06 Mac 2012

Lupus al-Quran rosak cara betul

13 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENGKALAN BERANGAN – Naskah al-Quran yang sudah koyak atau rosak boleh dilupuskan dengan membakar dalam bekas bertutup bagi mengelak debunya berterbangan sebelum menanam atau membuangnya ke laut.

Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz ketika dihubungi semalam, berkata, jika jumlahnya banyak, naskhah al-Quran itu boleh diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) atau ke Pejabat Agama Islam daerah masing-masing untuk dilupuskan.

“Tindakan membiarkan naskah al-Quran di tempat tidak sepatutnya amat dilarang dalam Islam.

“Ahli jawatankuasa masjid boleh melakukan sendiri menggunakan kaedah pelupusan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas aduan Sinar Harian yang terkejut melihat beberapa naskah al-Quran yang rosak dan koyak tidak dilupuskan dengan baik sebaliknya terbiar serta diletakkan di luar bangunan Masjid Kampung Kubu, di sini.

Terdahulu, Sinar Harian menerima aduan mengenainya daripada orang ramai yang sedih melihat lima naskah al-Quran yang rosak dan koyak berada di sebuah rak buruk bersama plastik biru berisi sampah di masjid berkenaan.

Difahamkan al-Quran rosak dan koyak itu sudah lama di situ selepas dipindahkan dari masjid lama ke masjid baru kampung itu.

Susulan aduan itu, Sinar Harian turut menghubungi pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubu.

Pengerusi JKKK Kubu, Zakaria Akif, mengesahkan perkara itu dan mengatakan pihaknya akan mengambil langkah wajar termasuk akan melupuskan naskah al-Quran tersebut mengikut kaedah yang disarankan.

sinar harian/-

Tiada ulasan: