15 Disember 2009

BN dicabar supaya benarkan Program Ceramah PAS dan PR

Email : khairul azman sakri

LENGGONG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) dicabar supaya membenarkan program-program ceramah Pas dan Pakatan Rakyat (PR) diadakan di bangunan-bangunan milik kerajaan seperti dewan serbaguna, dewan merdeka dan dewan orang ramai.

Setiausaha Dewan Pemuda Pas (DPP) Perak, Raja Dr Ahmad Iskandar Al-Hiss, berkata bangunan-bangunan yang dibina oleh kerajaan dengan wang rakyat itu sewajarnya boleh digunakan oleh semua pihak sama ada oleh parti pembangkang atau parti kerajaan.

Katanya, semasa Perak diperintah PR, semua pihak dibenarkan menggunakan bangunan-bangunan berkenaan, sama ada pihak-pihak daripada parti kerajaan atau pembangkang.

"Sepatutnya kita tidak berceramah di rumah orang sepertimana malam ini, di mana orang ramai terpaksa duduk di kawasan lapang untuk mendengar ceramah.

"Dulu semasa PR memerintah kita tidak sekat siapa pun yang hendak menggunakan dewan, tapi bila BN/Umno rampas kuasa di Perak, mereka sekat kita daripada menggunakan dewan untuk berceramah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berceramah bersama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu dan Yang Dipertua Pas Lenggong, Razman Zakaria di pekarangan sebuah rumah ahli Pas di Kampung Banggol Belimbing dekat sini baru-baru ini.

Raja Dr Ahmad Iskandar berkata, semasa beliau belajar di England selama lima tahun, beliau tidak pernah melihat ada pemimpin pembangkang berceramah di rumah orang sepertimana di negara ini.

Katanya, suasana seperti itu adalah kerana mereka menggunakan sepenuhnya peraturan-peraturan dalam sistem demokrasi, di mana antaranya ialah siapa saja di kalangan rakyat boleh menggunakan hak kerajaan tanpa ada sekatan.

Kita di Malaysia, katanya seolah-olah mengamalkan sistem rimba, di mana siapa berkuasa dialah yang mengawal semua hak kerajaan dengan menyekat pihak-pihak lain daripada memanfaatkannya.

"Contoh yang amat ketara ialah kebebasan media massa seperti akhbar dan televisyen, di mana semuanya dikawal parti yang memerintah, manakala pemimpin-pemimpin pembangkang seolah-olah tidak ada hak langsung.

"Sukar sekali kita hendak lihat wajah pemimpin-pemimpin pembangkang keluar tv kecuali apabila timbul isu-isu negatif," katanya.

Menyentuh mengenai kemelut demi kemelut yang berlaku di dalam BN, katanya Umno sebuah parti yang sudah terlalu tua, tidak mampu lagi untuk memulihkan segala kemelut itu termasuk krisis dalam MCA dan MIC.

Katanya, dalam usia yang sudah hampir 60 tahun, Umno masih mendabik dada mengatakan dialah parti yang terbaik di dunia, sedangkan dia kini terpaksa bergantung kepada parti-parti lain dalam komponen BN.

Raja Dr Ahmad Iskandar turut menarik perhatian lebih 2000 hadirin supaya semua jentera pilihan raya Pas di semua peringkat seluruh Perak sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bila-bila masa.

Katanya, Pas dan PR mesti bersedia pada bila-bila masa saja dan PR dijangka akan mengambil alih semula kerajaan negeri Perak daripada BN selepas pilihan raya DUN atau pilihan raya umum akan datang.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pada lojiknya ceramah politik pas/pr
mengapa minta kebenaran umno/bn
mestilah mintak dengan SPR....

apo nak dikato