01 Ogos 2009

Perhimpunan 1 Ogos aman

ZAMRI kecik's

BUKIT MERTAJAM, 30 Julai - Perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang akan diadakan pada 1 Ogos ini adalah suatu perhimpunan aman yang tidak akan menimbulkan provokasi atau huru-hara oleh peserta perhimpunan kecuali jika ia ditimbulkan oleh pihak polis sendiri.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr.Mujahid Yusof berkata, rakyat perlu memberi sokongan kepada perhimpunan ini dengan turun beramai-ramai bagi membuktikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) yang telah disalahgunakan untuk mempertahankan rejim pemerintah sudah tidak sesuai lagi untuk diguna pakai.

"ISA yang menahan seseorang tanpa bicara ini perlu dimansuhkan bukannya dipertahankan. Ramai di antara mereka yang tidak dibawa ke muka pengadilan atau mahkamah untuk dibicarakan. Ada antara mereka yang dipisahkan dengan anak dan isteri sehingga lapan tahun. Ini adalah satu akta zalim yang menganiayai rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah beliau di Taman Impian, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.

Turut hadir dalam majlis anjuran PAS kawasan Bukit Mertajam itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Halizal Allias.

Bagi Mujahid, perbuatan memenjarakan rakyat tanpa bicara ini adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

Malah, katanya, ia juga jauh daripada dasar dan perjuangan yang dituntut oleh Islam.

Oleh kerana itulah maka PAS sedia untuk mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional dan Umno dalam pilihan raya umum yang akan datang bagi memberi keadilan kepada semua, katanya.

"Hanya dengan dasar dan perjuangan yang berlandaskan Islam sahaja dapat memberi keadilan kepada semua rakyat," tegas beliau.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua penyokong dan pendokong yang mahukan ISA dimansuhkan untuk turut serta beramai-ramai dalam perhimpunan GMI yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu, 1 Ogos ini.

1 ulasan:

Baba Siam berkata...

sekarang ni satu bandar KL ni kecoh, kerana PDRM sudah mula beroperasi buat sekatan jalan merata tempat di KL hingga trafik jam berjam2 di jalan.

Apa jika PDRM biar saja perhimpunan mansuh ISA ni di jalankan, saya yakin masaalah ni tak timbul langsung......

menyusahkan org2 di KL saje....PDRM ni....
Polis Raja Di Malaysia betul-lah.