01 Julai 2010

Kenyataan nisbah daftar pemilih bersifat perkauman

17 Rejab 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Jun: PAS menyifatkan kenyataan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno yang dikeluarkan akhbar Berita Harian bahawa nisbah 1 orang Melayu dan bukan Melayu mendaftar sebagai pemilih sebagai bersifat perkauman bagi mewujudkan rasa tidak senang di antara kaum.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu hanyalah agenda politik Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

"Kenyataan ini merupakan agenda politik menakut-nakutkan masyarakat Melayu seolah-olah meletakkan kaum Cina ini sebagai ancaman terhadap kelangsungan kuasa politik orang-orang Melayu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ujarnya, angka yang dinyatakan itu tidak tepat dan dikeluarkan kerana menyedari sokongan rakyat terhadap parti itu semakin berkurangan.

"Angka pun tidak tepat. Ini agenda politik perkauman untuk menarik orang-orang Melayu kembali menyokong mereka sebab mereka sedar semua kaum sedang menolak mereka," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar disalahkan kerana gagal menjalankan kempen bagi menggerakkan daftar pemilih di kalangan semua kaum.

"Dari segi SPR harus menyalahkan diri mereka sendiri bahawa masalah kekurangan dalam daftar pemilih ini ialah lemahnya gerak kerja SPR dalam menggerakkan kempen kesedaran untuk masyarakat Malaysia membuat pendaftaran pemilih termasuk pengundi Melayu," katanya.

Baginya juga, SPR wajar dilabelkan sebagai ‘Suruhanjaya Perkauman Rakyat’, bukan lagi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mahfuz turut menggesa kerajaan melaksanakan pendaftaran automatik bagi remaja yang berumur 21 tahun bagi mengatasi masalah pengundi tidak berdaftar.

"Sepatutnya kerajaan termasuk Umno sudah boleh membuat pindaan sama ada kepada perlembagaan atau kepada apa-apa perundangan berkaitan pilihan raya iaitu untuk mengadakan pendaftaran automatik bagi remaja berumur 21 tahun," katanya.

Nada yang sama turut disuarakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) pada sidang media yang berasingan.

Ketuanya, Anthony Loke berkata, pemuda Umno tidak wajar menyalahkan DAP kononnya mendaftarkan pemilih muda Cina sahaja sebaliknya harus lebih giat menjalankan kempen untuk mendaftarkan pengundi Melayu.

"Nisbah pengundi Melayu kepada bukan melayu ialah 1:40 selepas 2008, ini satu kenyataan palsu kerana ini tidak mungkin berlaku. Pada 2009 daftar pemilih terbanyak ialah Umno.Takkan Umno daftar pemilih bukan Melayu.

"Kalau Pemuda Umno, Khairy Jamaludin kata beliau berwibawa, sepatutnya beliau memikirkan untuk menggerakkan kempen untuk mendaftar pemilih," katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: