01 Julai 2010

Kerajaan Kedah tambah kawasan Kulim Hi-tech

17 Rejab 1431 H
Oleh: Wadisofi Jaafar

ALOR SETAR, 30 Jun: Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Taman Berteknologi Tinggi Kulim atau Kulim Hi-Tech Park (KHTP) terpaksa diperluaskan ekoran permintaan yang tinggi dari para pelabur.

Pihak berkuasa negeri (PBN) bersetuju supaya kawasan KHTP diperluaskan mengikut peruntukan Seksyen 4(3) Akta 171 meliputi kawasan seluas 1,305.08 ekar di mana kawasan sedia ada adalah seluas 3,578 ekar dan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 4,883.08 ekar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Phahrolrazi Haji Zawawi (gambar), kawasan tambahan seluas 1,305.08 ekar telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri pada 4 Mac 2010.

“Perluasan kawasan PBT KHTP dipertimbangkan berdasarkan permintaan daripada pelabur-pelabur asing dari luar negara yang semakin bertambah, kawasan tambahan terletak bersebelahan dengan kawasan PBT KHTP sedia ada serta perluasan kawasan akan meningkatkan hasil PBT KHTP dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Kawasan Pentadbiran Majlis Perbandaran Kulim kepada PBT KHTP di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Darul Aman.

Phahrolrazi memberitahu, perluasan kawasan PBT KHTP dipertimbangkan berdasarkan kepada kilang-kilang baru di kawasan tambahan boleh menikmati perkhidmatan yang disediakan oleh PBT KHTP.

“Ia juga turut menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di samping pembangunan dapat disusun secara terancang dan terkawal,” ujarnya.

Tambahnya, pecahan perluasan kawasan seluas 1,305.08 ekar terdiri daripada Fasa 1A dan 1B Kulim Tecnology Park Corporation (KTPC) seluas 909 ekar, kawasan pembangunan ‘Independent Power Unility oleh Nur seluas 107.17 ekar dan kawasan tanah persendirian yang dibeli oleh KTPC Sdn Bhd seluas 288.91 ekar yang mana jumlah keseluruhannya ialah sebanyak 1,305.08 ekar.

“Keluasan Daerah Kulim ialah 765.39 kilometer persegi manakala kawasan yang diserahkan kepada Hi-Tech ialah seluas 5.27 kilometer persegi di mana keluasan kawasan Majlis Perbandaran Kawasan Kulim ialah seluas 745.63 kilometer persegi,” jelasnya.

Pihak berkuasa tempatan KHTP yang ditubuhkan pada 1 April 1995 diberi kuasa oleh Kerajaan Negeri Kedah di bawah Seksyen 7 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) untuk menjalankan fungsi PBT di kawasan Perindustrian Hi-Tech Kulim.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan, YB. Dato’ Haji Ir. Amiruddin Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Seraja Setia Dato’ Wira Haji Rasli Basir merangkap Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim dan Yang Dipertua MPK, Harun Jasin.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: