06 Mac 2012

BM-Premium B IP BM-Premium C IP Masalah sampah Selangor selesai April ini

13 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha menambahbaik khidmat pengurusan sampah di negeri itu dan dijangka akan selesai April ini.

Biarpun mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki sejak pengurusan sampah tidak lagi diberikan kepada Alam Flora sebagai kontraktor utama, namun beliau tetap yakin ianya dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri.

"Sudah tentu lah (ada kelemahan), Alam Flora buat kerja dah 10 tahun lebih, kita buat tak sampai enam bulan.

"Saya tengok ianya masih boleh diperbaiki. Kita rasa kita boleh selesaikan isu ini dengan lebih baik Mac dan April ini," katanya ketika ditemui Harakahdaily di pejabatnya semalam.

Sebelum ini kerajaan Selangor memutuskan menamatkan kontrak Alam Flora sebagai kontraktor utama pengurusan sisa pepejal di negeri itu.

Sebagai alternatif, mulai tahun ini kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengurus sendiri kutipan sampah di negeri itu.

Sambil mengulangi pendirian bahawa perubahan itu adalah tepat, beliau juga berkata, segala masalah berkaitan sampah kini boleh dipantau sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui PBT.

Sebelum ini katanya, banyak masalah membabitkan sampah dirujuk kepada pihak PBT, namun apabila diarah untuk diselesaikan, berlaku 'tolak menolak' antara PBT dengan kontraktor utama Alam Flora.

"Diorang ni main 'passing the bulk', dia kata dia. Belanja untuk pembersihan dan pengumpulan sampah melebihi RM350 juta.

"Saya berkira-kira kalau begini berlaku, maknanya kita tak dapat kebersihan dan juga pegawai kita pula tidak mempunyai komitmen terhadap kebersihan negeri Selangor," katanya.

Dengan perubahan yang telah dilakukan katanya, sekarang ini tanggungjawab tersebut kini dipikul oleh Datuk Bandar dan juga Yang Dipertua PBT di negeri itu.

Malah beliau juga meyakini kos pengurusan sampah di negeri itu juga dapat dikurangkan.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut mewujudkan talian bebas tol atau Hotline untuk membolehkan rakyat membuat sebarang aduan mengenai perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama melibatkan pengurusan kutipan sampah dan pembersihan.

Talian tersebut dikendalikan oleh Pusat Aduan Pengurusan Sisa Pepejal Selangor di bawah kelolaan Setiausaha Kerajaan Negeri.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: