14 Mac 2009

Mahkamah Persekutuan dengar kes Nizar-Zambry Jumaat depan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 Mac ini untuk mendengar kes saman Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan Datuk Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Tarikh itu ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Mac lalu untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan yang akan menentukan isu perlembagaan membabitkan terjemahan Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak.

Empat persoalan undang-undang yang dirujuk kepada Mahkamah Tinggi untuk ditentukan ialah:

1. Sama ada perkara bahawa Sultan Perak tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Perkara 16(6) dibaca bersama Perkara 18(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) boleh diadili?

2. Sekiranya jawapan kepada soalan pertama adalah ya, maka persoalan seterusnya ialah sama ada perkara Sultan Perak tidak memberikan perkenan itu sah di sini undang-undang.

3. Sama ada pelantikan Menteri Besar Perak di bawah Perkara 16(2)(a) dibaca bersama Perkara 18(2)(a) UTKNP oleh Sultan Perak boleh diadili?

4. Sekiranya jawapan kepada soalan ketiga adalah ya, maka persoalan seterusnya ialah sama ada Menteri Besar yang baru itu dilantik secara sah di sisi undang-undang?

Sementara itu, salah seorang peguam Mohammad Nizar, Leong Cheok Keng, berkata beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap perintah rujukan minggu depan.

Pada 13 Feb lalu, Mohammad Nizar, 52, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah dan Zambry yang dinamakan sebagai responden tidak berhak memegang jawatan tersebut.

Mohammad Nizar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, memohon perintah injunksi bagi menghalang responden, ejen atau kakitangannya daripada bertindak atau melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas Menteri Besar Perak.Mstar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mudah-mudahan berjaya, insyaAllah.