02 Oktober 2009

Pelajar Malaysia di Padang selamat

JAKARTA: Seramai 330 pelajar Malaysia di Padang, Sumatera dilaporkan selamat selepas kejadian gempa bumi yang berlaku berhampiran bandar itu, demikian disahkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia di sini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Dr Junaidi Abu Bakar berkata 80 peratus daripada pelajar telah berkumpul di lapangan kampus perubatan Universiti Andalas sehingga pukul 6.30 petang tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi berskala 7.7 Richter berlaku di selatan Sumatera pukul 6.16 petang menyebabkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Gempa bumi itu berlaku kira-kira 60km barat daya bandar Padang di Sumatera dan 452km barat daya Melaka.

Sepasukan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berusaha untuk menuju ke Padang, ibu kota Sumatera Barat, malam ini untuk menyelaraskan usaha menyelamat para pelajar itu.

Kota Padang kini dilaporkan lumpuh dengan warganya panik menyelamatkan diri dan banyak bangunan yang bukan saja runtuh tetapi juga terbakar.

Walaupun pemeriksaan melalui telefon mengesahkan semua 330 pelajar Malaysia selamat tetapi menurut Dr Junaidi, mereka yang dalam keadaan panik tetap perlu dibantu.

Sementara itu, Pusat Tsunami Pasifik menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi itu. BERNAMA

mStarOnline/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cuma BN yang tak selamat di bagan pinang

Tanpa Nama berkata...

pemimpin UMNO/BN dan agensi kerajaan yang korup tak selamat, allah maha melihat