersalah melakukan serangan siber ke atas kumpulan media Sony Pictures Entertainment, Fox Broadcasting Company dan Public Broadcasting Service (PBS).

Jake Davis, 19, dari Lerwick, Shetland Islands; Ryan Ackroyd, 25, dari Doncaster; dan Darren Martyn, 25, dari Galway, Ireland juga dikenakan tuduhan konspirasi menggodam komputer.

Donncha O'Cearrbhail, 19, dari Birr, Ireland, berhadapan dengan satu tuduhan berkonspirasi melakukan kerja-kerja menggodam dan juga satu lagi tuduhan berkaitan mendedahkan maklumat yang dipintas secara tidak sah.

Polis Ireland juga berkata mereka telah menahan seorang suspek berkaitan.

Scotland Yard memberitahu bahawa seorang berusia 17 tahun dari selatan London juga dikenakan dua tuduhan menggodam komputer.

Menurut FBI, Jeremy Hammond yang menggunakan nama samaran Anarchaos ditahan di Chicago kelmarin berhubung serangan ke atas pusat pemikir keselamatan Stratfor, Disember lalu.

Sinar Harian

Batistuta ke Johor 16 Mac

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SENAI - Setelah mengikat Fandi Ahmad, kini Johor FA berusaha mendapatkan khidmat bekas pemain antarabangsa Argentina, Gabriel Batistuta.

Presiden Johor FA, Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim memberitahu di laman Twitter bahawa Batistuta dijangka akan tiba di Johor pada 16 Mac.

Difahamkan bahawa Batistuta diperlukan bagi pememberi nasihat dan berkongsi idea untuk menjadikan Johor pasukan terhebat di negara ini.

Ia dilihat sebagai salah satu usaha yang dilakukan Johor FA untuk mengembalikan zaman kegemilangan Johor dengan dalam persada bola sepak negara.

Dikenali sebagai Batigol, beliau adalah penjaring terbanyak Argentina dengan 56 gol dalam 78 perlawanan antarabangsa dan telah beraksi dalam tiga perlawanan akhir Piala Dunia.

Penyerang lagenda ini terkenal dengan tendangan kaki kanannya yang padu dan telah menjaringkan 10 gol dalam kejohanan Piala Dunia (1994, 1998 dan 2002).

Beliau juga merupakan pemain Kelab Argentina Newell’s Old Boys, River Plate dan Boca Juniors, selain pernah beraksi dengan Kelab Qatar Al-Arabi.

Batistuta yang pernah beraksi bersama Argentina pada tahun 1991 hingga 2002 di peringkat Piala Dunia dan bersara pada tahun 2005.

Sinar Harian

Piala FA: Chelsea mula pulih, mara suku akhir

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

CHELSEA kelihatan kembali pulih selepas pengurusnya Andre Villas-Boas dipecat awal minggu ini dengan mara ke peringkat suku Piala FA.

Kelab yang kini dibimbing oleh Roberto di Matteo mengatasi Birmingam 2-0 di Birmingham City awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Di Matteo akan menguruskan pasukan itu sehingga akhir musim ini.

Selepas menamatkan permainan separuh masa pertama tanpa sebarang jaringan, Chelsea menyumbat gol pertama pada minit ke-54 dan disusuli dengan gol Raul Meireles enam minit kemudian, yang membolehkannya melangkah ke pusingan suku akhir.

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich memecat Villas-Boas yang mengendalikan pasukan itu sejak sembilan bulan lalu.

Sinar Harian

80 tahanan Palestin dibebaskan

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) membebaskan seramai 80 banduan termasuk dua wanita dari penjara persekutuan di seluruh negara dalam satu kempen mengurangkan kesesakan dalam penjara.

Tindakan itu adalah susulan pembebasan beramai-ramai 600 banduan Khamis lalu, yang menurut IPS kononnya untuk meningkatkan keselesaan di penjara Israel.

Menurut media tempatan, pembebasan 220 rakyat Palestin itu termasuk bekas menteri Kabinet, Shlomo Benizri.

Jawatankuasa Kawalan Knesset baru-baru ini mengeluarkan arahan mana-mana banduan yang dihukum empat tahun penjara atau kurang akan dibebaskan.

Jawatankuasa tersebut turut memutuskan untuk mengurangkan jumlah maksimum banduan di penjara Israel kepada 16,873 daripada 17,700 dalam masa terdekat.

Sinar Harian

Pilihlah aku: Rafa

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

RAFAEL Benitez memberitahu The Blues bahawa dia calon paling sesuai menggantikan Andre Villas-Boas yang dipecat, Ahad lalu.

Bekas pengurus Liverpool itu berkata, dia mempunyai segala kelebihan dan kelayakan diperlukan Roman Abramovich untuk mengemudi dan meletakkan kembali Chelsea ke landasan tepat selepas terbabas musim ini.

“Saya belum menerima sebarang tawaran atau dihubungi wakil Chelsea. Tapi saya sedia berbincang.

“Lagi pun, saya ada statistik yang cemerlang. Fakta tidak menipu,” katanya yang pernah membawa Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2005.

Malah, Benitez muncul sebagai antara pengurus yang menjulang trofi di tiga negara berbeza iaitu di Sepanyol, England dan Itali.

“Saya sukakan cabaran dan situasi di Stamford Bridge mendorong saya untuk tampil dan membantu Chelsea memenangi semula trofi,” katanya.

Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan untuk mengisi kekoso­­ngan ditinggalkan Villas-Boas antaranya Benitez, Pep Guar­diola dan Jose Mourinho yang dipecat Chelsea pada 2007.

Sinar Harian

Mancini tak mahu Tevez

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PEMAIN kontroversi Manchester City, Carlos Tevez mungkin tidak lama berada di Etihad apabila pengurusnya Roberto Mancini bercadang membuat pertukaran percuma dengan penyerang Inter Milan, Diego Milito.

Mancini yang sememangnya berhasrat menggunakan khidmat pemain Argentina itu, sudah pun mengemukakan tawaran kepada Presiden Inter, Massimo Moratti.

Menurut sumber, pertukaran tersebut tidak melibatkan sebarang jumlah perpindahan.

Sinar Harian

Bintang Real dalam bahaya

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JOSE Mourinho bercadang melakukan rombakan besar-besaran dengan menjual tujuh pemain bintangnya, musim depan.

Pemain yang pasti dijual ialah Raul Albiol dan Ricardo Carvalo manakala Kaka, Gonzalo Higuain, Hamit Altintop, Nuri Sahin dan Esteban Grenero diberi pilihan sama ada mahu kekal atau berhijrah ke kelab lain.

Tindakan Mourinho itu sedikit mengejutkan kerana dia sebelum ini berhasrat meninggalkan Real pada penghujung musim ini.

Malah, masa depannya di kelab itu terus diperkatakan kerana menjadi antara calon berprofil tinggi mengisi jawatan pengurus Chelsea selepas Andre Villas-Boas dipecat, Ahad lalu.

Sinar Harian

Awas amukkan Korea Selatan

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MENJELANG aksi kelayakan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland pada 10 hingga 18 Mac ini, skuad hoki negara perlu menang jika tidak mahu berputih mata kerana gagal beraksi di kejohanan berprestij itu.

Bertemu Korea Selatan, pencabar utama di rangking keenam dunia, jurulatihnya Tai Beng Hai mengakui agak sukar membenam pasukan itu memandangkan rekod pertemuan jarang memihak skuad negara.

“Kali terakhir bertemu adalah pada Julai tahun lalu di Kejohanan Hoki Asia di mana skuad negara sekadar seri 3-3. Namun saya percaya perlawanan di Dublin nanti lebih seimbang walaupun di atas kertas mereka pasukan handal,” katanya.

Selain Korea Selatan, skuad hoki negara perlu memandang serius tentangan tuan rumah yang nyata mempunyai kelebihan kerana beraksi di laman sendiri.

“Bagaimana tidak bererti kita juga boleh mengambil mudah perlawanan menentang Chile, Rusia dan Ukraine. Walaupun rekod pertemuan banyak menyebelahi pasukan negara, kita tidak boleh pandang rendah kemampuan mereka kerana pasukan yang lemah akan segera bangkit,” katanya pasukan negara perlu memanfaatkan peluang diberi untuk bersama mengiringi lima acara lain yang layak ke temasya itu, Julai nanti.

Malaysia yang terlepas dua kali edisi terakhir Sukan Olimpik pada 2004 dan 2008 akan bertemu Chile pada perlawanan sulung, 10 Mac, diikuti Rusia sehari kemudian sebelum bertemu Ukraine (13 Mac), Korea Selatan (15 Mac) dan Ireland (17 Mac) pada perlawanan terakhir.

Pasukan di tangga pertama dan kedua akan bertemu pada perlawanan akhir dan pemenang akan menempah tiket ke Sukan Olimpik London 2012.

Sinar Harian

Kecederaan pemain tidak jejas Kelantan

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENDAHULU Liga Super, Kelantan bakal turun tanpa beberapa tonggak utama menjelang perlawa­nan Piala Konfederasi Asia (AFC) Kumpulan H menentang wakil Vietnam, Navibank Saigon di Stadi­um Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Ketiadaan penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan pertahanan kental, S Subramaniam (Subra) yang masih cedera memberi gambaran The Red Warriors bakal berdepan laluan berliku dalam misi mengutip mata maksimum.

Bagaimanapun bagi pengendali baru pasukan Kelantan, Bojan Hodak tetap tenang sambil menegaskan betapa beliau mempunyai senarai pemain yang boleh menggalas tugasan ditinggalkan Mat Yo dan Subra.

“Saya ada pemain import (Mohammed Ghaddar, Nwoha Onyekachi dan Dennis Antwi) yang boleh ganti Mat Yo. Apa pun, saya masih belum buat sebarang keputusan muktamad.

“Mungkin ada sedikit rombakan terhadap pasukan selepas melalui jadual perlawanan yang padat di Liga Super,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Pertama kali menyertai AFC, Hodak tetap optimis berdasarkan kedudukan Kelantan yang menerajui Liga Super berbanding Navibank di kedudukan sembilan Liga Vietnam.

“Kita tidak meletak harapan tinggi cuma berharap dapat bermain dengan tenang dan tanpa tekanan kerana jika dilihat, dua pasukan ini mampu ke saingan seterusnya berbanding dua lagi pasukan dalam kumpulan, Arema (Indonesia) dan Ayeyawady United (Myanmar).

Sementara itu, pengendali Navibank, Pham Cong Loc tetap tetap yakin untuk melakar kemenangan malam ini.

“Kelantan antara pasukan terkuat di Malaysia tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan tiga mata penuh dalam genggaman,” katanya.

Sinar Harian

Tiket perlawanan dijual hari ini

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TIKET perlawanan membabitkan pertemuan Kelantan menentang kelab Navibank Saigon FC dari Vietnam dalam peringkat Kumpulan H, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) dijual bermula 1 petang hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bendahari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Nik Aminaldin Datuk Nik Jaafar berkata, selain itu peminat setia The Red Warriors juga boleh membeli tiket di Restoran MZ Corner di Kampung Baru bermula jam 10 pagi hingga 2 petang hari ini.

“Harga tiket bagi tempat duduk grandstand RM30, terbuka RM15 sementara untuk kanak-kanak RM5 dan kita jangkakan hampir 20 ribu penyokong setia Kelantan akan hadir menyaksikan perlawanan ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

“Selain itu kita berharap penyokong setia Kelantan dapat menjaga disiplin bagi memastikan perlawanan malam ini berlangsung dengan lancar. Peringatan ini dibe­rikan kerana kita tidak mahu insiden yang tidak diingini berlaku seterusnya mencemarkan perlawanan.

Menurut Nik Aminaldin, pihak penganjur AFC mengenakan hukuman yang berat iaitu denda sehingga RM16,000 bagi setiap kesalahan seperti membaling objek, pancaran laser serta membakar mercun dan bunga api kepada pasukan tuan rumah sekiranya insiden tersebut berlaku.

Sinar Harian

Pertemuan Kedah-Perlis penuh sentimen kenegerian

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PERTEMBUNGAN derby utara antara Kedah dan Perlis sering kali menjanjikan aksi penuh mendebarkan dan berlangsung dalam keadaan penuh sentimen kenegerian.

Menurut pengendali Ked­ah, Wan Jamak Wan Hassan, walaupun Perlis bermain di Liga Perdana, itu tidak bermakna anak didiknya boleh memandang mudah perte­muan di Alor Setar, Sabtu ini.

“Saya selalu mengingatkan pemain supaya berusaha lebih gigih dalam setiap perlawanan yang dilalui termasuklah saingan Piala FA.

“Pemain harus waspada berdepan Perlis kerana ini merupakan pertandingan kalah mati. Jadi, sebarang kesilapan harus dielakkan jika mahu melangkah ke peringkat suku akhir,” katanya yang menagih sentuhan pemain import sensasi mereka, Abdelfatah Safi.

Safi berjaya meledak gol kemenangan ketika menum­paskan Selangor 1-0 hasil sepakan penalti dalam kempen Liga Super, Sabtu lalu menjadi sandaran utama peminat Hijau Kuning bagi meneruskan momentum kemenangan pasukan.

“Corak permainan Safi memang luar biasa dan mempunyai magis tersendiri. Dia begitu banyak membantu bahagian serangan dalam memburu gol,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagi rekod, Piala FA sudah tiga kali dibawa pulang ke negeri jelapang padi itu sejak kali pertama memenanginya pada 1996.

Sinar Harian

Manfaat kelebihan laman sendiri: Piya

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAPTEN pasukan Kelantan, Badhri Radzi mahu rakan sepasukan memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri untuk memastikan kutipan tiga mata penuh dalam saingan pertama Piala AFC menentang Navibank Saigon malam ini.

“Kelantan pertama kali menyertai AFC tahun ini, sudah tentu kami mahu melakukan yang terbaik untuk pastikan kemenangan esok (malam ini).

Bukan mahu mendabik dada, Badhri yang turut dikenali sebagai Piya enggan terlalu selesa dan memandang enteng pasukan lawan yang pastinya akan memberi tentangan sengit.

“Saya harap semua pemain kekal fokus dan berharap jurulatih (Bojan Hodak) dapat melakukan sesuatu untuk pasukan kami.

Bagi kapten Navibank, Pham Cong Lik, turut melahirkan keyakinan untuk beraksi dengan baik menentang Kelantan.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk perlawanan esok (hari ini),” katanya.

Sinar Harian

Liga Juara: Arsenal bangkit tapi gagal sekat AC Milan

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEBAGAIMANA dijanjikan, Arsenal cuba bangkit dan menjaringkan tiga gol tetapi gagal menghalang kemaraan AC Milan ke peringkat suku akhir Liga Juara-juara.

Dalam perlawanan yang berlangsung di tempat sendiri awal pagi tadi (waktu Malaysia), Arsenal menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun AC Milan yang telah pun mengumpulkan empat gol pada pusingan pertama berjaya melangkah ke depan dengn agregat 4-3.

Gol Arsenal dijaringkan seawal minit ketujuh oleh Laurent Koscielny dan disusuli jaringan Tomas Rosicky pada minit ke-26.

Robin van Persie menjaringkan gol ketiga dua minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

AC Milan hanya memerlukan satu jaringan untuk melangkah ke pusingan seterusnya manakala Gunners memerlukan enam gol jika mahu mengatasi lawannya.

Dalam satu lagi perlawanan, Benfica mengatasi Zenit St Petersburg 2-0.

Sinar Harian

06 Mac 2012

BM-Premium B IP BM-Premium C IP Masalah sampah Selangor selesai April ini

13 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha menambahbaik khidmat pengurusan sampah di negeri itu dan dijangka akan selesai April ini.

Biarpun mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki sejak pengurusan sampah tidak lagi diberikan kepada Alam Flora sebagai kontraktor utama, namun beliau tetap yakin ianya dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri.

"Sudah tentu lah (ada kelemahan), Alam Flora buat kerja dah 10 tahun lebih, kita buat tak sampai enam bulan.

"Saya tengok ianya masih boleh diperbaiki. Kita rasa kita boleh selesaikan isu ini dengan lebih baik Mac dan April ini," katanya ketika ditemui Harakahdaily di pejabatnya semalam.

Sebelum ini kerajaan Selangor memutuskan menamatkan kontrak Alam Flora sebagai kontraktor utama pengurusan sisa pepejal di negeri itu.

Sebagai alternatif, mulai tahun ini kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengurus sendiri kutipan sampah di negeri itu.

Sambil mengulangi pendirian bahawa perubahan itu adalah tepat, beliau juga berkata, segala masalah berkaitan sampah kini boleh dipantau sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui PBT.

Sebelum ini katanya, banyak masalah membabitkan sampah dirujuk kepada pihak PBT, namun apabila diarah untuk diselesaikan, berlaku 'tolak menolak' antara PBT dengan kontraktor utama Alam Flora.

"Diorang ni main 'passing the bulk', dia kata dia. Belanja untuk pembersihan dan pengumpulan sampah melebihi RM350 juta.

"Saya berkira-kira kalau begini berlaku, maknanya kita tak dapat kebersihan dan juga pegawai kita pula tidak mempunyai komitmen terhadap kebersihan negeri Selangor," katanya.

Dengan perubahan yang telah dilakukan katanya, sekarang ini tanggungjawab tersebut kini dipikul oleh Datuk Bandar dan juga Yang Dipertua PBT di negeri itu.

Malah beliau juga meyakini kos pengurusan sampah di negeri itu juga dapat dikurangkan.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut mewujudkan talian bebas tol atau Hotline untuk membolehkan rakyat membuat sebarang aduan mengenai perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama melibatkan pengurusan kutipan sampah dan pembersihan.

Talian tersebut dikendalikan oleh Pusat Aduan Pengurusan Sisa Pepejal Selangor di bawah kelolaan Setiausaha Kerajaan Negeri.

HARAKAHDAILY/-

PAS Sabah sokong Himpunan Bangkit 123

13 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah (BPPNS) menyokong usaha Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dan NGO-NGO lain untuk mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat atau ‘123 Bangkit’ dalam usaha membebaskan rakyat daripada terus dibelenggu penindasan dan penyelewengan hak terhadap pemilikan tanah.

“Justeru, PAS Sabah berani untuk menyahut kebangkitan ini dengan mengerakkan hampir 1,000 ahli di pelbagai peringkat, negeri, kawasan dan cawangan seluruh Sabah untuk bersama-sama dalam himpunan 123 Bangkit bagi menyatakan sokongan demi menuntut keadilan dan kesaksamaan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Hamzah Abdullah.

Katanya, ia sekaligus memberi sokongan bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Malaysia berparlimen.

PAS Sabah, jelasnya sudah merasakan keperluan mendesak yang agak konkrit bagi membina sebuah ketamadunan kerajaan dalam menggembleng tenaga mencapai kata sepakat untuk mengatakan ‘tidak’ kepada kezaliman.

“Kita mesti berusaha membela tanah yang telah kita usahakan sejak sekian lama ini. Tanah NCR/Tanah Adat mesti dikembalikan kepada rakyat sepenuhnya,” tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS negeri kepada Harakahdaily.

Oleh yang demikian, tegasnya lagi hak rakyat mesti dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat.

Tambahnya, amanah rakyat mestilah dikendalikan secara baik dan berhemah.

Beliau berkata, adalah malang bagi sesebuah negeri yang kaya ini langsung mempunyai barisan kepimpinan yang rosak akhlaknya, lemah daya pengurusan dan lompang sana-sini dari aspek penstruktural kuasa dan bidang.

Justeru, katanya apakah tidak ada inisiatif kerajaan dalam menyelesaikan masalah tanah ini.

Menurutnya, laporan Suhakam tentu tidak mengejutkan kebanyakan wakil pemimpin politik.

“Tapi, apakah dengan angka 977 yang juga angka tertinggi di Malaysia mengenai kes tanah tidak mendapat perhatian serius.

“Apakah ini satu kebanggaan atau satu permasalahan?” soalnya.

Mengenai Bangkit 123, jelasnya perhimpunan itu mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

“Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam,” ujarnya.

HARAKAHDAILY/-