24 November 2009

Chew: EGM beri peluang adakan pemilihan baru MCA

Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berharap Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua, yang bakal diadakan 28 November ini, membuka laluan untuk pemilihan baru pucuk kepimpinan parti terutamanya jawatan presiden parti itu.

Beliau berkata EGM itu diharap memberikan peluang kepada calon untuk bertanding jawatan presiden dan jika menang, menyandang jawatan itu secara bermaruah.

"EGM ini dapat memutuskan sama ada satu lagi pemilihan baru (jawatan presiden) dapat diadakan dan bagi yang menang dalam pilihan raya baru itu tidak kira (Datuk Seri) Ong Tee Keat, (Datuk Seri) Liow Tiong Lai, ataupun (Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek dapat memegang jawatan itu dengan bermaruah," katanya kepada Bernama di Genting Highlands hari ini.

Chew, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata beliau kesal dengan tindakan Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat yang memecatnya daripada majlis presiden Rabu lepas.

Beliau berkata walaupun dijemput menyertai semula Majlis Presiden MCA tetapi beliau hanya dapat menghadiri mesyuarat berkenaan tanpa mempunyai hak menyuarakan sebarang pendapat seperti mana anggota majlis lain.

Chew berkata ini adalah satu penghinaan buat dirinya kerana beliau merupakan Ketua Wanita bagi parti itu dengan mewakili 38 peratus daripada anggota MCA dan keadaan ini tidak memberi peluang kepadanya untuk meluahkan pendapat bagi pihak MCA mahupun kementerian.

Menurutnya dua daripada anggota majlis presiden iaitu Senator Heng Seai Kie (Setiausaha Agung Wanita MCA) dan Tan Cheng Liang (anggota Jawatankuasa Pusat MCA) kini dilantik sebagai anggota majlis itu dan beliau hanya diberi peluang untuk menghadiri mesyuarat berkenaan menerusi jemputan.

"Mereka yang dilantik oleh saya iaitu Senator Heng Seai Kie dan Tan Cheng Liang kini adalah anggota (Majlis Presiden) yang dilantik, dan saya sebagai Ketua Wanita parti yang dipilih melalui pemilihan parti oleh semua anggota wanita, tidak boleh memainkan peranan yang diharapkan oleh Wanita MCA," katanya.

Beliau berkata adalah amat penting untuk mengadakan pemilihan baru bagi MCA kerana ia dapat memulihkan keadaan dan dapat mewujudkan masa depan cerah bagi parti komponen Barisan Nasional (BN) itu. - Bernama

MalaysiaKini/-

Tiada ulasan: