01 Julai 2010

Mahkamah khas syariah dengar kes konflik agama

17 Rejab 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

Jemaah Menteri telah memberi persetujuan untuk menubuhkan Mahkamah Rayuan Khas Syariah untuk mendengar dan memutuskan kes-kes yang melibatkan konflik undang-undang di antara perundangan sivil dan syariah.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Datuk Ibrahim Lembut berharap dengan adanya mahkamah tersebut, sedikit sebanyak kes-kes yang boleh menimbulkan konflik pertembungan agama, dapat diatasi secara berperingkat.

Pada masa ini, beliau yang juga ketua hakim syarie berkata, perkara itu kini dalam penelitian beberapa pihak terutama, Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, Jemaah Menteri telah memberi persetujuan terhadap cadangan jabatan itu pada 23 Oktober tahun lalu.

Ibrahim berkata panel hakim Mahkamah Rayuan Khas Syariah itu akan turut dianggotai oleh seorang Hakim Mahkamah Sivil.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas dalam muzakarah pakar bertajuk "Selepas 60 tahun kes Natrah: Di Mana Kita?" dari perspektif undang-undang di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di ibunegara.

Ibrahim berkata usaha tersebut adalah untuk "mempertingkatkan pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia".

"Saya bagi pihak JKSM amat mengharapkan sokongan semua pihak dalam usaha mempertingkatkan sistem kehakiman syariah di negara ini terutama dalam mengatasi permasalahan kaum wanita di Mahkamah Syariah umpamanya dalam kes tuntutan nafkah.

"Alhamdulillah kita telah ada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di semua Mahkamah Syariah Negeri," katanya.

Dalam pembentangan itu juga, Ibrahim turut mengingatkan supaya "jangan hendak adanya di kalangan kita sendiri yang secara diam-diam mencari jalan untuk menenggelamkan institusi kehakiman syariah".

"Mahkamah Syariah pada saya umpama sebuah masjid, sebagai lambang keagungan dan kemurnian agama Islam, dan sudah semestinya kita sama-sama memeliharanya atas tanggungjawab bersama," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: