Hari ini kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w. Kata orang, kisah baginda ini tak akan habis dan tak akan pernah tamat jika mahu diwacanakan keperibadiannya, kedudukannya sebagai kepala tentera, khalifah, pemimpin keluarga termasuk zaman sebelum baginda diangkat sebagai rasul.
Dan, oleh kerana kisahnya terlalu banyak dan panjang, maka tentunya kita menemui kesulitan untuk menulisnya. Jarak kita dengan baginda sudah 1,500 lebih kurang. Jadi, dari mana saya harus bermula?
Dari itu izinkan saya menulis mengikut gerak hati. Biarlah saya tulis mengenai apa-apa yang saya faham tentang baginda ini. (Cara saya memandang agama ada sedikit berbeza dengan pandangan umum. Oleh itu, pembaca diharapkan supaya dapat bersabar.)
Seperti yang termaklum, sebelum kelahiran baginda, berlaku serangan ke atas Kaabah oleh bala tentera Raja Abrahah. Menurut riwayat, seperti yang tercantum di dalam Surah al-Fiil, gajah-gajah bersama tentera Abrahah itu dihancurkan melalui burung-burung Ababil yang mencengkam batu bara dari neraka.
Sampai sekarang, burung-burung itu tidak lagi kelihatan. Kemudian ketika baginda mengalami proses Isra' Mikraj, diriwayatkan bahawa baginda menunggang Buraq sejenis haiwan dari syurga.
Segala keganjilan seperti ini akan berlaku lagi bagi mereka yang bernasib baik. Insan terpilih sahaja yang akan berdepan dengan semua ini untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka.
Musa a.s dan Muhammad s.a.w ada persamaan
Sekitar tahun 1970-an, berlaku satu debat antara pelajar-pelajar Melayu di Universiti Al-Azhar. Seorang ustaz memberitahu, kalau tidak salah ingatan saya, antara pelajar-pelajar yang terlibat dalam debat itu ialah Yusof Noor dan Abdul Fatah Haroon.
Yusof menyatakan keraguannya berhubung pengalaman Israk Mikraj Nabi Muhammad. Lalu, Abdul Fatah menjawab persoalan itu dengan mengemukakan konsep 'Jism al-Latiff'. Sehingga sekarang, saya masih mengkaji, bertanya kepada orang-orang tertentu dan meluaskan bacaan berhubung 'Jism al-Latiff' ini.
Dan, berdasarkan apa yang saya faham berdasarkan debat itu, 'Jism al-Latiff' inilah yang banyak memainkan peranan dalam peristiwa Isra' Mikraj itu. Saya tidaklah berhasrat mahu melanjutkan dan meluaskan lagi tajuk bincangan ini.
Seperti yang disebut pada awal-awal tadi, ada beberapa pandangan peribadi mengenai agama yang termuat di dalam tulisan ini akan sedikit berbeza dengan pandangan umum.
Kita mengetahui bahawa Umar r.a adalah orang yang Tuhan pun bersetuju dengan beberapa pandangannya. Dalam beberapa kejadian, ada ayat-ayat al-Quran yang mengesahkan sekali gus menyokong pandangan Umar sebagai pandangan yang tepat.
Ketika Rasulullah s.a.w wafat, ada riwayat menyebutkan bahawa Umar berkata, "Muhammad tidak mati. Dia cuma menemui Tuhannya." Lebih kurang begitulah apa yang saya faham.
Timbul persoalan.. adakah kenyataan itu sekadar luahan Umar yang enggan mengakui hakikat bahawa Nabi Muhammad s.a.w sudah wafat, atau adakah Umar memang bermaksud demikian? Iaitu, Nabi Muhammad s.a.w masih hidup? Tidak mengapa. Kita tinggalkan dahulu persoalan ini.
Sekarang, marilah kita berpindah babak pengkisahan Nabi Musa. Alkisahnya, setelah menjadi menantu kepada Nabi Syuaib, maka Nabi Musa membawa isterinya dari Madyan ke Mesir untuk kembali ke tanah kelahirannya. Dalam musafir pada malam hari, Musa a.s melihat cahaya api bersinar di atas Bukit Tursina.
Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir), ia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Bukit Tursina. (Ketika itu) berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah; sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ, atau sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan diri."
Maka ketika ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu (yang ada di situ): "Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam. [al-Qashas: 29 - 30]
Di situ Nabi Musa diminta menanggalkan sepatunya kerana kawasan itu adalah daerah suci lagi diberkati. Di situlah, baginda diangkat sebagai rasul, diminta pergi berdakwah Fir'aun sekali gus meminta Fir'aun membebaskan Bani Israel daripada cengkaman perhambaan. Nabi Musa juga sempat membuat tuntutan agar Harun, saudaranya itu diangkat sebagai rasul untuk membantunya.
Di Bukit Thursina itu juga Allah s.w.t memberitahu bahawa baginda dibekalkan dengan mukjizat luarbiasa untuk merebahkan tembok keangkuhan Fir'aun. Dan yang paling penting di sini, di atas Bukit Thursina itulah Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa a.s dan umatnya menunaikan solat.
Inilah barangkali titik persamaan antara Isra' Mikraj Nabi Muhammad dan peristiwa pertemuan Nabi Musa a.s dengan Allah s.w.t di Bukit Thursina. Akhir matlamat pertemuan Nabi Muhammad s.a.w dengan Allah s.w.t ialah perintah solat.
Manakala, dalam pertemuan Nabi Musa a.s dengan Allah s.w.t, perintah solat ditekankan juga di sini. Bezanya cuma tempat pertemuan. Nabi Musa bertemu Tuhan Bukit Thursina dan Nabi Muhammad bertemu Tuhan ke langit.
Sebab itu juga, mungkin, antara nabi-nabi, Nabi Musa inilah yang terpilih untuk berunding dengan Nabi Muhammad s.a.w mengenai pengurangan jumlah rakaat dan waktu solat.
Atas nasihat Musa, maka solat itu dikurangi daripada 50 waktu sehinggalah kepada 5 waktu walaupun sebelum itu baginda telah menjadi imam ketika mengepalai solat yang di belakangnya hadir sekalian arwah nabi-nabi dan rasul-rasul.
Diriwayatkan, ketika Nabi Muhammad s.a.w wafat, terlafaz doa pengharapan supaya baginda dipertemukan dengan saudaranya di langit. Kaum Kristian mendakwa bahawa sahabat baginda di langit itu adalah Nabi Isa (Jesus Christ) sebagai mengukuhkan dakwaan bahawa agama mereka itu benar.
Tapi, saya fikir, mungkin Nabi Musa a.s itulah orang yang dimaksudkan sebenarnya kerana memang pernah berlaku pertemuan antara kedua-dua rasul itu dalam Isra' Mikraj. Wallahu'alam. .
Kembara rohani Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidhir a.s ada persamaan dengan Nabi Muhammad s.a.w dengan Jibril a.s. Kisah Musa a.s menerima didikan asuhan Khidhir dalam surah al-Kahfi misalnya memiliki persamaan dengan kembara rohani Rasulullah bersama Jibril ketika melihat segala bentuk dan jenis siksaan neraka.
Jibril menerangkan segala seksaan neraka kepada Rasulullah seperti mana Khidhir menerangkan perihal tingkahlakunya yang bersalahan dalam fikiran Musa.
Sekali peristiwa, ketika Rasulullah menderita ujian berat kerana berdepan dengan karenah umatnya. Baginda bersabda, lebih kurang mafhumnya, "Semoga Tuhan merahmati saudaraku Musa. Beliau lebih kuat diuji Tuhan di atas kedegilan umatnya, tapi dia bersabar."
Bermimpi bertemu Nabi Muhammad s.a.w
Ketika itu usia saya belasan tahun. Sebagai termaklum, di sekolah agama, bercambah minat dan kecenderungan peribadi terhadap kisah-kisah kesufian, kewalian dan persoalan tarekat.
Diringkaskan cerita, pada suatu malam, hati saya digerakkan untuk berwuduk, bersolat sunat dan menyucikan diri dengan wuduk. Boleh jadi malam itu malam Jumaat juga. Nawaitu tetap tidak berganjak, semoga dapat bermimpi bertemu Rasulullah!
Tetapi, barangkali bukan rezeki saya. Ada suatu fikiran jahat yang masuk hinggap ke hati dan jiwa menjadi tidak tenang. Saya terjaga beberapa kali. Kejadian pada malam itu berlaku ketika saya dan adik lelaki sedang tidur di ruang tamu.
Saya cuba tidur mengikut cara sunnah, dalam keadaan berwuduk dengan harapan ada sesuatu yang istimewa akan berlaku. Impian saya hancur. Mimpi malam itu tiada kaitan langsung dengan Nabi Muhammad.
Barangkali, Tuhan mahu saya menjadi saksi.. Saya terbangun kerana fikiran kusut, lalu perlahan-lahan saya bangunkan tubuh lalu mengalihkan wajah ke arah adik. Subhanallah. .!! Tidurnya tenang sekali.
Dan, sempurna betul tubuhnya mengadap ke arah kiblat dan tidurnya dalam keadaan sunnah. Saya mengamati, mencermati wajahnya lama-lama. Tenang.. memang tenang. Lalu, saya kembali meneruskan amalan 'tafakur' yang terbengkalai.
Esoknya, pecah cerita besar di rumah kami. Adik saya bertemu Rasulullah s.a.w dalam mimpinya! Umurnya ketika itu, belum masuk sekolah menengah. Dan saya tak fikir dia akan menipu kami. Menurut ceritanya, pada mulanya dia bermimpi bahawa dia sedang berjalan-jalan ke suatu tempat bersama kami sekeluarga.
Dengan tiba-tiba asap putih tebal yang datang menyelubunginya lalu dia terpisah daripada ayah, ibu dan kami sekeluarga. Dia terpinga-pinga kehairanan melihatkan keadaan itu. Maka, ketika itulah Baginda Rasulullah s.a.w muncul secara tiba-tiba lalu datang menghampirinya.
"Assalamualaikum. .Saya Nabi Muhammad," sabda Rasulullah s.a.w ketika memperkenal diri kepada adik saya. Kemudian baginda memimpin tangannya ke suatu tempat bercuaca panas. Adik saya berasa makin pelik melihat suasana itu. Hatinya digaru-garu beberapa bilah pertanyaan yang kian tercacak di hatinya.
"Kita kat mana ni?" tanya adik saya kepada baginda.
"Kita sekarang berada di Mesir," balas baginda. Kemudian, adik saya mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w sehingga tiba di sebuah tempat. Di situ ada sebuah istana besar yang mengkagumkan.
"Istana siapa ini?" adik bertanya lagi setelah dilihatnya bangunan istana yang besar itu.
Rasulullah s.a.w bersabda, "Inilah istana Fir'aun.."
Nabi Muhammad s.a.w bakar istana Fir'aun
"Kemudian, Nabi Muhammad bawa kayu-kayu sekeliling istana Fir'aun dan dia cucuh api sampai terbakar hangus semuanya," cerita adik saya kepada kami semua pada pagi Jumaat itu.
Selesai membakar istana Fir'aun, Rasulullah s.a.w memimpin tangan adik saya ke sebuah tempat lain. Kali ini mereka pergi ke dalam sebuah gua yang gelap. Tapi dengan tiba-tiba gua itu diterangi cahaya yang sangat terang. Gua itu dihuni oleh orang-orang yang berpakaian serba putih.
"Siapa mereka ini?" adik saya makin galak bertanya baginda.
"Mereka inilah orang-orang yang soleh, orang-orang yang baik-baik," sabda baginda menjelaskan kepada budak kecil yang menagih jawapan itu. Tidak saya ketahui dengan jelasnya; mereka ini penghuni syurga mana, umat Muhammad atau umat terdahulu sebelum baginda, dan lain-lain persoalan.
"Bersih sungguh muka depa," kata adik lelaki saya, "Bersinar betul muka depa.. kalau ada sehelai bulu kening depa yang masuk dalam gua yang gelap, mesti gua tu jadi terang benderang." Begitulah adik saya menjelaskan.
"Habis tu apa jadi?" tanya kami lagi, menagih sambungan ceritanya.
"Kami keluar gua. Jalan-jalan sikit, kemudian Nabi Muhammad kata, kita berpisah di sini dulu," demikian balas adik.
Selepas berbalas ucapan salam, asap putih mula tiba. Perlahan-lahan bayangan tubuh Rasulullah s.a.w menghilang dalam kepulan asap itu. Apabila asap itu hilang maka adik saya ternampak kelibat ayah, ibu dan kami sekeluarga yang tadinya menghilang di sebalik kepulan asap putih itu. Tamat cerita..
Kisah ini berlaku ketika saya di usia remaja. Itulah dua cerita yang saya masih ingat; cerita Nabi Muhammad membakar istana Fir'aun dan kisah orang-orang soleh di dalam gua yang putih berseri dan terang benderang wajah suci mereka. Daripada kisah ini saya membuat beberapa kesimpulan awal.
Kenapa Rasulullah s.a.w tidak hadir menyinggah dalam mimpi saya? Pertama, mungkin jiwa kusut. Kedua, mungkin Tuhan mahu saya menjadi saksi ke atas kisah itu ketika saya terlihat adik tidur mengadap kiblat dan tidurnya mengikut cara sunnah nabi.
Kesaksian saya (sebagai orang yang ada sedikit pengetahuan agama di dalam keluarga kami) mengesahkan kisah adik saya itu sebagai kisah yang benar.
Ketiga, adik saya masih muda. Bagaimana dia boleh menyebut Mesir sebagai tempat pemerintahan Fir'aun? Kalaulah saya (yang ada sedikit pengetahuan agama dan agak suka membaca), menyebutkan nama Mesir sebagai tempat letaknya istana Fir'aun, maka mungkin orang menuduh saya merekacipta kisah mimpi saya berjumpa nabi itu.
Keempat, mutakhir ini, sejak usia makin meningkat, barulah perlahan-lahan saya memahami bahawa kisah mimpi adik ketika saya berusia belasan tahun itu adalah suatu isyarat yang mengesahkan hubungan erat Nabi Muhammad s.a.w dengan saudaranya Nabi Musa a.s.
Ini kerana, digambarkan dalam mimpi itu bahawa, Nabi Muhammad s.a.w turut membakar istana Fir'aun sebagai lambang protes ke atas kekejaman raja yang maha zalim itu.
Mengingatkan semua ini, saya teringat lafaz wirid di dalam al-Ma'thurat, "Aku rela Allah sebagai Tuhanku, dan aku rela Islam sebagai agamaku, dan Muhammad itu sebagai nabi dan rasulku."
Perlahan-lahan. . saya mula mengerti akan makna hidup ini. Saya mula meredai Allah sebagai Tuhan saya, meredai Islam sebagai agama saya, dan tidak dilupakan juga, Nabi Muhammad itu nabi dan rasul ikutan dan contoh saya walaupun dalam kehidupan saya, jauh panggang dari api untuk menghidupkan sunnah nabi!
(Insya Allah akan ada lagi sambungannya. . memang panjang betul bahasan mengenai Rasulullah s.a.w ini; watak agung, sosok kental spiritual yang tahan diuji, cekal hatinya membawa perubahan. Dengan sebab bagindalah, orang Melayu memutuskan dalam Perlembagaan Persekutuan, bahawa Melayu itu Islam!)
7:00 a.m, 9 Mac
4 ulasan:
asalamualaikum yb apa citer ari ni tentang nizar pi ngadap sultan blom ada perkembangan terkini ker
hari ini hantar mohon perkenan mengadap, kena tunggu jawapan dulu......doakan.
Minta izin berbicara. Tok rasa hubungan Rasulullah SAW dengan para Rasul, ambiya'dan seluruh 'alam tersangat akrab kerana Baginda pembawa Rahmat untuk sekalian 'alam. Dalam solat, solawat ke atas Nabi Ibrahim as mengiringi solawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW dan banyak lagi contoh jika hendak diketengahkan di sini, cuma Tok nak katakan di sini, kekuatan kita bergantung sejauhmana kita taat serta istiqomah dalam mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam hidup kita, bukan setakat berjubah berserban, berjanggut sahaja, tapi rohaniah juga...
Assalamualaikum,
Kepada tok tam saya usulkan jangan terikut dengan pandangan orientalis kerana sangat suka memperlekehkan manusia yang berserban dan benjanggut.Kita sebagai orang awam tidak perlulah pertikaikan apa yang mereka buat secara lahiriah dalam mengikuti sunnah Rasulallah SAW.Kecualilah tok tam ada pandangan mukasyafah.Rasullallah pernah berpesan urusan hati adalah urusan ALLAH.Jangan kita Manusia Melayu Islam sendiri mengecilkan sahabat-sahabat kita yang sanggup mengikut sunnah Rasulallah (syiarnya) dimasa orang Islam lain meninggalkannya dan lebih teruk mengamalkan budaya kafir.Jangan kita halang mereka yang ingin amalkan sunnah Rasulallah kalau kita tak mampu dan Kalau tak mampu buat semua jangan kita tinggalkan SEMUA.Wassalam.
Catat Ulasan