11 Januari 2010

Sangka baik pada Tuhan

24 Muharram 1431H

Kejadian membakar gereja oleh puak pelampau 8 Januari lalu menimbulkan seribu satu persoalan di minda kita yang lemah ini. Emosi kita juga terganggu kerana kita sudah tidak dapat membayangkan adakah perkara yang lebih teruk daripada serangan terhadap gereja-gereja akan berlaku di bumi Malaysia yang aman ini.

Sebenarnya saya tidak tahu apa yang hendak dituliskan dalam artikel ini. Secara spontan juga saya mula menulis dengan Bahasa Melayu walaupun kebiasaannya saya lebih suka menulis dalam Bahasa Inggeris. Saya menulis kerana saya merasa sedih kerana sekali lagi nama baik agama Islam yang saya kenali sebagai agama yang selalu mempromosian keamanan dan kedamaian telah dikaitkan dengan perkataan “pengganas”.

Bukan itu sahaja keperitan emosi saya, hati saya turut menangis kerana nama baik negara Malaysia yang terkenal dengan keistimewaan menjaga keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama dicemarkan dengan teruk akibat perbuatan menyerang gereja oleh sekumpulan syaitan yang tidak faham ajaran agama mereka.

Saya teramat keliru mengapa keganasan sebegitu rupa boleh berlaku di negara kita atas satu isu nama Tuhan. Saya tertanya-tanya dan tersipu-sipu mencari jawapan; adakah ajaran agama dimiliki Tuhan, atau Tuhan ini dimiliki ajaran agama? Setahu saya, Tuhan ini maha berkuasa dan memiliki segala benda-Nya di alam semesta ini. Maka sepatutnya agama ini dimiliki Tuhan, dan tugas manusia sebagai penganut ialah untuk menurut segala perintah ajaran agama dan menjaga tingkah laku demi menjaga nama baik agama.

Entah, sejak bila pula agama dan nama Tuhan menjadi permainan milik-memiliki manusia. Ataupun sememangnya dipatutkan sebegitu, segala benda yang diciptakanNya di alam semesta ini perlu direbut manusia? Akan tetapi, manusia nak merebut semua benda ini pasal apa, pasal nak bawa benda yang direbut ini ke neraka? Boleh ke? Sepatutnya manusia ini harus sentiasa beringat bahawa besok kita mungkin akan mati, dan bukannya menganggap kita ini akan hidup selama-lamanya.

Entahlah juga apa perasaan Tuhan sekarang? Bayangkan bagaimana lukanya perasaan seorang guru yang sangat disayangi dan dihormati apabila pengajarannya dihina gara-gara tindakan beberapa muridnya bertindak di luar ajaran yang diajarnya….. Mengapa manusia yang dianugerahkan otak ini sering menyakitkan hati penciptaNya? Mengapa? Mengapa?

Saya mungkin tak akan jumpa jawapan kepada persoalan-persoalan di atas. Walaupun pada malam 8hb Januari, saya terasa dunia ini teramat gelap bagaikan tiada penghujungnya, namun Tuhan tetap menerbitkan matahari dari sebelah Timur pada sebelah subuh hari keesokkan. Saya amat bersyukur setiap kali melihat matahari yang terbit kerana saya berpendapat Tuhan masih memberikan hari yang baru untuk kita untuk membetulkan pemikiran dan tingkah laku kita untuk menjadi seorang yang lebih baik daripada semalam. Melihat keindahan matahari yang terbit ini, saya merasakan Tuhan sedang memberikan harapan dan masa untuk menyelamatkan keadaan negara kita.

Mungkin kejadian keganasan ini akan menyedarkan rakyat untuk menghayati betapa tidak ternilai harganya keamanan yang kita nikmati sebelum ini jika dibandingkan dengan ketakutan dan kebimbangan yang kita alami sekarang.

Mungkin juga perkara ini akan menyedarkan ahli-ahli politik dan media arus perdana yang merasakan mereka mempunyai kuasa untuk bermain dengan emosi segelintir rakyat; bahawasanya emosi itu bagaikan api, tiada manusia yang mampu mengawal api apabilanya sudah menjadi liar dan besar.

Mungkin juga perkara ini akan menjadikan titik mula untuk menyedarkan rakyat Sabah dan Sarawak untuk menuntut perubahan bersama rakyat Semenanjung Malaysia demi masa depan negara yang lebih baik.

Mungkin juga perkara ini akan menjadikan rakyat lebih matang dalam menghadapi provokasi yang lebih mengancam pada masa depan.

Mungkin juga perkara ini menyebabkan rakyat mula mempersoalkan sampai bila kita harus berlagak bodoh, dianggap bodoh dan diperlakukan sebagai orang bodoh dan dijadikan alat untuk mengekalkan kuasa beberapa orang berkepentingan?

Mungkin juga perkara ini dapat mengingatkan rakyat bahawa rakyat mempunyai kuasanya tersendiri yang amat digeruni parti-parti politik dan rakyat harus bijak menggunakan kuasanya sebaik mungkin dari sekarang untuk menjaga kepentingan negara.

Entahlah, terlalu banyak kemungkinan yang saya fikirkan namun apa jua berlaku, saya kena sangka baik pada Tuhan.

Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa Tuhan akan memberikan yang sebaiknya kepada Malaysia.

Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa mereka yang cuba menganiaya orang tidak berdosa dan memecahbelahkan rakyat akan dibalas jahat.

Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa rakyat Malaysia akan lebih berpadu dan bersatu selepas keganasan ini demi keamanan dan keselamatan negara.

Saya harus sangka baik pada Tuhan bahawa mereka yang tidak faham agama akan diberi pedoman dan cahaya pengetahuan untuk membuka minda mereka supaya mereka boleh kembali ke jalan yang betul.

Saya harus percaya ada tujuannya perkara ini berlaku kerana Tuhan adalah maha adil, maha mengetahui dan maha Esa.

Everything happens for a reason. Segala yang terjadi ada hikmahnya. Kita harus sangka baik pada Tuhan. Bersabarlah wahai rakyat Malaysia yang faham agama.

P.S: Kepada pembaca Muslimin dan Muslimat sekalian, sekiranya artikel ini sesuai dari segi akidah untuk digantikan perkataan Tuhan dengan Allah, dipersilakan untuk menukarnya. Di sini juga saya ingin mengesyorkan satu artikel yang saya rasa cukup bagus untuk dihayati bersama. Artikel di bawah ditulis oleh Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin.

Kalimah Allah: Tinggalkan Emosi, Tingkatkan Ilmu. http://bit.ly/5gY4ZU

--------------------------------------
Li Fook Gao @ Tohkong Mosjid.

Harakahdaily.net/-

1 ulasan:

Muhammad berkata...

Assalamu Ala man Ittaba'a' al-huda

Saya setuju dengan pendapat encik, Setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Setiap perkara adalah ujian daripada Allah swt kepada kita untuk kita belajar dan melaksanakan perkara-perkara yang terbaik dari apa yang kita pelajari.

Mungkin selama ini, kita tidak begitu mengenal masalah kalimah Allah ini, tetapi sekarang kita sudah tahu, Al-Hamdulillah. Mungkin selama ini kita tidak tahu bagaimanakah cara menjaga Hati dan perasaan Allah, sekarang mungkin kebanyakan kita sudah tahu.

Mungkin selama ini Sesuatu pihak (luar negara) iri hati terhadap kehormonian Malaysia, sekarang inipun mereka masih iri hati, lalu dengan cara licik, mereka telah mengupah penagih-penagih dadah untuk mengebom gereja-gereja.

Mungkin selama ini ada pihak-pihak (luar Negara) yang mahu Malaysia menjadi seperti Afghan dan Pakistan. lalu merekapun cuba membuat beberapa perancangan agar Malaysia di lebel sebagai negara pelindung Terrorist. Namun Al-Hamdulillah dengan bantuan Allah swt jua, hasrat negar luar itu belum tercapai, dan mudah-mudahan tidak akan tercapai. Kerana kita berbaik sangka dan bertawakkal kepada Allah swt. Bahkan berusaha dengan cara yang sebaik-baiknya.

Terima kasih kerana menyiarkan ulasan ini. Ala kulli Hal, tuan-tuan dengan hormat dijemput melayari:

http://surah-al-kahfi.blogspot.com/

dan

http://rahsia-rahsiabesardalamal-quran.blogspot.com/