06 Mac 2012

Gabenor Di Sulawesi Arah Pekerja Wanita Muslim Pakai Tudung

13 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA – Gabenor Gorontalo, Bapak Rusli Habibie, telah menguatkuasakan secara rasmi dasar memakai tudung kepada semua pekerja wanita beragama Islam yang bertugas di pejabat pentadbiran wilayah berkenaan mulai Khamis lalu.

Peraturan baru itu mewajibkan mereka menutup aurat menurut Syariah, selain menunjukkan perilaku mengikut ajaran Islam sepanjang waktu kerja.

Berpuluh-puluh kakitangan wanita dilihat sudah pun memakai tudung di pejabat pentadbiran Gorontalo berikutan pelaksanaan dasar itu.


‘Bukan hanya tudung malah semua pekerja Islam perlu meninggalkan kerja sebaik mendengar azan. Semua orang, kecuali pekerja wanita yang uzur, perlu ke masjid untuk bersolat,’ Kata Bapak Rusli dipetik oleh agensi berita di sini.

Dasar itu adalah yang kedua dilaksanakan Encik Rusli sejak memenangi pilihan raya tempatan Gorontalo, Disember tahun lalu, yang disokong oleh Parti Golkar.

Baru-baru ini, Bapak Rusli melaksanakan dasar yang mewajibkan gaji kakitangan lelaki dipindahkan ke akaun bank isteri masing-masing, yang dikatakan penting bagi mempromosikan sikap keterbukaan antara pegawai dengan isteri mereka serta mengelakkan rasuah di kalangan kakitangan awam.

Gorontalo terletak di utara Sulawesi. Ia membentuk pentadbiran sendiri mulai Disember 2000 selepas berpecah dengan wilayah Sumatera Utara. — Agensi.

Tiada ulasan: