01 Ogos 2009

Kenyataan Media : Kenapa Halang ADUN PR masuk SUK ?

Setakat kelmari telah dua kali pihak Setiausaha Kerajaan Negeri menghalang Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Perak yang dipengerusikan oleh Speaker Sivakumar dari memasuki bangunan SUK untuk melakukan mesyuarat. Kali pertama pada Isnin 27hb Julai lepas dan sekali lagi kelmarin iaitu pada 30hb Julai.

Bagi menjayakan halangan itu pintu pagar dan sejumlah polis dikerahkan dipintu masuk bangunan itu-
Ekoran dari itu saya suke mengeluarkan beberapa kenyataan.

1. Atas nama Ketua Penerangan PAS Perak dan ADUN Pakatan Perak yang diamanahkan sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan saya dengan ini membantah dengan sekeras-kerasnya tindakan yang saya anggap tidak beretika bila berlaku penafian kepada Jawatankuasa tersebut yang hanya memohon untuk masuk bermesyuarat bukannya untuk membuat kekecohan, huru-hara dan sebagainya.

2. Bukankah dalam bangunan itu ada sebuah bilik yang dikosongkan yang letaknya bersebelahan dengan bilik Timbalan Speaker. Bilik itu adalah untuk kegiatan ADUN khususnya "pembangkang". Kenapakah kami dinafikan untuk memasuki bangunan SUK termasuk ke bilik itu?

3. Menafikan ADUN masuk ke dalam bangunan SUK macamlah menafikan hak seorang ADUN untuk menjalankan fungsinya,walaupun ianya tidak sehaluan dengan prinsip BN sebetulnya tidak ada hak sesiapapun boleh menghalang kami masuk selagi apa yang dilakukan kami tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

4. Tindakan BN sehingga kini memperbanyakkan lagi tindakan pelanggaran undang-undang yang sah di Negeri Perak.

5. Sekiranya dakwaan jawatankuasa hak dan kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker Sivakumar sudah tidak relevan dan tidak sah, kenapakah halangan perlu dibuat ke atas mereka untuk masuk bermesyuarat. Biarkanlah mereka masuk bermesyuarat walau untuk ribuan kali. Inilah satu bukti bahawa BN takut pada bayang-bayang "kerja haram" sebelum ini sehingga apa saja tindakan kudeta pada 6hb Feb adalah pelengkap kepada menghalalkan kesilapan itu.

6. Oleh itu tidak ada alasan kepada SUK dan polis untuk menghalang sesiapa dari ADUN Pakatan Rakyat termasuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk keluar masuk bangunan Dewan Negeri tanpa apa-apa halangan kerana kami dipilih oleh rakyat secara sah.

Tindakan yang prejudis kepada apa saja yang kami akan lakukan di dalam Bangunan Dewan Negeri adalah tindakan yang menyalahi kebebasan kami sebagai warganegara Malaysia sesuai dengan peruntukan dalam Perlembagaan Negara.

Sekian, terima kasih.

Kenyataan 4/2009 (31hb Julai, 2009)
Drs. Khalil Idham Lim
Ketua Penerangan PAS Perak/ Pengerusi BBC PR Perak/ ADUN Titi Serong.



Tiada ulasan: