14 Mac 2010

"Unsur China" di Pameran Buku di Kaherah


Pameran Buku Antarabangsa Kaherah ke-42 ditutup baru-baru ini. Buku dan majalah China telah menarik perhatian para pembaca warga Arab dan syarikat penerbitan di pameran tersebut.

Pameran Buku Antarabangsa Kaherah yang mula diadakan pada tahun 1969 merupakan ekspo buku yang paling besar skopnya dan bersejarah paling lama di dunia Arab.

Pameran kali ini dirasmikan pada 28 Januari dan berlangsung selama lebih setengah bulan. Ia menarik kira-kira 800 syarikat penerbitan dari 31 buah negara dan kawasan. "China Hari Ini" edisi bahasa Arab merupakan satu-satunya majalah yang menyertai pameran ini telah menarik perhatian para peserta.

Ketua Jabatan Syarikat Penerbitan Majalah China Cawangan Asia Barat, Encik Luo Yuanjun berkata, "China Hari Ini" memperkenalkan sosial, ekonomi dan budaya China kepada negara-negara di dunia. "China Hari Ini" dalam edisi bahasa Arab ini memberikan gambaran secara langsung kerana ia menjadi saluran yang lebih mudah bagi warga Arab untuk mengenali kemajuan China."

"China Hari Ini" dalam bahasa Arab yang sudah dterbitkan selama lebih 20 tahun mempunyai ramai pembaca setia. Dalam pameran tersebut, gerai China telah menarik perhatian para pelancong dan menerima kedatangan beberapa ribu orang pada setiap hari.

Selain "China Hari Ini", terdapat juga buku-buku dalam bahasa Arab yang memperkenalkan keadaan China dalam bidang politik, ekonomi dan budaya serta buku untuk belajar bahasa Mandarin. Buku-buku tersebut turut mendapat sambutan oleh para pembaca. Kakitangan gerai China, Puan Sally memberitahu wartawan bahawa "Rakyat Mesir berharap untuk mengenali budaya China, tetapi kedudukan China agak jauh daripada Mesir. Oleh itu, mereka berharap mengenali China melalui pembacaan. Buku dan majalah China amat menarik perhatian mereka. Mereka boleh mengenali China dalam pelbagai bidang seperti budaya, agama, sosial dan lain-lain. Selain pembaca dari Mesir sendiri, pembaca dari Arab Saudi, Yaman, Libya dan Qatar turut memberikan pandangan dan membeli buku dan majalah kami."

Encik Abdul Halim merupakan seorang guru sekolah menengah tempatan. Beliau memberitahu wartawan, katanya, "Saya sangat kagum melihat gerai pameran China dalam pameran buku di Mesir ini. Pembangunan China dalam tempoh 10 tahun lalu terutamanya dalam bidang industri telah menarik perhatian antarabangsa. Pelajar-pelajar saya kini gemar belajar bahasa Mandarin. Warga Mesir ingin mengenali pengalaman China. Oleh itu, buku-buku mengenai proses pembangunan China sangat dialu-alukan oleh pembaca Mesir." CRI/-

Tiada ulasan: