11 Mac 2009

Empat persoalan status MB Perak

KUALA LUMPUR, 10 Mac :-Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa Khas) Kuala Lumpur hari ini mengumumkan empat persoalan berkaitan perlembagaan yang perlu ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam pertikaian undang-undang antara Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Persoalan itu yang dibacakan oleh Hakim Lau Bee Lan, adalah seperti berikut:

*Sama ada perkara Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak di bawah perkara 16(6) dibaca bersama dengan perkara 18(2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak boleh diadili?
*Sekiranya jawapan kepada persoalan pertama adalah ya, persoalan seterusnya ialah sama ada perkara Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak tidak memberikan perkenan itu sah di sisi undang-undang?

*Sama ada pelantikan menteri besar Perak yang baru di bawah perkara 16(2) (a) dibaca bersama dengan perkara 18(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak boleh diadili?

*Sekiranya jawapan kepada persoalan di atas adalah ya, persoalan seterusnya ialah sama ada menteri besar yang baru itu dilantik secara sah di sisi undang-undang?

Persoalan berkenaan dirumuskan oleh Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said bagi Pejabat Peguam Negara sepertimana diminta Hakim Jumaat lalu, lapor Bernama.

Selepas persoalan berkenaan diumumkan, peguam kanan Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar mengemukakan bantahan atas alasan persoalan itu tidak relevan dengan permohonan mereka bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

"Persoalan itu tidak timbul daripada permohonan bagi pengisytiharan dalam semakan kehakiman, dan sehubungan itu, apa juga jawapan yang mungkin diberikan Mahkamah Persekutuan, ia bukan penentu muktamad terhadap isu yang telah dibangkitkan," katanya.

Permohonannya bagi penangguhan perintah rujukan kepada Mahkamah Persekutuan, sementara menunggu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan yang telah ditolak atas alasan bahawa permohonan sama (bagi penangguhan) telah dibangkitkan dan ditolak oleh Lau pada 6 Mac.

Pada 13 Feb, Mohammad Nizar, 52, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi diisytiharkan beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Dr Zambry daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Nizar tidak hadir dalam prosuding mahkamah pada hari kerana mempunyai jadual yang ketat bertemu dengan rakyat. Difahamkan pada hari ini beliau berada di Parlimen Parit Buntar dalam siri jelajah menemui rakyat dan menjelaskan isu krisis perlembagaan tersebut.

Tiada ulasan: