20 Disember 2009

Dahulukan yang disepakati, jangan lihat perbezaan

3 Muharram 1431
Harakahdaily

SHAH ALAM, 19 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru semua pemimpin, ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan melihat perbezaan antara mereka tetapi mendahulukan apa yang telah disepakati bersama.

Bagi beliau, perpecahan yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) sekarang perlu menjadi iktibar kepada mereka.

"Perpecahan dalam tiap-tiap satu parti BN yang sedang memerintah sepatutnya menjadi iktibar kepada Pakatan Rakyat, dan kita sendiri mestilah menunjukkan perpaduan walaupun berbeza pendapat dalam beberapa perkara.

"Dahulukan perkara yang disepakati dan mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza," katanya dalam ucapan perdana semasa konvensyen pertama Pakatan Rakyat hari ini.

Lebih 1,500 pemimpin serta ahli PAS, PKR dan DAP memenuhi Auditorium MBSA bagi menyertai konvensyen itu.

Sebelum Abdul Hadi, Datuk Seri Anwar dan Lim Guan Eng memberikan ucapan perdana masing-masing.

"Alhamdulillah kita bersama-sama tinggal dalam negara Malaysia yang dibentuk di atasnya masyarakat majmuk, di mana semua kaum besar di Asia berada di sini.

"Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada sehingga kita tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang , bukan penduduk asal, kerana kita semua tidak berasa asing disini, bahkan bila kita bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara," katanya.

Menurut beliau, PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama, kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu.

"Walau pun selepas itu adanya penganut agama yang melantik tuhan-tuhan yang banyak yang sangat bercanggah dengan Islam, tetapi semuanya mengaku kepada Tuhan yang satu sahaja iaitu pencipta alam yang Maha Berkuasa, maka di atas perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan," katanya.

Katanya, Islam menganggap semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama, semuanya berlaku kemudian.

"Semua perbezaan itu terbentuk selepas proses masa yang panjang , Islam menjadikan perbezaan itu tanda kebesaran Allah," katanya dengan disambut berselang seli dengan tepukan dan teriakan takbir Allahu Akbar.

Tiada ulasan: