21 Mei 2010

Inkues: Pornthip tak hadir, S'gor sedia sidang video

6 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Kerajaan Selangor telah membuat persediaan untuk membantu pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan secara langsung dari Bangkok dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.

"Kerajaan negeri telah membuat persediaan tersebut setelah mendapat kelulusan dari kementerian kehakiman Thailand yang membenarkan Dr Pornthip memberi keterangan melalui sidang video secara langsung," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu akhbar selepas mesyuarat exco hari ini.

Dr Pornthip tidak akan hadir untuk memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh esok.
Isnin lalu, katanya, peguam yang mewakil kerajaaan Selangor telah membuat permohonan kepada mahkamah koroner untuk mengadakan sidang video itu di dewan acara di I-City, Seksyen 7 Shah Alam esok.

Bagaimanapun, mahkamah koroner belum lagi memberi keputusan rasmi untuk membenarkan sidang video tersebut diadakan, tambahnya.
Kerajaan negeri, katanya, difahamkan bahawa mahkamah koroner hanya boleh membuat keputusan setelah mendapat maklum balas dari Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Azmi.

"Kami berharap pihak mahkamah dapat memberi keputusan positif bagi kepentingan semua pihak.
"Jika sidang video ini dapat diteruskan bukan sahaja Dr Pornthip dapat memberi
keterangan, malah isu keselamatan Dr Pornthip tidak perlu timbul lagi.

"Kerajaan Selangor berharap bantuan yang dibuat ini dapat melancarkan prosiding inkues bagi mencari kebenaran dan keadilan dalam kes kematian Teoh," tambahnya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Kuda Perang berkata...

Xyakin Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Azmi benarkan.. tp xmustahil dia benarkan...