11 Februari 2010

Zunar lancar majalah kartun terbaru

26 Safar 1431H
Mohd Sabri Said

SEBERANG JAYA, 9 Feb: Kartunis terkenal tanahair, Zunar melancarkan majalah terbarunya 'Isu Dalam Kartun' setebal 84 mukasurat sempena majlis penutupan Karnival Penang Harmoni di tapak ekspo di sini, kelmarin.

Majalah yang memaparkan dua cerita satira utama iaitu 'Sumpah di Bumi Komisen' dan 'Dari PD ke Monggoria' dijual dengan harga RM10 di Semenanjung manakala RM12 untuk Sabah dan Sarawak.

Berbagai isu dipaparkan dalam keluaran bulan Februari kali ini terutamanya isu membabitkan kes pembicaraan wanita bernama Ayu Lia yang mati dibunuh kejam, kehilangan enjin jet, penggunaan nama Allah, rasuah, tol dan sebagainya.

Antara watak utama lain ialah Tok Komis dan Nek Karun yang memerintah Negeri Antah Berantah merupakan dua nama yang sinonim sekarang kerana masing-masing mempunyai kesalahan tersendiri.

Sumpah Di Bumi Komisen juga menceritakan Tok Komis dan Ayu Lia seorang gadis berasal dari Ular Batok ke Paris serta bersama ke pameran kapal selam dan menjanjikan komisen sekiranya pembelian kelengkapan tentera itu berjaya dibuat.

Bukan itu sahaja, malah Zunar turut menceritakan detik-detik Ayu Lia datang ke Malaysia menuntut komisen sehinggalah dicekup oleh dua orang bertopeng ke satu lokasi untuk dibunuh.

Turut disiar dalam isu dalam majalah itu ialah Bakat Konco Baru, BTN, Sarjan Kamis dan Mertua, ragam Datuk Nazak, Geng Bawah Pokok, PM Oh RM, Nostalgia 98, Dari PD ke Monggoria, Warung Pak Emjal, Kutu Jebon, Kisah 2 Tun dan banyak lagi.

Zunar ketika berucap dalam majlis memperkenalkan majalah tersebut berkata, keluaran isu dalam kartun sungguh merumitkan sehinggakan syarikat yang bertanggungjawab mencetak diganggu oleh pihak yang tidak senang dengan usaha menerbitnya.

“Mereka boleh merampas buku saya, mereka boleh merampas majalah saya tetapi mereka tidak akan boleh merampas otak saya,” ujarnya.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: