01 Februari 2009

Kenyataan akhbar isu 2 Exco.

Kenyataan ini saya keluarkan sebagai usaha untuk meredakan semua rakyat Malaysia khususnya Rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan yang sedang menunggu berita mengenai 2 Exco PKR yang diandaikan dengan berbagai berita dan rumus melalui SMS dan sebagainya.

Sebagaimana yang disahkan oleh YAB Menteri Besar Perak dan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri dengan ini saya juga sebagai Pengerusi kelab Penyokong Kerajaan mengesahkan memang sampai saat ini 2 orang Exco dari PKR itu tidak dapat dihubungi .

Namun begitu saya juga mengesahkan sehingga saat ini kesemua ahli kerajaan tidak ada yang melompat kepada Barisan nasional. Termasuklah kedua-dua exco yang tidak dapat dihubungi.

Saya sangat yakin dengan kesemua Ahli Kelab Penyokong Kerajaan.

Saya juga mengakui terdapat usaha jahat dari pihak tertentu untuk menarik ahli-ahli kerajaan untuk melompat dengan tawaran tertentu.

Namun saya yakin mereka tidak akan termakan dengan janji-janji manis dan pembohongan dari pihak tersebut, dan saya masih beranggapan baik kepada 2 exco yang terlibat dan berharap mereka memikirkan semasak-masaknya apa saja keputusan yang akan diambil.

Harapan saya mereka dapat dihubungi dan mereka diberikan hak untuk mendengar nasihat dari kami, dan seandainya benar ada pihak yang menghalang hasratnya untuk berhubung dengan pimpinan PKR , perkara ini amat dikesali.

Satu pertemuan penting kesemua ADUN Pakatan Rakyat akan diadakan di IPOH pada pagi ini, setelah itu berkemungkinan akan ada pengumuman penting yang akan di keluarkan oleh YAB Menteri Besar.

Drs. Khgalil Idham Lim,
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak.

Masih belum ada ahli kerajaan yang melompat.

Pagi ini saya menerima dari sahabat dari Kuala Lumpur mengenai berita angin terdapat dua orang dari PKR dan 2 orang dari DAP hendak melompat masuk BN. Katanya lagi malam tadi Najib telah menalipon semua wakil rakyat BN untuk hadir mesyuarat di KL pagi ini.

Terkejut besar saya dengan berita tersebut, apa lagi saya sudah bertungkus lumus menghubungi dan berhubung terus dengan ahli-ahli BBC yang berada di bawah saya. Setahu saya tidak ada dari DAP yang ingin melompat dan saya anggap diisukan saja oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

Namun saya tidak sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kira mengenai berita tersebut.

Saya telah menghubungi teman-teman dalam Kerajaan Negeri bertanya khabar dari mereka untuk mendapat pengesahan baru untuk menjawab dalam blog ini.

Alhamdulillah saya setakat ini boleh memberi pengesahan masih belum ada Ahli-ahli yang Berhormat dari kerajaan yang melompat ke BN.

Tolong doakan sama.....

31 Januari 2009

Drs. Khalil : Industri gaharu digalakkan.

IPOH, 29 Jan :- Kerajaan Negeri Perak amat menghargai usaha memperkenal dan memajukan penanaman pokok gaharu dan berharap dapat diperluaskan ke seluruh negeri perak. Kita tidak akan teragak-agak untuk menyokong apa saja usaha untuk memajukan industri ini. Demikian antara ucapan Pengerusi kelab Penyokong Kerajaan yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa merasmikan Kursus Pengenalan Penanaman Pokok Gaharu di Perak yang diadakan sebuah hotel di sini.

Khalil Juga menegaskan Kerajaan Negeri perak akan memberi sokongan dan kerjasama kepada yang berminat mengusahakan industri gaharu seperti penyediaan tapak asalkan memenuhi syarat yang diperlukan.

Kursus Sehari itu dianjurkan oleh NL Zian Enterprise & Groups adalah yang julung-julung kali diadakan di Negeri Perak itu telah berjaya mengumpul 80 orang peserta yang datang dari seluruh negeri Perak.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengurus Besar Perbadanan Pertanian Negeri Perak, Hj. Mohd Hatta Yazid , Pegawai Khas Exco Pertanian, Syahrul Redzuan Hj. Idris, Penyelaras NL Zian enterprise & Groups, Norliza bt. Ahmad Darabi, dan Pegawai Kredit Agro Bank Ipoh.

Dipentas bersama dengan Pengurus Besar Perbadanan Pertanian, Hj. Mohd Hatta.

Drs. Khalil juga menyatakan keyakinannya kursus yang diadakan dapat membantu Kerajaan Perak dalam membangunkan usahawan anak Perak dalam industri berkenaan.

"Pengangguran yang meningkat akibat penutupan kilang menyebabkan kita perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengatasinya. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu pertanian diharapkan menjadi alternatif yang terbaik untuk menampung sektor pekerjaan" Jelas Khalil.

Khalil juga menjelaskan Industri gaharu mempunyai permintaan yang amat tinggi namun penawaran gaharu tidak mencukupi. Keadaan ini menyebabkan harganya mencecah hingga RM 45 ribu sekilogram di Asia Bara.

Negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Combodia hanya mampu membekalkan 20 % daripada pasaran dunia setakat ini.

Kebiasaannya pokok gaharu mengambil masa 20 hingga 45 tahun untuk membuahkan hasil, namun dengan teknologi terkini ianya dapat ditanam semula dan memberikan hasil selepas 5 hingga 6 tahun sahaja.

Khalil juga mendedahkan hasil kaji selidik tanah di Malaysia amat sesuai untuk menanam gaharu dengan teknologi dan kaedah penanaman yang betul dan sistematik.

Menerima cenderamata dari Penyelaras NL Zian, Norliza Ahmad Darabi.

Semasa memberi ucapan alu-aluan Penyelaras NL Zian enterprise, Norliza Ahmad Darabi mengucap terima kasih dan menghargai keprihatinan pihak YAB Menteri Besar dengan menghantar wakil untuk merasmikan kursus sehari itu.

Beliau juga memohon pihak kerajaan agar memerhatikan apa yang dilakukan oleh NL Zian Enterprise."

Peserta kursus.

Mahfudz dan Idham Lim di Batu Gajah.


Satu ceramah Umum anjuran PAS Kawasan batu gajah akan diadakan di Pejabat PAS Batu Gajah (dekat Pasaraya MINAT) pada 1 Februari ini pada jam 9.30 malam.

Penceramah jemputan pada malam tersebut terdiri daripada YB Tn Hj Dato Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena) dan YB Khalil Idham Lim ( Timbalan Exco Agama, Negeri Perak). Orang ramai dijemput hadir untuk mendengar ulasan isu semasa khususnya tentang perkembangan politik di negeri Perak ini. .

Untuk Gerai Jualan Sila Hubungi:
Hj Ismail Arifin : 012 – 5062173 / Sdr Khairudin 017 – 4687704 .
Sumber : http://alhusseyn51.blogspot.com/

Teka-teki lompat parti di Negeri Sembilan.

Jika benar akan berlaku usaha melompat parti dalam masa terdekat di Negeri Sembilan, hanya tiga wakil rakyat Umno yang berpotensi menyertai Pakatan Rakyat, dakwa ketua bahagian Seremban.

Datuk Ishak Ismail berkata calon-calon itu kemungkinannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting, Shamsul Kahar Md Deli, Datuk Aziz Shamsuddin (Palong) dan Mustafa Salim (Lenggeng).

Dua daripada mereka, Aziz dan Mustafa, bagaimanapun menafikan mereka akan menyertai pembangkang.

Dihubungi hari ini, Ishak berkata desas-desus itu disampaikan orang kepadanya.

"Tetapi daripada bacaan saya, Aziz yang paling berpotensi akan menyertai PKR," katanya.

Aziz, ketika dihubungi petang ini berkata, beliau tidak ingin campur urusan PKR.

"Soal PKR ini saya cukup menyampah, saya tidak mahu," katanya.

Mustafa pula berkata, "walau apa terjadi" beliau tidak akan meninggalkan Umno.

"Saya menolak sekeras-kerasnya spekulasi saya akan menyertai PKR," katanya kepada Malaysiakini.

Manakala Shamsul Kahar yang juga exco pelajaran dan pendidikan tinggi kerajaan negeri tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan spekulasi tersebut.

Ketua Wanita Umno bahagian Jempol, Noraini Idris berkata, orang mengaitkan nama Shamsul Kahar dan Aziz kerana kedua-dua mereka kalah dalam pertandingan bahagian baru-baru ini.

"Orang sengaja nak buruk-burukkan nama mereka. Saya tidak dengar khabar mereka nak masuk parti lain," katanya.

Ishak juga berkata, ketiga-tiga mereka dianggap mempunyai masalah kerana tewas dalam pertandingan peringkat bahagian masing-masing.

Aziz kalah di Jempol kepada penyandang jawatan ketua bahagian Datuk Lilah Yassin.

Shamsul Kahar pula tewas jawatan timbalan ketua bahagian itu kepada Mohd Salim Shariff, manakala Mustaffa sedang menghadapi tindakan undang-undang.

Ketika dihubungi, ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salawati Abdullah berkata, beliau mendengar berita PKR memujuk bekas ketua-ketua cawangan Umno untuk memujuk wakil rakyat mereka supaya menyertai parti pembangkang tersebut..

"Ini berlaku di kawasan Seremban dan luar Seremban tetapi saya tidak tahu sama ada benar atau tidak.

"Saya baru dengar dari kawan-kawan di sini," katanya.

Bekas setiausaha Umno bahagian Seremban, Datuk Md Yusop Hermain Shah pula berkata, cakap Ishak tidak boleh dipercayai dengan mendakwa pemimpin itu "mahu memecahbelahkan Umno negeri".

Difahamkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri satu program PKR di Tampin, bulan depan.

Seorang pemimpin PKR negeri Badrul Hisham Shahrin berkata, Anwar akan mengumumkan tiga atau empat wakil rakyat Umno yang akan menyertai parti itu "dalam masa terdekat".

Beliau bagaimanapun tidak menamakan wakil-wakil rakyat terbabit.

Sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan beberapa Adun BN akan meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan - keputusan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan BN itu.

Pada pilihanraya umum lalu, BN negeri memperoleh majoriti mudah dengan meraih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 15 lagi kerusi dimenangi pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS (lihat jadual).

Desas-desus isu lompat parti - antara kedua-dua hala BN dan Pakatan Rakyat - muncul kembali susulan penyertaan Adun Bota, Perak Datuk Nasharuddin Hashim bersama PKR hujung minggu lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan desas-desus beberapa Adunnya akan menyertai pembangkang. Malaysiakini.

MB Nafi nada ADUN Negeri Sembilan lompat parti

SEREMBAN , 30 Jan. :- Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan khabar angin kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional Negeri Sembilan akan menyertai pembangkang.

“Kalau ada dakwaan, suruh dia bagi nama. Yang DAP Perak risau sangat pasal apa, jagalah negeri Perak itu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan DAP Perak yang tersiar dalam akhbar berbahasa Cina kononnya ada ADUN dari Negeri Sembilan akan melompat parti.


MB Perak nafi dua Exco PKR sertai BN.

IPOH, 30 Jan. :- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini membuat penafian mengenai laporan yang mendakwa anggota exco kerajaan negeri dari Parti PKR , Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, akan menyertai Barisan Nasional.

“Spekulasi mengenai Jamaluddin dan Mohd Osman itu adalah tidak benar. Saya berusaha untuk berhubung dengan mereka,” katanya kepada pemberita bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam bahawa terdapat dua wakil rakyat daripada PKR akan keluar parti dan menjadi wakil bebas sebelum menyertai UMNO.

UMNO kini sebuah parti yang hampir mati .

KOTA BAHARU, 30 Jan. :- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perkembangan dalam UMNO sekarang menunjukkan parti itu hilang daya tarikan sehingga ada pemimpinnya yang berpaling tadah.

Katanya kalau diibaratkan sebatang pokok, UMNO kini sebuah parti yang hampir mati dan akan gugur sendiri dahannya satu persatu sebelum menjadi pokok mati.

“UMNO kini tiada daya tarikan atau `graviti’ untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya dan ini menyebabkan ramai ahli dan pemimpinnya mula berpaling tadah menyertai parti pembangkang, terutama Pas,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Anuar Tan di sini hari ini.

Persoalan UMNO telah hilang daya tarikan diperkatakan oleh kebanyakan pemimpin UMNO sejak akhir-akhir ini.

Jadi atau tidak jadi ?

Keputusan mengenai cadangan AirAsia Bhd untuk membina sebuah lapangan terbang berharga RM1.6 bilion di Labu, Negeri Sembilan akan diketahui dalam dua hingga tiga minggu lagi, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Sebenarnya (kerajaan) belum buat keputusan lagi. Apa yang penting segala maklumat dan butir-butir yang berbangkit akan diperhalusi secara terperinci," katanya selepas menghadiri majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina yang dianjurkan MCA di sini, malam tadi. .

Ong berkata kerajaan memerlukan masa membuat sebarang keputusan kerana ia membabitkan banyak pihak.

Kelmarin media menyiarkan kerajaan telah menolak projek lapangan terbang tersebut. Kenyataan Menteri Pengangkutan saya anggap boleh mengelirukan pihak yang berkepentingan dan rakyat yang mengikuti perkembangan isu tersebut.

Usaha pancing dua ADUN PKR.

IPOH ,30 Jan:- DS Anwar Ibrahim hari ini mengadakan mesyuarat tertutup dengan barisan pimpinan kerajaan negeri dan parti gabungan Pakatan Rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Mesyuarat itu dikatakan berkait rapat dengan perkembangan terbaru dalam senario politik negeri Perak, terutama dengan kemasukan Adun Bota Dato Nasarudin Hashim ke dalam Pakatan Rakyat dan desas-desus kononnya dua adun PKR yang akan menyeberang ke BN.

Pada malam ini DSAI akan berucap di stadium mini Bota bersama-sama Nasaruddin.

Tindakan BN bersungguh-sungguh memancing dua Adun PKR itu dikatakan sebagai tindak balas terhadap penyertaan Nasarudin ke dalam PKR. Tindakan Nasarudin itu amat memalukan UMNO dan menjejaskan seluruh reputasi parti itu. Selaras dengan itu UMNO berusaha keras untuk memancing dengan umpan lebih baik agar dua Adun itu melompat parti. http://anuarhashim.com/

Harga tiket bola stadium Ipoh dikurangkan.

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menurunkan harga tiket bagi perlawanan bola sepak liga super di Stadium Ipoh, mulai Februari sebanyak 20 peratus daripada harga semasa.

Dato Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaludin berkata, harga-harga tiket dikurangkan sebagai usaha mendorong lebih ramai peminat menyaksikan dan menyokong pasukan Liga Super Perak.

Tanpa penyokong, semangat sesebuah pasukan itu akan menjadi pudar, katanya berucap pada majlis makan malam bersama para pemain Liga Super dan Piala Presiden di kediaman rasmi beliau.

Harga tiket bagi tempat duduk terbuka dikurangkan daripada RM10 ke RM8 sahaja, manakala bagi kelab peminat ditawarkan pada harga RM6 daripada RM8. Bagi tempat duduk grand stand atau berbumbung pula dikurangkan daripada RM20 ke RM15 sahaja.
http://anuarhashim.com/

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Cina ADUN Titi Serong.

Tarikh/Hari :
1 Februari 2009 /AHAD

Masa :
2.00 hingga 4.00 Petang

Tempat :
Kediaman ADUN Titi Serong,
No. 15 Jalan Wawasan 8,
Taman Wawasan Jaya,
34200 Parit Buntar. PERAK
.
SEMUA DI JEMPUT HADIR.


Masih ada lagi yang akan berpaling tadah ?

Berita angin yang masih hangat diperkatakan oleh semua pihak mengenai masih ada ADUN BN yang akan berpaling tadah ke Pakatan Rakyat cuba di jawab oleh UMNO Perak kelmarin.

Kenyataan itu mendakwa tidak ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) berhasrat meninggalkan parti untuk menyertai Parti Pakatan Rakyat (PKR).

Kenyataan itu juga menafikan khabar angin yang mengatakan ada tiga lagi wakil rakyat BN akan mengikut jejak langkah ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim menyertai PKR adalah tidak benar sama sekali.

Kita tunggu manakah yang benar ?

Sah Tajol letak jawatan, diganti oleh Najib.

Spekulasi mengenai jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berakhir apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkuat kuasa serta merta berdasarkan kehendak Tajol Rosli sendiri yang merasakan perlu ada pemimpin lain yang mengetuai UMNO Perak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat Tajol Rosli digantikan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO Mac ini.''Sementara yang akan jadi Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

sebelum ini berlaku kekeliruan dan tanda tanya apa bila dalam dua hari berturut-turut Tajol mengeluarkan kenyataan berbeza mengenai jawatan yang dipegangnya.

Tajol Rosli ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, beliau meletakkan jawatan kerana merasakan tidak cukup kuat untuk mengetuai jentera kempen bagi menawan semula negeri itu.

Katanya, keputusan itu yang dibuat tanpa paksaan sesiapa itu adalah bagi memastikan kekuatan UMNO di negeri itu kembali kukuh.

''Pada Isnin lalu saya telah memaklumkan hasrat meletakkan jawatan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan malam ini saya juga memaklumkan kepada mesyuarat MT bahawa saya tidak terpikul untuk memenangkan semula Perak dan alasan ini diterima dengan baik oleh MT.

''Saya merasakan kepimpinan baru yang dilantik untuk memimpin Perak adalah yang terbaik dan sekiranya mereka tidak boleh, tidak ada siapa lagi yang boleh melakukannya," katanya.

Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita di Kampar, Perak, Tajol Rosli berkata, beliau akan meletakkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Perak pada 29 Mac dan memutuskan tidak bertanding mempertahankan jawatan MT.

''Pada akhir Mac ini, saya bukan lagi ahli MT dan pada 29 Mac pula saya akan letak jawatan Ketua UMNO Bahagian Gerik dan bila habis MT gugurlah semua jawatan yang dilantik,'' jelasnya

30 Januari 2009

Muhyiddin ulangi UMNO hilang daya penarik.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi kenyataan sebelum ini yang menurut pandangannya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan daya penarik baru atau wow factor dari segi pengisiannya untuk mendekati rakyat.

Selain itu beliau mengajak semua ahli parti itu memikirkan bentuk perubahan yang perlu dilakukan bagi menarik semula keyakinan rakyat pelbagai kaum di negara ini terhadap parti itu.

Dalam kenyataan itu Muhyiddin menegaskan UMNO dan BN perlu kuatkan semangat juang parti. "Walaupun kalah di beberapa tempat dalam pilihan raya umum dan kecil, tidak seharusnya kita berasa kita dalam saf yang salah. Kalau ada kelemahan, kita perlu tangani," tegasnya.

''Saya tidak kata kita tidak ada kelemahan. Memang ada ahli yang menjejaskan parti seperti terbabit rasuah politik tetapi gambaran keseluruhannya tidaklah sebegitu, jadi persepsi pemikiran rakyat terhadap UMNO perlu diperbetulkan," katanya.

Esok 2 ADUN PKR temui DS Anwar ?

Saya menerima maklumat SMS yang diterima dari seorang Ahli BBC mengenai satu pertemuan yang akan berlaku antara dua orang Exco PKR Kerajaan Negeri Perak dengan DS Anwar Ibrahim.

Katanya sms itu asalnya dikirim oleh seorang wartawan akhbar Cina Si Chew kepadanya.

Setakat ini saya menghubungi beberapa teman namun belum mendapat pengesahan kebenaran sms itu dan apakah tujuan pertemuan tersebut juga belum diketahui.

Dalam pada itu, pada malam ini DS Anwar akan berada di Stadium mini di Bota dalam ceramah penerangan. ADUN Bota , Dato'Nasaruddin Hashim dijangka juga memberikan ucapan sulung kepada pengundinya dalam program yang dijangka akan mendapat sambutan pada malam ini.

PKR tidak bincang isu Adun sertai BN

Desas-desus bertiup kencang beberapa pemimpin PKR Perak akan meninggalkannya susulan penyertaan seorang wakil rakyat BN bersama parti itu hujung minggu lalu.

Bagaimanapun PKR tidak membincangkan isu tersebut dalam satu pertemuan biro politik malam tadi, kata timbalan presidennya Dr Syed Husin Ali kepada Malaysiakini.

"Tidak dibincangkan," katanya apabila diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai ura-ura dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR di Perak akan menyertai BN.

Tindakan memancing wakil-wakil rakyat PKR itu dipercayai sebagai reaksi balas penyertaan Adun BN bagi Bota, Datuk Nasharuddin Hashim pada 25 Januari.

Dr Syed Husin berkata, walaupun dimaklumkan mengenai laporan itu, beliau bagaimanapun belum membacanya.

Oleh itu, katanya, beliau enggan mengulas lanjut dakwaan harian berbahasa Inggeris tersebut.

"Saya juga tidak tahu apa yang Umno hendak lakukan," katanya ringkas, diminta mengulas rundingan sejak sebulan lalu untuk menarik wakil-wakil rakyat parti itu.

Malaysiakini difahamkam, rasa tidak puas hati dua exco PKR Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu tercetus ekoran dakwaan wujud dominasi dua Adun DAP dalam pentadbiran kerajaan Perak.

Kedua-dua mereka tidak berpuas hati kepada Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.

Bagaimanapun, difahamkan suara tidak puas hati exco berkenaan "hanya sebagai gertakan" dan tidak sampai kepada tindakan drastik untuk keluar Pakatan Rakyat.

Pertemuan biro itu selama empat jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya turut disertai oleh semua tiga exco PKR di Pulau Pinang, termasuk Timbalan Ketua Menteri I Mohammad Fairus Khairuddin.

Ketiga-tiganya diura-urakan sangat tidak berpuas hati dengan tindakan menggugurkan jawatan utama mereka dalam badan perhubungan PKR negeri awal bulan ini.

Mengulas lanjut isu itu, Dr Syed Husin berkata, isu kegelisahan susulan rombakan dalaman itu "telah tenang".

"Bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi di semua negeri Pakatan Rakyat tenang," tambahnya.

Dr Syed Husin menjelaskan, pertemuan semalam buat pertama kali melibatkan semua 14 exco PKR di semua negeri Pakatan Rakyat, termasuk di Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun semua tiga exco dari Perak tidak hadir dengan alasan sakit dan menghadiri program sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri.

Semua tiga exco PKR dari Kedah juga tidak hadir di mesyuarat tersebut yang bermula kira-kira jam 9 malam.

Mesyuarat biro itu dengan barisan exco itu, kata Dr Syed Husin, akan diteruskan setiap bulan bagi menyelaraskan keputusan parti dan pentadbiran kerajaan di negeri-negeri yang diperintah Pakatan.

Dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, biro politik PKR mempunyai sebelas anggota melibatkan 11 penjawat tertinggi parti, tidak termasuk 14 exco tersebut.Malaysiakini.

Perak umum 3 Februari cuti umum

IPOH , 29 Jan.: — Kerajaan Negeri Perak mengumumkan Selasa depan sebagai cuti umum sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Menteri Besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata cuti ini juga bagi membolehkan rakyat Perak dan seluruh negara merayakan serta meraikan sambutan hari bersejarah yang menandakan genapnya 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan Shah.

“Rakyat boleh menggunakan peluang ini untuk menyaksikan penganugerahan Darjah Dato’ Seri Azlanii (DSA) yang dikeluarkan kepada 25 individu yang telah banyak berjasa dan memberikan khidmat setia kepada baginda,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.


Tajol letak jawatan :Yang mana satu betul ?

Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali hari ini menafikan membuat kenyataan media menyatakan mahu meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.

Bekas Menteri Besar itu sebaliknya berkata, kenyataan itu dibuat dalam satu perjumpaan tertutup yang sepatutnya tidak dilaporkan.

Kelmarin media melaporkan beliau mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Katanya keputusannya itu berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahad lalu.

Tajol Rosli yang juga bekas Menteri Besar Perak, berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jam 4.30 petang Isnin lalu.

Kedua-dua berita ini sangat mengelirukan kita, yang mana satu yang betul ?

29 Januari 2009

Ir. Nizar, buka peluang kepada seluruh rakyat untuk mendapatkan kebenaran.

PARIT BUNTAR :- Kerajaan Negeri Perak di bawah Pakatan Rakyat mengambil 3 pendekatan iaitu pertamanya memberi ruang yang sebenarnya kepada seluruh rakyat untuk mendapatkan kebenaran, keduanya bertanggung jawab menutup jalan yang melalaikan manusia dan ketiga membahagi-bahagi segala hasil mahsul kepada semua rakyat Perak. Demikian antara ucapan YAB menteri Besar Perak semasa merasmikan Hari Bertemu pelanggan Peringkat Daerah Kerian pada 20 Januari yang lepas.

MB Melawat gerai pameran didampingi oleh Pegawai Daerah Kerian.

Dalam ucapannya beliau juga menyanjung tinggi atas pengorbanan dan kesungguhan pegawai kerajaan yang berusaha menjayakan program dan hadir dalam program tersebut.

Hadir sama dalam majlis itu ialah ADUN dan Ahli Parlimen setempat, Ralmi Tusin (Gunung Semanggol), Hussin Din ( Selingsing), Khalil Idham Lim (Titi Serong), Abdul Yunus Jamahari (Kuala Kurau), Mujahid Yusof (Parit Buntar), dan Mohsin Fadli (Bagan Serai). Turut Hadir ialah EXCO Kerajaan Negeri , Chen Fook Chye dan Tai Sing Ng, Orang Besar Jajahan Kerian (OBJ)dan Isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Abd. Rahman Hashim, Pegawai Kewangan Negeri, Jamaluddin Amini,Pengarah UPEN serta pegawai-pegawai kerjaan negeri dan perseketuan.

"Kehadiran saya dalam majlis hari ini bagi menunjukkan keprihatinan kepada rakyat Daerah kerian, dan marilah kita mengolah bumi Kerian untuk menjadi tempat yang seronok didiami" Katanya.

Pelancaran Dana palestin.

Beliau juga bersyukur kerana kebanyakan daerah menunjukkan peningkatan dari segi pendapatan dari pungutan hasil.

Sesi soal jawab oleh penduduk setempat.

Sebelum itu dalam ucapan alu-aluan, Pegawai Daerah kerian, Ismail Hassan melaporkan di Daerah Kerian kutipan hasil telah meningkat 117 peratus.

Ir. Nizar juga mengajak pegawai kerajaan supaya menjadikan jawatan dan jabatan yang diwakili adalah pembela kepada rakyat sehingga kita akan mendapat sanjungan dan pujian rakyat.

Selain itu beliau memperkenalkan singkatan UMI iaitu Ubududiyah (ibadah), Masulliyah (akauntaliblty), dan Itqan (kecemerlangan)yang tegasnya akan menjadi asas kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

Sesudah itu Ir. Nizar telah melakukan penyerahan geran kekal kepada penduduk yang telah diluluskan permohonan mereka.

Menteri besar juga diberikan penghormatan untuk melancarkan Tabung Palestin dan menerima sumbangan dari agensi-agensi kerajaan.

Akhirnya beliau mengambil kesempatan untuk melawat semua 22 gerai yang disediakan bagi kepada penduduk Daerah kerian mendapatkan khidmat dari agensi yang berkaitan pada hari itu.

Kehadiran memenuhi Dewan Merdeka Parit Buntar dan Menteri Besar menyerahkan Geran Kekal.

..

SELAMAT DATANG KE BBC PERAK.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak (BBC Perak), Drs .Khalil Idham Lim bersalam dengan Datuk Nasarudin Hashim, Adun Bota sambil mengalu-alukan penyertaan beliau ke kelab itu selepas meninggalkan Umno dan BN. Dengan kemasukan Nasarudin, ADUN Pakatan Rakyat Perak kini mempunyai 32 ahli manakala BN tinggal 27.

Isnin lepas Tajol Rosli serah surat letak jawatan, Nasaruddin serah surat keluar parti.

Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali hari ini mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Keputusannya itu berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahad lalu.

Tajol Rosli yang juga bekas Menteri Besar Perak, berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jam 4.30 petang Isnin lalu.

Sementara itu dalam perkembangan lain Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang mengumumkan melompat parti Ahad lalu, mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat keluar parti ke pejabat Umno Perak, juga pada Isnin lalu.

Nasaruddin berkata, beliau juga sudah mengemukakan borang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari sama ketika beliau membuat pengumuman keluar parti di Petaling Jaya.

Lagi Adun Perak pasang niat keluar BN

Selepas kejutan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, kini wakil rakyat Lintang pula Datuk Ahmad Fakeh Adam sedang menimbang untuk meninggalkan Umno "beberapa hari lagi".

"Ketika ini 50-50. (Niat) nak kekal (dalam Umno) dengan masuk pembangkang(Pakatan Rakyat) sama banyak.

"Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi," seperti dipetik dari Malaysikini hari ini.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti Pakatan Rakyat yang bakal disertainya jika meninggalkan BN.

Beliau menambah, ada pemimpin DAP ingin menawarkan jawatan menteri besar Perak tetapi "saya tahu itu gula-gula sahaja."

"(Tetapi) hati rasa hendak keluar (Umno). Kita (Adun) telah dipinggirkan.

"Kami seolah-olah tidak penting. Yang lebih penting sekarang ialah ketua Umno bahagian," katanya.

Ahmad Fakeh yang kalah bertanding jawatan ketua Umno bahagian Sungai Siput, Oktober lalu, berkata, ada beberapa Adun lagi yang tidak puas hati dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Beliau kalah kepada timbalannya Datuk Mohd Zulkifli Harun dalam pertandingan satu lawan satu jawatan tersebut.

Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Adun Kubu Gajah), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu) dan Hamidah Osman (Sungai Rapat) diura-urakan turut kecewa.

Ahmad Fakeh bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka juga berhasrat untuk meninggalkan Umno dan menyertai parti Pakatan Rakyat.

"Saya sudah membawa perkara ini dalam mesyuarat Umno Perak tetapi tiada tindakan yang diambil.

"Tetapi bila (Datuk) Nasharuddin Hashim (Adun Bota) keluar parti, baru kelam-kabut, baru kami ini penting," katanya.

Nasharuddin mengumumkan menyertai PKR hujung minggu lalu, menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Ahmad Fakeh berkata, beliau kecewa kerana kerajaan pusat lambat memberi peruntukan kewangan walaupun wang sudah ada.

Sebaliknya, kata beliau, peringkat persekutuan begitu cepat meluluskan bantuan kepada ketua Umno bahagian.

Sebagai contoh, katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mudah memberikan bantuan kepada ketua bahagian walaupun mereka bukan wakil rakyat.

“Ini menjadi masalah kepada Adun yang tidak memegang jawatan ketua bahagian,” katanya lagi.

Bantuan tetap kerajaan pusat kepada setiap Adun ialah RM300,000 setahun, tidak termasuk peruntukan tambahan yang perlu dimohon, tambahnya.

Katanya lagi, seseorang Adun sukar membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya tanpa wang peruntukan tersebut.

ADUN Titi Serong sampaikan hamper dan Ang Pau Raya Cina.

PARIT BUNTAR, 23 Jan :- Bantuan kepada semua warga Cina sempena sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini adalah sumbangan Kerajaan Negeri Perak yang disalurkan kepada semua ADUN dan Penyelia DUN Pakatan Rakyat. Setiap kawasan disalurkan sebanyak 50 hamper untuk diagihkan kepada yang berkelayakan, Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dalam majlis penyampaian hamper Hari Raya Cina di sini .



Majlis seumpama itu adalah kali pertama bagi orang Cina setelah Pakatan Rakyat memerintah Negeri Perak.

Drs. Khalil beranggapan sambutan dan penerimaan kaum cina atas sumbangan tersebut sangat memberangsangkan sehingga jumlah sebenar hamper yang diagihkan adalah sebanyak 137 hamper berserta ang pau..

Menurut Setiausaha Politik ADUN Titi Serong, Hj. Zakaria, penyampaian di bahagikan kepada 2 zon iaitu Parit Buntar yang diadakan di Pekan Baru dan Tanjung Piandang di Pejabat Penghulu lama Tanjung Piandang.


Hadir sama dalam kedua majlis tersebut ialah Penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung disekitarnya.

MB Perak, terima kasih kepada Dato' Nasaruddin

IPOH, 28 Jan :- Saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Bota, Dato Nasaruddin yang membuat tindakan berani berubah kepada Pakatan Rakyat (PR), diharapkan dengan pengalaman beliau dapat membantu Kerajaan Perak. Demikian antara ucapan YAB Menteri Besar Perak, Ir. Muhammad Nizar jamaluddin dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat ADUN Bota di pejabatnya di sini.

Dalam sidang akhbar itu juga Dato Nasharuddin mengesahkan beliau telah menyerahkan borang keahlian PKR Ahad lepas dan menghantar surat keluar dari UMNO sehari sesudah itu.

Hadir sama ialah Speaker Kerajaan Negeri, V. Sivakumar, Exco Kerajaan Negeri, Hj. Mohd. Zainuddin Mond. Yusof dan Tai Sing Ng, Juga ADUN pakatan Rakyat, Khalil Idham Lim (Titi Serong), Abdul Yunus Jamahari (Kuala Kurau), Hj. Husin Din (Selingsing), Sum Cheok Ling (Bercham), Chan Mung kai (Simpang Pulai), Chang Lih kang (Teja), Keseven (Hutan Melintang), Pengerusi PKR Negeri Perak , Hj. Osman Abd. Rahman, Setiausaha Keadilan Perak , Anwar Zakaria , Ketua Wanita Keadilan Negeri, Fathmawaty Salim , Bekas Pengerusi Keadilan Negeri, hj. Ismail dan pegawai pejabat Menteri Besar yang lain.

"Saya mengalu-alukan tindakan bijak ADUN Bota untuk sama-sama memajukan Negeri Perak, kita akan fokus untuk membangunkan Bota yang ramai bangsa Melayu, demikian juga peruntukan ADUN akan diberikan kepada beliau" Jelas Ir. Nizar dalam sidang akhbar tersebut.

Dato Nasharuddin bersalam dengan Pengerusi BBC, Khalil Idham Lim bersama YB. Hj. Hussin(kiri) dan Setiusaha Politik MB, Hj. Misbahul Munir (kanan).




Menjawab soalan dari wartawan adakah perlu diadakan pilihaanraya kecil, Ir.Nizar menjelaskan mengikut peruntukan undang-undang ianya tidak perlu kerana Dato ' Nasaruddin tidak berhenti dari menjadi ADUN.

Ir. Nizar mengatakan bahawa ramai yang bersetuju dengan tindakan ADUN Bota itu dan akan turun untuk memberi penjelasan. Menjawab soalan lain beliau menafikan dakwaan BN yang mengatakan tindakan Pakatan Rakyat menerima ADUN Bota adalah salah kerana Pakatan Rakyat sentiasa terbuka, dan itu adalah hak siapapun untuk membuat keputusan, dan saya harap jangan usik, ganggu dan kacau mereka untuk buat keputusan, tegas Ir. Nizar.

"Beliau masuk dengan tidak ada tawan, melainkan dengan niat suci dan pengorbanan yang tinggi" Jelas Ir. Nizar dan disahkan oleh Dato' Nasharuddin dengan katanya ringkas "tidak ada tawaran".

Selain itu apabila ditanya apakah pandangan beliau mengenai kemungkinan Tajol Rosli yang akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi UMNO negeri dan diganti oleh Najib, Ir. Mengatakan "sepatutnya letak jawatan lama dah, dan saya hormati apa saja keputusan beliau".

Ditanya kepada ADUN Bota adakah dapat mengubah keputusan sebelum ini apabila Najib memegang jawatan sebagai Pengerusi UMNO negeri, dengan ringkas beliau menjawab"InsyaAllah tidak".

ADUN Bota akan kunjung hormat MB pagi ini.

IPOH, 28 Jan :- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bota, Dato' Nasharuddin Hashim akan mengadakan kunjung hormat kepada YAB Menteri Besar Perak di Pejabat Menteri Besar pagi ini.

ADUN BN yang baru mengumumkan keluar dari partinya itu dijangka sampai di Pejabat Menteri besar di sini pada jam 8.45 pagi. Demikian kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Perak, Hj. Anuar Hashim yang dihantar melalui sms pagi ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam sidang akhbar sesudah itu.

Inilah pertemuan dan kunjungan pertama antara kedua pihak setelah Dato' Nasharuddin mengumumkan keluar dari BN dan menyertai PKR Ahad lepas.

Pertemuan pada pagi ini juga telah dimaklumkan kepada semua Exco Kerajaan Negeri dan Semua ADUN Pakatan Rakyat.

28 Januari 2009

Ketua Pas, 40 ahli sertai UMNO ?

Dalam keadaan heboh dengan berita ADUN UMNO keluar partinya keluar berita picisan dan mengelirukan mengenai Ketua Pas Cawangan Musai, Bukit Baru, di sini bersama-sama 40 ahli cawangan itu hari ini menyerahkan borang keanggotaan menyertai UMNO, demikian seperti dilaporkan Bernama.

Ketua Penerangan PAS Melaka, Sdr. Mohd Sofi Abdul Wahab ketika dihubungi menjelaskan siapakah Ismail Tumpang yang mewakili kumpulan yang menyerahkan borang keanggotaan itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada majlis di Kampung Musai.

Sofi mengesahkan bahawa Ismail adalah seorang bekas ahli UMNO yang pernah masuk PAS suatu masa dulu dan dia adalah dalam kategori ahli yang bermasalah serta sudah lama tidak membayar yuran keahlian.

Mengenai cawangan yang di dakwa 40 bersamanya masuk UMNO, Sofi menafikan ianya tidak ujud kerana di situ tidak adapun cawangan PAS yang aktif seperti didakwa Ismail. Ismail juga bukannya Ketua Cawangan seperti didakwanya. Sekaligus menafikan berita tersebut.

ADUN Lintang sahkan ada perbincangan.

IPOH, 26 Jan.: - Salah seorang yang disebut akan meninggalkan UMNO iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam mengesahkan menerima tawaran untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang tewas dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput baru-baru ini bagaimanapun belum memutuskan untuk menerima tawaran tersebut atau tidak.

"Memang saya ada terima tawaran semalam dan diajak bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi takkan hendak terus pergi sahaja, kita tunggu dan lihat selepas pertemuan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur petang ini.

"Dah orang anggap ketua UMNO bahagian lebih penting daripada wakil rakyat, jadi tengoklah macam mana nanti," katanya.


Kenyataan beliau menjawab dakwaan masih ada kemungkinan ada ADUN UMNO akan meninggalkan partinya.

27 Januari 2009

Tajol cuba tutup kelemahan, dakwa BN tidak terjejas.

IPOH, 26 Jan.: - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan dianggap sekadar untuk menutup kelemahan yang sedang dialami oleh UMNO apa bila menyifatkan keputusan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN).

Keputusan Nasaruddin itu sebenarnya bukan hanya membawa perubahan kepada jumlah kerusi di persidangan DUN Perak seperti didakwa beliau tetapi sebenarnya telah menyebabkan usaha merampas Perak menerima tamparan yang hebat dan menemui jalan buntu.

Tajol Rosli, yang juga Pengerusi BN Perak, dilihat cuba menutup kelemahan partinya dengan mendakwa BN di Perak masih kukuh dan berazam mahu merampas semula Perak daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam perkembangan yang lain, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mendedahkan tiga lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional BN) dijangka menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau berkata perbincangan dengan ketiga-tiga Adun terbabit sedang berlangsung dengan Pakatan Rakyat.

“Kita sedang berurusan. Perbincangan mengenainya sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak di sini hari ini.

Dalam Mesyuarat tergempar yang diadakan di Ibu pejabat UMNO selepas berita Nasruddin keluar dari UMNO , 7 orang ADUN UMNO tidak hadir . Menjawab persoalan itu Tajol mengatakan mereka berada di luar negara.

Ketidak hadiran 7 yang lain sebenarnya menguatkan kenyataan Mohamaad Nizar dan menjadi perbualan umum bahawa merekalah antara yang akan keluar dari UMNO dalam masa terdekat.

Senario terkini politik di Negeri Perak semakin menarik dan mendapat perhatian ramai dengan berlaku keputusan mengejutkan apabila ADUN Kawasan Bota, Dato' Nasharuddin Hashim bertindak meninggalkan UMNO.

Sebenarnya terdapat satu Isu baru yang bertiup kencang di Ipoh dengan dakwaan baru pihak UMNO untuk merampas kembali Perak pada Mac ini. Namun realiti yang berlaku menafikan dakwaan itu dan menyebabkan UMNO dan BN menerima satu pukulan yang hebat yang menyebabkan pimpinannya di semua peringkat menggelabah.

Tindakan ADUN Bota disambut baik oleh penduduk setempat.

Petang tadi saya menalipon pimpinan PAS Kawasan Parit bertanyakan suasana di Bota dan Parlimen Parit setelah ADUN Bota, Dato' Nasharuddin Hashim mengumumkan keluar dari UMNO dan menyertai PKR.

Mereka memaklumkan terdapat tanda-tanda masyarakat setempat gembira dengan tindakan tersebut. Katanya banyak bendera KeAdilan dan PAS dikibarkan sejak kelmarin. Malah telah ada yang menyembelih kambing buat kesyukuran.

Paling menggemparkan menurut maklumat itu seramai 21 orang Tok Sidang/Ketua Kampung akan turut serta keluar dari UMNO mengikuti langkah ADUN Bota itu.

Kalau itu semua menjadi kenyataan, akan lumpuhkan UMNO Parit khususnya di DUN Bota. Apa yang berlaku di Petaling Jaya Selatan akan berulang di Bota.

Siapa lagi akan meloncat ?

Mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Perak yang di adakan ekoran tindakan Nasaruddin meninggalkan BN dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ipoh malam tadi dilaporkan media dihadiri seramai 20 daripada 28 orang wakil rakyat BN. Antara alasan mereka yang tidak dapat hadir mesyuarat berkenaan ialah sedang berada di luar negara.

Media juga melaporkan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di mana terdapat beberapa lagi pemimpin daripada BN akan melompat parti.

Bila ditanya oleh media Tajol dengan spontan menjawab,''Itulah kerja pembangkang, bila kita uar-uarkan ada orang dia nak masuk BN dia tuduh kita beli, tetapi bila dia sendiri buat tidak mengapa pula,"

Terdapat beberapa percanggahan dan kekeliruan dari apa yang dilaporkan media di atas. Pengunaan kalimat "pembangkang" yang ditujukan kepada Pakatan Rakyat di Perak adalah memalukan. Ia menunjukkan dan mengesahkan bahawa Tajol masih belum bangun dari tidurnya yang lena. Sedarlah kamulah yang duduk dikerusi pembangkang dan kamulah ketuanya dan kami adalah kerajaan yang diamanahkan secara sah oleh rakyat Negeri Perak dalam proses Demokrasi yang mesti diakui semua pihak.

Kenapakah angka yang dihitung masih lagi 28 sedangkan sepatutnya bilangan yang sepatutnya hadir ialah 27 orang(26 UMNO dan 1 MCA). Tidakkah mesyuarat diadakan khusus membincangkan tentang seorang ADUN UMNO telah keluar dari Partinya.

Selain itu menjadi persoalan besar hanya 20 orang sahaja yang hadir sedangkan menurut pengetahuan saya kebanyakan ADUN memang berada di kawasan masing-masing dan yang pastinya berada di dalam negara bukannya di luar negera.

Alasan dan laporan mereka berada di luar negera adalah mengelirukan dan alasan yang saya ingin sifatkan sengaja diada-adakan bagi melindungi alasan sebenar bahawa mereka yang tidak hadir memang sudah tidak sayangkan lagi UMNO dan sekaligus merasakan tidak penting untuk mengajak kembali Dato' Nasharuddin ke pangkuan parti.

Desas-dasus mengenai ada lagi beberapa orang lagi ADUN UMNO akan meninggalkan partinya sedang bertiup kencang di Negeri Perak. Malah saya menerima talipon bertanyakan siapakah mereka yang dimaksudkan dan ke parti mana pula mereka akan masuk PAS atau PKR ?

Kalau alasan kekalahan dalam pertandingan dalam perebutan Ketua Bahagian UMNO banyak melihat kepada ADUN Lintang, Dato' Fakih Adam yang kalah kepada pencabarnya.Beliau yang saya anggap sebagai bapa kepada UMNO Perak dan seorang vateren yang saya cukup saya hormati. Ucapannya dalam sidang yang lepas adalah teguran yang membina dan dengan suatu semangat setia kawan yang tinggi. Selamat datang saya ucapkan kepada Dato' Fakih adam ke Pakatan Rakyat.

Selain itu saya mengagak sudah sampai masanya ADUN Batu Kurau yang sudah tidak boleh berfungsi dengan keilmuan Islamnya kalau terus berada dalam UMNO. Bayangkan dalam Sidang DUN yang lalu Dato' Najmuddin Alias semacam menyebelahi kami dengan banyak berdiam diri. Oleh itu saya menjemput Dato' untuk berjuang bersama kami Parti Islam Semalaysia.

Saya anggap Dato' sebagai kawan dan regu yang saya alu-alukan untuk menguatkan Kerajaan Negeri Perak pakatan Rakyat.

Selain itu saya menganggap masih ada ADUN UMNO yang menyimpan suatu keputusan yang Tajol pun tidak dapat mengagak dan menciumnya. Siapapun saya ucapkan SELAMAT DATANG KE PAKATAN RAKYAT.

26 Januari 2009

Umno Perak mengelabah, jumpa Najib

Badan Perhubungan Umno Perak kelihatan dalam keadaan yang mengelabah dan kucar-kacir dengan menyusun strategi untuk memujuk kembali ADUN Bota supaya kembali kepangkuannya. Tajol Rosli yang sudah lama tenggelam dengan karenah dan dakwaan serta kenyataan bohong dari Zahid Hamidi kembali ke medah hadapan untuk menyelamatkan bahtera UMNO yang makin karam itu.

UMNO Perak dimaklumkan akan bertemu Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak petang esok bagi membincangkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bota Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Tajol Rosli Ghazali berkata Najib dijangka mengeluarkan kenyataan selepas pertemuan itu yang dijadualkan berlangsung di ibu negara seperti yang dilaporkan Bernama.

"Saya minta Nasaruddin turut membuat temujanji dengan Presiden Umno kerana tidak ada apa-apa yang kita tidak boleh selesaikan. Kalau ada kelapangan dia boleh juga berjumpa dengan Najib esok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Adun Barisan Nasional (BN) negeri Perak malam ini.

Beliau turut melahirkan harapan supaya Nasaruddin dapat melapangkan fikiran dan berfikir sedalam-dalamnya bagi menyertai semula BN.

Ditanya mengenai khabar angin bahawa masih terdapat beberapa Adun BN negeri itu yang akan menyertai Pakatan Rakyat, beliau menafikan dan menyifatkan ia hanya diuar-uarkan sahaja.

Mengenai sama ada Nasaruddin pernah meluahkan atau memaklumkan sebarang masalah kepada beliau, Tajol berkata Nasaruddin tidak pernah mengadu sebarang masalah kepadanya.

Bagaimanapun masalah mungkin timbul sejak pemilihan peringkat bahagian Oktober lepas di mana Nasaruddin bertanding untuk merebut jawatan ketua bahagian menentang penyandang Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.

Tajol Rosli turut memaklumkan setakat ini Nasaruddin tidak menghubunginya dan panggilan telefon yang dibuatnya tidak dijawab oleh Nasaruddin.

"Ahli Umno lain ada berhubung dengan beliau. Saya telefon dia tetapi dia tidak jawab, jadi saya rasa dia masih ada rasa segan silu dengan saya dan saya harap dia pertimbangkan semula keputusan yang beliau buat hari ini," katanya.

Dua puluh daripada 28 Adun menghadiri mesyuarat tergempar yang tamat pada 11 malam ini. Lapan yang tidak hadir sedang berada di luar negara.

Tindakan yang dilakukan oleh ADUN Bota pada suatu sudut adalah gambaran sebenar dari kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa UMNO telah hilang daya tarik. Usaha memulihkan UMNO nampaknya semakin buntu dengan tindakan Nasaruddin tersebut.

Adun Umno keluar parti, sertai PKR

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasarudin Hashim keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi Bernama berkata Nasaruddin (foto) membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Dengan ini, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang di anggota DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Mohammad Nizar menyifatkan Nasaruddin, 58, yang juga bekas Pengerusi Felcra sebagai seorang yang beriman, berilmu dan berpengalaman.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau (Nasaruddin) berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Desas-desus mengenai kemungkinan Nasaruddin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lepas. Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan.Malaysiakini.

Terkini : Beberapa orang lagi ADUN UMNO akan meloncat ?

Setelah menerima berita gempar mengenai ADUN Bota yang keluar dari UMNO dan BN dan menyertai PKR, saya juga sekaligus menerima berita yang sahih mengatakan beberapa orang lagi ADUN UMNO akan keluar dari partinya.

Kita tunggu dan lihat dalam waktu yang terkini mengenai kebenaran berita ini. Semuga apa yang berlaku di Perak adalah permulaan yang baik untuk semua Ahli Parlimen dan ADUN di seluruh negara untuk mengambil keputusan yang sama.

ADUN Bota keluar BN.

KUALA LUMPUR, 25 Jan :- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dato' Nasharuddin Hashim telah menyerahkan Borang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Ketua PKR, DS Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Keadilan di sini petang tadi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Perhubungan PKR negeri Perak, Hj. Osman dan Bekas Pengerusi, Hj. Ismail.

Sebentar tadi saya menerima sms dari seorang kawan memaklumkan ADUN dari UMNO itu telah keluar dari Barisan Nasional dan menyertai PKR.

Bagi mengesahkan berita itu saya menalipon Ketua Penerangan PAS Parit, Sdr. Syamsul dan dia juga mengesahkan bahawa beliau juga telah menalipon Ketua Pemuda UMNO Bahabgian Parit yang juga mengesahkan berita tersebut.

Selain itu saya sempat menghubungi ADUN Teja dari PKR, YB. Chang Lih Kang dan beliau juga mengesahkan berita rasmi telah beliau terima dari Ketua Keadilan Negeri Perak.

Saya juga mendapat pengesahan dari Bekas Pemangku Pengerusi Keadilan Negeri Perak, Ust. Zulkifli Ibrahim yang juga Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Perak.

Berikutan itu, Pakatan Rakyat kini menguasai 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. DAP (18), PKR (8) dan PAS (6)

Barisan Nasional (BN), yang tewas kepada Pakatan dalam pilihanraya umum Mac lalu, kini tinggal 27 kerusi negeri.

Selamat Tahun Baru Cina

Saya dan Keluarga mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pengunjung Blog Cina Islam yang berbangsa Cina dimana saja berada.

Semuga kedatangan Tahun Baru Cina untuk kali ini menguatkan hubungan kita semua.