11 November 2009

Yi Ming Jing Ren : Satu Teriakan Menggegarkan Dunia

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, negeri Qi ditadbirkan oleh raja Qiwei. Bagaimanapun, baginda selalu bersikap acuh tak acuh terhadap urusan negara, dan asyik menghabiskan masa dengan minum arak dan makan sepuas-puasnya sambil ditemani gundik-gundik yang cantik, sehingga azam dan cita-cita luhur yang ditunjukkannya ketika naik takhta beransur-ansur pudar. Keadaan ini menyebabkan negeri Qi berada di ambang kehancuran.

Pada ketika itu, ada seorang pegawai bernama Chunyu Kun yang amat bijak dalam menggunakan metafora ketika memberikan nasihat kepada raja. Kebanyakan cadangan yang dikemukakannya selalunya diterima oleh raja. Memandangkan Raja Qiwei sangat suka akan teka-teki, Chunyu Kun cuba memikirkan satu cara yang bijak.

Pada suatu hari, ketika mengadap Raja Qiwei di istana, dia berkata:

"Hamba ada satu teka-teki yang ingin hamba kongsi dengan tuanku. Ada seekor burung besar yang tinggal di istana ini. Bagaimanapun, burung itu bukan sahaja tidak mahu mengembangkan sayapnya untuk terbang, malah tidak pernah membuka mulutnya pun untuk berbunyi. Cubalah tuanku teka burung apakah itu."

Raja Qiwei segera faham bahawa tujuan sebenar Chun Yukun berkongsi teka-teki itu dengannya adalah untuk menyindirnya sebagai seorang pemerintah yang tidak berupaya untuk berbuat apa-apa pun. Setelah berfikir beberapa lama, baginda bertitah dengan penuh yakin:

"Meskipun burung itu tidak mahu terbang sekarang, namun, sebaik sahaja ia mengembangkan sayapnya, ia akan ke langit biru. Walaupun ia tidak mahu berbunyi sekarang, namun, sebaik sahaja ia membuka mulutnya, bunyinya akan menggegarkan dunia. Tunggu saja ya!"

Sejak itu, Raja Qiwei mula menumpukan perhatian sepenuhnya kepada urusan negara. Di bawah pentadbirannya, situasi di negeri Qi semakin pulih. Akhirnya, negerinya berjaya dibangunkannya kembali menjadi sebuah negeri yang disegani jiran dan digeruni musuh

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Yi Ming Jing Ren" ini digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang tidak tahu menghargai bakat dan kemampuan yang dimiliki mereka. Bagaimanapun, jika mereka menggunakan bakat mereka dengan sebaik-baiknya, mereka pasti akan mencapai kejayaan yang cemerlang. CRI/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa kata ustaz sebut teka teki yang sama pada haji hadi, president kita lani. harap2 haji hadi ambillah iktibar dan jadi seperti raja qiwei

Tanpa Nama berkata...

mung ni tak dok kerja lain ke? mikir lebih daripada kartun ni,macam yahudi ni,kira nak kerat kepala nabi dia sokmo. cuba tarik nafas panjang2, renung dalam2, kalu kita dikedudukan beliau apakah tindakan paling berhikmah yang akan kita buat.