12 November 2009

Ketua Pemuda PAS Shah Alam nafi hadapi tekanan

Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam, Ahmad Sayuti Bashiron hari ini menafikan laporan bahawa dia telah meletak jawatan ekoran tekanan daripada parti itu.

Antara lain, didakwa bahawa tekanan itu berhubung tindakannya merakam ucapan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali, yang sedang disiasat oleh lembaga disiplin PAS.

Menurut Ahmad Sayuti, beliau tidak menerima sebarang tekanan atau pertanyaan mengenai rakaman tersebut.

Katanya, beliau tidak melepaskan jawatan ketua dewan Pemuda, tetapi melepaskan semua jawatan lain di peringkat negeri kerana isterinya melanjutkan pelajaran ke Australia.

Beliau berkata, timbalannya akan memangku jawatan tersebut bagi pihaknya.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan melepaskan jawatan ketua dewan Pemuda sekiranya berada di seberang lain lebih daripada dua tahun.

Ahmad Sayuti mendakwa, laporan-laporan mengenai perkara itu untuk menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa laporan-laporan itu muncul ekoran serangan yang diketuai Umno untuk memenangi semula Selangor.

Umno, dakwanya, cuba menjejaskan kedudukan parti itu dan kerajaan Selangor dengan banyak cara, bermula dengan isu hiburan, pengharaman alkohol, protes kepala lembu, ancaman terhadap wakil rakyat pembangkang, isu permit khutbah dan sebagainya.

MalaysiaKini/-

Tiada ulasan: