17 Januari 2013

Saman Anwar: Azmin dakwa Khairy angkuh

5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyifatkan kenyataan media Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berhubung penyelesaian kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai "angkuh dan satu pembohongan."

"Kedua-dua kenyataan ini bukan sahaja angkuh dan satu pembohongan, ia juga bertentangan dengan syarat penyelesaian yang dimeterai dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh kedua-dua pihak pada 16 Januari 2013 (semalam)," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.

Azmin mendakwa tindakan Khairy yang memutarbelitkan persetujuan beliau sendiri di hadapan hakim boleh dikira menghina mahkamah.

Kedua-dua kenyataan itu merujuk kepada pandangan  Khairy yang disiarkan oleh Sinar Harian dan Sinar Harian Online,  menyebut bahawa “beliau tidak menarik balik kenyataannya berkenaan Anwar tetapi cuma berkata apa yang dipetik itu tidak betul dan tidak tepat”.

Kata Azmin, Khairy juga cuba memberi gambaran seolah-olah Anwar memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah kerana bimbang dengan perbicaraan penuh.
Awal pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa meskipun laporan media menyebut Anwar dan Khairy telah mencapai penyelesaian kes fitnah RM100 juta semalam, 'perang' membabitkan kedua-dua mereka berterusan di dunia siber.

Kedua-dua Anwar dan Khairy berbalas mesej menerusi Twitter semalam bagi mengatakan kenyataan dan pendirian masing-masing.

Susulan kepada kenyataan pagi semalam, Anwar sekali lagi menegaskan Khairy telah menerima balik kenyataan berbaur fitnah, yang didakwa dibuat lima tahun yang lalu.

"Khairy tarik (balik) fitnah; saya tak teruskan saman," kata Anwar menjawab soalan beberapa pengikutnya yang bertanya apa sebenarnya berlaku ekoran kenyataan yang berbeza.

Tengah hari semalam, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, "sila baca kenyataan penyelesaian, bukan Utusan; secara efektif, ia satu tindakan menarik balik (kenyataan)."

Blog Anwar malam tadi menyebut, berikutan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khairy bertentangan dengan keputusan dicapai di mahkamah, satu sidang media akan diadakan pagi ini di ibu pejabat PKR.
Khairy dalam mesejnya menyebut bahawa "beliau saman saya. Beliau menarik balik kes."

Laporan media menyebut kes saman fitnah RM100 juta yang difail Anwar terhadap Khairy pada September 2007 diselesaikan  selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Penyelesaian itu direkod Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam semasa kes disebut di hadapan beliau.

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Anwar memberitahu mahkamah kes itu diselesai memandangkan defendan (Khairy) bersedia untuk mengatakan beliau tidak mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan.

"Tiada perintah untuk kos," katanya.

Hakim Su turut berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana menjimatkan masa mahkamah.
Anwar dalam samannya mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada satu majlis politik di Kuala Kangsar pada Ogos 2007, yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.

Berikut kenyataan penuh Azmin, dikeluarkan hari ini:

Kenyataan Khairy Jamaluddin yang dipetik oleh Sinar Harian menyebut bahawa “beliau tidak menarik balik kenyataannya berkenaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetapi cuma berkata apa yang dipetik itu tidak betul dan tidak tepat."

Seterusnya, beliau juga cuba memberi gambaran seolah-olah Datuk Seri Anwar memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah kerana bimbang dengan perbicaraan penuh.

Kedua-dua kenyataan ini bukan sahaja angkuh dan satu pembohongan, ia juga bertentangan dengan syarat penyelesaian yang dimeterai di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh kedua-dua pihak pada 16 Januari 2013.

Tindakan Khairy yang memutar belitkan persetujuan beliau sendiri di hadapan hakim boleh dikira menghina mahkamah.

Syarat penyelesaian menyebut seperti berikut:
“Since the defendant (Khairy Jamaluddin) is now prepared to say that he did not say the offending words as opposed to the position taken earlier, the matter ends there and stands resolved.”
 
Khairy dan Pemuda Umno sebelum penyelesaian ini bertegas bahawa Anwar adalah “pengkhianat perjuangan Melayu” dan “boneka Amerika Syarikat dan Yahudi”.

Malah, dalam transkip ucapannya yang menjadi bahas kes di mahkamah, secara jelas beliau menyebut perkara-perkara ini.

Muka surat 10 transkrip ucapan yang dikemukakan dalam mahkamah:

“Tuan-tuan, saya balik daripada Ijok, saya dengar dengan telinga saya sendiri, keluar dari mulut pemimpin Melayu di Ijok, daripada Anwar Ibrahim, yang mengatakan bahawa kita tak perlu lagi ada Dasar Ekonomi Baru, kita tak perlu lagi membantu orang Melayu.

Sekarang ini Anwar sudah masuk kawasan-kawasan kaum Tionghua. Dia kata kita nak bina sekolah Cina, tak payah lagi ada Dasar Ekonomi Baru dan sebagainya.

Tuan-tuan, sudah jadi macam ini, sudah sampai satu tahap di mana ada pemimpin Melayu yang sanggup menggadai kehidupan kita oleh kerana politiknya.”

Bukan sahaja beliau menuduh Anwar menggadaikan kehidupan orang Melayu, Khairy juga mengapi-apikan sentimen perkauman dengan membina kebencian terhadap pendidikan Cina yang cukup rapat dengan masyarakat Cina di negara ini.

Muka surat 11 transkrip ucapan Khairy yang dijadikan bahas kes di mahkamah pula menyebut:
“Pilihan raya yang akan datang adalah masa depan kita, adalah perjuangan kita. Adakah kita sanggup memberi laluan kepada Anwar yang menjadi boneka kepada Amerika? Yang menjadi boneka kepada Yahudi? Adakah kita sanggup memberi laluan kepada Pas yang sanggup menggadaikan khazanah asli bumi bertuah Malaysia ini kepada rakyat asing?”

Dari transkrip ucapan yang menjadi rujukan kes saman di mahkamah, adalah jelas bahawa Khairy memfitnah Anwar dan menghina perjuangan Pas. Dakwaan Khairy bahawa kenyataan beliau disalah lapor oleh media, seperti yang dinyatakan kepada Sinar Harian adalah tidak benar, kerana prosiding perbicaraan mahkamah merujuk kepada transkrip ucapan beliau yang disediakan oleh peguam Umno sendiri dan bukannya mana-mana laporan akhbar.

Oleh sebab itulah, syarat penyelesaian secara jelas menegaskan bahawa kes ini ditamatkan apabila Khairy bersedia menukar pendirian awalnya mengenai fitnahnya terhadap Anwar.

Pendirian awalnya yang memfitnah Anwar sebagai pengkhianat perjuangan Melayu dan boneka Amerika Syarikat dan Yahudi terkandung dalam transkrip ucapan Khairy pada 1 Ogos 2007.

Oleh yang demikian, apabila beliau menukar pendirian awalnya, ia bermakna beliau menarik balik fitnah tersebut yang terkandung di dalam ucapannya dan kempen Umno sebelum ini.

Kenyataan-kenyataan susulan Khairy yang angkuh menggambarkan beliau sedikit pun tidak insaf dan tidak jujur. Beliau lebih rela berbohong daripada berterus terang kepada rakyat bahawa beliau telah menarik balik fitnah yang dibuatnya.

Namun, lebih membimbangkan adalah kenyataan-kenyataan beliau yang berhubung pendidikan Cina di negara ini dan mengaitkannya dengan sentimen perkauman sempit yang melampau.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan untuk mengelakkan putar belit, Khairy harus menjelaskan pendirian beliau mengenai institusi pendidikan Cina yang ada di negara ini agar pendirian Pemuda Barisan Nasional dalam hal itu dapat dinilai oleh pengundi-pengundi.

Setelah meneliti kenyataan-kenyataan susulan Khairy selepas dimeterai syarat penyelesaian, saya berpendapat ianya mempunyai unsur-unsur menghina mahkamah yang perlu dirujuk semula kepada mahkamah.

sinar/-

Perangai liar macam ibu

5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
 
FotoJohor Bahru: Tiga beradik menjadikan pusat hiburan di sekitar bandar raya ini umpama rumah kedua sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada pengaruh negatif ibu mereka berusia 47 tahun yang sehingga kini masih terus mengunjungi pusat hiburan terbabit.

Pada masa sama, tiga beradik terbabit turut membawa pulang kekasih masing-masing ke rumah keluarga di Skudai di sini, malah ibu mereka juga tidak mahu kalah dan turut melakukan perkara sama.
Sejak beberapa tahun lalu, kediaman keluarga berkenaan umpama hotel murah dengan lelaki serta wanita keluar masuk khasnya menjelang awal pagi.

Perkara terbabit diakui ibu kepada tiga beradik berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Safiah.
SAFIAH (tengah) bersama dua daripada anaknya mengakui sukar meninggalkan tabiat buruk.

Ketika ditemui, Safiah berkata, dia menganggap berhibur di pusat hiburan selain membawa kekasih pulang ke rumah sebagai hiburan semata-mata.

metro/-

Ops Tampal: Pemuda PAS perlu lapor jalan rosak

5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor memuji tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di atas perlaksanaan Ops Tampal Jalan yang telah dan akan terus dilaksanakan di semua jalan negeri termasuk jalan persekutuan di seluruh negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri cukup wajar memandangkan banyak aduan-aduan telah dibuat sebelum ini yang menjurus kepada masalah dan keresahan rakyat berkenaan jalan-jalan yang rosak dan berlubang di seluruh Selangor,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Beliau berpendapat usaha baik itu adalah menepati agenda kerajaan negeri di dalam mendahulukan keselesaan rakyat sebagai kerajaan yang prihatin dan cakna terhadap segala permasalahan rakyat.

Justeru, kata beliau pihaknya turut mengarahkan Pemuda PAS kawasan-kawasan untuk memberikan khidmat sukarela dengan turun padang melakukan pemantauan dan laporan sekiranya ada jalan-jalan yang rosak dan berlubang yang perlu dibaiki di kawasan masing-masing.

harakah/-

Assad mahu bertanding 2014

Assad mahu bertanding 20145 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Kawasan berhampiran asrama kampus juga musnah dalam insiden letupan berkembar itu. Foto: AP
 
DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar al-Assad akan bertanding dalam pilihan raya pada tahun hadapan, sekali gus menetapkan pendiriannya untuk tidak berundur, menurut timbalan menteri luar, kelmarin.

Faisal Muqdad berkata, ia akan dijalankan mengikut sistem demokrasi dan presiden juga mempunyai hak untuk bertanding sekali lagi walaupun mungkin akan ditentang banyak pihak memandangkan konflik semakin meruncing di negara itu.

"Assad dan calon yang mahu bertanding pada tahun depan juga akan turun padang bertemu dengan rakyat semasa berkempen," jelasnya.

Dalam ucapannya pada 5 Januari lalu, Assad mengumumkan cadangan tiga langkah pelan damai yang ditolak bulat-bulat oleh kumpulan pembangkang dan negara Barat serta turut dikritik Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab,
Lakhdar Brahimi.

Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 87 maut manakala lebih 100 cedera parah dalam insiden letupan berkembar di sebuah universiti di Aleppo pada hari pertama peperiksaan sedang berlangsung.

Kumpulan hak asasi manusia Syria berpusat di Britain melaporkan angka kematian dijangka meningkat.

Pihak berkuasa juga masih gagal punca letupan yang turut menyebabkan beberapa kereta dan dinding asrama musnah.

Dalam satu kenyataan lain, aktivis mendakwa tentera pro-Assad telah melancarkan dua serangan udara pada masa tersebut manakala media tempatan pula menuduh kumpulan pemberontak yang bertanggungjawab ke atas kejadian itu. -  AP

Janda ditipu ‘jemaah tarik duit’

5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Salina menunjukkan isi kandungan sampul surat yang yang kononnya berisi wang sebanyak RM300,000, diberika Bujal selepas upacara ‘tarik duit’.

JOHOR BAHRU – “Siapa yang tidak gelap mata apabila ternampak timbunan wang sebegitu banyak, lebih-lebih lagi seorang janda beranak tiga seperti saya yang memerlukan duit untuk menanggung persekolahan anak-anak.”

Itu pengakuan Salina, 30-an (bukan nama sebenar) saat menceritakan pengalamannya menyertai kumpulan jemaah ‘tarik duit’.
Menurut Salina, jemaah berkenaan diketuai oleh seorang lelaki dikenali sebagai Bujal 40-an yang mendakwa mampu menghasilkan wang jutaan ringgit.

“Jemaah turut disertai tujuh individu lain termasuk seorang doktor yang sanggup melabur sehingga puluhan ribu ringgit,” katanya.

Menceritakan detik perkenalannya dengan Bujal ketika menjalankan urusan perniagaannya, Salina mengakui lelaki itu mempunyai perwatakan alim selain pandai mempengaruhi orang lain dengan tutur kata sopannya.
“Disebabkan seorang rakan baik turut menyertai jemaah ini, membuatkan saya turut terpengaruh, apatah lagi saat saya dan anak-anak memerlukan wang.

“Disebabkan begitu percaya dengan pujukan Bujal, saya sanggup laburkan semua wang simpanan yang ada asalkan hasilnya berlipat kali ganda.

“Akibat terlalu taksub dengan kebolehan Bujal itu jugalah saya tergamak menggunakan wang untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak,” katanya.

Selain menyerahkan wang, Salina juga diarahkan untuk menyediakan pelbagai barangan ketika ‘upacara’ menarik duit seperti tujuh helai kain satin berlainan warna, bekas bara, jarum, air mawar dan wang sebanyak RM180 atas nama bayaran fidyah.

Menurut Salina, aktiviti sesat itu dijalankan di beberapa hotel sekitar bandar raya ini di mana ahli jemaah diarahkan untuk membaca surah lazim al-Quran ketika Bujal sedang menjalankan upacara.

“Ia berlarutan selama empat bulan dan dijalankan pada 10 malam hingga awal pagi, Bujal akan menggunakan sehelai kain hitam dan kira-kira setengah jam kami membaca surah dia akan tunjukkan hasil wang diperolehi.
“Jumlah wang diperolehi memang banyak. Bayangkan daripada sehelai kain berwarna hitam kemudiannya ada duit sebanyak itu.

Menurut Salina, kemuncak aktiviti mereka berlaku sebelum Aidilfitri tahun lalu apabila pembahagian wang bermula.

Salina mengakui dalam pembahagian itu, dia memperolehi 500 keping RM50 untuk dijadikan ibu duit yang boleh menghasilkan wang sehingga RM6 juta.

“Bujal tidak membenarkan saya mengambil kesemuanya, dia hanya menyerahkan dua sampul surat, kononnya berisi sebanyak RM300,000. Namun, saya perlu mematuhi beberapa syarat sebelum melihat isi kandungan sampul surat itu apabila sampai di rumah.

“Bujal minta saya membaca surah Al-Fatihah, Al-Kausar dan Ayat Kursi, semuanya mesti dibaca sebanyak 100 kali pada tengah malam.

“Bagaimanapun belum sempat menyudahkan bacaan surah berkenaan, rakan baik menelefon dan memaklumkan apa yang diperolehi di dalam sampul surat yang diberi Bujal,” katanya.

Tanpa berlengah Salina pun melihat isi kandungan sampul surat itu dan dia terkejut apabila mendapati sampul surat berkenaan berisi kertas putih yang dipotong dan seberkas resit yang saiznya seperti wang kertas.

“Siapa yang tidak terkejut, malah salah seorang daripada jemaah kami turut meninggal dunia akibat serangan jantung selepas mengetahui keadaan sebenar.

“Bagaimanapun Bujal memberi alasan wang yang ditarik telah ‘rosak’ menyebabkan ia bertukar menjadi kertas kosong.

“Bujal berjanji jika saya serahkan RM500 dia akan menjalankan upacara itu sekali lagi. Akibat terpedaya dengan janji manis saya sanggup meminjam wang daripada ah long kerana yakin akan dapat pulangan berlipat kali ganda,” ceritanya.

Bagaimanapun kira-kira seminggu kemudian, Salina akhirnya tersedar dia sebenarnya telah ditipu Bujal dan dalam masa yang sama ah long pula memburunya kerana wang RM500 yang dipinjamnya telah naik kepada RM1,500.

Bujal pula menghilangkan diri, mujur seorang rakan baiknya bersimpati dan melangsaikan hutang berkenaan.
“Walaupun saya hanya rugi sekitar RM3,000 namun ia begitu memberi pengajaran, selama empat bulan menyertai jemaah itu, perniagaan saya merudum kerana hilang fokus. Saya berkongsi cerita ini sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mudah tertipu.

“Akibat terlalu tertekan saya masih belum melaporkan kes ini kepada polis. Mungkin dalam masa terdekat saya dan rakan lain yang ditipu akan membuat laporan supaya lelaki penipu seperti Bujal menerima hukuman setimpal,” katanya.

Sinar

Hujah Bawani jauh lebih baik - Ambiga

5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: "Hujah dia jauh lebih baik dari moderator," kata Pengerusi Bersih 2, Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) ketika mengulas hujah yang diberikan  Bawani KS dalam video klip popular, Listen..listen..listen.

"Her argument outdid the moderator’s (Sharifah Zohra)," tulis bekas Pengerusi Majlis Peguam itu dalam sms nya kepada The Malaysian Insider.

Bawani, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika bercakap dalam forum 'Seiringkah mahasiswa dan politik?' anjuran Kelab Wanita 1 Malaysia (KW1M) berkata tidak wajar Ambiga dituduh punca 'anarkis' di negara ini.

Beliau juga membela Datuk A Samad Said yang juga diberikan nama buruk dalam forum itu. Akibatnya, moderator forum itu, Sharifah Zohra yang juga Pengerusi KW1M menyekat beliau dari terus bercakap dengan menyebut perkata 'Listen' berulang kali.

Video itu menjadi klip video paling top di Malaysia dengan lebih setengah juta iaitu 665,651 telah menontonnya sehingga berita ini ditulis.

Perkataan 'Listen...listen...listen' kini menjadi trend dalam politik Malaysia dan pelbagai pihak mengaitkan pendapat mereka dengan perkataan ini.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan telah membuat satu sajak khas mengenainya bertajuk 'Listen...Listen to Me ! Let Me Speak ..'.

Selain itu, baju T (gambar) juga direkabentuk menggunakan perkataan ini.

harakah/-

India, Pakistan setuju 'reda' ketegangan Kashmir

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -



Lima askar dilaporkan terbunuh di sepanjang sempadan Kashmir tahun ini.

Tentera India dan Pakistan telah mencapai satu perjanjian untuk "meredakan" ketegangan tentera di sepanjang sempadan Kashmir yang menjadi pertikaian selepas kes keganasan baru-baru ini.

Jagdeep Dahiya, jurucakap tentera India berkata "persefahaman telah dicapai antara kedua-dua pengarah-jeneral operasi ketenteraan untuk meredakan keadaan sepanjang garisan kawalan (Line of Control), Rabu lalu.

Beliau berkata, komander tentera kanan bagi kedua-dua negara telah bercakap selama 10 minit melalui telefon sebelum mereka mencapai persetujuan dan bahawa Pengarah Am Tentera Pakistan berkata arahan ketat telah dikeluarkan untuk tidak melanggar
perjanjian gencatan senjata ".

Dahiya berkata tentera India yang ditempatkan di sepanjang sempadan juga tidak akan melanggar gencatan senjata yang dimeterai antara dua negara bersenjata nuklear pada pada tahun 2003.

"Kami sentiasa mematuhi perjanjian gencatan senjata tersebut dan hanya bertindak balas," kata jurucakap itu.

Tentera Pakistan mengesahkan perbualan telefon antara kedua-dua komander tersebut.

Mereka menambah dalam satu kenyataan bahawa "Pakistan membuat bantahan keras" ke atas pembunuhan seorang askar mereka malam Selasa lalu.

India tidak mengesahkan pembunuhan berkenaan tetapi berkata bahawa jika seorang askar telah meninggal dunia, ia mungkin adalah hasil tembakan tindakbalas India kepada tembakan dari Pakistan. (aljazeera.com)

Doktor ‘amuk’ 7 kali ditahan

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

FotoSubang Jaya: Berang anaknya ditukar ke kelas lain, sepasang suami isteri masing-masing berusia 40 dan 35 tahun yang juga doktor ‘mengamuk’ di Balai Polis Subang Jaya, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, pasangan terbabit turut dilapor memaki hamun dan mengugut pegawai serta anggota polis menyebabkan suasana di balai polis berkenaan kecoh.

Berikutan itu, pasangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, pasangan sama dilaporkan pernah ‘mengamuk’ di sekolah anaknya lebih enam kali sejak 2010 namun berjaya ditenangkan dengan kehadiran polis.
PASANGAN terbabit ditahan, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kelmarin, polis tidak lagi mampu bertolak ansur dengan pasangan terbabit yang bukan saja memaki hamun sebaliknya mencabar serta mengugut pegawai serta anggota polis di balai polis berkenaan.

metro/-

‘Ingatkan sampah’

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

FotoKota Kinabalu: “Pada mulanya, saya ingatkan sampah lalu mengangkat bekas plastik yang berisi beg plastik berwarna hitam itu kemudian membuang ke dalam tong sampah, namun pelik apabila bekas plastik itu agak berat.

“Saya kemudian mengambil semula bekas plastik itu dan sebaik membuka, saya terkejut apabila melihat kaki manusia yang baru dilahirkan,” kata Rosnie Suli, 57, yang menemui janin cukup sifat di tempat pembuangan sampah di kawasan Kompleks Api-Api Centre, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Rosnie dikatakan sedang membuang sampah di tempat pembuangan dan terkejut melihat bekas plastik mengandungi janin di dalam tong sampah kecil yang dibungkus dengan beg plastik berwarna hitam.

Rosnie yang bekerja sebagai tukang bersih di kompleks berkenaan berkata, ketika kejadian dia bersama seorang lagi rakan sedang menjalankan kerja membuang sampah di tempat pembuangan sampah terbabit.
ANGGOTA forensik menjalankan siasatan pada tong sampah kecil di tempat pembuangan sampah.

“Saya mengangkat bekas plastik itu di dalam tong sampah kecil lalu membuang ke tong sampah besar di tempat pembuangan sampah. Namun, saya agak curiga kerana bekas berkenaan agak berat.

metro/-

[MAHKAMAH] UMNO Kalah Lagi: Anwar Menang Saman, Khairy Tarik Balik Fitnah

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menang kes saman terhadap Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan Ketua Pemuda Umno itu menarik semula kenyataan fitnah beliau ke atas Ketua Umum KEADILAN dan kes selesai.

Khairy sebelum ini berpendirian bahawa beliau ada menuturkan kata-kata terhadap plaintif (Anwar) adalah pengkhianat Melayu dan boneka kepada Amerika Syarikat dan Yahudi.

Semalam, Khairy menarik balik kenyataan tersebut dan mengambil pendirian beliau tidak pernah berkata demikian.

“Sekarang Khairy mengatakan beliau tidak pernah mengucapkan kata-kata tersebut. Ini bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini. Pihaknya tarik balik dan kita berpuas hati,” kata Anwar mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Khairy kata saya pengkhianat Melayu, dah tarik balik maksudnya saya ni pahlawan Melayulah…,” seloroh Anwar yang berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Hadir sama mendengar keputusan yang dibacakan oleh Hakim Datuk Su Geok Yiam adalah Khairy dan seorang lagi peguam Anwar, Gobind Singh Deo.

Ekoran tindakan Khairy itu, Anwar mengingatkan pemimpin Umno agar berhenti menggunakan saluran media sesuka hati untuk memburukkan imej beliau.

Peguam mewakili Anwar, Haijan Omar turut berpuas hati dengan penarikan tersebut.

“Dia (Khairy) menarik balik sebab bertentangan dengan pendirian beliau sebelum ini. Kita berpuas hati dan setuju untuk selesaikan,” kata Haijan kepada pemberita.

“Lagipun ia menjimatkan masa dan kos semua pihak,” tambahnya.

Anwar memfailkan saman tersebut pada 7 September 2007 dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Umno menfitnah beliau semasa menghadiri satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak, pada Ogos 2007.

Menurut beliau, kenyataan fitnah itu disiarkan oleh media cetak dan eletronik dalam negara pada 3 Ogos 2007.

Anwar juga mendakwa kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai oleh orang Melayu, yang tidak mengutamakan perjuangan orang Melayu serta hak mereka, dan beliau berkeupayaan untuk mengkhianati perjuangan dan hak orang Melayu demi mendapatkan sokongan bukan Melayu dalam negara.

Beliau turut berkata, Khairy membuat kenyataan itu untuk menyindir bahawa beliau (Anwar) merupakan seorang ejen politik Amerika Syarikat dan pihak Yahudi, di samping bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya, dan Khairy menurutnya berniat jahat ketika membuat kenyataan itu yang merupakan satu pembohongan, tidak berasas dan tidak benar.

Selain ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, Anwar turut memohon injunksi bagi menghalang Khairy, atau ejennya, daripada mengulangi kenyataan itu. -KD

Orang Melayu perlu merdekakan jiwa dan minda

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Kita sudah sampai ke penghujung penggal pilihanraya dan pemilihan itu akan diadakan dalam beberapa minggu sahaja lagi. Kali ini merupakan pilihanraya yang berkeadaan yang paling rumit dan mencabar bagi BN dan masa yang paling baik bagi Pakatan Rakyat untuk menunjukkan mereka (PR) sebagai ‘coalition’ alternatif yang akan menjadi pengganti kepada pemerintahan BN. UMNO sudah dianggap terlalu usang oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

Tanda yang paling jelas UMNO itu usang ialah ketidak-mampuan untuk mengubah keadaan dan persepsi buruk rakyat terhadap parti itu dengan keseluruhan kepimpinannya. Banyak pihak telah mengkritik dan memberikan pandangan yang berbagai-bagai untuk memperbaiki parti itu tetapi UMNO tetap dengan sikap dan perangai yang sama tanpa ada tanda-tanda untuk berubah kepada kebaikan.

Segala kesalahan moral dan jenayah yang dilakukan oleh UMNO dan BN selama ini tetap terus berlaku dan rakyat sudah tiada pilihan selain dari melakukan yang drastik terhadap parti pemerintah itu. Betullah kata setengah pendapat orang, keadaan ini adalah kehendak yang ‘natural’ dan ianya berlaku kepada semua parti-parti dan pertubuhan siasah yang sudah lama dan usang dimana-mana.

Ahli-ahli serta penyokong-penyokong tegar UMNO masih dalam sindrom penafian dan masih bertegas mengatakan UMNO akan menang dan ada yang mengatakan yang parti itu akan mendapat sokongan 2/3 dalam Dewan Parlimen kali ini. Tetapi hakikatnya tindakan mereka hanyalah untuk menyedapkan hati mereka sahaja kerana keadaan sebenarnya adalah di sebaliknya.

UMNO masih terkial-kial dengan masalah dalaman mereka sendiri dan masalah seperti ini tidak memungkinkan mampu untuk memperbaiki peluang UMNO untuk mendapatkan mandat yang lebih baik.  Malahan parti itu akan bertambah merudum dan akan terbukti dalam pilihanraya yang akan datang ini. Kalau UMNO hendak berubah pun ia terpaksa berlaku sebelum pilihanraya ini dan masa untuk membetulkannya sudah terlalu suntuk untuk melakukannya.

Persoalannya apakah yang patut dilakukan oleh UMNO dalam masa yang amat suntuk ini jika ia masih mahu melihat sedikit saki baki kehadirannya dalam politik negara ini? Pertamanya mampukah UMNO melakukan perubahan dengan melakukan tindakan yang drastik dengan menggantikan keseluruhan barisan kepimpinannya dalam kerajaan dan parti dengan pemimpin parti itu yang tiada dalam barisan kerajaan dan MKT parti itu. UMNO tidak sedar yang masalah terbesar parti itu ialah di sebabkan persepsi buruk yang tidak terkira buruknya.

Menggantikan barisan kepimpinan dengan orang lain secara keseluruhan adalah satu-satunya jalan bagi parti itu untuk dipandang oleh rakyat. UMNO sudah tidak dipandang lagi oleh rakyat, malahan ia tidak dihormati oleh ahli-ahlinya sendiri. Itulah sebabnya Najib boleh berikan bantuan BRIM1, BRIM2 dan apa-apa ‘Rim’ yang lain tetapi rakyat tetap tidak melihat UMNO itu sebagai parti yang relevan sekarang ini. Maksud saya rakyat sudah tidak senang dengan kehadiran UMNO itu sendiri. Itu masalahnya.

Justeru, UMNO perlu membuang semua yang ada di dalam barisan MKT serta barisan kabinet sekarang ini. Tindakan setengah pimpinan dalam UMNO untuk menggantikan Najib dengan Muhyiddin tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada UMNO itu. Mereka semuanya adalah hasil dari acuan yang sama seperti yang di bentuik oleh Dr Mahathir dahulu. Orang yang patut menggantikan pimpinan UMNO ini seharusnya dari mereka yang tidak bersetuju dengan acuan ciptaan Mahathir ini kerana itu sahaja caranya UMNO untk menempilkan kepada rakyat yang UMNO sekarang adalah berimej baru dan ia akan membawa dan membina keyakinan yang baru.

Saya telah lama menyebut ini semasa saya masih berada di dalam parti itu tetapi saya tidak digemari oleh pimpinan terutamanya di peringkat negeri. Kesabaran saya sudah habis dan saya telah begitu yakin yang UMNO tidak akan boleh baik lagi maka itu sebabnya saya meninggalkan parti itu dan mengambil keputusan ‘to grow old with DAP’ dan tidak akan berpatah balik. Tindakan saya itu telah mengundang banyak sokongan dan hanya saya sahaja yang merasakannya.

Ramai orang Melayu di dalam UMNO telah menyuarakan sokongan terhadap tindakan saya itu dan saya membacanya melalui e-mail saya setiap hari sehingga hari ini. Saya merasakan degup nadi orang Melayu yang sudah tidak melihat UMNO sebagi parti yang relevan lagi. Tindakan saya bersama beberapa rakan yang lain telah membuka minda setengah orang Melayu dan mereka sekarang merasakan yang jika UMNO tiada orang Melayu tetap wujud bersama agamanya yang tidak terguris dan tercalar.

Rupa-rupanya momokan UMNO yang mengaku parti itu sahaja yang menentukan masa depan orang Melayu itu tidak memberi makna apa-apa kepada kita semua. Ia hanyalah momokan UMNO semata-mata tidak lebih dari itu. Di negara ini ada seramai 18 juta orang Melayu dan Bumiputra dan yang menjadi ahli UMNO hanyalah 3 juta sahaja. Selebihnya tidak menjadi ahli UMNO pun tetapi mereka tetap dengan Melayu dan Islamnya.

Malahan kumpulan ini tetap hidup dalam keadaan yang lebih baik kerana pemikiran mereka tidak ditentukan oleh UMNO. Mereka berfikir dengan pemikiran bebas mereka. Mereka bersikap lebih positif dan tidak bersandar kepada UMNO untuk meneruskan kehidupan mereka membina keluarga dan keturunan mereka denagn baik. Pemikiran mereka tidak dikongkong oleh retorik lapuk UMNO yang mengatakan ‘melayu akan hilang di dunia’ ini jika UMNO ditolak oleh rakyat. Mereka pula mempunyai pendapat berlainan dan terbukti benar. Mereka berfikir jika UMNO masih dibenarkan memomokan mereka, ‘melayu itu akan hilang dunianya’.

Pilihanraya ini merupakan peluang untuk orang Melayu untuk memerdekakan pemikiran mereka dan menjauhi momokan UMNO yang membunuh kemajuan pemikiran kita semua. - 

Merdeka!

Kanak-kanak derita 'diserang' kudis

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


Kanak-kanak derita 'diserang' kudis
Fuziah (kanan) melihat keadaan Mohd Darwish didukung ibunya, Wahida yang menghidap penyakit kulit sambil turut diperhatikan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang.
 
KUANTAN – "Setiap malam Mohd Darwish akan menangis kerana kulitnya gatal seluruh badan, kami semua juga tidak boleh tidur kerana tidak sampai hati melihat penderitaannya selain berusaha untuk melegakan kegatalannya."

Demikian kata ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun, Wahida Zulkapli, 24 yang disahkan menderita sejenis kulit dikenal sebagai impetigo sejak dua bulan lalu.

Kata Wahida, pada mulanya Mohd Darwish  hanya mengalami kemerahan di bahagian kaki seakan ruam tetapi lama kelamaan ia menjadi seakan kudis sebesar syiling 20 sen.

“Bermula daripada kecil ia mula merebak sehingga ke dua-dua belah kaki dan akhirnya ke seluruh badan dalam masa tidak sampai sebulan," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sudah pelbagai cara dilakukan untuk merawat penyakit anak sulungnya namun kata Wahida sehingga kini masih belum menunjukkan tanda akan pulih.

"Saya sudah dua kali membawanya ke hospital dan doktor sudah memberi pelbagai ubat namun keadaannya tetap sama.

"Setelah buntu memikirkan cara mengubati penyakit Mohd Darwish, kini saya mengambil langkah mengawal pemakanannya dan tidak memberinya makanan yang boleh menyebabkan kegatalan," katanya.

Wahida juga tidak membiarkan Mohd Darwish tidak berbaju untuk mengelakkan anaknya itu berpeluh dan boleh menyebabkan kegatalan.

"Saya sangat kasihan melihat keadaannya yang tidak selesa dan mula menggaru apabila terasa gatal sehingga ada bahagian kulit yang terkopek dan berdarah," katanya.

Kata Wahida, dia tidak mampu untuk membawa anaknya berjumpa dengan pakar kulit memandangkan dia hanya suri rumah manakala pendapatan suami yang bekerja sebagai tukang rumah juga tidak menentu.

Penderitaan  Mohd Darwis mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang berkunjung ke rumahnya di Kampung baru, dekat sini.

Beliau turut memberi bantuan ubatan bagi membantu melegakan penyakit kanak-kanak itu selain lampin pakai buang dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban keluarga itu yang turut menjadi mangsa banjir pada 24 Disember lalu.

Info

Impetigo adalah jangkitan kulit yang biasanya menghasilkan lepuh atau sakit pada muka, leher, tangan dan kawasan lampin.

Impetigo biasanya menyerang kanak-kanak. Seorang kanak-kanak mungkin lebih cenderung untuk menghidap impetigo jika kulit mengalami masalah  seperti   gigitan serangga,  lecuhan atau luka kecil.

sinar/-

Kiamat’ dalam kilang

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

FotoHulu Terengganu: “Saya nampak Azmi menggelupur kesakitan manakala Pramod sudah tidak bergerak dan badannya berasap,” kata Burhanuddin Atur Ali, 35, menceritakan kejadian letupan di Kilang Vila Sutera Sdn Bhd di Kampung FELCRA Bukit Kapah, Hulu Terengganu, malam kelmarin. 

Pekerja warga Bangladesh itu berkata, ketika kejadian dia sedang memunggah buah sawit kira-kira 10 meter dari tujuh rakannya yang sibuk memasukkan buah sawit ke dalam jentera penyuci hama buah sawit sebelum ia meletup pada jam 7.50 malam.

Akibat letupan itu, empat daripada pekerja terbabit terbunuh iaitu penyelia kilang, Azmi Abdullah, 47; Mohd Razlan Mokhtar, 25, serta dua pekerja Nepal, Sanjib Kumar Pasman, 26, dan Pramod Kumar Ray, 30.

Azmi dari Kampung Padang Tengir, Manir, Kuala Terengganu dan Pramod mati di tempat kejadian, Sanjib mati di Hospital Hulu Terengganu (HHT) manakala Mohd Razlan yang juga penduduk Kampung FELCRA Bukit Kapah, meninggal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Tiga lagi pekerja hanya cedera ringan iaitu dua rakyat Bangladesh dikenali sebagai Ahmmed Ali, 39, dan Rezuyan Morom Ali, 45, serta seorang warga Nepal, Sabad Yadav, 44. Mereka dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di HHT, semalam.

metro/-

Tiga aktivis PAS Tampin didakwa esok

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


SEREMBAN: Tiga aktivis PAS Tampin akan didakwa di Mahkamah Majisteret Tampin pada Jumaat (esok)  jam 9 pagi atas tuduhan mengganggu tugas penjawat awam.

Menurut satu makluman veteran PAS Tampin, Ali Maiden (gambar), kes ini adalah lanjutan tindakan aktivis PAS yang menghalang  dua orang yang tidak dikenali  membuang poster dan kain rentang ceramah membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gemas pada bulan Januari  tahun  lalu.

Kata Ali,  pihak yang tidak dikenali itu melarikan diri selepas dikejar oleh aktivis PAS.

Malah tambahnya kemudian pihak tersebut menukar pakaian kepada pakaian seragam Majlis Daerah Tampin  di Balai Polis Gemencheh, Negeri Sembilan.

Ali mendakwa, salah seorang yang akan didakwa, Zanil Suboh memaklumkan kepada beliau bahawa mereka (tukang buang poster) adalah orang yang diupah pihak tertentu untuk mensabotaj program Pakatan Rakyat.

"Semua penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir memberi sokongan kepada aktivis PAS yang bakal didakwa  iaitu Zanil Suboh yang juga Ketua Penerangan  PAS Tampin, Musa Ali (warga Felda Bukit Rokan) dan Saudara Mohamad (warga Felda Bukit Jalor), " kata Ali lagi.

harakahdaily/-

Kereta misteri di bahu jalan

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Kereta misteri di bahu jalan
Azhar (kanan) bersama Kamaruzaman dan rakannya menunjukkan Proton Wira diletakkan di bahu Jalan Kuantan-Johor Bharu sejak kelmarin sehingga mencetuskan pelbagai persoalan.
 
TANJUNG GEMOK, ROMPIN  – Kereta siapa? Itulah persoalan berhubung penemuan sebuah Proton Wira yang diletakkan di bahu Jalan Kuantan-Johor Bharu berhadapan sebuah gerai makan di sini.

Difahamkan, kereta berwarna perak yang diletakkan bertentangan jalan masuk ke Simpang Sungai Mempisang kira-kira jam 6 petang kelmarin itu masih belum diambil pemiliknya sehingga jam 3 petang semalam.

Ketua Platun Rela Cawangan Tanjung Gemok, Azhar Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan sebuah kereta, namun masih belum mengenal pasti pemilik sebenar.

Malah katanya, pihaknya menjalankan usaha mengesan dan mencari pemilik kenderaan itu sehingga jam 1 pagi semalam.

“Seramai 10 anggota Rela termasuk Ketua Kampung Tanjung Gemok, Mohd Zaker Awang membuat rondaan di sekitar Pantai Mempisang sehingga ke sempadan Pantai Tanjung Pahang dan Pantai Serinkin. Kita juga sudah maklumkan perkara ini kepada polis secara lisan.

“Difahamkan, kenderaan itu dimiliki seorang doktor klinik swasta di Rompin. Namun setelah dihubungi polis, doktor terbabit menafikan kenderaan itu miliknya,” katanya.

Saksi kejadian, Kamaruzaman Manaf, 46, berkata, sebelum ini dia ternampak seorang lelaki berbaju sukan keluar daripada kenderaan itu menuju ke Pantai Mempisang untuk berjoging.

Namun sehingga semalam katanya, lelaki itu masih tidak mengambil kenderaan tersebut.

“Saya hairan kerana pemilik meletakkan kenderaannya di bahu jalan. Biasanya, kenderaan rosak sekali pun tidak dibiarkan di tepi jalan dalam tempoh lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung penemuan sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di bahu Jalan Kuantan-Johor Bharu dan sudah mengenal pasti pemiliknya.

"Hasil siasatan mendapati pemiliknya merupakan kakitangan sebuah jabatan kerajaan yang meninggalkan kenderaan itu kerana mengalami kerosakan," katanya.

sinar/-