14 Mei 2010

Pemuda PAS demo bantah konsert, lesen judi

28 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP) akan menganjurkan demontrasi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan bolasepak Piala dunia dan penganjuran konsert 12 jam yang membabitkan artis luar Pitbull.

Pemangku ketua Pemuda PAS WP, Herman Shamsudeen berkata, demonstari itu akan diadakan esok bertempat Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat.

Menurutnya, perhimpunan itu akan turut disertai oleh Setiausaha Pemuda PAS pusat, Kamaruzzaman Mohamad dan Exco Pemudanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Herman berkata, pihaknya tidak memohon permit kerana berhasrat berhimpun secara aman untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan itu.

Katanya, ia diadakan ekoran kegagalan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) untuk memberi reaksi terhadap bantahan yang dikemukakan oleh Pemuda PAS Pusat, yang dihantar dua minggu lalu.

Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa sebelum ini dilapor mendakwa penganjuran konsert panjang daripada jam 7 petang sehingga 7 pagi itu "telah melanggar garis panduan durasi persembahan sesebuah konsert" dan mendesak Puspal memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Malah akar umbi Umno turut dilaporkan membantah penganjuran konsert yang panjang sebegitu kerana "masih tidak dapat diterima oleh kebanyakan rakyat Malaysia".

Mengulas lanjut mengenai keputusan kerajaan mengeluarkan lesen judi sukan, Herman berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Pemuda PAS pusat bagi menentukan tindakan selanjutnya sama ada untuk menghantar memorandum bantahan atau berbincang terus dengan kerajaan.

Perbincangan dengan Pemuda PAS Pusat dijangka diadakan minggu depan, tambahnya.

"Saya juga berharap NGO Islam dan bukan Islam akan turut membantah pengeluaran lesen judi ini, kerana ia melibatkan isu moral.

"Kita juga mahu mendapatkan reaksi kerajaan, agar rakyat ambil peduli perkara ini," katanya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Seperti biasa, jika dasar dan hukum Islam disentuh hanya pihak PAS yang akan bertindak.

Kini sepatutnya rakyat sedar bahawa perkasa, mamak group, gerombolan songkok tinggi, gpms dan yang sealiran dengannya hanya memperjuangkan kaum melayu dan bukan agama islam. mereka cuma diam diri ketika hukum Allah dipermainkan kerana bimbang periuk nasi mereka terjejas. Begitu juga dengan Zul Nordin yang kononnya mahu memperjuangkan Islam. Apatah lagi para mufti di seluruh malaysia!

Rupa-rupanya gerombolan ini ada udang di sebalik batu!!