01 Julai 2010

Rancangan tiga tahun S'gor

17 Rejab 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim merancang untuk mewujudkan rancangan tiga tahun bagi negeri itu sebagai tanda komitmennya kepada pentadbiran negeri.

Khalid berkata rancangan tersebut bersifat lebih "proaktif" berbanding siri Rancangan Malaysia oleh kerajaan persekutuan.

"Istilahnya sama - rancangan. Tapi kita lebih proaktif kali ini. Ini bermakna kita mahukan rakyat bersama dengan kita dalam membina strategi dan memahaminya.

"Sebagai menteri besar, saya secara peribadi akan memimpin rancangan tiga tahun ini yang merupakan tatacara baru bagi parti yang memerlukan saya melipatgandakan usaha di peringkat kerajaan negeri.

"Sehubungan itu, rakyat boleh menganggap bahawa rancangan ini sebagai satu lagi inisiatif yang menjadi isyarat kuat kepada komitmen kerajaan negeri untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

"Harapannya, mereka akan menyokong proses pembangunan dan pelaksanaannya," katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco Selangor hari ini.

Katanya lagi, rancangan tersebut - yang pertama seumpamanya di Selangor - antaranya akan menyentuh aspek ekonomi, pembasmian kemiskinan, pendidikan dan pembangunan.

Tambahnya, rancangan yang akan dilancarkan dalam tempoh tiga bulan itu, akan dibentuk dengan melibatkan rundingan semua pihak, termasuk pelbagai peringkat masyarakat.

"Kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan rakyat dari pelbagai peringkat yang tinggal di Selangor bagi mendapatkan gambaran sebenar, apakah keperluan dan keinginan yang rakyat negara ini mahukan," tambahnya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: