27 Muharram 1433H. [MOD] -
(500 pasukan bermotor tiba di Dataran Kerdau)
“Hari ini kalau (Tun) Daim Zainuddin ada di sini, beliau pun tak akan
berani ramalkan Pahang (bersama Johor dan Melaka) akan kekal di bawah
BN,” kata seorang yang hadir semasa ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat
Pahang (HKRP) di Kerdau malam tadi.
Ketika itu jam menunjukkan
kira-kira pukul 10.30 malam, tetapi segenap sudut di tapak Kompleks PAS
Pahang seluas 8 ekar itu sudah padat diisi lebih hampir 40,000 manusia.
Di
pentas utama, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim secara
bersahaja mengatakan, perhimpunan yang diadakan secara susah payah ini
merupakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU).
“Lepas
ini, insyaallah kita bertemu dalam suasana seperti ini di Stadium Darul
makmur pula,” katanya sambil diiringi laungan takbir dan pekikan
semangat oleh pelbagai kaum yang hadir.
Tuan Ibrahim memulakan ucapan dengan melahirkan rasa bimbangnya
kalau-kalau program HKRP yang dirancang itu tidak mendapat sambutan
kerana Perhimpunan Agung Umno (Pau) baru sahaja berlalu dan ‘mood’ belum
dapat dibaca akibat propaganda media Umno.
“Tambahan pula
sekarang musim hujan dan secara kebetulan malam ini perlawanan bola
sepak antara Malaysia dengan Thailand (Piala Suzuki AFF). Tetapi Pakatan
Rakyat (PR) melakar sejarah hari ini. Rakyat tetap datang yang dikira
paling ramai dalam sejarah. Ini membuktikan rakyat negeri ini mahukan
perubahan,” ujarnya.

Memang hujan turun pada sebelah petang, tetapi berhenti sebelum maghrib.
(Pemimpin utama Pakatan yang hadir)
Program HKRP anjuran PR Pahang bermula seawal jam 12 tengahari lagi
diisi dengan slot forum dan dialog anjuran Dewan Muslimat PAS Pahang.
Sekitar
pukul 3 petang konvoi 500 penunggang motosikal dan kereta yang bertolak
dari R&R Temerloh, sampai di tapak perhimpunan.
Konvoi
disambut dengan pertunjukan tarian naga dan seni silat abjad oleh
anak-anak muda. Turut menyambut ribuan anak muda ialah Ketua Pemuda PAS
Malaysia Ustaz Nasruddin Hassan dan pimpinan PR Pahang.
“Count
down PRU 13 berada dalam tempoh 100 hari saja lagi. Kepada anak-anak
muda, jadilah petugas rasmi perubahan iaitu menyampaikan maklumat tepat.
Kerana kita tahu kemenangan BN selama ini ialah akibat maklumat berat
sebelah yang terpaksa diterima rakyat,” pesan Nasruddin.
Beliau
turut membayangkan masa depan cerah untuk PR di Pahang. Kerana katanya,
penganalisis melihat kemenangan dalam PRU akan datang ialah
kecenderungan majoriti anak-anak muda ke arah mana. Kerana golongan muda
mewakili 53 peratus pengundi.
Citarasa anak-anak muda yang hadir
tidak dipinggirkan apabila mereka berpeluang menikmati hiburan dengan
persembahan santai artis-artis Bob Lokman, ALI XPDC dan Dayangku Intan.
Ada satu pembaharuan dalam pengedalian ceramah kerana ia dipengerusikan oleh tiga orang dari tiga parti PR Pahang.
Pengerusi-pengerusi
majlis dari bangsa Melayu (PAS), Cina (PKR) dan India (DAP) itu berucap
dalam bahasa masing-masing. Ceramah pula dimulakan dengan semua yang
hadir menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.
Pengerusi majlis daripada PAS iaitu Suhaimi Saad berkata, beliau
melihat program HKRP paling teratur bebanding negeri-negeri lain kerana
semua penceramah menepati masa program dapat ditamatkan tepat jam 12.
Dr
Hamzah Jaafar selaku pengarah program diberi keistimewaan memulakan
ucapan. Diikuti bekas Pengerusi syarikat media negara, Media Prima,
Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang baru menyertai PAS di Johor
kelmarin.
Bekas menteri Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir yang 30 tahun
berada dalam kabinet BN dan 26 tahun menjadi ahli MKT Umno yang berucap
selepas itu, banyak mendedahkan kepincangan dalam Umno.
“Umno
sekarang sudah dikuasai penjenayah, perompak dan pencuri. Wang rakyat
sekarang tidak lagi dicuri ribu-ribu tetapi sudah juta-juta dan bilion.
Itulah sebabnya saya ‘blah’ dari parti yang saya sayangi dulu,” katanya.

Tiga
orang pemimpin tiga parti dari Pahang kemudian menyampaikan pidato
masing-masing selama 10 minit seorang dimulai Leong Ngah Ngah, kemudian
Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Tuan Ibrahim.
Ketua Penerangan PAS
Pusat itu memulakan ucapan dengan menunjukkan muka depan naskah akhbar
Makkal Osai yang memuatkan gambar Ahli Parlimen Jerantut Tan Sri Tengku
Azlan Sultan Abu Bakar meninggalkan Umno.
(Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang)
Akhirnya seperti yang dinanti-nantikan oleh rakyat Pahang, Tuan
Ibrahim, Fauzi dan Leong mengisytiharkan tawaran Kerajaan PR Pahang
untuk rakyat negeri ini iaitu pertama, menyediakan lot-lot rumah kepada
rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta
menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun.
Kedua,
menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat
Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan
memenuhi syarat.
Ketiga, mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ianya tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Keempat, memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.
Kelima,
menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan
dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran
kerajaan.
Akhirnya, sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi
semua hasil utama negeri sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri
PR.
“Perisytiharan ini adalah sangat istimewa bagi kami rakyat
Pahang kerana melibatkan keperluan dan tuntutan hidup yang tidak pernah
diselesaikan oleh Kerajaan BN sejak 55 tahun lalu,” kata Sharif Idris,
52, yang turut muncul di tengah-tengah ribuan yang hadir.
Mohamed
Sabu selaku Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat, berucap selepas itu.
Diikuti dengan Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan diakhiri oleh Ketua
Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu,
cerita-cerita kononnya ada pihak yang akan melakukan provokasi dan
mengganggu program HKRP, tidak menjadi kenyataan.

(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau)
Yang ada ialah penyebaran risalah fitnah dan baner-baner berbentuk hasutan yang digantung di lokasi tertentu.
“Pada
mulanya memang kami dapat maklumat akan berlaku provokasi, sebab itu
kami betul-betul bersedia,” kata ketua bahagian keselamatan Ramli Abdul
Rahman.
Penduduk tempatan, Mohd Amin yang ditanyakan pendapatnya
tentang program HKRP, berkata beliau dapat merasakan terjalin perpaduan
kaum yang erat antara Melayu, Cina, India dan Orang Asli.
“Jadi
saya tak faham bagaimana ada pihak yang kata jika PR menang akan berlaku
huru-hara seperti tragedi 13 Mei. Barangkala ada pihak yang kalah akan
mencetuskan ketegangan,” ujarnya.
Apa-apapun, HKRP semalam tetap
dianggap sebagai suntikan semangat baru bagi pendokong dan penyokong PR
bagi menghadapi PRU. Terutama pandangan Daim yang mengatakan Pahang
tetap sebagai ‘deposit’ BN. Juga cabaran Datuk Seri Adnan Yaakob yang
sanggup dipotong telinganya jika PR menang di kawasannya, Bentong
harakah/-