13 Mac 2009

Wakil rakyat tidak setuju hapus imuniti di Parlimen

KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Parlimen hari ini tidak setuju dengan cadangan wakil Bebas Datuk Ibrahim Ali supaya imuniti dan kekebalan anggota Parlimen dihapuskan.

Timbalan Pengerusi Kelab Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Moktar Radin berkata, cadangan itu tidak wajar memandangkan Dewan Rakyat adalah tempat anggota Parlimen berhujah dalam mengetengahkan masalah dengan menggunakan perkataan yang tidak boleh diungkap di luar Dewan.

"Apabila imuniti dan kekebalan ahli Parlimen ditarik bermakna kita (anggota Parlimen) seolah-olah berhujah di pentas biasa, tidak ada impak yang boleh beri penekanan seperti berceramah di tempat awam," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.


Bung Moktar (BN-Kinabatangan) berkata, persoalan mengenai imuniti seorang anggota Parlimen tidak perlu dikaji semula kerana anggota Parlimen di negara lain mempunyai imuniti dan kekebalan.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata displin setiap anggota Parlimen lebih penting daripada soal menghapuskan imuniti dan kekebalan.

"Pada pandangan saya, ahli Parlimen perlu berdisiplin dalam mengutarakan (pandangan ketika berhujah) atau semasa pertengkaran dan berselisih faham," katanya.

Beliau berkata, apabila seseorang anggota Parlimen membawa unsur provokasi dalam pengucapan, ia (provokasi) menyebabkan mereka menggunakan bahasa yang kurang baik, namun keadaan itu masih boleh dikawal.

Sementara itu, Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) berkata soal imuniti perlu disertai dengan tanggungjawab dan kesedaran setiap anggota Parlimen.

"Sudah tentu imuniti datang daripada peranan dan tugas yang berat. Kawalan terbaik kepada imuniti adalah perasaan tangungjawab dan integriti ahli Parlimen. Tidak ada makna imuniti sekiranya ahli Parlimen bawa maklumat tidak betul," katanya.

Semalam, Ibrahim (Bebas-Pasir Mas) semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 mencadangkan imuniti dan kekebalan ditarik balik agar anggota Parlimen lebih bertanggungjawab dengan apa yang diucapkan. Mstar.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Drs..Dipersetujui imuniti selari dgn tanggungjawab. Nona Ratana Chulaborn.

Tanpa Nama berkata...

ibrahim ali yang cadang,lepas nie dia tak dak di parlimen dah pasai tu lah dia cadang.