12 Jun 2008

Kelantan tidak ikut langkah Pusat

KOTA BHARU, 11 Jun :- Kerajaan Kelantan tidak akan mengikut langkah kerajaan Pusat mengurangkan elaun keraian anggota Exco dan wakil-wakil rakyat dalam usaha menjimatkan perbelanjaan ekoran kenaikan harga minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, langkah itu tidak membawa banyak makna bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api itu yang begitu tinggi.

Apatah lagi, katanya, kerajaan negeri telah sekian lama melakukan langkah berjimat cermat termasuk pemotongan elaun wakil rakyat sebagai strategi menjaga kebajikan rakyat.

''Langkah penjimatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sesetengahnya seakan mahu menunjuk-nunjuk dan mengada-ada seperti pemotongan elaun keraian 10 peratus bagi anggota Kabinet,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berpendapat, banyak lagi langkah yang lebih berkesan termasuk menghentikan pemberian tender secara runding terus melibatkan kos beribu-ribu juta yang sepatutnya dapat diselamatkan.

''Contohnya, pembinaan landasan berkembar kereta api yang kosnya dahulu sekitar RM8 bilion sekarang melonjak kepada RM16 bilion.

''Kita seolah-olah mahu berjimat 10 sen tetapi sedia biarkan hilang beribu juta, ia tak memberi kesan yang munasabah,'' katanya.

Selain itu, katanya, langkah mengehadkan penggunaan hotel untuk seminar juga suatu langkah ke belakang kerana ia secara tidak langsung akan menguncupkan industri perhotelan dan pelancongan di negeri-negeri.

''Saya tidak faham kenapa kita naikkan harga minyak yang sepatutnya masih boleh dielak sehingga terpaksa bersusah payah melakukan itu dan ini untuk mengambil hati rakyat,'' ujarnya.

Katanya, langkah lebih berkesan perlu diambil dan tidak harus disempitkan pemikiran atau tindakan dengan menggerakkan tenaga-tenaga alternatif termasuk gas dan solar.

2 ulasan:

Hebatnyer Melayu berkata...

salam........
2 hari yag lepas wakil rakyat PAs telah mencadangkan agar elaun Menteri-menteri dipotong. Sekarang Yb Husam Musa telah berkata pemotongan itu tidak mendatangkan apa keasn. sekurang-kurangnya kita berusaha mengurangkan. itu sahaja bkn nak mempolitikan.

sekian

Kurma berkata...

kalau elaun dihentikan lagi elok, semata-matanya ambil gaji bulanan pun dah cukup.