17 Januari 2013

Saman Anwar: Azmin dakwa Khairy angkuh

5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyifatkan kenyataan media Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berhubung penyelesaian kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai "angkuh dan satu pembohongan."

"Kedua-dua kenyataan ini bukan sahaja angkuh dan satu pembohongan, ia juga bertentangan dengan syarat penyelesaian yang dimeterai dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh kedua-dua pihak pada 16 Januari 2013 (semalam)," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.

Azmin mendakwa tindakan Khairy yang memutarbelitkan persetujuan beliau sendiri di hadapan hakim boleh dikira menghina mahkamah.

Kedua-dua kenyataan itu merujuk kepada pandangan  Khairy yang disiarkan oleh Sinar Harian dan Sinar Harian Online,  menyebut bahawa “beliau tidak menarik balik kenyataannya berkenaan Anwar tetapi cuma berkata apa yang dipetik itu tidak betul dan tidak tepat”.

Kata Azmin, Khairy juga cuba memberi gambaran seolah-olah Anwar memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah kerana bimbang dengan perbicaraan penuh.
Awal pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa meskipun laporan media menyebut Anwar dan Khairy telah mencapai penyelesaian kes fitnah RM100 juta semalam, 'perang' membabitkan kedua-dua mereka berterusan di dunia siber.

Kedua-dua Anwar dan Khairy berbalas mesej menerusi Twitter semalam bagi mengatakan kenyataan dan pendirian masing-masing.

Susulan kepada kenyataan pagi semalam, Anwar sekali lagi menegaskan Khairy telah menerima balik kenyataan berbaur fitnah, yang didakwa dibuat lima tahun yang lalu.

"Khairy tarik (balik) fitnah; saya tak teruskan saman," kata Anwar menjawab soalan beberapa pengikutnya yang bertanya apa sebenarnya berlaku ekoran kenyataan yang berbeza.

Tengah hari semalam, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, "sila baca kenyataan penyelesaian, bukan Utusan; secara efektif, ia satu tindakan menarik balik (kenyataan)."

Blog Anwar malam tadi menyebut, berikutan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khairy bertentangan dengan keputusan dicapai di mahkamah, satu sidang media akan diadakan pagi ini di ibu pejabat PKR.
Khairy dalam mesejnya menyebut bahawa "beliau saman saya. Beliau menarik balik kes."

Laporan media menyebut kes saman fitnah RM100 juta yang difail Anwar terhadap Khairy pada September 2007 diselesaikan  selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Penyelesaian itu direkod Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam semasa kes disebut di hadapan beliau.

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Anwar memberitahu mahkamah kes itu diselesai memandangkan defendan (Khairy) bersedia untuk mengatakan beliau tidak mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan.

"Tiada perintah untuk kos," katanya.

Hakim Su turut berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana menjimatkan masa mahkamah.
Anwar dalam samannya mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada satu majlis politik di Kuala Kangsar pada Ogos 2007, yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.

Berikut kenyataan penuh Azmin, dikeluarkan hari ini:

Kenyataan Khairy Jamaluddin yang dipetik oleh Sinar Harian menyebut bahawa “beliau tidak menarik balik kenyataannya berkenaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetapi cuma berkata apa yang dipetik itu tidak betul dan tidak tepat."

Seterusnya, beliau juga cuba memberi gambaran seolah-olah Datuk Seri Anwar memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah kerana bimbang dengan perbicaraan penuh.

Kedua-dua kenyataan ini bukan sahaja angkuh dan satu pembohongan, ia juga bertentangan dengan syarat penyelesaian yang dimeterai di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh kedua-dua pihak pada 16 Januari 2013.

Tindakan Khairy yang memutar belitkan persetujuan beliau sendiri di hadapan hakim boleh dikira menghina mahkamah.

Syarat penyelesaian menyebut seperti berikut:
“Since the defendant (Khairy Jamaluddin) is now prepared to say that he did not say the offending words as opposed to the position taken earlier, the matter ends there and stands resolved.”
 
Khairy dan Pemuda Umno sebelum penyelesaian ini bertegas bahawa Anwar adalah “pengkhianat perjuangan Melayu” dan “boneka Amerika Syarikat dan Yahudi”.

Malah, dalam transkip ucapannya yang menjadi bahas kes di mahkamah, secara jelas beliau menyebut perkara-perkara ini.

Muka surat 10 transkrip ucapan yang dikemukakan dalam mahkamah:

“Tuan-tuan, saya balik daripada Ijok, saya dengar dengan telinga saya sendiri, keluar dari mulut pemimpin Melayu di Ijok, daripada Anwar Ibrahim, yang mengatakan bahawa kita tak perlu lagi ada Dasar Ekonomi Baru, kita tak perlu lagi membantu orang Melayu.

Sekarang ini Anwar sudah masuk kawasan-kawasan kaum Tionghua. Dia kata kita nak bina sekolah Cina, tak payah lagi ada Dasar Ekonomi Baru dan sebagainya.

Tuan-tuan, sudah jadi macam ini, sudah sampai satu tahap di mana ada pemimpin Melayu yang sanggup menggadai kehidupan kita oleh kerana politiknya.”

Bukan sahaja beliau menuduh Anwar menggadaikan kehidupan orang Melayu, Khairy juga mengapi-apikan sentimen perkauman dengan membina kebencian terhadap pendidikan Cina yang cukup rapat dengan masyarakat Cina di negara ini.

Muka surat 11 transkrip ucapan Khairy yang dijadikan bahas kes di mahkamah pula menyebut:
“Pilihan raya yang akan datang adalah masa depan kita, adalah perjuangan kita. Adakah kita sanggup memberi laluan kepada Anwar yang menjadi boneka kepada Amerika? Yang menjadi boneka kepada Yahudi? Adakah kita sanggup memberi laluan kepada Pas yang sanggup menggadaikan khazanah asli bumi bertuah Malaysia ini kepada rakyat asing?”

Dari transkrip ucapan yang menjadi rujukan kes saman di mahkamah, adalah jelas bahawa Khairy memfitnah Anwar dan menghina perjuangan Pas. Dakwaan Khairy bahawa kenyataan beliau disalah lapor oleh media, seperti yang dinyatakan kepada Sinar Harian adalah tidak benar, kerana prosiding perbicaraan mahkamah merujuk kepada transkrip ucapan beliau yang disediakan oleh peguam Umno sendiri dan bukannya mana-mana laporan akhbar.

Oleh sebab itulah, syarat penyelesaian secara jelas menegaskan bahawa kes ini ditamatkan apabila Khairy bersedia menukar pendirian awalnya mengenai fitnahnya terhadap Anwar.

Pendirian awalnya yang memfitnah Anwar sebagai pengkhianat perjuangan Melayu dan boneka Amerika Syarikat dan Yahudi terkandung dalam transkrip ucapan Khairy pada 1 Ogos 2007.

Oleh yang demikian, apabila beliau menukar pendirian awalnya, ia bermakna beliau menarik balik fitnah tersebut yang terkandung di dalam ucapannya dan kempen Umno sebelum ini.

Kenyataan-kenyataan susulan Khairy yang angkuh menggambarkan beliau sedikit pun tidak insaf dan tidak jujur. Beliau lebih rela berbohong daripada berterus terang kepada rakyat bahawa beliau telah menarik balik fitnah yang dibuatnya.

Namun, lebih membimbangkan adalah kenyataan-kenyataan beliau yang berhubung pendidikan Cina di negara ini dan mengaitkannya dengan sentimen perkauman sempit yang melampau.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan untuk mengelakkan putar belit, Khairy harus menjelaskan pendirian beliau mengenai institusi pendidikan Cina yang ada di negara ini agar pendirian Pemuda Barisan Nasional dalam hal itu dapat dinilai oleh pengundi-pengundi.

Setelah meneliti kenyataan-kenyataan susulan Khairy selepas dimeterai syarat penyelesaian, saya berpendapat ianya mempunyai unsur-unsur menghina mahkamah yang perlu dirujuk semula kepada mahkamah.

sinar/-

Tiada ulasan: