01 Ogos 2009

Wajib pertahan hak Islam

Oleh : mohd naim mohd zain


Mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini. Bagaimanapun, ada ketikanya, berlaku krisis apabila umat Islam mempertahankan hak-hak tertentu dengan sebilangan orang bukan Islam.

Antara pertikaian yang biasa kita dengar ialah perebutan mayat orang mualaf, perebutan anak apabila salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam dan juga penyebaran agama lain kepada umat Islam.

Walaupun setakat ini, pertikaian yang berlaku berjaya diatasi namun, adalah penting bagi kita mengetahui apa sebenarnya peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan berkaitan umat Islam.

Allah berfirman yang maksud-Nya: Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redai Islam itu jadi agama bagimu. (al-Maidah: 3)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto BAIZURA HARUN menemu bual Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Md. Ralip bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah maksud Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Negara?

MOHAMAD ISA: Di dalam perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut: Perkara 3 : (1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Dalam teks asal bahasa Inggerisnya disebut Islam is the religion - ini bermakna hanya Islam agama Persekutuan bukannya Islam itu agama Persekutuan. Dengan yang demikian, segala perkara yang dibuat mesti berteraskan kepada agama Islam.

Bila disebut sebagai agama Persekutuan, maka kedudukannya adalah lebih tinggi daripada agama yang lain. Maka, kita boleh meminta kerajaan untuk mempertahankan Islam.

Memang ada kes yang menyebut Islam itu sebagai ritual dalam kes Suzi Teoh sebagaimana yang diputuskan oleh Hakim Salleh Abas. Tetapi hujah tersebut berlaku sebelum pindaan Akta 121(A) pada 10 Jun 1998.

Perlembagaan Persekutuan ditulis supaya ia boleh dilaksanakan. Ia adalah dokumen organik yang perlu diterjemah, diaplikasi dan disediakan untuk mentadbir mengikut perkembangan dan keperluan semasa masyarakat.

Ia adalah perisytiharan dan tujuan Perlembagaan Negara kita bahawa Islam adalah agama Persekutuan yang perlu diaplikasi apabila membenarkan dan mengguna pakai undang-undang Islam kepada orang Islam.

Ia perlu diketahui bahawa peruntukan ini terdapat dalam Perkara 3(1) dan tidak ada halangan bagi orang bukan Islam di Malaysia mempraktikkan agama mereka berdasarkan Perkara 11(1).

Pihak yang mempersoalkan peraturan Islam selalunya bersandarkan pada hak asasi manusia orang bukan Islam. Apakah hak orang Islam dalam hal ini?

MOHAMAD ISA: Apa yang kita mahu adalah sebagai mana yang termaktub dalam Jadual 9, Senarai 2 iaitu bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Kita mahu apa yang ada itu dikekalkan, bukannya nak minta lebih. Ini yang perlu difahami oleh orang bukan Islam. Malah, dalam hal sebegini, kita tidak patut kompromi dengan mana-mana pihak sekali pun.

Contohnya dalam hal berkaitan perebutan anak antara orang Islam dan bukan Islam. Yang menjadi masalah, apabila ini berlaku, orang Islam kena mendapatkan hak penjagaan (hadhanah) anak mereka di mahkamah sivil sedangkan ia sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Mengikut perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini merujuk kes Moorthy lawan S. Kaliamal. Moorthy meninggal dunia pada 25 Disember 2007 dan dikebumikan secara Islam pada 28 Disember 2007.

Mutakhir ini, kita diserang dari pelbagai penjuru oleh golongan bukan Islam antaranya isu penggunaan kalimah Allah. Soalnya, apakah hak orang Islam bagi mempertahankan diri dalam keadaan ini?

MOHAMAD ISA: Sebenarnya, kita sudah ada enakmen tentang hal ini. Penggunaan perkataan seperti kalimah syahadat, Allah dan Kaabah telah dikanunkan sebagai suatu hak istimewa untuk Islam sahaja.

Sepatutnya, bangsa dan agama lain memahami dan menghormati hal ini. Kita patut berpihak di bumi nyata dan mengikut pepatah yang sebut “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”.

Kita bukan seperti Indonesia yang negaranya liberal dan boleh berkongsi kalimah Allah dengan agama lain.

Ini bukan bermakna kita tidak boleh bertolak ansur dengan bukan Islam. Islam benarkan kita bertolak ansur dalam hubungan sesama manusia ataupun furuk (cabang).

Namun, perkara qatie seperti akidah, mempertahankan agama anak-anak, kita tidak boleh kompromi.

Siapa yang patut dilibatkan dalam perundingan menjelaskan tentang Islam kepada golongan bukan Islam?

MOHAMAD ISA: Apa yang berlaku ada pertubuhan bukan kerajaan seperti Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang cuba membangkitkan polemik ini melalui undang-undang.

Sebabnya, cubaan mereka menerusi politik gagal. Jadi, mereka cuba menggunakan mahkamah untuk mencapai hasrat itu. Kelompok ini bukannya besar tetapi mereka sengaja mahu menguji sejauh mana sensitifnya umat Islam mempertahankan hal-hal berkaitan agama kita.

Namun, pada masa yang sama, kita perlu memberi penerangan kepada orang bukan Islam tentang indahnya agama kita. Demikian yang diajar dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam satu kisah, baginda selalu disakiti oleh seorang wanita tua dengan diletakkan duri dan sebagainya di jalan yang dilalui baginda. Bagaimanapun, pada suatu hari, tidak ada lagi duri-duri dan halangan lain menyebabkan Rasulullah tertanya-tanya di manakah wanita tua itu.

Apabila diberitahu wanita itu sakit maka baginda menziarahinya dan akhirnya wanita berkenaan menyedari kesilapannya dan memeluk Islam. Ini adalah antara dakwah bila hal yang perlu kita jadikan contoh dalam kehidupan kita yang bersosial dengan masyarakat berbilang kaum.

Dari segi keanggotaan dalam forum tentang Islam ini, perlulah dilibatkan pakar undang-undang dan para mufti. Ini supaya stigma negatif tentang Islam dapat diatasi.

Keadilan Islam adalah untuk semua. Kes Nyonya Tahir adalah antara buktinya. Malangnya, masyarakat masih skeptikal tentang undang-undang syariah?

MOHAMAD ISA: Keadilan Islam adalah agama keadilan untuk sejagat. Menjadi impian para pengamal undang-undang syariah di negara kita untuk melihat bidang kuasa institusi kehakiman syariah diakui bukan sahaja oleh umat Islam tetapi juga oleh yang bukan Islam..

Mahu tidak mahu kita terpaksa mengakui perlu ada keterbukaan di peringkat Mahkamah Syariah untuk mengizinkan mereka yang bukan Islam hadir sebagai saksi di Mahkamah Syariah dan diwakili oleh peguam pilihannya sendiri.

Yang perlu ditegaskan adalah berdosa bagi orang Islam mengkebumikan mayat orang bukan Islam mengikut cara Islam. Sebab itulah dalam kes Nyonya Tahir misalnya, apabila disahkan dia bukan lagi Islam, maka kita tidak ‘berebut’ untuk menguruskan pengkebumian itu.

Dalam kes Nyonya Tahir yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Seremban, hakim yang berkenaan telah belajar daripada episod duka Moorthy dan membuka ruang yang luas kepada keluarga Nyonya Tahir untuk hadir.

Artikel 121 (1A) telah menyelesaikan isu-isu berkaitan pertindihan bidang kuasa jika kedua-dua pihak yang menuntut adalah orang Islam. Bagaimanapun isu yang masih lagi belum diselesaikan ataupun terdapat ruang kekosongan dalam perundangan yang masih terbuka bagi tafsiran adalah kes-kes yang melibatkan salah satu pihaknya adalah seorang yang bukan Islam.

Isu utama berlaku hal ini adalah kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan bab keluarga. Apakah jalan penyelesaiannya?

MOHAMAD ISA: Sebahagian masalah ini adalah berpunca daripada umat Islam sendiri yang merendahkan Mahkamah Syariah. Golongan ini yang memperlekeh dan tidak menghormati perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Menyebabkan mahkamah tersebut dihentam dan dicemuh.

Bagaimanapun, kini kita termasuk PGSM sudah merangka pelan tindakan berhadapan dengan hal-hal begini.

Pada masa yang sama, kita juga akan lebih kerap bertemu dengan Ahli-ahli Parlimen Islam untuk sentiasa memberi maklumat terkini dalam hal-hal berkaitan.

Yang penting, kita semua bersatu dalam hal-hal berkaitan agama jika tidak kita akan mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain.

Lagipun, Mahkamah Syariah usianya hanya 18 tahun berbanding mahkamah sivil yang sudah berumur lebih 50 tahun.

2 ulasan:

zackeye berkata...

Bersetuju kita mesti menghormati undang-undang Islam. Bila mahkamah syariaah menjatuhkan hukum jangan pula ada yang kata hukum itu zalim atau kuno dan tidak sesuai didalam masyarakat majmuk. Orang Islam mesti menerima hukum Islam kerana patuh kepada perintah Allah dan jangan cuba nak mempertikaikan ilmu Allah atau kebijaksanaan Nabi Muhammad.
Kalau kesan dari undang-undang Islam dapat membawa perkara positif seperti penurunan jenayah, kemantapan akhlak muda mudi, pembahagian harta yang saksama dan adil dan sebagainya tentu bukan orang Islam saja yang hormat kepada orang Islam malah orang bukan Islam pun akan menghormati kita dan ugama kita.
Kita cuma bertindak bila ada orang yang mati dan kita mula nak berebut mayat kerana ada rekod dia telah memeluk Islam tapi kita jarang sekali nak kaji mengapa pula seorang mualaf boleh murtad.
Parliamen mesti menjelaskan bila sesaorang peluk Islam maka dia perlu menggunakan nama Islam untuk mengelakkan pelbagai kekeliruan. Kalau nama pun takut nak tukar dan nak masuk secara tersembunyi maka kita takut tidak ada keikhlasan. Lebih baik jelas dari sembunyi-sembunyi.

dol kakirempit berkata...

Sebahagian masalah ini adalah berpunca daripada umat Islam sendiri yang merendahkan Mahkamah Syariah. Golongan ini yang memperlekeh dan tidak menghormati perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Golongan ini? Siapa golongan ini. Sudah tentu sebahagian daripada ahli/penyokong PAS yang totok. Ditambah dengan PKR. Golongan DAP sudah tentu. Hasilnya kalau di ambil dari sudut politik, sudah tentu Ahli+penyokong+simpati Pakatan Rakyat lah gologan ini.

Bila bercakap pasal hudud, berdegar degar bunyi. Dah dapat kuasa kat Kelantan tak jugak di implematasikan Hukum Hudud. Dikatakan kerajaan pusat tak bagi concern. Nah! sudah terang lagi bersuluh. Bila tak tahu menari dikatakan lantai jongkang jongkit. Itulah politik PAS. Cakap tak serupa bikin. Yang mamat2 ni, sokong aja.

Kalau diimbas kembali kes Nyonya Tahir,apa yang PAS buat. Begitu juga Si minah Joy? senyap. Balik2 nak cabar Mufti.Salahkan Mufti. Siap ada yang kondem Mufti lagi...

Kerajaan bersusah payah nak naikan taraf mahkamah syariah. Di gubal bermacam2 akta. Tapi golongan jumud ni tak habis2 cari kesalahans. Bila di ajak berbincang tak mau. Pastu masuk kampung2 buat ceramah. Bagi maklumat salah. Orang kampung yang tak tau pasal undang2... ngaga. Sokong.... Siap ngan Takbir lagi.

Sekali tu orang bukan Islam baca quran.. pun sokong. Siap ngan takbir lagi. Apa punya otak mamat2 ni.

Bila bercakap pasal furuk dan qatie.. sudah tentu ada 'aridhi (mendatang)

Selagi tidak mencacatkan hukum qatie.. apakah kita tidak boleh berkerjama dengan non muslim.. lalu keluarlah Fatwa Hadi..siap dikafirkan lagi orang Islam. Bila Pas join PR sekali dengan DAP mana perginya fatwa ini..Itulah politik PAS. Akan menggunakan Islam untuk kepentingan politik sempit.

Lagi hebat, bila kerajaan Selangor nak agihkan duit zakat. Itupun ada yang sokong.
Nasib baik TGNA sedar.. kalau tak entah la.

TGNA ni pun pelik jugak.. Dengan Kafir DAP dia boleh join. Dengan Islam UMNO tak nak. Dol kakirempit tak berani nak komen apa2...TG ni ulama besar...kena cari fakta dulu, baru boleh rempit