11 November 2009

Bai'ah talak: PAS Pusat sedang siasat

KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS sedang menyiasat amalan bai'ah yang dibuat oleh sesetengah pihak dalam parti itu kerana tidak pernah ada sebarang arahan rasmi dari PAS Pusat untuk berbuat demikian.

"Kita memang ada bai'ah untuk memberikan taat setia kepada parti sebelum kita melantik mana-mana pihak mewakili parti tetapi tidaklah sebagaimana yang dilaporkan itu," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengarahkan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS untuk menyiasat perkara itu.

Mustafa membuat kenyataan ini bagi mengulas laporan media sejak kebelakangan ini yang mendakwa PAS mewajibkan para calonnya untuk berbai'ah (ikrar) untuk taat setia kepada parti.

Antaranya dilaporkan, calon PAS berbai'ah jika beliau menyeleweng dan mengkhianati PAS, maka terjatuhlah talak ke atas isterinya.

Ia dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

Laporan ini pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Menurut laporan, PAS menjadikan bai'ah sebegini untuk memastikan tidak ada calon atau wakil rakyatnya yang mengkhianati PAS dengan cara berpaling tadah dan menyokong parti lawan.

Sehingga kini, terbukti tidak ada satupun wakil rakyat PAS yang mengkhianati parti itu dengan menyokong parti lawan.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

zackeye berkata...

Pada kebiasaan memang ramai tidak setuju dengan baiah yang melibatkan rumah tangga. Tetapi dalam konteks berperang dengan UMNO mesti ada satu ikatan perjanjian yang kuat. Lihat apa yang pernah berlaku diBandar Tun Razak dimana calun PAS yang dijangkan menang dilarikan oleh UMNO. Kes hijack calun memang selalu berlaku.
PAS setelah sekian lama baru berani meletakkan calun wanita kerana takut suami dibeli oleh UMNO atau difitnah sehingga rosak rumah tangga. Yang nak jadi calun mesti tahu risiko berpolitik.