13 Januari 2010

Pinggan Mangkuk Muslim Memaparkan Kebudayaannya

25 Muharram 1431

Konsep pinggan mangkuk tergolong dalam alat untuk minum, makan dan alat untuk mengisi kandungan sudah terdapat dalam budaya Yangshao pada zaman Batu Baru di kawasan pengaliran Sungai Kuning di China. Ini memperlihatkan betapa pentingnya pinggan mangkuk dalam kebudayaan makanan.

Baru-baru ini, wartawan kami membuat liputan ke Kilang Tembikar Muslim Bulan Sabit Tangshan, provinsi Hebei di China. Sewaktu masuk ke kilang tersebut, kita boleh melihat halaman kilang tersebut hampir dipenuhi dengan pelbagai tembikar yang berwarna-warni. Corak pada muka tembikar tersebut terdapat tulisan khat Arab dan lukisan yang dipenuhi keistimewaan budaya Islam.

Kilang yang hanya mempunyai 9 orang petugas itu telah dibuka oleh Haji Hong Guifu, berusia 74 tahun. Beliau seorang Muslim yang taat kepada ajaran agama. Walaupun sudah bersara dari sebuah sekolah, namun beliau masih sibuk dengan urus niaganya untuk menghasilkan dan menjual tembikar.


Haji Hong Guifu

Haji Hong Guifu sudah menunaikan fardu haji pada tahun 2008. Beliau sangat mesra dan bersedia menceritakan hal mengenai kilangnya kepada wartawan. Menurut Haji Hong Guifu, beliau mula berfikir untuk membuka sebuah kilang menghasilkan pinggan mangkuk yang bercirikan Islam pada tahun 1989. Ilham tersebut timbul kerana keninginannya menonjolkan keistimawaan budaya makanan halal orang Islam. Tambahan pula terdapat 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Mereka mempunyai adat resam tersendiri namun tetap mengikut ajaran Islam yang sama. Beliau berhasrat untuk menggabungkan semua keistimewaan etnik-etnik yang beragama Islam itu dalam reka bentuk pinggan mangkuk tembikar.



Dengan demikian, beliau membuka Kilang Tembikar Muslim Bulan Sabit Tangshan. Pada mulanya, beliau cuba menulis tulisan khat Arab dan melukis pemandangan atau corak-corak lain di muka pinggan mangkuk tembikar yang dihasilkannya. Beliau bersungguh-sungguh untuk menghasilkan pinggan mangkuk tembikar Muslim dan benar-benar mahu melihat tembikar yang dihasilkannya mendapat sambutan. Malangnya apa yang berlaku sangat mengecewakan beliau. Apabila beliau tiba Beijing dengan membawa pinggan mangkuk untuk mencari peluang kerjasama dengan sebuah kedai yang khusus menjual barang keperluan orang Islam, tuan kedai itu bersikap dingin terhadap beliau.

Biarpun berasa amat kecewa, namun Haji Hong Guifu tidak putus asa. Beliau terus berazam mencari pasaran untuk tembikarnya. Pada pandangan beliau, pinggan mangkuk yang dihasilkannya itu bukan sahaja pinggan mangkuk yang sama seperti pinggan mangkuk biasa, malah ia mengandungi unsur kebudayaan. Ini sewajarnya akan diterima oleh pengguna pada suatu hari nanti. CRI/-


Tiada ulasan: