17 Januari 2013

87 orang maut di universiti Syria

5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

ALEPPO - Angka kematian akibat dua letupan kuat yang memusnahkan kampus sebuah universiti di sini meningkat kepada 87 orang, kata sebuah kumpulan pemerhati semalam sekali gus menjadikan serangan tersebut antara paling berdarah dalam konflik 22 bulan di Syria.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan letupan itu ketika para pelajar menduduki peperiksaan kelmarin dengan pemerintah dan pihak penentang kini saling menuding jari.

"Jumlah mangsa dalam letupan berkembar kelmarin meningkat kepada 87 orang," kata kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia.

"Angka kematian juga dijangka meningkat kepada 100 orang berikutan proses mengenal pasti cebisan badan manusia yang berkecai masih dilakukan," tambahnya.

Menurut kumpulan tersebut, sekitar 150 orang cedera dalam serangan itu dengan sebahagian mereka kini kritikal.
Universiti berkenaan terletak di kawasan yang dikuasai tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad di sini, utara Syria.

Lokasi tersebut menjadi medan pertempuran sengit melibatkan kedua-dua belah pihak sejak musim panas tahun lalu apabila tentera Bashar melancarkan serangan besar-besaran untuk mengekang kemaraan pihak penentang.

Aktivis-aktivis penentang memberitahu, beberapa jet pejuang pemerintah membedil kampus tersebut tetapi seorang pegawai tentera berkata, letupan berkembar itu berpunca daripada peluru-peluru berpandu penentang yang tersasar daripada sasaran.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, lebih 60,000 orang dengan kebanyakan mereka orang awam terbunuh dalam konflik di Syria setakat ini. 

Konflik di Syria berlaku sejak Mac 2011 selepas para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan bertempur dengan tentera Bashar bagi menuntut beliau meletakkan jawatan.

Bashar dituduh penduduk gagal membawa pembaharuan dalam demokrasi dan kebebasan bersuara. - Agensi

Tiada ulasan: