23 Mei 2010

Bebaskan diri anda daripada tipuan

8 Jamadil Akhir 1431H.
Ahmad Baei Jaafar

Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Maha Suci Allah daripada sikap manusia yang berkepentingan, Maha Suci Allah daripada kejahilan pengikut yang taasub, Maha Suci Allah daripada ummat yang syirik secara sedar. Ya Allah aku berlindung di sisi-Mu daripada ummat yang sesat atas kebodohan mereka sendiri.

Belumpun seminggu ustaz Ashaari Mohammad meninggal dunia, pelbagai cerita dalaman yang boleh kita dengar. Ada yang dapat dihidu oleh bekas pengikutnya dan banyak lagi yang terus disembunyikan demi muslihat tertentu. Walau apapun semuanya adalah terkandung dalam agenda yang tersembunyi golongan tertentu.

Bagi bekas pengikut ustaz Ashaari, pengikut al-Arqam (bukan rufaqa dan global ikhwan), apa saja dakwaan yang didengari dari sana tidaklah pelik. Malah mereka sudah dapat menyangkakan apa yang akan terjadi selepas Ashaari meninggal dunia. Oleh sebab itu mereka tidak terkejut dengan dakwaan Khatijah Aam yang mengesahkan bahawa Ustaz Ashaari tidak mati, tetapi ghaib seperti ghaibnya Syeikh Suhaimi dan dia akan kembali sedikit masa lagi sementara anak-anak buah 'ikhwan' melakukan mujahadatunafsi.

Hakikatnya semua dakwaan itu melambangkan betapa mereka terlalu sayang dan cinta kepada pemimpin mereka sekali gus meletakkannya sebagai penyelamat ummah. Sebenarnya peristiwa seperti ini pernah berlaku dalam sejarah silam. Bukankah apabila Rasulullah disahkan wafat, orang pertama yang menolak berita kewafatan itu ialah Umar al-Khattab. Dia tidak boleh terima Rasulullah boleh mati dan tidak sanggup melihat Rasulullah dikebumikan seperti orang lain dikebumikan.

Mujurlah ketika itu datang Abu Bakar as-Siddiq, dia dengan tegas berkata, "Barang siapa menyembah Muhammad, maka Muhammad sekarang telah wafat, dan barang siapa menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah kekal, hidup, dan tidak akan mati."

Dengan penegasan itu Umar dan orang yang seumpama dengannya mula tersedar daripada lamunan taasub, lalu menerima hakikat kewafatan Rasulullah. Tidak ada yang murtad dengan peristiwa itu kerana kepantasan dan ketegasan Abu Bakar dalam tindakan.

Tetapi peristiwa seperti ini kemudiannya turut berlaku dalam kalangan pengikut Syiah iaitu apabila seorang pemimpin mereka dikatakan ghaib dan akan muncul sebagai iman Mahdi kelak. Oleh sebab tidak ada watak Abu Bakar ketika itu, maka pengikut syiah terus tersesat dengan keyakinan itu.

Begitu juga yang pernah berlaku kepada Syeikh Suhaimi, mengikutnya mendakwanya dia juga ghaib bukan mati. Mujur anaknya, Taha Suhaimi juga seorang alim, dia tidak taasub dengan berita itu. Tetapi apa yang berlaku kepada ustaz Ashaari, kematiannya dinafikan oleh isterinya (orang lain saya tidak dengar pula ceritanya), kononnya ghaib dan akan kembali semula. Sayang waktu ini tidak ada watak Abu Bakar lagi. Maka apa yang didakwa oleh isteri Ashaari itu diterima sepenuhnya oleh pengikutnya.

Walaupun kemudiannya dakwaan itu dinafikan oleh menantunya, Loqman al-Hakim tetapi penafian itu masih kabur dan berbau taqiah. Loqman belum menyamai watak Abu Bakar malah lebih jauh untuk dibandingkan dengannya.

Saya dalam tulisan ini tidak berniat untuk memanjangkan kisah khurafat ini tetapi sekadar hendak mengingatkan kawan-kawan juga adik-adik saya yang masih ada iman di hati mereka. Ketahuilah, anda selama ini ditipu oleh orang yang berkepentingan. Yang pasti dia bukan ustaz Ashaari, tetapi saya percaya anda tahu siapa dia.

Bagi mereka yang masih tertutup pintu hati mungkin akan marah kepada saya, itu hak mereka, namun saya tetap doakan agar hidayah Allah sampai juga kepada mereka akhirnya. Namun saya yakin, mereka yang masih ada iman kepada Allah akan mampu mencelikkan hati masing-masing.

Kawan-kawan, sedarkah anda, kenapa anda masih kekal bersama Rufaqa dan kini Global Ikhwan? Saya yakin, anda di sini kerana telah digula-gulakan bahawa daulah akan berlaku di tangan Abuya. Anda termakan dengan janji-janji keramat yang anda yakin datang daripada Abuya. Walaupun Abuya sakit tidak boleh bercakap, anda yakin Abuya masih boleh memberi mesej kepada anda.

Selain itu, Ashaari yang tidak boleh bercakap kerana masalah geraham dan mulut itu didakwa direhatkan Allah daripada berkata-kata. Alasannya, sebelum ini dia sudah lama dan banyak bercakap memberi nasihat, maka sampai masanya dia berehat.

Anda semua percaya dakwaan itu kerana anda percaya kenyataan itu datang daripada Abuya sendiri walaupun anda tahu bahawa dia tidak boleh bercakap. Memang dia tidak boleh bercakap dengan baik tetapi didakwa boleh bercakap dengan orang tertentu atau setidak-tidaknya boleh difahami oleh orang tertentu. Malah orang tertentu itu boleh mentafsirkan yang tersirat daripada apa yang diucapkan olehnya. Anda semua percaya sebab anda yakin Abuya ada karamahnya.

Tahukah anda kenapa dakwaan itu boleh lahir daripada orang yang berkepentingan itu? Saya percaya malah anda juga percaya kalau ustaz Ashaari telah disahkan tidak boleh bercakap dan akan mati dan daulah tidak akan berlaku di tangannya, tidak siapa yang akan sanggup menghabiskan wang setiap bulan menyumbang kepada Ashaari dan keluarganya. Tidak akan ada orang yang mahu bersimpati menginfakkan hartanya untuk perjuangan Ashaari yang belum selesai itu. Tidak akan ada pengikutnya yang sanggup bekerja siang malam dengan syarikat-syarikatnya dengan hanya gaji yang sedikit.

Menyedari hakikat itu, maka pihak yang berkepentingan itu akan mencipta cerita-cerita baru yang kononnya datang daripada Abuya. Sebagai membuktikan dakwaannya, Abuya dibawa ke sana sini untuk berjumpa dengan pengikutnya seluruh Malaysia, malah ke Thailand. Bayangkan dalam keadaan sakit itu dia diusung ke sana ke sini semata-mata untuk memberitahu pengikut bahawa Ashaari masih relevan. Padahal hakikatnya adalah untuk mendapatkan simpati.

Saya percaya kalau ustaz Ashaari boleh bercakap dan berkuasa menepis sesuatu dakwaan, dia akan nafikan apa yang diberitahu oleh orang yang berkepentingan itu. Tetapi dia tidak mampu kerana ada kuasa lain yang mengatasinya. Bayangkan kalau semasa dia boleh bercakap pun ada pihak yang memonitor tutur katanya, apatah lagi sewaktu uzurnya.

Sebenarnya Allah sayangkan ustaz Ashaari, lalu pada 13 Mei, 2010 jam 2.10 petang rohnya diambil di sebuah hospital swasta di Ipoh. Allah tidak mahu dia terus diperalatkan oleh orang yang berkepentingan. Itupun ketika itu, semua pengikut setianya tidak diberitahu berita sebenar. Masing-masing apabila ditanya berkata, berita itu belum sahih sedangkan doktor telah membuat pengesahan.

Tahukah anda kenapa berita itu tidak diberitahu dengan segera? Mereka tahu, kalau pengikut tahu tentu mereka akan kecewa kerana daulah yang diharapkan tidak berlaku. Oleh sebab itu berita itu disembunyikan sementara mencari idea bagaimana untuk meyakinkan pengikut bahawa daulah akan tetap berlaku di tangan Abuya. Di sinilah timbulkan idea bahawa Abuya ghaib dan akan kembali semula setelah semua pengikutnya bertaubat.

Dengan dakwaan ini, pengikut akan kembali yakin dan akan terus memberi sumbangan kepada keluarga Ashaari. Pada masa yang sama pengikut akan bertaubat dan bekerja kuat untuk daulah dan terus menyumbang wang bulanan kepada keluarganya. Hakikatnya pengikut yang memberi gaji kepada mereka.

Inilah agenda sebenar golongan yang berkepentingan ini. Inilah agenda yang tersebunyi yang tidak pernah didedahkan kepada umum. Tetapi demi menyelamatkan iman pengikutnya yang ikhlas berjuang bersama Ashaari, saya doakan mereka agar kembali kepada kebenaran. Semoga ada pengikut Abuya sudi membaca kenyataan ini dengan hati yang terbuka.

Mengakhiri tulisan suka saya nyatakan bahawa orang yang berkepentingan ini memang berniat jahat terhadap Arwah, maka sebab itulah tidak digalakkan sebarang majlis tahlil dan Yasin atau menghadiahkan al-Fatihah kepada Arwah. Sedangkan orang yang mati, lazimnya dibacakan doa dan tahlil, apatah lagi gurunya, tentu wajar dibacakan tahlil dan Yasin oleh anak muridnya.

Saya doakan Ustaz Ashaari selamat di alam barzah dan damai di sana tanpa gangguan orang yang berkepentingan lagi. Pada masa yang sama, pengikut setia yang masih ada iman itu, diseru sekali lagi agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, semoga kita tidak lagi ditipu sepanjang hidup.
--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

Catatan : Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian blog Cina islam. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

13 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YANG PELIKNYA ADA YG BERKELULUSAN TINGGI TURUT MENYERTAI DAN MEMPERCAYAINYA. SAYA YANG TIADA KELULUSAN DAN HANYA TAHU BUKA DAN TUTUP KOMPUTER PUN SUKAR MEMPERCAYAINYA. TERIMA KASIH PENULIS ARTIKEL TERSEBUT.

Qaseh Bonda berkata...

Al Fatihah buat ustaz Ashaari

Apapun kehadiran golongan ini adalah lebih baik dari berkerajaankan kerajaan rasuah. Carlsberg jadi land mark terbesar dalam negara yang dikatakan dibawah kuasa pemimpin melayu berugama Islam.

Cuma ketaksuban para pengikut yang luar biasa ketaat setiaannya membuatkan kita tak yakin tetapi sekurang2nya adalah lebih baik dari jadi pengikut orang2 melayu yang senang diperkuda
secara membuta tuli tanpa pegangan kuat khususnya pegangan agama.

Melihat disebalik apa yang diajarkan oleh golongan ini mengingatkan kita bahawa dunia ini bukanlah untuk kita menjatuh hukuman.

Kuil2 dan gereja membina empayar cara mereka sendiri demi masa depan anak2 cucu mereka sedang ustaz Ashaari juga berjaya menggerak fahamannya dengan caranya tersendiri.

Memang benar, bila kasih sayang kita melimpah ruah, kita dapat rasakan yang seseorang itu tak pernah mati biarpun jasadnya telah lama bersemadi.

Bukan mudah untuk kita menghayati rasa cinta sebegitu kecuali kita temui cinta sejati.

Melihat persekitaran yang ujud dalam golongan ini, saya yang lemah lagi kerdil sentiasa merasakan ada keistimewaannya dengan cara mereka tersendiri.

Mereka tak membenci sesama sendiri, dalam diam membina kekayaan meluas,berpoligami tanpa rasa iri hati, memberi harapan pada anak2 terbiar dan banyak perkara kebaikan dalam diam yang mereka perjuangkan yang tak mampu sama sekali diikut oleh orang2 melayu seperti kita.

Yang menakutkan adalah jika sekiranya gerakan ini menyerang, membunuh dan memutarbelitkan ajaran agama.

Lihat saja apa yang berlaku dipersekitaran kita yang semakin menakut dan menggerunkan bila wang ringgit jadi guru yang nyata, sedang pengikut2 terbuai lena arus perdana.

akulajuki berkata...

Alfatihah buat Uztaz Ashaari

Yang pergi tetap pergi dan tak akan kembali lagi, apa yang tinggal hanyalah sekadar legasi buat yang masih hidup.

Saya amat bersetuju dengan komen "qaseh bonda" walaupun saya tidak pernah terlibat apalagi berminat dengan pertubuhan Al-Arqam, rufaqa dan global ikhwan.

Tanpa Nama berkata...

Qaseh bonda memberi pandangan berdasarkan penglihatannya dari luar. Betul, ada kebaikannya berbanding dengan kerajaan. tetapi apa yang dipaparkan dalam artikel ini merujuk kepada satu orang yang mencatur ke arah yang tidak betul. Artikel ini mahu menyedarkan ahlinya bahawa mereka selama ini ditipu oleh orang itu. Ashaari diperkudakan semahunya demi kepentingannya.

aliNA berkata...

pada saya ... hanya org yg dekat dgn Asaari sahaja yg berhak komen.. sbb mereka lebih tahu hal2 asaari... yg lain tu saya nampak komen lebih kepada dengar2 berita jer... betapa hebatnya pejuangan islam yg dibawaNya bertaraf dunia ni... Kalau nak dikira, Beliau memang patut luar biasa.. maklumla.. dia manusia biasa dan apalah jawatan yg ada.. namun dia menggegarkan dunia, dimana dunia islam disitu ada dia.. Tunjuk mana ulama dunia yg x kenal dia.. mana ketua negara islam yg x kenal dia?,, tunjuk pada saya..apa yg manusia lain lebih dari dia.. buktikan..??? sebut aje dari segi apa2 pun.. beliau lebih segalanya..

Unknown berkata...

Alina ni org dekat abuya sbb tu komen...
Kalu setakat terkenal...Obama lg terkenal...tpi kafir buat apa..Dah Jakim kata Aurat Muhammadiah pegangan Arqam, Rufaqa atau Ikhwan sesat...nak buat apa lgi...Sesatla...tak payah bangga ekonomi roti kicap sos...kalu sesat macam ayah pin aja..Nie semua sbb duit...kalu abuya mati tarakduitla...Kalu kata hidup jalan lg bantuan...anak bini bole survive lg...Talkin pon tak perlu baca...sebab abuya tak mati

Tanpa Nama berkata...

Lain macam jer bunyinyer si Alina ni.. tak perlu tunjuk apa-2. Yang bermanfaat kita ambik. Yang tak bermanfaat kita usah ikut. Pemimpin silih berganti, yang kekal itulah kita tetapkan taat. Muhammad S.A.W manusia teragung, apa ada manusia lain yang lebih daripadanya??

Tanpa Nama berkata...

Abuya membawa kasih sayang... bukan kah kasih sayang sifat TUHAN pada hambanya... bila kita membawa TUHAN tiada perbalahan dan pertembungan, kerana jalanya menuju ke atas.. melemparkan kata2 yang kesat lagi menyakitkan hati bukan ciri2 yg Abuya bawa.. mengadulah pada TUHAN, sesungguhnya TUHAN MAHA mendengar...

Tanpa Nama berkata...

tapi ekonomi dia org bagus....barangannye diguna tampa was-was.(100o/o buatan org islam) sekarang susah nak cari yg betul2 halal(syubhat adalah)apa pasal product mereka pun nak diharamkan??? tq

Tanpa Nama berkata...

Jaga-jaga, akan ada 73 aliran/kumpulan pada akhir zaman - hanya 1 golongan yang masuk syurga, fikir-fikir kita dalam golongan mana?

Tanpa Nama berkata...

Fahami baik2 artikel itu, dia tidak salahkan ustaz Ashaari dan ajarannya dan perjuangannya. Dakwaan isterinya itulah yang salah, yang dipersalahkan. Dialah orang yang berkepentingan itu, dia yang buat macam2 cerita supaya orang ramai tak lari daripada kumpulan itu.

ILHAM berkata...

Tanpa Nama berkata...

tapi ekonomi dia org bagus....barangannye diguna tampa was-was.(100o/o buatan org islam) sekarang susah nak cari yg betul2 halal(syubhat adalah)apa pasal product mereka pun nak diharamkan??? tq

Kalu sesat macam ayah pin...adakah produk mereka produk org islam?? produk org Melayu aja la...

Qaseh Bonda berkata...

Merujuk komen Alina suka saya mengupas sama isu dalam artikel ini.

Benar saya tidak kenal ustaz Ashaari tetapi saya terlebih dulu kenal ibu saya yang melahirkan...bagi saya semasa saya meniti dewasa hinggalah ke akhir hayatku nanti, ibu dan bapalah segala2nya bagi saya. Walaupun tak ada siapa yang mengajar saya kenapa kena taat dan hormat pada ibu bapa bagi saya semua perkara kita kena belajar dan memerhati.

Persekitaran mengajar saya...dan saya semakin takut untuk tidak berbuat baik pada ibu bapa...biarpun sejahat mana ibu bapa kita bagi saya bila kita dewasa tanggungjawab kita membetulkan putaran agar kesilapan tidak diwarisi dari generasi ke generasi.

Bila kasih sayang sudah melimpah ruah kita bersedia berkawan dengan siapa saja waima akan menawan sesiapa saja maupun dari bangsa asing dan dari pengikut manapun kita mampu menarik kasih sayang seperti magnet.

Saya sama sekali tidak menidakkan kehadiran pertubuhan ini bahkan amat mengalu2kan perkembangannya demi menguatkan semula keutuhan ukhwah yang semakin runtuh hasil dari kasih sayang yang rapuh.

Sekurang2nya ada jalan yang dibina khusus bagi mereka yang dahagakan kasih sayang.

Mereka yang terlerai kasih, yang hanyut, yang karam pendek kata bermulanya segala kemunkaran adalah hasil awal didikan ibu bapa...adakalanya tanpa kehadiran mereka.

Seumpama anak2 yang menangis kelaparan...

Bila ada yang sudi menumpahkan kasih lalu terbinalah jambatan yang teguh antara tangan yang memberi dan tangan yang menerima.

Saya bersetuju dengan tanpa nama yang abuya membawa kasih sayang.

Bagi saya yang lemah lagi kerdil ini tetap memuji dan menyanjungi kedua ibu bapa saya biarpun mereka bukan orang ternama...bukan pula alim ulamak...tidak kenal mana2 ulama tersohor dunia apatahlagi membina empayar kekayaan.

Tapi apa yang pasti tanpa ibu tak munkin saya dapat melihat matahari...tak munkin saya dapat membaca dan menulis seperti hari ini,tak munkin pula saya dapat membedakan antara kedudukan darjat manusia...ibu, bapa dan guru...tak munkin pula kita dapat bertemu mana2 guru.

Apatah lagi diusia tua ini semakin kita mendalami ilmu agama dan menghayati pesan2 nabi serasakan tidak puas berbakti walaupun ibu dan bapa telah lama pergi. Kehadiran mereka seperti sudah melekat dihati...ibu bapa wali keramat yang tak pernah mati biarpun jasad sudah lama bersemadi.

Menjadikan kita orang yang berani...tak takut tidak gentar Allah bersamaku.

Adalah menjadi tanggungjawab anak2 yang beriman dan beramal soleh berlumba2 mengumpul amalan apatah lagi amalan khusus bagaimana membawa ibu dan bapa kesyurga.

Selagi ada hayat beramal khusus pula untuk ibu dan bapa mertua ke syurga kerana tanpa mereka tak munkin anak2 hamba lahir kedunia.Bukankah taraf mertua setanding ibu dan bapa kita sendiri.

Saya berdoa pada Ilahi, dipanjangkan umur untuk terus berbakti pada yang saya cinta.

Mencari redha Allah adalah dengan terlebih dulu memperolehi redha ibu bapa.

Credit kita beri pada tuan punya Blog YB Idham. Saya kira YB lebih arif untuk mengupas isu kasih sayang.

Salam ukhwah dari saya.