28 Oktober 2009

Tunku Muhriz ditabal Yang Dipertua Besar NS

Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, 61, hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 di Istana Besar Seri Menanti di sini dalam upacara pertabalan yang penuh adat istiadat dan bersejarah dalam tempoh 40 tahun di negeri ini.

Tuanku Muhriz dimasyhurkan pada 29 Dis 2008, dua hari selepas kemangkatan Yang di-Pertuan Besar sebelum ini yang merupakan ayahanda saudara baginda, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, yang telah menaiki takhta pada April 1967.

Istiadat itu adalah unik di Negeri Sembilan kerana pemilihan Yang di-Pertuan Besar ditentukan oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Sungai Ujong.

Upacara bermula pada pukul 11 pagi dengan keberangkatan masuk Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani ke Balairong Seri didahului oleh Orang Empat Istana membawa Peti Benian.

Istiadat bermula dengan peraturan menghadap Tuanku oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Jelebu Datuk Musa Wahab, Undang Luak Johol Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Rembau Muhamad Sharip Othman dan Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak.

Datuk Bentara Kanan Ibrahim Ujang kemudian hadir ke hadapan singgahsana baginda dan memohon perkenan Tuanku untuk memulakan istiadat dan kemudian menyeru Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak bagi memulakan tradisi seru menyeru yang dibuat turun-temurun sebelum ini.

"Hai, Bentara Kanan, serukanlah sabda Kami Undang Yang Empat kepada sekalian rakyat tua muda, kaya miskin, hina dina, dalam Alam Negeri Sembilan ini - Adapun pada hari ini kami mentabalkan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan untuk menggantikan Seri Paduka Ayahanda Saudaranya, Almarhum Tuanku Ja'afar yang telah mangkat.

"Dan Tuanku Muhriz ini telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum dimakamkan Seri Paduka Ayahanda Saudaranya pada hari Isnin, 29 Disember, tahun masihi 2008, serukanlah sabda kami kepada sekalian rakyat mengadap dan menjunjung Duli,"seru Mubarak.

Selepas seruan Mubarak itu, Datuk Bentara Kanan menyambut dengan seruan kesetiaan terhadap pertabalan Tuanku Muhriz.

"Hai, tuan-tuan sekalian, tuan muda, kaya miskin, hina dina, adalah Undang Yang Empat dengan Adat Istiadatnya mentabalkan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan," seru Datuk Bentara.

Sebaik sahaja selesai upacara itu, Datuk Seri Amar Diraja dan Datuk Pegawai Yang Enam bangun untuk menurunkan Daulat sebelum Datuk Bentara Kanan dan kemudian melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali, diikuti semua hadirin.

Istiadat diteruskan dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan dimainkan beserta tembakan meriam 32 das dari bateri istiadat, Rejiman Askar Melayu DiRaja yang duduk di kawasan luar istana.

Dengan selesainya adat istiadat itu, Tuanku Muhriz rasmilah menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 selepas mangkatnya raja yang ke-10 iaitu, Tuanku Ja'afar pada 27 Disember 2008.

Tuanku Muhriz yang berjiwa rakyat diputerakan pada 14 Jan 1948 dan satu-satunya putera dari enam adik beradik hasil daripada perkahwinan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kesembilan iaitu Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Durah.

Sementara itu, Tuanku Muhriz dalam titah ucapannya menyeru supaya semua pihak dan pemimpin yang telah dipilih oleh masyarakat mereka memulakan kerjasama untuk kepentingan rakyat dan negeri ini.

Perpaduan merupakan elemen terpenting kepada kestabilan dan kemakmuran negara, titah baginda.

"Dengan kekuatan ini, Beta menyeru kepada semua agar bergerak seiring ke hadapan untuk meningkatkan lagi kemakmuran negeri dan negara," titah baginda.

Baginda turut mengajak tetamu mengimbas kenangan baginda semasa kecil ketika menyaksikan perkembangan Negeri Sembilan di bawah pemerintahan ayahanda baginda iaitu Almarhum Tuanku Munawir serta nenda baginda, Almarhum Tuanku Muhamad.

Baginda menegaskan, nenda-nenda baginda yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Negeri Sembilan telah memainkan peranan yang penting untuk pembangunan negeri ini malahan nenda baginda, Tuanku Muhamad sentiasa mengalakkan rakyat untuk menghantar anak mereka ke sekolah Melayu dan Inggeris.

Tuanku Muhamad turut menubuhkan sebuah sekolah perempuan di Seri Menanti 100 tahun dahulu yang sebenarnya merupakan satu tindakan yang berani serta inovatif pada masa itu kerana ketika itu, sekolah seperti ini hanya terbuka untuk golongan elit.

Pada peringkat kebangsaan, Tuanku Muhamad bersama dengan Raja-raja Melayu telah menyokong penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Rejimen Askar Melayu Diraja, titah baginda.

Istiadat pertabalan hari ini ia mendapat liputan daripada 34 wakil media termasuk disiarkan secara langsung oleh telivisyen tempatan. Bernama

MalaysiaKini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Silap tajuk tu...Bukan Yang Di Pertua, sepatutnya Yang Di Pertuan...Yang Di Pertua hanya kpd negeri2 x beraja (gabenor)...Yang Di Pertuan sama taraf dengan Sultan/Raja...