20 Disember 2009

Pakatan Rakyat tekad makmurkan negara

3 Muharram 1431
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 19 Dis: Kesungguhan Pakatan Rakyat (PR) terserlah bilamana berjaya mengungkapkan keazaman memakmurkan bumi negara ini dengan melaksanakan kebenaran dan memberikan hak kepada mereka yang berhak.

Pengulas ucaptama, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inilah kesepakatan yang telah dicapai bersama untuk diketengahkan kepada masyarakat dan rakyat dalam negara ini.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, perkara ini telah lama disebutkan di dalam kitab suci Al-Quran yang kini menjadi dasar persetujuan bersama antara komponen semua parti dalam PR.

Antara maksud ayat yang dibacakannya adalah "Apabila kamu menghukum di antara manusia hendaklah lakukannya dengan adil."

Beliau berhujah demikian ketika mengulas dasar yang diketengahkan oleh pimpinan PR dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Auditorium MBSA, dekat sini, hari ini.

Kehadiran ribuan peserta melibatkan 500 orang dari setiap parti dan orang ramai berminat dari seluruh pelusuk negara telah menyemarakkan lagi semangat PR pada hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, selama BN memerintah negara, mereka telah mengkesampingkan perkara utama ini menjadikan rakyat seluruhnya merasai kezaliman BN dalam berbagai perkara.

Sehinggalah, mereka melakukan satu bentuk perubahan di dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 lalu di mana tumbang lima kerajaan negeri kepada PR dengan penambahan jumlah kerusi di Parlimen.

"Saya yakin perubahan ini akan mampu dilakukan dengan lebih baik jika bentuk pengurusan parti masing-masing dapat dipertingkatkan dalam semua pilihan raya sebelum ini termasuk yang ke 13 akan datang.

"Sebarang bentuk permintaan hendaklah berdasarkan kekuatan parti, benyaknya cawangan, ahli dan petugas," tegasnya.

Tiada ulasan: