11 November 2009

Selangor mahu jadi hab ilmuan

KLANG, 9 Nov: Walaupun Selangor terus panas dengan politik namun kerajaan negeri Selangor terus menerus dengan projek untuk kepentingan rakyat negeri itu dan yang terkini mahu menjadikan Selangor hab ilmuan di negara ini.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim melancarkan program Jejak Ilmuan bagi membolehkan rakyat negeri itu khasnya golongan mudanya mendapat panduan dan bimbingan yang jelas dari para ilmuan di negeri itu.

Bagi Khalid, inilah antara caranya untuk membolehkan para pelajar negeri itu mendapat panduan yang jelas dalam mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya.

Melalui program Jejak Ilmuan ini, Selangor melalui Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insannya mahu anak-anak Selangor dan rakyat negara ini dari negeri lain mendapat panduan yang jelas dalam menuntut ilmu.

“Jejak Ilmuan satu program untuk menarik masyarakat di negeri Selangor untuk memahami konsep ilmu itu ialah satu harta dan harta yang penting," kata Khalid dalam ucapan perasmiannya.

Bagi beliau, dengan adanya ilmu itu, masyarakat akan dapat mempertingkatkan pembangunan selari dengan keinginan negeri Selangor untuk mengorak langkah ke depan.

Kalau dahulunya, Selangor bergantung kepada pembuatan, perkhidmatan kerajaan dan pertanian kini Selangor bakal menjadi hub ilmuan dan pendidikan terkemuka di rantau ini, kata Khalid.

Melalui program ini, pakar dan cendekiawan negeri dihimpunkan dan akan menyumbangkan kepakaran mereka untuk pembangunan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian selepas merasmikan program Jejak Ilmuan Peringkat Negeri Selangor di Dewan Hamzah
Majlis Perbandaran Klang, semalam.

Program ini merupakan inisiatif Exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali dengan matlamat memacu Selangor ke arah negeri maju berteraskan budaya ilmu.

“Melalui Jejak Ilmuan ini, kita akan menacari, menjejaki ilmuan-ilmuan yang ada di Selangor untuk diperkasakan, persadakan, dimasyarakatkan dan kita naikkan taraf mereka sehingga ke peringkat antarabangsa,” kata Dr Halimah.

Dr Halimah ketika ditemui menambah, Kerajaan Negeri mahu melahirkan lebih ramai cerdik-pandai dengan menjadikan pakar dan cendekiawan sebagai ikon
kejayaan.

“Kita mahu melahirkan ilmuan-ilmuan baru yang bakal yang akan belajar apakah langkah-langkah ataupun critical steps yang perlu diambil dan mereka harus pelajari dengan ilmuan yang sudah berjaya.

“Dengan ilmu ini akan menjadikan merealisasikan hala tuju Selangor 2025 untuk menjadi maju, sejahtera dan berkebajikan idaman semua orang akan benar-benar tercapai,” jelasnya.

Menurut Dr Halimah, usaha menjejaki ilmuan ini penting untuk mengelakkan penghijrahan tenaga pakar tempatan ke luar negara.

Katanya, Jejak Ilmuan ini terbahagi kepada 4 kategori iaitu Jelajah Ilmuan, Pementoran IPT Selangor, Tunas Ilmuwan dan Hari Ilmu Negeri Selangor.

Antara tokoh jemputan pada majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Akademik Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad; Pengarah Bio-IT Selangor Unisel, Prof Emeritus Dr Abdul Latif Ibrahim; Ketua Pegawai Teknologi Significant Technologies Sdn Bhd, Dr Mohd Khazani Abdullah dan Dekan Fakulti Sains Gunaan Matematik Unisel, Prof Madya Dr Mohd Khushairi Mohd Rajuddin.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Presiden Unisel, Datuk Dr Rusdi Sarowono.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: