20 Disember 2009

Siapa sebenarnya agen Yahudi?

2 Muharram 1431H
Haris Zalkapli

Umno kini dikemukakan dalam sesetengah blog dan media propembangkang sebagai mempunyai hubungan dengan "Yahudi." Apa yang ditulis dan cuba diterangkan sebenarnya tidak jelas dan sangat superfisial, kerana tiada siapa yang dapat menunjukkan dengan terperinci bagaimana hubungan itu memberi kesan kepada dasar dan tindakan Umno dan Barisan Nasional.

Secara mudah, yang penting dalam mesej itu ialah mengaitkan Umno dengan Yahudi, memainkan sentimen naif dan tersasar sebahagian pembaca dan pengikut pembangkang yang bencikan Umno.

Ekoran tulisan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak memanggil pulang wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria kerana mengundi menentang resolusi berhubung kawalan nuklear terhadap Iran, Malaysia dan perdana menteri mendapat kritikan banyak pihak.

Tindakan itu, yang menempatkan Malaysia bersama Cuba dan Venezuela itu telah mengejutkan kerajaan Malaysia kerana tidak selari dengan sikap Malaysia, yang seperti biasa tidak menunjukkan penentangan terhadap kuasa-kuasa besar.

Bagi sesetengah pihak, insiden ini dijadikan hujah menjelaskan pentadbiran Najib sebenarnya rapat dengan AS, walaupun Umno begitu keras dengan kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan "agen Amerika Syarikat/Yahudi."

Hakikatnya, "Yahudi" seperti dikemukakan oleh banyak pihak dalam debat politik di negara kita tidak menjelaskan banyak perkara dan mungkin juga memberikan satu gambaran yang salah.

Banyak organisasi dan kumpulan masyarakat sivil dikuasai Yahudi (dan bukan mengikut maksud yang difahami oleh orang ramai), dengan matlamat yang berbeza-beza. Kumpulan ini mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin politik Malaysia.



Hubungan baik pentadbiran Najib dengan Barat dan "Yahudi" juga tidak secara automatik bermakna parti-parti lain anti-Barat dan tidak mempunyai hubungan dengan "Yahudi."

Gambaran-gambaran seperti "Barat," "dikuasai Yahudi" dan sebagainya hanya memperbodohkan lagi rakyat Malaysia yang mengikuti wacana politik di media, terutama yang menelan segala yang dikemukakan oleh media yang mereka percaya sebagai ayat-ayat suci.

Hal yang sama melibatkan istilah "Barat." Kritikan Mahathir tidak bermakna pentadbiran beliau dulu tidak sehaluan dengan Barat, terutama AS, kerana Mahathir sendiri mencapai satu perjanjian ketenteraan dengan AS semasa pentadbirannya.

Dasar luar ialah satu ruang politik yang pragmatik yang sentiasa mempunyai hubungan dengan politik dalaman. Dasar luar mudah digunakan untuk keperluan politik dalaman, dan mudah juga ditutup daripada audiens dalam negara.

Contohnya, ucapan-ucapan pemimpin negara di PBB memberikan impak yang kecil di sana, tetapi dikemukakan dengan gah kepada audiens dalam negara untuk keperluan politik dalaman.

Parti-parti politik Malaysia juga mengendalikan pelbagai isu global, contohnya Palestin, berdasarkan keperluan masing-masing. Ada parti yang menunjukkan kesungguhan dan ada yang mengabaikan isu tersebut.

Kuala Lumpur, semasa di bawah pentadbiran Mahathir, menyokong usaha AS menyerang Iraq melalui persetujuan Majlis Keselamatan PBB, walaupun pada masa sama mengambil sikap kritikal kepada AS.

Tidak ada yang mudah dalam hubungan antara negara, disebabkan kepentingan-kepentingan lain yang berkait. Malaysia tidak akan mengambil sikap yang bertentangan dengan AS, tetapi pada masa sama berbangga dengan kedudukannya sebagai anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Kedudukan Malaysia dalam NAM dan OIC tidak secara automatik menjadikan sikap Malaysia sentiasa sehaluan dengan semangat dua organisasi ini. Beberapa minggu lalu, perdana menteri sendiri mengeluarkan kenyataan pendek menyokong Arab Saudi dalam tindakan ketenteraannya ke atas sebuah kumpulan di utara Yaman.

Kenyataan itu tidak mengandungi saranan usaha damai tetapi hanya menunjukkan sokongan penuh kepada Arab Saudi.

Satu tindakan atau kenyataan - atau tulisan di blog - tidak memberikan gambaran sebenar tentang dasar sesebuah kerajaan. Setakat ini, hubungan kerajaan Malaysia - sama ada di bawah Mahathir atau Najib - berada pada tahap yang rapat dengan AS, dan tidak kelihatan beza yang besar melibatkan kerajaan pada masa ini dengan pentadbiran-pentadbiran sebelumnya.

Yang pasti ialah dasar luar kekal sebagai satu ruang politik yang mempunyai hubungan jelas dengan politik dalaman, dan akan sentiasa berdepan manipulasi untuk kepentingan politik tertentu.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: