17 Januari 2013

Mewah cara haram

5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Georgetown: Rahsia kemewahan hidup dikecapi seorang nelayan dengan pendapatan mencecah RM1,500 sehari terbongkar apabila dia sebenarnya terbabit dalam kegiatan menjual air ketum.

Kegiatan lelaki berusia 24 tahun dikesan apabila sepasukan anggota Polis Marin menyerbu pondok tempat dia memproses air ketum di perkampungan nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini, kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Batu Uban Asisten Komisioner Mohd Yusof Abdullah berkata, ketika serbuan di sebuah bangsal tidak bernombor kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki terbabit leka memasak air ketum.

“Kami bertindak hasil maklumat orang awam dan juga risikan di kawasan itu dan ketika serbuan suspek tidak dapat melarikan diri kerana kawasan sudah dikepung.

“Hasil serbuan itu, kami berjaya merampas 300 peket plastik berisi cecair daun ketum berjumlah 500 mililiter (ml) isi padu setiap sepeket dan 13 bungkus plastik hitam berisi daun ketum kering bersama peralatan memproses iaitu periuk besar, penimbang, tong dan dapur gas,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan mempunyai rekod lampau kes menjual air ketum.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek mengambil bekalan daun ketum itu dari Kedah dan menjualnya untuk penduduk tempatan sekitar Sungai Batu, Teluk Kumbar, Permatang Damar Laut dan Batu Maung,” katanya.

Menurutnya, nilai semua bekalan daun ketum yang dirampas itu dianggarkan RM8,000 dan suspek menjadikan bangsal terbabit untuk memproses daun ketum sebelum dijual kepada pelanggannya dengan harga antara RM5 hingga RM7 sepeket.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara empat tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

metro/-

Tiada ulasan: